15 CERITA MISTIK PENGALAMAN HIKING MISTIK: Top 5/15 : TNBBY (Solo, 2019)


 


15 CERITA MISTIK PENGALAMAN HIKING MISTIK:

Top 5/15 : TNBBY (Solo, 2019)

Kisah No.11

         Pernah tak sedang anda berjalan dalam hutan sorang-sorang ( kalau ladang pokok kelapa sawit atau getah tu di kira ),  lepas tu terdengar suara orang! Padahal anda dah tau memang tak ada orang pun kat situ. Aku pernah merasai beberapa kali. Salah satu pengalaman yang tak boleh dilupai sampai sekarang ni masa
buat Trans Tok Nenek - Bubu - Tok Nenek (TNBYY) ikut Pos Rengil solo. Diulang yer;  Solo.

       Februari 2019 adalah tarikh terakhir aku masuk TNBYY dan juga kali kelima. Semua dayhike dan compress. Kali ni aku nak cuba menyolo seorang diri.

        Proses nak merealisasikan misi ni banyak di bantu oleh Angah dengan Atie.  sebenarnya. Diorang berdua teman dari aku ambik dorang dekat Shah Alam sampai hantar aku masuk ke kampung orang asli Pos Rengil. Lepas hantar aku, mereka tak sabar-sabar nak pergi berjalan-jalan dekat Cameron Highland. Aku pesan kat mereka pukul lima petang aku target keluar. Rasa boleh kut capai sasaran.

        Pukul 7.30 pagi aku memulakan perjalanan. Bila meredah sungai pertama tu aku rasa macam tak yakin nak buat solo. Kerja gila. Sampai di sungai kedua dengan ketiga pun aku masih was-was. Dah la tak jumpa orang. Aku masih meneruskan perjalanan sehingga sampai di Simpang Y antara Gunung Yong Yap. Kalau nak naik Gunung Tok Nenek ambik kiri dan nak ke Yong Yong ikut arah jam 12. Dah enam kilomter berjalan sampai sini, masih lagi tak jumpa orang. Boleh kut nak buat solo ni. Aku letak target dari satu kemsite/checkpoint ke satu kemsite/checkpoint.

      Dari simpang tersebut, aku banyak redah anak sungai menuju ke Kem Lengkuas, ke trek yang banyak fasa naik turun naik-ikut tebing tinggi nak ke Kem Botol-Kem Asadi (dulu ada selipar Asadi) dan akhirnya akan tiba ke Kem Hari. Dah sampai Kem Hari ni kiranya dah macam separuh perjalanan untuk ke puncak Tok Nenek. Biasanya dekat Kem Hari, aku akan rehat agak lama iaitu lima minit atau hingga sepuluh minit jika perlu buang air kecil. Masa nak menuju ke Kem Hari ni lah ceritanya terjadi.

       Imbas kembali; sehari sebelum aku masuk sini, kawan aku, si Saiful dah masuk dengan satu kumpulan yang dikelolainya tapi seingat aku mereka terlebih dahulu  naik Gunung Yong Yap dahulu. Manakala, ada satu kumpulan yang lain buat V2 Compress (48 jam) terdiri daripada Yogi (member kamcing) masuk ikut trek Gunung Yong Belar. Congak-congak, kalau tak silap perkiraan aku, mungkin kami akan bertembung dekat mana-mana nanti. Itu je yang aku fikir. Jadi lambat laun pun aku akan jumpa geng sendiri jugak. Tu jugak yang buat aku rasa kurang takut nak solo. Rasa teruja nak jumpa dorang lagi adelah.

          Dari permulaan perjalanan hingga nak ke Kem Asadi, aku masih belum berjumpa atau terserempak dengan sesiapa pun lagi. Rasa macam mustahil jugak masih tak ada orang. Biasa ada orang je. Mungkin kat Kem Hari nanti kut. Selalunya ada je orang bermalam di situ.

        Berbaki jarak tak sampai seratus meter nak ke Kem Hari, pendengaran aku dari tadi hanya ditemani bunyi air sungai yang mengalir. Disebabkan aku rasa macam ada orang dekat Kem Hari tu, aku secara spontan terus melaung menjerit memanggil,

            " Huuuuuuu !!!". Spontan je mulut ringan bersuara. Tak sampai dua saat lepas itu, ada suara orang membalas "Huu!!!" semula. Sebijik macam suara Saiful. 100% aku yakin. Makin cepat aku jalan nak cepat sampai. Gembira bukam main dapat tahu ada sahabat dihadapan dan kerana oleh aku rasa teruja pulak dengar suara orang dalam hutan ni, aku pun sekali lagi menjerit
 
       "Huuuuuu!!". Senyap. Tiada yang membalas.

          Eh.
      Sekali lagi aku menjerit. Tak ada jugak.

       Sudah.

      Terhenti aku berjalan. Padahal dah nak sampai. Terus sel-sel otak berhubung. Macam-macam inferens dah keluar. Tak mungkin, tak mungkin. Tiba-tiba rasa takut pulak. Haruskah aku meneruskan perjalanan ini.

         Kalau tak pergi tak tahu kan. Macam -macam dah bermain dalam kepala. Bayangkann kat situ bukan orang. Makhluk bukan manusia. Nak tak nak, Aku mengagahkan diri nak berjalan semula. Rasa macam tak sanggup nak patah balik jugak. Puncak pun jauh lagi. Satu pun tak sampai lagi.
 
         Sampai di Kem Hari; ternyata kosong. Agak dah, mesti tak ada orang sebab tak nampak pun tapak kaki orang masa datang ke sini. Mengucap panjang je la aku. Terus rasa meremang bulu roma. Bayangan nak ketemu Saiful hilang dalam bayangan. Baru nak mintak kopi panas. Bercampur-campur perasaan. Sekeliling hutan aku perhatikan, manalah tahu ada binatang ke. Monyet ke, kera pun boleh jadi buat bunyi tu. Hatta, bunyi angin pun tak ada.

         Nak berehat lama-lama tak berani. Cepat-cepat aku bergerak menuju ke Kem Belumut dengan (sedikit) harapan ada orang juga. Bukan setakat di situ, hingga aku sampai ke semua puncak Tok Nenek, Bubu dan Yong Yap, seorang manusia pun tak ada. Betul-betul menjadi solo aku. Ada beberapa tempat aku rasa 'spot' seram bila aku lalu dan aku mesti rasa sesuatu. Antaranya; lembah terakhir menaik sebelum sampai ke Simpang Bubu-Yong Yap, kemsite yang Hassan hilang (dah lebih sepuluh tahun tak jumpa-jumpa) tu dan trek menuju ke Kem Balak Pecah dan Sungai Jerok ( dekat kawasan tu aku selalu terbayang macam ada orang duduk atas batu)

        Orang pertama aku jumpa adalah masa nak keluar menuju ke Kem Agas. Maknanya tinggal suku perjalanan baru jumpa orang. Punyalah teruja dapat jumpa orang. Si Saiful atau Yogi langsung aku tak jumpa sampai keluar. Angah dan Atie dah siap-siap tunggu sebelum pukul lima. Dekat pukul enam petang aku berjaya keluar dengan jayanya.

P/S: Masa nak keluar nilah jumpa gadis purdah


        

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK