Cerita Trans Gunung Bintang TST (Three Star Trail) Puncak Bintang°¹-North°²-South°³
Cerita Trans Gunung Bintang TST (Three Star Trail) Puncak Bintang°¹-North°²-South°³
25.010.2025 (Sabtu)
Cerita Trans Gunung Bintang TST (Three Star Trail) Puncak Bintang°¹-North°²-South°³
25.10.2025 (Sabtu)
1.0: PENDAHULUAN
Trip ni aku dapat hanya kurang dua minggu dari tarikh pendakian yang bakal dilaksanakan. Terima kasih dengan @nahayu dan gogo @amani bagi aku join trip maha agung ni. Kalau ikut kepaduan tu, tak adealah padu sangat dah, cuma ni antara wishlist trip hiking yang paling aku tunggu-tunggu nak buat seumur hidup.
Bukan senang nak dapat trip compress dayhike Trans Bintang Three Star Trail. Setakat ni macam tak dengar lagi orang buat compress atau dayhike. Bak kata guide, kamilah kumpulan pertama yang akan buat TST compress ni. Jangan keliru; TST dengan GST tu lain. GST (Green Star Trail) tu lagi panjang, susah, jauh dan lama. Manakala, TST ni, kami nak tapau tiga puncak Gunung iaitu Gunung Bintang, Bintang Utara dan Bintang Selatan. Intinya, TST ni pulak bukan macam trans-trans gunung lain; beliau amat berbeza sebab kena patah balik ke Gunung Bintang sebanyak 3 kali, lepas naik bintang, ke puncak Bintang North, pastu patah balik ke Bintang untuk ke Bintang Selatan dan patah ke Bintang untuk balik. Keseluruhannya, jumlah jarak yang bakal dilalui adalah sebanyak lebih 45 km dan elevation gain lebih 4000 meter (menurut rekod strava Nahayu).
Dengan ini, cerita aku kali ni adalah bertajuk " Cerita Trans Gunung Bintang TST (Three Star Trail) Puncak Bintang°¹-North°²-South°³. Cerita terbaru aku kali ni aku akan bahagikan kepada 3 bahagian mengikut 3 gunung yang aku jejaki (Bintang, Bintang North & Bintang South.
Awas. Karya ini boleh tahan panjang dan amaran untuk mereka yang kurang gemar membaca dan suka scroll reels dan video di media sosial.
2.0: 31750, TRONOH, PERAK
Perjalanan berrmula setengah hari sebelum hari kejadian. Aku ni baru habis kerja syif malam (kerja syif malam niasa habis pukul 7 pagi, tapi pukul 8 baru balik dan biasanya pukul 9 lebih baru sampai rumah) dan hanya dapat tidur tiga jam sahaja sebelum bersiap-siap untuk ke Tronoh, Perak berjumpa dengan Rem. Usai Solat Jumaat, kami bertiga termasuk Alex dan Nahayu bergerak ke destinasi pertama. Meeting point kami dekat rumah aku dekat UPM, Serdang. Kami akan singgah ke rumah Rem untuk mengambil ration makanan yang sudah siap dikirim bungkus. Sepatutnya Rem ikut serta ekspidisi kali ni, tapi disebabkan faktor kesihatan yang tidak dapat dielakkan, maka beliau terpaksa mengundurkan diri. Aku pun sempatlah melelapkan mata sekejap dirumah dia nanti dan selepas Isya' kami bertolak menuju ke Kuala Sedim dan akan berjumpa di kawasan perkhemahan Lubok Jong. Di rumah Rem juga, kami dah siap-saip 'packing' dan kemas barang. Yang tinggal hanya akan persalinan hiking yang mana bila sampai di Lubok Jong je nanti akan ditukar. Kami juga singgah ke Pekan Kulim untuk mencari makanan dan minuman tambahan untuk bekalan sarapan pagi dan makan tengahari.
Kami merupakan kumpulan pertama tiba di meeting point yang ditetapkan iaitu pada pukul 12.30 malam dan orang terakhir yang tiba adalah hampir tiga jam kemudiannya. dapatlah aku lelapkan mata sejam dua sementara menunggu yang lain sampai. Kawasan tempat kami berada ketika itu agak selesa, ada pondok gazebo dan tapak perkhemahan yang sudah di pasang fly. Namun oleh kerana cahaya lampu yang di pasang sangat terang dan keadaan sekeliling yang sangat sejuk, aku membuat keputusan untuk tidur di dalam kereta walaupun tidak berapa selesa.
3.0 : RECAP GUNUNG BINTANG 2018
Bila semua dah sampai, kami parking di depan homestay yang agak luas padangnya. Jam 3.30 pagi lebih kami bergerak menaiki powil (4x4 truck) menuju ke starting point pendakian. Kesemua 10 line up adalah muka-muka baru yang masih belum aku kenali kecuali Nahayu (baru hiking sekali dua minggu lepas naik Bukit Hulu Bakau-Bukit Hulu Telang) dan Alex (kami sama-sama buat YYBA; Yong Yap-Aler-Berhid tiga tahun dulu dan dalam trip tu kami terkandas dekat lebih 5 jam disebabkan hujan lebat dan kena kepala air masa tu turun dan crossing sungai kat Sungai Rengil).
Diringkas, untuk pengetahuan pembaca dan peminat, aku pernah la sekali naik Gunung Bintang (sahaja) masa 2018 dengan Yogi. Masa tu masuk weekdays, memang tak jumpa orang langsung dan puncak tu meman
g macam kami yang punya. Misi dulu masuk siang keluar siang dan boleh dikatakan agak berjaya walaupun agak santai (kami keluar sebelum senja)
Tak sangka, lepas bertahun jugak dapat 'repeat' semula. Macam mana aku boleh terpilih masuk line up kali ni, aku pun tak tahu. Mulanya, Nahayu lah yang bagitahu dia nak pergi Trans Bintang (TNT) masa kami buat Trans Hulu Bakau tu. Aku cuma tanya nak ke mana lepas ni. Dia cakap TNT dan Gunung Bintang. Awalnya, ku pun tak tahu versi apa TNT ni, macam GST ke macam mana. Dalam kepala aku yang aku tau ni adalah sebuah wishlist. Lama dah nak pergi. Bila dorang cakap nak buat dayhike, aku beranikan diri tanya Nahayu suh tanya gogo dan lepas tu PM sendiri gogo selepas gogo. Bak kata orang putih 'the rest is history". Tak ada nak interview dan dia hanya suh bayar deposit je. Agak mudah pada halangan pertama ni dan, tiada syarat ketat dinyatakan cuma bila dah masuk dalam group wasap rasmi aktiviti, gogo cuma menyatakan "sial training" sudah membuat aku sedikit gugup.
Itu adalah halangan kedua buat aku. Aku bermonolog dengan diri sendiri; nak training apa dalam kurang hanya dua mingg ni. Seminggu sebenarnya kalau betul-betul nak training, kerana minggu kedua tu dah kena 'taper down', 'carboload' & 'not harm taken' sebab takut injured dan tak dapat recovery sepenuhnya (Entah betul ke tak amalan aku ni).
Dalam masa dua minggu tu jugak aku paksa kaki panjat tangga tempat kerja sebanyak lapan tingkat, naik turun tanpa guna lift walau apapun terjadi. Sebelum masuk kerja petang, cari bukit kita manjat, balik kerja pagi pun aku cari bukit untuk hiking, balik kerja shift malam pulak, terpaksa tahan mata demi cukupkan secangkir mileage dan bila cuti, aku tak boleh malas, aku kena paksa kaki cari elevation. Begitulah, semuanya dilakukan secara rahsia macam dulu-dulu (tau tau, perform).
Cuma satu je aku rasa terkilan, bila usia dipertengahan 30-an ni, dan bila lutut dah makin berkarat ni, tenaga dan kudrat dah tak sekuat dulu. Kenalah usaha lebih sikit barulah balik modal.
Kerja di bidang perubatan juga anda akan banyak terdedah pada risiko jangkitan seperti influenza dan covid 19. Apa yang boleh aku simpulkan, datang kerja sihat tapi esoknya kau akan jatuh sakit dengan tiba-tiba. Sangat tinggi risiko yang aku hadapi hari-hari. Oleh yang demikian, aku memang betul-betul jaga kesihatan dan sekiranya ada tanda nak deman dan tak sihat ni, cepat cepat telan ubat dan rehat secukupnya. Aku tak nak badan sakit nanti terpaksa tarik diri last minit; macam REM.
4.0: PINTU RIMBA & BUKIT TONGGEK
Walaupun dah banyak kali naik powil, pengalamannya tetap sama; anda terpaks ,menahan sejuk dan mengecilkan diri di dalam ruang duduk belakang yang sempit bila ada dahan atau pokok besar terpaksa dielak. Pegerakkan Hilux pula semakin menaik dan jauh ke dalam hutan, makin menjadi-jadi banyak aksi menunduk untuk mengelakkan diri dari terkena dahan dan ranting pokok hingga aku dah tak angkat kepala balik ke posisi asal dalam jangka masa yang agak lama.
Pada pertengahan jalan pula, permanduan terpaksa dihentikan pabila jalan dihalangi dengan pokok tumbang. Kami mengambil masa beberapa minit untuk membuang dan membersihkan laluan tersebut (aku duduk belakang powil sambil perhatikan je dorang buat kerja). Kemudian, aksi tunduk menunduk diteruskan semula sehingga sampai ke Pintu Rimba. Pintu Rimba no menjadi 'starting point' iaitu permulaan jarak dan pendakian akan dilakukan. Aku cuba mengenalpasti mula-muka line up yang bakal aku bersama sepanjang hari namun, aku masih belum dapat lihat wajah dan bentuk muka masing-masing. Hanya sinar cahaya lampu dari dari kepala masing-masing terpancar.
Selesai taklimat yang diberi oleh guide iaitu Encik Faiz, kami memulakan perjalanan berbekalkan doa selamat pergi dan pulang. Aku sedikit kagum dengan info dan taklimat yang diberikan, nampak konfiden dan berpengalaman walaupun usia tampak masih muda. Apa yang masih tergiang-giang di telinga aku ni adalah bila guide bagi tahu "kita adalah group pertama yang buat TNT dayhike setakat ni". Bangga dan kagum kat diri sendiri. Benar atau tidak, kita tunggu sampai cerita ni habis sama ada kami berjaya melakukannya.
Strategi aku adalah tidak akan ikut pace sesiapa dan nak duduk di belakang saja. Aku dah malas menjadi mangsa terjerat dengan sarang labah-labah, menajadi orang pertama kena langgar dengan dahan pokok, tersadung akan akar kayu dan terkena duri pokok nipah. Cuma bila duduk belakang ni tak dapat 'banyak rehat' sebab bila orang last sampai dan nak je berhenti rehat, orang kat depan nak gerak dah.
Dari pintu rimba hinggalah ke Bukit Tonggek, aku memang duduk di belakang bersama Isa. Isa banyak jadi sweeper di dalam ekspedisi kali ni. Mengikut kiraan asal akulah ikut log dulu-dulu, nak ke puncak Gunung Bintang ni dalam 16 kilometer sehala jaraknya tetapi perjalanan dah jadi sedikit pendek sebab dulu kami kena jalan kaki dekat 3 kilometer nak ke pintu rimba. Ni dah naik powil ni paling laju lun setengah jam la potong masa jadi cepat.
Masa nak melintas sungai pertama tu jadi perlahan sikit sebab ramai yang sangkut dan berbelah bagi sama ada nak basahkan kasut atau tanggalkan. Trip kali ni aku tak pakai sandal macam biasa sebab aku nak ringankan beg.Aku yakin dengan memakai sandal tak membantu mana bila melalui kawasan trek yang berlumpur, basah dan berair kat Gunung Bintang ni. Dalam cerita ni, kebetulan pula boleh ada dua orang bernama Rais. Yang seorang tu, kami pamggil Abang Rais (peserta paling tua tapi berbisa dalam trip ni) dan seorang lagi Rais nilah yang aku nak cerita yang mana tau-tau bila nak lintas sungai tu, dia dah jatuh dalam sungai. Aku lintas je masuk air sungai tu. Malas nak fikir dah bukak kasut. Leceh sebenarnya.
5.0 AIR TERJUN GUNUNG BINTANG
Selepas semua berjaya (tak semua pun) melintas sungai dengan selamat, kami bergerak ke checkpoint seterusnya iaitu Bukit Tonggek yang memang betul-betul menguji. Susunan line up mula sedikit berjarak tetapi tidak ketinggalan jauh. Walhal sepanjang misi ni sebenarnya kami semua bergerak hampir semua pace sama. Mungkin adalah yang berpecah kepada dua tiga kumpulan kecil di beberapa tempat tertentu tapi semuanya dapat kejar kembali. Memang bukan misi nak tinggal kawan pun. Kawan aku, Yogi dah pesan awal-awal supaya mulut aku jangan kuat menegur. Kalau ada bau busuk atau wangi jangan sebut. Biarkan je. Adalah beberapa tempat yang aku rasa macam seolah-olah sesuatu, tetapi aku anggap itu bau bunga jela. Memang hampir tak ada kisah-kisah mistik dalam cerita ni. Orang lain aku tak tahu.
Perjalanan kami nak ke Air Terjun Bintang ini agak bosan, landai dan sesekali menguji kaki. Suara Nahayu, Syira dan Amani yang berbual sesekali kedengaran. Aku masih mencari ruang untuk mengenali rakan-rakan baru dalam dunia pendakian. Aku banyak mendiamkan diri. Kami tiba di Bukit Tonggek pada pukul 5.27 pagi dan sampai di Di pondok berteduh di Air terjun Bintang pada jam 5.52 pagi. Kedengaran bunyi air terjun yang kuat jatuh sehingga percikkan air dan kabus menghampiri pondok yang kami sedang berteduh. Aku dan yang lain tidak membuang masa untuk solat Subuh dan mengisi perut sarapan pagi. Keadaan pondok yang bersih dan luas ini langsung tidak berubah keadaan seperti tujuh tahun dahulu. Cuma lantai tanah yang berlubang tu jela macam sedikit membesar. Lubang air mengalir dilantainya aku turuni untuk berwuduk. Tak sanggup nak pergi jauh-jauh ke sungai yang sedang kuat airnya. Sejuk air yang dirasai ini hampir tidak boleh lawan rasa sejuk yang kami rasai dalam menuju ke puncak-puncak gunung seterusnya. Bagaimanapun, cuaca yang agak baik memberi setakat ini diharap berlarutan hingga ke esok pula atau sampai kami keluar nanti.
6.0 BUKIT REDBULL
Hampir sejam berjalan mendaki ke Bukit Redbull pula.Langsung kami tak berhenti Trek memang menaik je, hampir 80% anggaranku. Aku mula mematikan headlamp apabila suasana mulai cerah. Aku hendak berjimat bateri headlamp. Bateri spare aku tak bawak tapi aku ada bawak headlamp lain satu lagi, bersedia untuk pelbagai kemungkinan, salah satunya keluar lambat dan berada dalam hutan lebih dari 24 jam.
Trek yang dulu aku lalui sudah mula kelihatan, cumanya sudah banyak berubah. Lebih berbatu dan luas. Walaupun sudah lama, tapi ada beberapa landmark yang masih aku ingat, tempat aku dengan Yogi berhenti berehat. Line-up yang aku sertai sudah mula ku cam muka, tiada wajah yang familiar dan ku kenali, cuma semuanya sudah semakin serasi dalam berbicara. Bila kita masuk 'circle' baru ni, kena ringan mulut berbual dan tak perlu pun nak tunjuk handal dan berapa banyak gunung dan trans kau dah buat. Tak kemana pun semua tu, bukan boleh buat interview masuk kerja. Orang akan tengok kau ni boleh bergaul dengan orang tak.
Trek nak ke Bukit Redbull ni pun boleh tahan panjang. Aku, Isa dan Amani serta Syirah siap berehat dekat satu kawasan yang lapang dan ada balak kayu. Dah dekat sejam kali berjalan langsung tak rehat. Orang kat depan memang terus hilang dari pandangan. Tak sampai seminit duduk, kami dengar dorang dah pasang mercun. Dalam trip ni, kalau ada yang baling mercun tu tandanya dah sampai puncak atau checkpoint tertentu. Rupanya tak jauh dah Bukit Tonggek ni. Kami pun sambung semula perjalanan. Ya, memang betul kami kena scam, Bukit Redbull memang kat atas tu je. Memang tak sampai seminit pun. Bila aku sampai semua sedang duduk. Terpacak besar gajah signage bertulis 'BUKIT REDBULL' yang mana tersusun di atas papannya tin-tin kosong air berjenama Redbull yang di sengaja tinggalkan menjadi 'landmark' kawasan tersebut.
Guide bagi kami masa hanya 5 minit lagi untuk rehat (pada orang paling last sampai). Itulah nasib kalau duk belakang. Aku makan kudapan asam masin sebagai penambah energi sebelum bergerak menuju ke Kem Bunian pula.
7.0 KEM BUNIAN
Perjalanan menuju ke Kem Bunian tak rasa jauh sangat dan tak sampai sejam pun (memang ras jauh kalau anda pertama kali baru sampai) tapi trek die memang hampir tak ada landai langsung dan banyak jugak kena lalu permatang. Bila dengar bunyi air terjun tu disebelah kanan, itu baru tandanya separuh jalan lagi nak sampai ke Kem Bunian. Kali ni aku bernasib baik sebab boleh nampak air terjun tu buat pertama kali; tinggi dan kuat. Mana taknya, minggu ni minggu paling basah-hujan Kedah-Perak (kat beberapa tempat tengah banjir kat Perak). Memang kapasiti air pun meningkat dan bertambah.
Kali ni line up kami berpecah menjadi tiga kumpulan kecil, namun masing-masing tak jauh berjarak cuma dia jenis setompok-setompok kedudukan. Orang paling depan masih dapat dilihat dengan mata kasar. Aku duduk di kumpulan paling tengah, diketuai Abang Rais, Alex, Nayu dan barulah aku paling belakang. Isa jadi sweeper para gadis.
Lama kelamaan, kawasan ditumbuhi lumut mulai muncul. Kamu mungkin diparas seribu meter keatas dari paras laut. Lumut mossy bersilih ganti dengan kawasan buluh kecil yang makin tebal. Structurnya memang nampak halus tapi awal kalau salah pegang boleh tercedera dek tajam batangnya yang tak bermata.
Pertemuan yang paling tak dijangka adalah dengan dua pendaki yang sedang berehat di kawasan permatang. Tak sangka boleh jumpa orang naik Gunung Bintang juga minggu ni. Gaya tengah berehat, pewai gamaknya. Kami hanya memberi salam dan tumpang lalu untuk meneruskan pendakian ke Kem Bunian. Kami toba di kawasan boleh di katakan mudah secara keseluruhan walau masih ada proses kena mendaki naik. Kawasan yang aku boleh katakan ni antara yang agak lawa dalam trek Gunung Bintang ni. Kawasan ni makin bertambah-tambah mossynya tetapi hanya banyak di lantai tanah, trek masih berselut tetapi disebabkan kesan laluan kami ini adalh laluan air, maka banyak timbul pasir putih yang agak memberi sedikit kontra warna persekitarannnya yang menjadi lebih cerah. Masih ada beberapa tempat yang mana ada kesan air tengah mengalir dan kami kena mengelak dari lalu takut kasut terbenam dalam air selut. Dek kerana pokok-pokok sudah mula berkurang tumbuh di kawasan tanah tinggi dan sejuk seperti ni, tampak lelangit dunia lebih terbuka dan cahayanya menembusi ruang yang berjarak diantara pokok-pokok. Cantik.
Masalah terbesar kepada pendaki terutamanya aku ni, bila kita nak menikmati permandangan yang indah tapi tengah lalu atas trek pula syok nak laku maka kita hanya dapat tengok sekali lalu je. Sukar nak gambarkan dengan ayat-ayat betapa cantik suasana tersebut sekalipun guna pakai kosa kata dari kamus dewan bahasa. Itulah antara nikmat kenapa kita ni suka naik gunung.
Bila dah nampak pokok-pokok bonsai mulai kelihatan, aku yakin Kem Bunian dah tak jauh. Bunyi keriuhan di depan menandakan kami semakin menghampiri. Rupanya ramai orang dekat Kem Bunian bila kami sampai tu. Signboard kayu besar ditepi jalan pintu masuk ke kemsite tu dulu memang tiada. Setelah diterokai secara mata kasar, memang agak mencacatkan permandangan dan terasa sukar sekali nak bergambar secara fotogenik disitu. Tips yang boleh diaplikasikan nanti adalah, anda kena guna skala camera lebih kecil untuk memastikan gambar satu badan kita boleh masuk.
Kelihatan sebatang pokok sudah tumbang di tengah-tengah kawasan kemsite. Sayang sekali. Itu adalah pokok yang aku duduk bersandar dulu. Sebenarnya aku agak (sangat) kecewa kali ni. Aku selalu cerita kat orang yang Kem Bunian ni antara kemsite paling lawa aku pernah sampai. Kawasan yang luas, penuh dengan pokok bonsai yang begitu tenang setenang-tenangnya sampaikan dulu dekat sejam kami rehat. Tempat signboard lama pun dah hilang, hanya ada kayu yang hampir ditelan pandangan ditengah-tengah semak (rujuk gambar). Ada fly dah dipasang di bahagian sebelah jalan menuju ke bawah waterpoint. Disitulah ada satu lagi kumpulan yang terdiri lebih 10 orang pendaki yang agak muda sudah sampai lebih awal dan sedang berehat Katanya, diorang mula masuk pukul 12 tengah malam tadi tapi hanya buat Gunung Bintang single je. Benarlah hipotesis yang aku buat bahawa pokok yang telah tumbang di tengah jalan tadi tu kiranya baru jatuh jugak la terjadi. Waktu peristiwa diantara pukul 1 dan 3 pagi. Cumanya, itulah kumpulan kami jea kurang bernasib baik kena bersihkan untuk lalu.
8.0 TAMAN BONZAI
Kecewa punya pasal dengan view yang 'so-so' kat Kem Bunian ni, sampai tak lalu nak pergi waterpoint. Waterpoint die pun antara yang sangatlah lawa. Air pun 'sedap' dan segar tapi itu kena bayarlah dengan kudrat. Nak turun mudah memang mudah tapi bila nak naik tu susah bertambah tiga kali ganda, macam dekat 100 meter jugak la nak hadap pacak balik. Cukuplah sekali dulu si Yogi tipu aku.
Aku pun nak jimat tenaga sebab perjalanan kami ni tak sampai suku lagi. Ni pun baru nak masuk kilometer ke 11. Aku nak selesaikan target pertama iaitu sampai ke puncak Bintang dulu. Sementara menunggu yang lain kembali dari waterpoint, aku mengisi perut serta kudapan. Setiap empat jam kena makan, baru perut tak mudah lapar. Dekat Kem Bunian ni barulah aku berbual-bual sikit dengan line up. Si Rais asal sampai checkpoint dan berhenti mesti tidur.
Group yang sampai awal sekali dah mula-mula beransur gerak. Bila mereka bergerak tula baru nampak dekat satu sudut tu ada banyak sampah plastik dan tin makanan yang ditinggalkan oleh pendaki-pendaki yang camping di situ. Ada kesan sambah yang tak habis dibakar Ada sampah yang sampai kiamat takkan lupus. Tak tahulah nak komen apa kat dalam ni. Orang kata tu adalah mentaliti masing-masing. Otak kepala tu memang tinggal sekali kat atas gunung gamaknya.
Bila kami nak gerak, barulah pendaki berdua yang kami potong di belakang tu sampai. Kami pun bagila kata-kata semangat sikit, boleh je sampai puncak tu sebelum waktu tengahari. Bergerak dari Kem Bunian ni tak adalah susah sangat (secara peribadi) kalau anda sibuk menikmati permandangan trek secara keseluruhannya. Sepanjang trek kami berborak dan sekali lagi bertembung semula dengan group yang masuk awal tu. Baru perasan, ada seorang jer line up perempuan dalam group tu. Sepanjang trek sangat lawa; dari pokok bonsai yang tumbuh renek dan lumut yang tumbuh dekat batang dan dahan pokok, bersatu dalam alam. Suasana mistikal dan penuh misteri alam bertambah hening bila kabus mula menjelma menemani perjalanan kami
Terkejut aku bilamana ada seorang lineup tegur aku dan sebut nama Poi. Kali terakhir jumpa Poi masa kami naik ke Gunung Nuang masa bulan puasa hari tu (Kami camping kat Kem Lolo je). Ni mesti anak buat Poi sebut dia duk sebut-sebut nama 'Abang Poi'. Budak GotMadlah ni (aku pun sampai lupa nak tanya nama tapi berkesempatanlah ambik gambar kat puncak Bintang nantinya) .
Kami tiba di Taman Bonzai pada jam 9.10 pagi. Dari skala 10, aku bagi 7 je untuk kecantikkan kat sini berbanding masa aku sampai dulu. Pokok bonsai masih ada yang lawa, tetapi pokok yang agak sedikit unik dan estetik yang aku bergambar dulu di yakini kimi sudah tumbang bersama dengan pokok yang boleh di panjat untuk view 360. Satu persatu harapan nak kembalikan semula memori dulu hancur. Tujuh tahun tu macam-macam boleh jadi, sekali bah datang, tanah runtuh pun boleh. Apatah lagi kalau gempa bumi datang menimpa.
Buat julung kali jugalah, di Taman Bonzai kami mengambil gambar secara berkumpulan sepuluh orang yang pertama diantaranya sejak mula mendaki dari malam tadi.
9.0 ANAK BINTANG
Dari santai, pendakian mula bertambah sukar. Aku masih ingat yang mana mana nanti di sepanjang jalan akan ada signage plate jarak berwarna kuning , tapi kali ni lokasinya macam sudah berubah. Lebih pendek dan terasa dekat. Dari 11 km, ke 12 km dan kilometer terakhir iaitu 13km.
Trek agak roller coaster dan lebih basah serta berselut. Awalnya dapat juga elak tapi lama-kelamaan trek makin menjadi basah dan beberapa tempat banyak bertakung airnya. Dari Taman Bonsai nak ke checkpoint Anak Bintang tak jauh sangat dah, cuma nak naik turun banyak kali, pastu nak panjat batu dan segala kayu balak besar buat kaki melangkah menjadi sangat perlahan. Hampir semua tiba di puncak Anak Bintang sekaligus bersama pendaki kumpulam muda. Kami berehat sebentar.
Menurut pandanganku, papan tanda yang dipasang ditengah-tengah puncak amat mengacau aksi kami nak bergambar. Macam tak masuk penuh pokok bonzai yang lawa-lawa dalam gambar kami. Aku jadi tak ada mood nak bergambar kat situ. Nanti kitar baliklah gambar-gambar lama yang ada tu.
10.0 PUNCAK GUNUNG BINTANG
Semua mula bergerak serentak ke destinasi puncak pertama iaitu Gunung Bintang. Agak bersesak dan sempit treknya. Yang aku ingat banyak lalu kawasan mossy dan trek sangat roller coaster. Disebabkan hujan semalam, trek agak basah dan lembap, bahkan bila lalu dekat kawasan yang sempit aku jadi tak kisah dan seluar atau baju jadi kotor. Benda bukan boleh elak dah. Kabus makin tebal dan menutup segala permandangan di lereng-lereng pendakian. Kabus juga membawa titisan air yang mana boleh disangka hujan sedang turun.
Kepenatan bila dah sampai puncak tu dah tak boleh aku cover dah. Baru je sampai, dah ada orang baling mercun. Aku punya terkejut tu sampai tak jadi nak marah. Memang betul-betul penat sampai tercungap-cungap nafas macam tak cukup oksigen. Jam 10.17 pagi kami sampai di puncak. Kawasan puncak yang agak terbuka mendedahkan kami pada tiupan angin yang kuat. Puncak pun tak adalah besar sangat, boleh menampung dalam anggaran 20-30 orang kalau semua berdiri. Masih ada beirut besi lama yang tumbang kelihatan di suatu sudut terbiar usang. Tiada juga view permandangan berskal 360 kali ni, semuanya berwajah A4 kertas sahaja, memutih dan tak berpenghujung. Dua kali juga nasib tak menyebelahi. Kami bergambar berkumpulan untuk kali keduanya dengan mengharap ehsan pendaki lain untuk melengkapkan memori pendakian kali ni.
Kami menuju turun sedikit ke trek sebelah kanan dari Signboard dan memberi ruang untuk anak-anak muda menikmati kejayaan masing-masing di puncak. Kami akan berehat di suatu kawasan lapang sebelum bergerak ke simpang Y Bintang North-Bintang Selatan. Dalam fikiran aku ketika ni, jauh lagi ke nak sampai? Boleh ke kaki aku tahan? Tak cramp ke? Bila guide Faiz cakap nak pergi dan balik sahaja dalam 4 jam juga untuk ke setiap puncak. Bagi aku tu jauh. Mampukah kami keluar sebelum siang?
11.0 SIMPANG BINTANG
Sebelum bergerak ke Simpang Bintang Utara-Selatan, kami berehat dahulu seadanya. Walaupun belum waktu tengah hari kami semua perlu juga makan tengahari. Kali terakhir aku mengisi perut masa dekat Air Terjun Bintang subuh tadi. Walaupun hampir semua aku baru kenal, tapi tak semua tak kedekut nak berkongsi makanan masing-masing.
Antara benda yang boleh belajar bila buat aktiviti compress ni, masa nila korang nak tengok apa orang baya dan bagaimana orang bungkus dan packing barang masing-masing. Tak semestinya beg kecik, barang pun sikit dan sebaliknya juga. Walaupun aku dah banyak kali buat trip compress, aku masih mengklasifikasikan diri akan gagal setiap kali nak "packing barang'. Walaupun dah buat checklist, masih ada juga barang-barang tertinggal. Hal ini terjadi bukan sebab kita lupa atau ambil lewa, tapi konsep semua gunung tak sama level dan harcorenya. Ada barang yang kita bawak mungkin takkan digunakan langsung dan mungkin juga takkan sesuai nak di gunakan kat tempat tersebut. Ada antara barang yang aku tak bawak kalau bercompress adalah parang, sebab bagi aku konsep nak bercompress dayhike ni amat berlawanan dengan merintis. Panjang kalau nak cerita dan ulas, intinya, kalau nak bawak, tak salah, memang banyak kegunaan pun. Tu pada aku je.
Nasi yang dibungkus bersama ayam masak kunyit yang sudah siap di tabur dengan serbuk lada hitam yang telah di masak oleh REM pada malam tadi menjadi menu santapan tengahhari aku. Dua bungkus masing-masing kami bertiga dapat (Aku, Alex dan Nahayu). Lebih pada cukup ration kali ni. Mungkin tak habis ration aku makan ni walaupun dijangga akan keluar waktu malam nanti. Bila dah makin lama berehat, kini mula terasa kesejukkan Angin yang datang dari puncak sekali sekala turun menjengah ke tempat lapang kami sedang berehat ni. Rais Koh dah mula tidur lepas makan. Yang lain ada yang masih makan sambil berborak. Sekekali aku ketawa kecil mendengar lawak masing-masing. Aku tak boleh berlama-lama lagi sebab dah tak tahan sejuk. Sweater aku keluarkan untuk panaskan badan.
Pada pukul 11.05 pagi kami gerak pergi menuju ke Simpang. Tergiang-giang di telinga sampai kepala kata-kata Faiz iaitu jarak hanya "dua jam pergi, dua jam balik". Dekat je kut. Aku mulanya langsung tak perasaan ada signboard 'SIMPANG' di situ. Aku turut berhenti dan melihat Abang Rais tengah mengeluarkan sedikit ration beliau disembunyikan dia belakang banir pokok untuk meringankan beban beg beliau. Lagipun, nanti patah balik lalu tempat yang sama jugak. Aku masih rasa beg aku ringan lagi nak bawa.
12.0 The Hidden Gems: Mossy & Bunga
Formasi masih sama seperti tadi, cuma aku pada awalnya banyak berjalan dengan Abang Rais yang ikut rapat dibelakang aku. Mulanya trek banyak menurun. Banyak lalu kawasan berakar yang sangat licin. Ada ketikanya tak boleh nak elak tangan dah terpegang tanah yang basah dan kotor. Lagilah bila terpaksa tunduk dan duduk berjalan sambil merendahkan graviti badan, dengan seluar lutut semua kotor dan basah. Aku pun dah lupa sudah berapa kali terpaksa lalu dekat pokok tumbang. Banyak pokok tumbang melintang ditengah-tengah jalan. Malau tak dapat dipanjat, kami kena tunduk menunduk gayanya. Trek boleh dikatakan sangat jarang-jarang orang lalu, walaubagaimanapun denai laluan masih dapat dilalui, cuma tiada kesan tapak kaki ada orang masuk dan ada di beberapa kawasan trek hampir tertutup dengan pokok-pokok renek kerana amat jarang dilalui. Menurut Faiz, dia baru je buat GST (Green Star Trail) minggu lalu. Dia pun tak sangat, cepat betul trek tertutup.
Apa yang membuatkan perjalanan ekspedisi ini menarik dan tak boleh aku lupakan adalah keindahan trek dan fauna yang mana aku cuba terjemahkan dalam cerita 'ringkas ini' sebaik mungkin. Kalau korang dah pernah pergi Irau ke, Jerging atau Gunung-Gunung yang agak terkenal dengan pokok mossy, mungkin pandangan tersebut dah agak biasa tengok. Sepanjang perjalanan nak ke Bintang Utara ni, kalau cakap anda tak percaya, mossy lumut kat sini lagi lawa. Aku rasa macam lain sedikit dan rasa macam lebih 'terjaga' dan tak terusik. Memanglah taklah terkenal seperti Irau Mossy Forest tu. Cuma sepanjang trek tu tak ada yang tak lawa. Semua rasa sangat istimewa dan rasa bagai laluan kat sebuah taman cumanya ianya panjang. Bayangkan korang tengah lalu dekat koridor pejalan kali yang panjang, cumanya ditepi kiri kanan ditaman dengan pokok renek yang pelbagai aneka bunga. Begitulah perumpaan yang paling dekat boleh aku contoh pada korang. Poko-pokok tu tumbuh seolah-olah ada orang tanam walaupun hakikatnya ianya tumbuh semulanya jadi. Tak ada unsur-unsur mistik langsung dalam cerita aku ni.
Lepas tu, pokok-pokok renek tu pulak ada banyak bunga-bunga yang berkembang merata dan pelbagai warna. Memang dah banyak kali jumpa dan tengok bunga-bungaan tu, tapikan bagi lagi yang ni paling banyak, paling pelbagai warna, spesies dan jenis. Biasa pulak kita jumpa setompok-setompok je, yang ni sepanjang ada jalan. Kat trek A, warna lain, kat Trek B warna lain. Aku pulak rasa eksited. Masa tengah on trek ni, aku sebenarnya terfikir nak buat album gambar pasal bunga-bunga kat Gunung Bintang ni. Tup-tup, hujan pulak turun lebat. Jadi aku terpaksa selamatkan telefon dahulu dari basah hujan. Cuma ada satu keping je gambar bunga tu sebelum misi album aku terkubur
13.0 PUNCAK VIEW & LAST WATERPOINT
Hujan bermula renyai-renyai. Aku memakai sweater yang tak berapa nak kalis air dah. Baju hujan ada, baru je beli semalam kat decathlon, kirim kat Nahayu belikan. Yang murah-murah je sebab tak nak bazir duit beli yang mahal-mahal. Lagipun plan nak compress je. Maka bakal bermula timbul sebuah ayat penyesalan nanti. Ingat ya, Guide ada cakap nak ke Bintang North tu dua jam tapi ni dekat sejam kami baru je sampai ke Puncak View. Tiba di puncak view ni memang betul-betul bagi harapan palsu. Ingatkan dah sampai puncak Bintang North dah. Puncak View pun hanyalah sebuah kawasan berbatu putih yang dapat digunakan untuk melepaskan lelah sebelum menuju ke Last waterpoint dan air terjun nanti. Disebabkan cuaca yang kurang baik, view depan kami ni sepatutnya boleh nampak Puncak Bintang Utara dan mungkin puncak-puncak lain. Bak kata budak-budak hiking, dapat view kertas A4 je, sebab putih seputih putihnya saujana mata memandang. Kami hanya dapat lihat secara dekat dimana beberapa puncak bukit di belakang kami yang mana telah kami lalui tadi. Nak balik nanti sahih nak kena lalu balik tu.
Walaupun jarak dari puncak view nak ke air terjun tu sebenarnya dekat je, tapi dekat setengah jam jugaklah kami nak sampai. Itupun dah habis laju dah jalan sebab trek memang menurun. Kalau trek tak licin dan curam, rasanya lima minit dah sampai. Banyak kali juga aku dah tergelincir dan hampir jatuh terduduk di sebabkan tanah yang begitu licin dan berselut. Anak pokok-pokok yang tak berapa nak ada nak berpaut pun langsung tak membantu. Waima, ada satu ketika aku rasa nak je gelongsor turun terus sampai bawah.
Hujan sebenarnya dah mula turun tapi rasa macam rintik-rintik je. Tak lebat pun. Atau mungkin jugalah kawasan waterpoint yang kami sampai tebal dan lebat sangat dahan dan daun dia sampai tak rasa sangat air hujan turun. Cumanya dengar jatuhan titisan air ke tanah je kuat kedengaran
Jam 12.30 kami beransur turun ke sungai untuk berehat sebentar. Ada yang mengisi air dalam botol air masing-masing kerana dikhabarkan ini adalah last point kami. Menurut Faiz lagi, dari sini kami akan mendaki sejauh sejam lagi untuk ke puncak. Cuma dia kata kena mendaki bukit dari waterpoint ni dulu. Aku belum cerita lagi tentang kawasan kemsite di sini (aku masih mencari-cari nama lama kemsite ni, pernah terbaca dimana-mana haritu), mungkin masa balik nanti di lain episod aku bercerita panjang.
Dari jauh, hidden waterfalls (seperti gambar), nampak sangat jauh dan tersembunyi. Kedudukannya tidak jauh dari denai yang kami lalui. Semakin kami mendaki, semakin dekat dan sebenarnya ada dua terjun tapi berlainan peringkat kedudukan. Ada satu lagi terletak paling atas yang lebih tersembunyi dan lebih lawa namun disebabkan posisi keadaan tengah mendaki bukit yang sangat curam, licin dan hujan, ku simpan sahaja niat nak ambik gambar dalam hati.
14.0 BULUH YANG "$#%&£÷*£%&#×?"
Dekat lima minit, barulah kami sampai dekat suatu permatang dan tempat yang agak rata. Hujan makin lebat. Perjalanan makin lama makin terasa peritnya. Disebabkan keadaan trek tidak berapa nak lurus, banyak kali jugak kami kena turun naik tebing dan kembali semula naik ke permatang. Misi mengambil gambar bunga terus terkubur. Lain waktu dan lain trip jela kalau nak datang lagi. Aku, Alex dan Nahayu tak berjarak jauh pun. Abang Rais dibelakang semula bersama Hadi, Amani, Syira dan Isa. Jauh macam mana tertinggal pun, masing-masing akan rapat semula. Disebabkan pokok buluh yang tumbuh makin banyak dan tebal, menjadikan pergerakkan kami makin lambat. Sementara menunggu yang lain tiba, orang depan mula menebas buluh yang makin lama makin tebal. Ada ketikanya, trek terus tertutup disebabkan buluh yang tumbang dengan banyaknya. Siang-siang ni rasa mudah lagi kerja nak mencantas. Jangan keluar malam sudahlah. Sasaran nak keluar sebelum malam masih cerah.
Aku dah pakai sarung tangan sebab tak nak tangan luka kena buluh, takut terpegang bahagian duri atau dahan yang tajam nanti. Untuk trip ni, aku memang sengaja pakai baju lengan panjang sebab aku nak tutup semua pergelangan tangan, aku nak kurangkan terluka kena duri atau semak-semak daun yang miang. Baju microfiber cepat sikit kering; tapi kalau dah hujan lebat macam ni, tak ada harapannya. Kalau dah basah, basah jugak dianya. Tambah lagi, ni lun dah mula berangin ribut kuat dah. Belum sampai lagi ke puncak North, kami dah kena harung ribut kuat. Bergoyang-goyang pokok terkena dengan angin. Mujur tak ada pokok besar, cuma ada pokok buluh yang macam tak berkesudahan tumbuh sepanjang jalan. Trip ni memang kami tak boleh berpisah dengan buluh dah.
Awalnya, anda dapatlah jugak elak kaki dari masuk kawasan berair dan berlumpur, tapi lama-kelamaan dah macam tak ada ruang nak elak. Air bertakung dimana-mana. Kaki pun pijak je kat mana-mana pun, asal boleh lalu, asalkan tak tenggalam dalam lumpur selut sudahlah. Hujan yang macam tiada berpenghujung seolah tiada tanda-tanda mahu berhenti. Laluan kami dah jadi anak sungai kecil. Kasut basah bersarungkan selut tebal.
Aku dah pakai baju hujan berlapiskan windbreaker, namun sudah terlewat untuk pakai sebab satu badan aku sudah pun kebasahan. Aku pakai bukan nak elak hujan, tapi tak nak bagi angin masuk dalam baju. Sejuk sampai menggigil badan bila angin yang dah memang sejuk tu lalu sepoi-sepoi bahasa kat badan. Aku tengok ada yang pakai poncho, guna plastik sampah dan tak kurang windbreaker; tapi aku rasa semua senasib je dengan aku; basah dan sejuk. Paling tak tahan bila kita berhenti sekejap je, terus sejuk semula badan. Sejuk tu sampai bernafas dan bercakap keluar-keluar asap kat mulut. Jari jemari dah kecut dan pucat. Teringat kes mati kat puncak Gunung Liang disebabkan hypothermia tempoh hari. Cepat-ceapt, aku memeluk tubuh dan memasukkan anak jari-jemari tangan dicelah ketiak untuk memanaskan badan. Aku rasa itu je kawasan yang sedikit beriklim khatulistiwa tinggal dekat badan aku. Aku yakin dekat luar sana tu mesti tengah hujan lebat mengila.
15.0 PUNCAK GUNUNG BINTANG UTARA (NORTH)
Pergerakkan kami makin lama makin perlahan. Suasana dalam hutan ni agak kelam walaupun jam belum menginjak jam dua petang. Masing-masing hampir tidak bersuara langsung. Mungkin semua sedang menahan sejuk dan menyimpan tenaga. Apa yang aku dapat rasakan adalah kami makin menghampiri ke puncak. Demografi trek ni boleh agak dan dapat kita baca sedikit keadaannya seperti trek dah makin menaik atau mencanak, lumut mossy makin bertambah banyak dan pokok pon makin kurang, dan yang pasti dalam ekspedisi ni tandanya bila dengar ada bunyi mercun. Bermakna, orang depan sampai. Itu tanda yang kami dah pun sampai puncak kedua hari ini.
Inilah puncak gunung baru aku yang ke 216 sudah. Sebenarnya tak sangka pun dah sampai puncak sebab trek agak landai dan bila kami sampai di puncak tu tak macam bentuk puncak gunung. Nasib ada signage je, kalau tak aku pun tak tahu puncak Bintang Utara dekat situ. Puncak pun ada pokok sebatang kat tengah-tengah dan ada signane tergantung kat pokok tu. Paling menarik, ada signage paling lama iaitu dipasang oleh sekumpulan pendaki pada tahun 2006, hampir 20 tahun yang lalu. Jam menunjukkan baru pukul dua petang
Lepas gerak dari air terjun, dekat sejam juga kami berjalan dan hampir sejam juga aku langsung tak bergambar. Hujan beransur perlahan kini. Semua sudah mula mengigil kesejukkan. Aku melawan rasa sejuk untuk mengambil ruang untuk bergambar solo. Selepas semua sampai, barulah kami bergambar secara berkumpulan. Tuhan sahaja tahu betapa deritanya kami kena menahan sejuk sambil menunggu kamera nak di setupkan untuk mendapatkan shot gambar yang lumayan hasilnya.
Hanya 10 minit je kami berada di puncak Semua dah tak tahan sejuk. Semua nak jalan patah balik dah. Ni nak balik ke Simpang Binang ni pun nak kena hadap balik trek yang berjarak lebih dari lima kilometer. Dah pandai datang, pandai-pandailah balik semula sendiri.
16.0: LAST WATERPOINT
Kami semua dah tak tahan sejuk dah. Aku dah tak sabar nak turun, sampaikan tak mahu minum atau makan langsung. Gambar pun tak ambik banyak Paling banyak aku ambik gambar pun 5,6 keping je, yang lain gambar kumpulan. Masing-masing mula bergerak turun. Macam biasa, masa nak balik baru terasa dan perasan trek yang kita naik tadi boleh tahan mencanak naik. Terfikir jugak macam mana boleh naik tadi. Aku berhenti ditengah-tengah jalan disebabkan perut aku tiba-tiba lapar. Aku tak nak berjalan sambil menahan rasa perit dan takut nanti gastrik. Aku mengambil segengam keluar Konjac yang dibeli di kedai Eco semalam dan memasukkan dalam poket seluar. Senang sikit nak ambik. Sambil jalan sambil makan.
Perjalanan pulang makin mudah sebab banyak menurun dan trek pun dah agak clear. Cumanya tak boleh nak laju sebab trek sangat licin, basah dengan bertakung air hujan yang masih renyai-renyai turun dan ada di beberapa tempat yang agak rendah tu, siap jadi air sungai mengalir. Kami langsung tak berhenti berjalan. Dalam kepala aku hanya nak sampai ke Kemsite / Air Terjun / Waterpoint saja. Aku nak cuci seluar dengan kasut yang tak ada rupa. Selut dah menyeliputi hampir semua permukaan seluar. Kaki aku pun dah rasa mengecut, walhal segala dan semua permukaan tapak tangan dan badan pun rasa mengecut kesejukkan.
Pukul 3.30 petang kami sampai di Kemsite dan Waterpoint. Kawasan kemsite sini mengingatkan aku dengan kemsite Kem H20 masa buat Trans Titiwangsa V1, yang berbeza cuma air dekat sini lagi jernih dan bersih. Walaupun Air terjun dari atas sudah 3x ganda besar dari pada size masa kami datang tadi, langsung air dekat bawah ni tak berubah jadi keruh. Yang buat ia keruh bila kami duduk membasuh baju, seluar, kasut dan stoking di tepian sungai. Kalau nak berendam pun boleh sampai paras betis je namun disebabkan suhu air yang sangat sejuk, kami tak boleh berada disitu terlalu lama.
Setelah selesai mengambil wuduk, mencuci dan mengisi air semula (ada yang menunaikan hajat di kawasan lebih hilir) kami naik ke kawasan kemsite yang agak lapang tapi tak boleh duduk ramai-ramai dengan selesa kerana kedudukannya di lereng bukit yang tidak rata. Masa nak sembahyang tu, tak rata nak hampar plastik sampah, sujud pun kena imbangkan badan dan dahi bila nak cecah tanah. Bila dalam hutan ni, tak perlu ada rasa nak terlalu selesa sebab kita dekat hutan.
Hujan masih rintik-rintik. Ada yang dah bukak dapur; masak air panas, air kopi, air tea, maggi dan makan ration masing-masing. Nasi berlaukkan ayam kunyit masih tinggal sebungkus berjaya aku habiskan. Entah kenapa tiba-tiba rasa berselera nak makan. Mungkin disebabkan penangan sambal pedas yang diberi sebungkus seorang oleh Amani masa di Lubok Jong malam tadi membuat aku tak berhenti makan. Atau juga selepas meneguk minum air kopi panas dari yang dihidang oleh Raiskoh membuatkan tekak terasa ingin menelan sesuatu.
Di tepi sungai yang agak besar (kalau dalam hutan tebal ni macam kagum la ada waterpoint dan sungai )
Aku tak tahu kenapa dan mengapa kami perlu berehat terlalu lama dekat Kemsite ni. Keseluruhan masa yang diambil sebanyak 75 minit untuk bergerak semula. Suara hati memang tak sabar nak gerak sebab dah tal tahan sejuk. Aku lebih banyak berdiri dari duduk di atas tanah yang basah sambil mengerakkan mengoyangkan badan dan mengerakkan otot-otat kecil agar terus kekal panas dan tak 'cramps'. Dah join trip orang kita ikut jela, mana-mana ok je bagi aku. Respek dan tak perlu tunjuk pandai.
17.0: SIMPANG BINTANG 2.0
16.45 petang kami mula bergerak semula. Aku yakin semua mesti sudah solat jamak dan qasar atas pada keupaaaan masing-masing. Trek nak naik semula ke puncak view pun boleh mengugat iman jugak. Trek sangat-sangat-sangat licin. Kasut macam dah tak bertapak sebab dah kena makan dengan selut. Ramai yang hampir jatuh tergelincir sebab takda pokok dan akar kayu nak berpaut. Masa ni hanya fikir diri sendiri je macam mana nak lepas naik. Aku ni kira bernasib baik jugakklah sebab ada tongkat kayu nak buat penahan badan dari jatuh. Bila dapat cucuk ke dalam tanah, aku tolak badan naik keatas bersama sebelah kaki yang satu lagi.
Hampir setengah jam kemudian kami sampai semula ke Puncak View dan bila semua dah sampai kami sambung semula untuk menuju ke Simpang Bintang semula.
Kabus yang tebal sekali sekala menyingkapkan pandangan kabur puncak Gunung Bintang North dari permatang yang kami lalu. Kalau cuaca baik dan terang ni, mesti dapat tengok betul-betul yang mana keseluruhan bentuk Banjaran Gunung Bintang yang bersambung dengan Gunung Inas.
Trek nak ke sana tu hampir landai dalam dua kilometer seterusnya. Banyak kawasan yang tadinya kering kini sudah dipenuhi dengan lopak-lopak air yang mana tak ada ruang langsung untuk kami tidak memijak ke dalamnya. Kasut tak rupa kasut. Aku dapat rasa kesejukkan air yang masuk dalam kasut setiap kali lopak baru aku redahi. Kawasan pokok-pokok mossy yang cantik tadi kami lalui semula, tapi langsung tidak kami hiraukan sudah tidak ku hiraukan. Apa yang aku mahu adalah cepat sampai. Aku nak cepat-cepatkan habis misi ni, sampai ke puncak seterusnya dan lepas tu balik. Lagi lama dalam hutan ni, lagi risiko nak hypotermia. Sejuk tak terkata.
Kami pun mula mendaki naik, memanjat batu dan akar-akar kayu yang besar. Aku tau kami makin hampir tiba ke simpang. Pada awalnya aku berjalan di belakang membontoti Alex dan Nahayu hinggalah saat saat akhir aku potong mereka. Aku hanya perasaan yang Nahayu je ikut rapat aku dekat belakang tu tapi Alex macam dah ketinggalan. Bunyi mercun tak jauh sudah berbunyi. Dah ada yang sampai dekat Simpang; Faiz, Rais koh dengan Hafiz dan Hadi dah sampai tu. Kami tiba di Kem Simpang hanya dua minit lagi nak pukul enam petang. Dari anggaran empat jam terlajak jadi 6 jam dah. Hujan sudah berhenti tapi baju masih lembap kebasahan. Hanya kabus tebal menyelusuri laluan kami berada.
Sedang kami melepaskan lelah, Alex membuat keputusan yang amat berat untuk semua terima iaitu tidak meneruskan pendakian ke puncak Bintang Selatan. Beberapa faktor yang telah dipertimbangkan seperti otot di bahagian punggung sudah tercedera akibat jatuh (itulah punca Alex tertinggal jauh sedikit dengan aku tadi). Kalau di teruskan katanya, akan melambatkan perjalanan pasukan kami. Kata Faiz lagi atau dari GXP ada 4km lagi hanya untuk ke Puncak seterusnya. Yang pasti kami memang akan bergerak, dari perginya sampai ke puncak dan pulang semula pasti di malam hari. Kami hanya risau nak biarkan Alex keseorangan. Kes Kematian akibat hypothermia di puncak Gunung Liang seminggu sebelumnya masih belum reda. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi sekalipun anda pendaki berpengalaman
dan mintak-mintak dijauhkan.
Aku ni kalau ikut hati ni memang dah tak sanggup dah nak hadap. Rasa macam nak turun balik dan keluar je tapi bila fikir trip ni akan dapat sekali seumur hidup aku kuatkan semangat. Tengok yang lain pun dah menunjukkan tanda-tanda keletihan. Rasa panas tadi kembali terasa sejuk semula. Berjalan malam-malam ni banyak risiko. Selangkah siang bersamaan 3 langkah malam perumpaaanya. Jarak penglihatan jadi pendek.
Abang Rais buat keputusan nak teman Alex. Dari 10, jadi 8 jer akan meneruskan pendakian. Aku nampak Abang Rais mengutip semula barang-barang yang ditinggalkan di sebalik pokok di Simpang tadi. Masing-masing cuba membantu; ada yang hulur thermal blanket dan bagi walkie talkie sebagai alat perhubungan terakhir kami. Semua takut dan berjaga-jaga tak mau hilang kawan.
Entah kenapa dan bagaimana, dekat setengah jam kami berhenti sebelum sambung semula perjalan menuruni simpang untuk ke puncak terakhir. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang dan hari sudah semakin gelap. Trek kali ni banyak turun naik dan yang pasti berselut, agak berbatu dan sangat berair. Aku hampir tidak menghidupkan lampu headlamp walaupun sudah siap dipasang di leher terlebih dahulu di simpang tadi. Bila betul-betul gelap sahaja nanti aku pasang sebab nak jimat bateri selama dan selagi boleh. Hujan sekejap berhenti dan turun semula. Macam tak ada tanda-tanda akan berhenti terus.
Beberapa minit nak masuk waktu Maghrib kami berhenti. Hampir tiada kawasan yang sesuai untuk kami berhenti rehat, jika lapang hanya dipenuhi lopak air hujan dan dengan keadaan hutan yang makin gelap agak susah untuk mencari kawasan yang sesuai.
kami membuat keputusan tersebut. Aku hanya mengikut saja kat mana nak berhenti. Rasa macam langaung tak duduk lepas bertolak dari waterpoint tadi. Kami hanya nak berhenti untuk bagi laluan waktu Maghrib. Tak elok nak berjalan pada masa senja macam ni.
18.0: KEMSITE SUNGAI RUI & BULUH LAGI
Alhamdulillah, perjalanan kami dimudahkan selama hampir 45 minit seterusnya. Trek yang kami lalui ini menurun sampai kami boleh berlari dan hingga membawa kami ke Kemsite seterusnya iaitu Kem Sungai Rui. Masa turun kami dapat lihat cahaya-cahaya letrik dari sebelah kanan yang ku kira datang dari kawasan perindustrian Kulim dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Aku jadi orang paling belakang sekali dalam posisi kali ni selepas beri laluan pada Isa untuk membantu geng di hadapan untuk menebas. Duduk di belakang sekali ni tak ada seronok mana dan kalau berjalan malam ni janganlah sesekali toleh dan suluh kat belakang kalau tak berani. Cukuplah sekali jadi sweeper masa turun masa maghrib kat YB3B. Berat kaki dengan beg nak melangkah.
Walaupun aku rasa jauh jarak dengan kumpulan yang depan (aku malas nak laju-laju), tapi masih dapat dengar suara dan nampak cahaya-cahaya headlamp dari kepala peserta yang lain.
Aku ingatkan segmen buluh ni dah habis dalam cerita ni, tapi lagi banyak, lagi teruk dan lagi hebat permainan dia. Kalau di Bintang North tu dah rasa banyak, yang ni lagi serabut sampai banyak trek tertutup dan kena tutup dengan buluh. Banyak kali jugak kami kena 'backtrack" sebab tak jumpa trek, padahal trek memang depan je cuma diselubungi dan terlindung di sebalik buluh. Tambahan lagi, bila bergerak waktu malam, kiri dan kanan kita semua terhalang. Aku ucapkan terima kasih dekat semua sebab rajin dan gigih menebas semua buluh-buluh. Alu hanya mampu duduk menunggu di belakang dengan para gadis sambil berborak dan makan kuaci yang dibawa mereka. Aku langsung tak download gpx sebab aku nak biarlah pengalaman yang aku rasai ini lebih asli dan menarik diselangi dengan elemen-elemen kejutan yang tak terduga. Antaranya buluh inilah. Memang betul-betul melampau. Kita ni dahla penat, lepas tu, trek lepas Kemsite Sungai Rui tak bagi diskaun dan, menaik dan mula mencanak. Buluh memang tak habis, macam ladang orang tanam, cuma tak ada orang datang menuai.
Hujan dah boleh diistiharkan sudah berhenti, Namun kelembapan suhu terasa seperti dibawah paras beku. Bila berhenti sekejap je, terus sejuk tu datang. Bila trek menaik, baru rasa panas semula, tapi banyak kali kena berhenti, yelah sebab kena menebas. Target nak sampai sebelum pukul 8 malam memang tak kesampaian. Tak ada siapa berani buat andaian lagi nak sampai pukul berapa. Masih tak ada tanda-tanda nak sampai puncak. Setiap kali kami mendaki naik, kena turun pulak, pastu naik balik.
19.0: PUNCAK GUNUNG BINTANG SOUTH
Perkara yang tak boleh lupa, dah lepas menebas buluh non stop, kami kena merangkak ala komando sejauh 10 meter dibawah semak, timbunan pokok buluh yang terlalu tebal. Kalau di tebas, mau makan masa. Aku agak bernasib baik pakai baju lengan panjang, kalau tak habis berbirat lengam tangan. Paling tak mengecewakan dalam ekspedisi ni adalah payung pink Raiskoh. Betul-betul buat kalis air. Macam mana boleh sampai jugak kat puncak Bintang South ni macam kelakar juga. Geng depan sibuk duk merintis. Bila tengok maps memang puncak berdekatan tapi tak nampak langsung kelibat signboard. Cari punya cari rupanya terlindung disebalik buluh. Tergantung kemas di tinggi di batang pokok
Secara rasminya, sekitar jam 2130 malam kami semua sampai. Maka lengkaplah misi TST kami ni dan puncak ke-217 aku yang baru lagi.
Benda pertama yang kami buat adalah
bergambar berkumpulan dan kemudian secara individu. Rasanya pakai telefon Amani kalau tak silap. Aku tak bukak mana dah telefon. Keadaan di puncak ni macam duduk dekat Kem Helipad; terbuka dan berangin. Nampak dengan jelas nun jauh di sebarang lampu-lampu jalan dan bangunan-bangunan. Rasa macam nak hujan semula dah. Angin kat puncak ni memang kuat, sampai meliuk lentok buluh-buluh. Kami memang tak bercadang nak duduk rehat kat puncak.angin sangat kuat. Kami turun ke bawah sikit, cari tempat berlindung dan rehat melepaskan lelah. Tak banyak aktiviti yang kami buat. Aku sekadar berbaring untuk melegakan pinggang yang sedikit sakit dari tadi (akibat banyak menunduk lalu bawah pokok) sambil memejamkan mata. Hanya menunggu arahan untuk bangun dan pulang.
20.0: BALIK
Rasa dah tak ada apa nak di kejar selain hanya untuk balik. Cuma aku risau trek nak naik dari Kem Sungai Rui ke Simpang balik yang menakutkan. Aku orang paling lambat gerak tapi tak sampai dua minit aku jadi orang paling depan. Sebabnya dorang salah masuk trek. Rasanya trek ke Bintang False kut. Aku tak tanya. Ini adalah antara kepakaran aku dalam hiking ni. Aku jenis boleh cam dan ingat balik trek yang baru lalu. Aku selalu set atau tanda dalam kepala apa-apa 'landmark seperti pokok atau batang kayu yang nampak lain dari yang lain, batu-batuan ataupun keadaan trek yang mudah nak di cam. Masa pergi aku selalu amalkan teknik selalu toleh belakang balik sebab nak kena pasti trek dan agak trek masa balik nanti. Pandangan masa pergi dengan balik tak semestinya sama.
Aku ingat trek datang tadi dari arah lain. Aku cari bekas pokok yang kena cantas dan cam tapak kaki yang tak berapa nak berbekas. 8 orang punya laluan tak cukup. Lagipun trek tak selalu orang masuk. Hanya cahaya headlamp je jadi panduan. Aku jadi lead duduk depan. Masalah aku ni pulak, bila duduk depan, nak laju je. Trek pulak dah clear, dah senang nak lalu. Banyak menurun pulak tu. Banyak kali jugak aku terpaksa memperlahankan kaki sebab aku rasa sedap. Kaki panas, badan pun panas, tapi konsep berjalan malam ni tak boleh berjarak jauh sangat. Macam-macam risiko ada, jatuh guang, masuk lubang, jumpa haiwan buas, sesat, off track dan apa-apa yang tidak sama sekali dinyatakan. Benda yang paling aku tak nak jumpa adalah hantu. Setakat ni memang tak ada rasa-rasa mistik sangat pun.
Sungguhpun perjalanan pulang ni lebih mudah dari datangnya tadi dan kami mengambil masa 2 kali ganda cepatnya untuk sampai semula ke Kemsite Sungai Rui, penatnya bukan kepalang. Mungkim sebab berjalan tanpa berhenti. Asalnya kami nak rehat je dekat Kemsite tu tapi entah macam mana dengan aku sekali terlelap tidur. Aku berjaya dan tengok semua orang masih tidur tanpa tengok jam. Aku sukar nak dapatkan tidur yang selesa bila berlapikkan hanya baju hujan dari sejuk tanah yang mencengkam hingga ke tulang. Aku tidak buat banyak pergerakkan badan, risau kehilangan semula haba yang sudah terkumpul di badan. Bila jam aku menginjak ke jam 12 tengah malam, barulah semua bangun. Adalah mengambil masa yang agak lama untuk semua bersiap-siap disebabkan berat 'mata' dan enak tidur.
Beberapa orang sudah mula bergerak awal iaitu Rais, Hadi dan Faiz. Aku ingin menunggu Nahayu tetapi beliau masih tengah berkemas. Aku sudah tidak tahan sejuk dan bergerak seorang diri sahaja. Cahaya lampu kepala mereka di depan sudah jauh ke hadapan dan lama kelamaan hilang dari pandangan. Aku pula semakin jauh meninggalkan orang di belakang hingga suatu ketika aku memang rasa seperti seorang diri. Aku tetap berjalan dan terus berjalan. Keseluruhan trek ketika ini adalah non stop menaik dan aku mula rasa kaki mulai sakit dan langkah makin perlahan. Apa yang konsisten adalah nafas aku, yang mana aku cuba tidak bernafas menggunakan mulut kerana akan lebih memenatkan.
Apabila tiba di kawasan kami berehat pada Maghrib tadi, aku lebih memperlahankan pergerakkan dan membiarkan Nahayu untuk semakin rapat. Aku jadi agak takut nak jalan seorang diri bila keadaan hutan aku rasa sedikit seram bila lampu cahaya tersuluh dekat pokok-pokok yang ditumbuhi mossy. Seolah-olah ada pembentukkan makhluk dan sedang menunggu serta memerhati disebaliknya. Kabus yang makin menebal menyukar pandangan aku. Aku rasa cahaya lampu yang disuluh dipantul semula. Sukar aku nak lihat trek dihadapan. Banyak kali aku kena berhenti bila ada trek yang mendatangkan kekeliruan. Aku mencari kesan tapak kaki yang sudah hilang dalam lopak air dan bekas pautan tangan pada mana-mana pokok atau batuan yang ada.
21.0 SIMPANG TERAKHIR & PUNCAK
Pukul 12.30 malam kami tiba semula di kawasan yang kami berehat selepas tiba di puncak bintang. Tiga kali kami lalu simpang. Sebelumnya, bunyi mercun pengharapan menandakan orang pertama sudah sampai. Kami berehat sementara menunggu yang lain tiba. Semua masih mampu mengukir senyum ketawa dan berborak. Kejayaaan kami buat Trans TST ni sudah termaktub dalam diari hidup masing-masing walaupun masih belum tiba ke garisan penamat. Aku menghulurkan air kopi sejuk yang masih banyak berbaki dan disambut baik oleh semua. Ramai yang mengemarinya walaupun aku sudah tidak boleh telan. Aku hanya menghisap air 100 plus dari hujung paip water bladder sedikit demi sedikit.
Jam satu pagi kami bergerak semula menuju ke signboard puncak Bintang sebenar. Walaupun kesejukkan, aku tetap ingin mengambil gambar kenangan dan kali terakhir (mungkin) di sini. Ada rezeki aku datang lagi. Kabus amat tebal dipuncak beserta angin yang kuat. Yang aku perasan adalah hujan sudah berhenti sama sekali.
Alex dan Abang Rais ternyata sudah turun awal dari sini. Aku tak pasni bagaimana tetapi itu adalah langkah bijak dari menunggu kami. Paling tidak pun kami bakal berjumpa di mana-mana trek di bawah nanti. Kami memang bergerak amat laju turun. Rata-rata seolah-olah berlari. Aku asalnya tak nak berlari pun, tapi semua dah jauh tinggal satu sama lain. Bila tiba di Kem Bunian, semua tak berhenti. Formasi pergerakkan sudah bertukar dimana aku jadi orang paling akhir. Aku rasa lutut aku sedikit sakit, sakit bila nak turun dari kawasan tanah tinggi. Aku melangkah ikut kemampuan. Aku tak nak tercedera walaupun dua tiga kali jugak kaki terpeleot /terpelecok??.
Sedar tak sedar, aku sudah di depan mengekori Nahayu meninggalkan beberapa orang di belakang (Hadi, Isa, Faiz, Amani dan Syira). Aku tak sabar nak dengar bunyi air terjun. Aku tak sabar nak basuh kasut, cuci seluar, tangan dan kaki. Aku nak solat jamak Maghrib-Isya di pondok nanti. Aku nak salin stocking baru yang aku sengaja bawak lebih. Aku dah tak rasa kaki, aku tau kaki aku dah terlalu kecut. Rasa pedih di tapak kaki, ada pasir dan selut yang sesat sudah masuk dalam kasut.
22.0 AIR TERJUN BINTANG
Semua yang aku mahu lakukan terlaksana hanya bila sampai di kawasan air terjun. Air terjun masih kuat dan besar seperti kami datang awal pagi semalam. Air yang sejuk tetap aku harungi. Dengan berkaki ayam aku berjalan menuju ke pondok yang mana sedang menunggu Alex dan Abang Rais. Mereka sudah sampai pada pukul satu pagi tadi. Abang Rais sedang memasak air panas. Beliau mahu menghabiskan ration. Usai solat, aku menhamparkan baju hujan dibuat lapik dan separuhnya di buat selimut. Yang membuatkan aku amat selesa tidur kali ini adalah rasa hangat stoking yang kering menyelimuti jari jemari kaki.
Pukul 5 pagi kami semua berkumpul dan bersiap-siap untuk menyambung perjalanan pulang yang sejauh 6 kilometer lagi untuk balik. Aku sudah tidak memakai baju hujan. Baju dan seluar sudah hampir kering. Balik ni aku tak risau sangat sebab banyak menurun. Entah kenapa rasa perjalanan ni sangat jauh dan panjang. Nak tunggu sampai bunyi sungai mengalir jauh gila. Mula tertanya-tanya adakah ini trek yang kami lalu semalam. Aku banyak berjalan dengan geng wanita (Nahayu lead).
23.0 TERIMA KASIH DAUN KELADI
Subuh dah tiba dan cahaya fajar mula kelihatan. Hari semakin cerah. Kami berhenti subuh di kawasan tebing sungai yang terakhir. Kemudiaan, aku bergerak berdua dengan menuju ke pintu rimba. Sedar tak sedar, khusyuk berborak akhirnya kami sampai pada 6.55 pagi.
24.0 TAMMAT
Kami bergambar berkumpulan buat kali terakhir. Malang buat aku, sedang tunggu powil reverse, bibir kena sengat dengan penyengat. Ngilu, kebas dan bengkak bibir bahagian atas aku. Terus aku telan ubat allergic dan painkiller. Kami bergerak ke Lubuk Jong semula untuk sesi membersihkan badan. Agak kesal dan tak selesa dengan keadaan tandas yang kurang memuaskan (Satu bintang je aku bagi).
Cuaca pagi di cerah dan buat pertama kali, kami terkena sinaran matahari. Untuk jamuan perpisahan, kami berangkat beramai-ramai menaiki kenderaan masing-masing menuju ke kedai makan di kampung berhampiran. Dari menjadi insan yang asing, kami seramai 11 orang mampu duduk semeja berbual dengan mesra sambil buat post morten eksepedisi selama 26 jam itu.
Yang pasti, aku mungkin tak repeat dalam masa terdekat, tapi kalau geng-geng ni ada dan ajak aku mungkin berfikir untuk ikut serta. Cau.
Terima kasih daun keladi
Ada rezeki kita kembali,

Ulasan
Catat Ulasan