GUNUNG TERBAKAR , GUNUNG BEREMBUN & CORAL HILLS
Alhamdulillah. Syukur Alhamdulillah.
Puncak ke 143; GUNUNG TERBAKAR (1368m), Habu, Cameron Highlands.
BUKIT CORAL
Aku bertolak dari Terengganu hanya selepas Subuh masuk dan tiba di Masjid Lojing dalam pukul sepuluh lebih menggunakan laluan Kenyir-Kuala Berang-Gua Musang-Lojing buat pertama kalinya dalam hidup. Persinggahan aku ke Masjid Lojing hanyalah sekadar untuk melepaskan rindu. Kali terakhir aku tiba di sini adalah pada Julai 2019. Terlalu banyak memori berada di sini. Antara tempat berkumpul paling terkenal di kalangan pendaki.
Aku berhenti bukan kerana aku penat memandu seroang diri terlalu lama, tapi mata dan hati aku sakit sebenarnya melihat gunung ganang yang dibotakkan si sana sini. Jika pembangunan terpaksa dipertaruhkan, maka tiada langsung perubahan yang ketara aku lihat di sini termasuklah dengan masalah lalat yang masih banyak di sekitar masjid langsung tidak berkurang jumlahnya. Aku masih mengimpikan untuk merasa mandi air panas di tandas di masjid ini bakal tercapai suatu hari nanti. Barangkali.
Puncak yang pertama aku nak jejak adalah Coral Hills. Berbekalkan dengan maklumat yang dah aku kumpulkan beberapa hari sebelum ni tak banyak sangat membantu. Aku hanya memarkir kereta di tepi deretan kedai di tepi jalan yang kebetulan hampir separuh tutup hari itu dan berjalan kaki lebih kurang 600-700 meter menuju ke trek permulaan denai pendakian.
Bila datang ke sini dan gunung seterusnya sepanjang misi hari ni, ilmu meredah aku jadi tiba-tiba tumpul bila tengok anjing liar berkeliaran. Trauma betul aku bila tengok anjing-anjing ni semua. Masa tengah jalan kaki tu, ada seekor yang macam ikut dari belakang, terus aku jalan cepat-cepat sambil menghayun payung mini di tangan. Walaupun cuaca agak mendung dan redup, tapi payung tersebut aku lebih memerlukan untuk di gunakan bagi melindungi diri dari bahaya seperti di kejar anjing terutamanya. Batang besi boleh dilaraskan sudah berkali-kali aku panjangkan , sengaja aku buat begitu nak bagi anjing tu nampak gerun sedikit.
Sedar tak sedar, aku dah sampai. Cuma tak tahu nak naik ikut mana. Terdengar seorang lelaki tengah bercakap dengan 3 orang pelancong luar negara dan aku pun terus ambil kesempatan bertanya mana trek nak naik ke Bukit Coral ni. Dia bukan sahaja tunjuk aku jalan nak naik, tapi siap ikut aku sekali naik sama. Bosan katanya. Betul Abang Shah ni cakap, tak sampai lima minit dah sampai puncak.
Bila dekat puncak, selain tolong aku ambikkan gambar, sempat jugak aku korek dan cari sedikit info untuk misi aku seterusnya.
P/S: Masa aku berjalan lebih setengah kilometer melawan arus nak menuju kereta tu terpaksa menghadap puluhan ribu buah kenderaan yang sedang bersesak di atas jalaan raya. Aku buat muka tebal je. Mesti orang pelik tengok aku datang dari mana dengan kaki bersandal penuh berselut dan tangan pegang payung tapi hensem.
GUNUNG BEREMBUN (1840m), Trail no.5
Aku tak merancang sangat nak naik ke Gunung Berembun di atas sebab-sebab yang tertentu. Tetapi mungkin disebabkan kesukaran aku untuk datang lagi di masa hadapan atau sekerap seperti dahulu dan dari nak melayan kerenah birokasi politik arena pergunungan yang bakal mengubah langskap permainannya secara 360 darjahnya pada tahun hadapan, arakian, hari ini adalah suatu peluang yang amat tidak boleh lepaskan sama sekali.
Masa lalu dekat tapak pasar malam baru, aku terfikir nak melihat jarak nak ke Gunung Terbakar lagi dekat atau Gunung Berembun lagi jauh. Tak perlulah aku berpatah balik nanti berulang-ulang kali. Apa yang buat aku paling malas nak berjalan-jalan di Cameron ni disebabkan jalannya yang selalu sesak dan penuh dengan kereta.
Rupanya, trail nak naik ke Gunung Berembun dah tak jauh dah. Aku memilih Trail No. 5 dari Kuarters Mardi yang di katakan paling senang. Awalnya memang nampak pun mudah pun tetapi selepas tiba di pondok persimpangan lebih satu kilometer kemudian, trek ke puncak Berembum terus menaik dan menaik tanpa henti. Aduh, habisla kaki aku nanti. Esok nak pakai untuk misi agung esok paginya. Lepas ni nak naik satu gunung baru lagi.
Mujurlah jumpa dua orang Mat Salleh tengah turun, dapatlah berehatdan berborak sepatah dua kata. Seorang dari Portugal dan seorang lagi dari UK (lupa nak ucap takziah), katanya datang dari Trail No.9, ikut Air Terjun apatah, macam nampak papan tanda masa lalu nak ke Tanah Rata tadi. Patutlah diorang pesan aku hati-hati dengan pacat.
Tak payah la Mat, aku yang dah pakai sandal ni, kira macam dah memang serah diri pun. Sukarela.
Yang aku rasa ajaibnya, masa aku nak ke Tanah Rata ni, aku rasa macam nampak Mat Salleh dua orang ni dekat kedai-kedai buah tepi jalan tadi.
Lima minit sebelum sebelum nak sampai puncak, aku jumpa lagi sepasang pendaki lain yang datang dari Negara Perancis; Fahmi dan Amy (Dua-dua pun bukan nama sebenar). Masa ni aku tak bercakap banyak sebab dah rasa sangat penat sangat nak mendaki. Aku mendaki dengan cara tak nak bagi sandal yang kedua aku pakai ni tak kotor macam aku naik Bukit Coral tadi. Lagilah penat nak elak lumpur-lumpur dan selut-selut.
Aku hanya ringan mulut bertanya mereka berdua datang dari mana. Si Amy (bukan nama sebenar) tu nak jugak beri aku harapan palsu.
" You almost there," memang tak boleh nak pakai sangat. Semua pendaki sama je perangai.
Sampai di puncak, aku tak duduk rehat langsung. Hari nampak macam nak hujan. Lepas bergambar cukup syarat, aku pun cepat-cepat turun dan jumpa balik dengan Fahmi dan Amy yang masih pun belum sampai dekat tempat aku jumpa dua orang pendaki yang aku jumpa lebih awal tadi. Sempat la aku 'beramas mesra' demi nak menjaga nama baik Negara Malaysia ni di mata orang luar. Kalau aku sembang pun, dorang mesti percaya "Oh really!! "..,"I don't know".
Menurut cerita mereka; mereka masuk Malaysia ikut Johor dengan menaiki bot katanya dari Jawa (masa ni aku pulak yang kata " Oh really.. with boat" tak percaya). Sebelum tu mereka singgah ke Bali dan sebelum tiba di Cameron Highlands ni, mereka ke Penang dahulu, jalan-jalan cari makan la tu. Pening tak. Aku tanya mereka ni Vblogger ke tak. Katanya 'in the making'. Macam tak sebab tak nampak gaya jenis suka pegang camera.
P/S: Keluar dari Mardi, aku terpaksa tanya orang macam mana nak keluar sebab aku masuk ikut jalan lain. Rupanya jalan tu di buka pada waktu tertentu sahaja.
GUNUNG TERBAKAR (1368m)
Aku bagi trek Gunung Berembum Gred A sebab lawa, terjaga, kasi keluar peluh dan gigil lutut nak turun. Tapi, Gunung Terbakar ni aku bagi A+.
Pertama; nak cari titik awal pendakian tu susah nak mampus. Hampir-hampir tak jumpa. Aku pulak buat kerja seorang diri. Line internet pun kejap penuh kejap hilang. Nak bawa kereta perlahan sangat pun tak boleh, kesian kereta yang turun dari Tanah Rata beratur panjang.
Google asyik bawak aku masuk ke jalan masuk ke Ladang Teh Boh. Tiga kali aku terlajak masuk hingga naik sampai le dalam Empangan Hidro Mentigi lagi. Aku cuba tengok video-video yang ada kat Youtube ni secara lebih perlahan dan mencari mana tempat semua orang mula mendaki. Aku hampir berputus asa jugak sebenarnya. Lagilah aku kecut perut tengok anjing-anjing liar dan anjing yang jaga kebun merata-rata.
Bila aku nampak signboard 'Rumah Kilat', aku mula dapat menarik nafas lega. Aku rasa dah jumpa mana tempat nak naik. Aku mencari tempat parking yang paling jauh dari anjing-anjing yang tunggu depan papan tanda tadi. Aku betul-betul parking dekat rumah kilat tu. Nasib tak ada orang dan kawasan agak sesuai. Lagipun aku seorang diri. Aku pun buat la sikit gaya macam pemilik kebun sayur situ.
Kedua; Bila berjalan masuk ke dalam kebun, ada dua tiga jalan yang mengelirukan. Aku ikut mana arah puncak tu kelihatan dari bawah walaupun aku rasa cara tu tak akan membantu langsung. Dari arah bawah ni semua arah ada puncak gunungnya. Aku rasa macam orang bodoh hari ni. Jangan tanya aku pasal GPX atau apa-apa Apps berkaitan; aku adalah seorang yang agak kolot dan bebal dalam hal tersebut.
Ketiganya; Mujurlah ada seorang pekerja Bangladesh yang tengah berkerja aku tegur. Dia macam tahu aku tengah sesat. Dia dengan tenang tunjuk aku jalan nak ke Gunung Terbakar. Mula-mula di cakap
" Awak nampak itu pokok" sambil tunjuk dekat atas. Ya memang ada sebatang pokok kelihatan lebih tinggi luar kebiasaan daripada yang ada di situ. Aku mengangguk faham walaupun aku mencari apa kaitan pokok tu dengan jalan aku nak lalu. Takkan aku nak kena terbang ke pokok tu. Jauh sekali puncak gunung dekat pokok tu. Beliau sambung lagi
" Awak ikut batas ini pokok pokok pudina) .. naik tangga batu...lepas tu awak ikut saja batu tu sampai atas ."
Walaupun dia tak sebut apa kegunaan dan kaitan pokok tersebut seterusnya, aku terus "click in my mind" gitu dan faham apa yang nak disampaikan. Beliau siap teman aku sampai ke permulaan anak tangga, betapa gigihnya beliau nak tunjuk aku jalan nak naik ke Gunung Terbakar.
"Saya sini sudah lapan tahun kerja" Nak cakap yang dia taula selok-belok kawasan sini. Tambahnya, beliau selalu nampak ramai datang naik gunung sini. Nasib beliau ada teman. Tiba-tiba muncul seekor anjing berwarna coklat terang datang dari belakang. Tak mengejar tapi kembang kempis hidung. Lumpuh balik semangat aku. Payung kat tanga ni tersedia bila-bila masa.
" Itu anjing kejar orang tak?" Tak semena-aku aku tanya terus
" Tada..tada kacau orang.."
"Saya ni takut anjing!" Aku memang tak malu nak mengaku. Takutla jadi apa-apa nanti kan. Ada juga talian hayat. Keluarga jauh. Geng-geng mendaki esok mesti tak gerak lagi. Beliau hanya senyum. Aku pun mengucaplan terima kasih banyak kali yang tak terhingga. Malu bertanya sesat jalan.
Keempat; Masa nak naik tangga, hujan pun rintik-rintik turun. Penuh pancaroba perjalanan gunung ni. Mujurlah ada payung juga. Pelbagai guna jugak. Aku pun naik tangga batu yang tak terkira banyaknya dengan perlahan-lahan. Bergema dalam kepala aku duk mengingatkan diri suruh " simpan kaki-jaga kaki nak pewai untuk esok".
Anak-anak batu sangat licin. Ada air mengalir dari tangki air yang ditadah di atas lereng gunung. Tambahan lagi, anda kena berhati-hati jugak takut terpijak batang paip yang tersembunyi dalam pokok yang macam 40% tebu-30% macam lalang, 20% pun macam rupa jagung dan 10% macam ada rerumput. Aku dah sedia maklum pakai baju lengan panjang takut terkana bulu-bulu halus bak rambut. Takut miang nanti.
Lepas habis lalu kat kawasan batuan dan semak samun, keadaan terus berubah lanskap wajahnya. Tanah yang berbatu sangat halus dipayungi dengan pokok pokok seperti Eucaplytus yang berdaun nipis dan halus serta amat sedikit lumut yang tumbuh di bawahnya. Yang tak berubah hanya trek nak ke puncak, menaik jer dari tadi. Aku tengah membayangkan bagaimanalah jika cuaca cerah dengan matahari pulak tegak mencanak atas kepala macam manalah panasnya kat atas ni. Tak disangkal lagi kenapa namanya diberi Gunung Terbakar. Itu nombor lima.
Dan nombor enam, Trek nak menuju ke puncak seperti naik Bukit Tabur West, sejibik, cuma masa naik tu aku tak tahu nak guna tali yang diperbuat dari getah tu macam mana. Anjal sangat nak tarik. Pejam celik, pejam celik lepas 20 minit naik dari anak tangga batu, akhirnya sampai ke puncak Gunung Terbakar. Dari jauh sayup-sayup bunyi anjing menyalak dan tak jauh jugak aku nampak puncak Gunung Mentigi dan juga Gunung Dayang Endah. Tak lalu dah aku. Cukupla, yang ni pun aku dah mula rasa gigil dah lutut.
Akhir sekali, yang ketujuh, masa nak turun aku betul-betul mengigil kaki. Aku ketatkan pelekat tali sandal ni dengan ketatnya. Barulah aku tahu fungsi terbaik bila nak pakai tali tu. Sepatutnya sepanjang trek pasang tali tu. Ada kawasan yang aku tak berapa yakin nak berdiri masa nak turun , aku terpaksa duduk berjalan macam itik sebab tak ada pokok nak pegang dan paling aku takut jatuh tergelincir. Yang ada pokok paku pakis yang sekadar tumbuh di tepi laluan dan gaung. Kalau boleh aku nak telefon jer bomba datang. Bukan sebab gunung terbakar, tapi tolong datang ambik aku kat atas ni. Gayat nak mampus. Tobatlah tak naik dah kalau sapa-sapa ajak. Masa turun melalui anak-anak tangga batu tu, mata aku meliar cari mana anjing tadi. Abang Bangla yang tolong aku tadi pun ku tak jumpa dah. Aku sampai kat parking kereta pun dengan selamat. Bergegas aku masuk dalam kereta takut ada anjing cari aku.
Menuju untuk misi yang seterusnya. Dah rasa kaki macam tak nak bagi kerjasama dah ni.
Tamat
Ulasan
Catat Ulasan