Gunung Korbu & Gayong (KorGa)Trans Titiwangsa V1 Dayhike anjuran oleh Penjejak Gunung pt 3/3

EKSPEDISI TRANS TITIWANGSA V1 DAYHIKE/24H
11 MAC 2017/12 JAMADILAKHIR 1438H
Bahagian 3/3


13.0 SIMPANG PROTON

Destinasi seterusnya adalah antara checkpoint terpenting dalam ekspedisi ini selain Simpang Y di Puncak Junction iaitu Simpang Proton (Kem Perodua boleh ditemui di Gunung Gerah-Bieh-Bilah). Disimpang protonlah menjadi jalan yang memisahkan antara Gunung Korbu dan Gunung Gayong.

Untuk tidak membuang masa kami berlima terus bergerak dari Kem Cerek setelah mengudap sedikit makanan dan minuman. Mula dari sinilah aku perlu membuat catuan air kerana stok air yang tinggal hanyalah lebih kurang satu liter sahaja dan waterpoint seterusnya hanya boleh didapati selepas kami menuruni Gunung Korbu iaitu selepas Puncak Botak yang berbaki kira kira 6 km lagi untuk sampai.

Perjalanan menuju ke Gunung Gayong agak sukar sedikit kerana kami harus berjalan menaik hinggalah sampai ke Simpang Proton dan seumpama bergerak menuju ke Gunung Junction yang mana kami terpaksa melalui banyak puncak tipu. Puncak Gunung Gayong tidak pula berapa kelihatan kerana ditutupi oleh beberapa puncak tipu dihadapannya. Kami sentiasa menyangka bahawa puncak dihadapan kami adalah puncak yang bakal ditawan nanti, namun jangkaan kami sentiasa meleset apabila satu persatu puncak tipu timbul sebaik sahaja kami tiba ke puncak tipu yang lain seolah-olah berganti-ganti tiada henti.

Kepenatan mula terasa dan bahang panas matahari sekalipun sudah berlabuh senja tetap terasa apabila pokok-pokok sepanjang perjalanan menjadi semakin mengecil dan berdaun jarang-jarang serta ditumbuhi dengan pokok-pokok yang agak renek serta rendang. Aku mula merasa kehausan yang teramat dan kami pula semakin kerap berhenti lebih-lebih lagi apabila sudah sampai ke puncak tipu satu demi satu. Peluh jantan yang keluar pula membuatkan bajuku mulai basah sedikit sebanyak dapat menyejukkan badan setiap kali angin menyapa lalu. Setiap kali berhenti, aku pula akan meneguk air semakin kerap demi menghilangkan kehausan dan begitu juga dengan yang lain aku perhatikan. Orang kata minum sekadar melalukan air di tekak dan bukan minum dengan sepuas-puasnya. Sesekali aku lihat Abang Lan sempat mengambil gambar dari kamera yang dibawanya, terasa kagum sungguh aku dengan beliau yang hanya mengantungkan kameranya dileher sejak dari mula ekspedisi tanpa rasa penat atau lenguh. Kalau aku mesti sudah mengomel panjang. Barangkali sudah terbiasa dengan hal yang demikian.

Puncak Gayong hanya kelihatan dari jauh sebelum tibanya kami ke Simpang Y. Apa yang dapat dilihat hanyalah kabus tebal yang menyelaputi puncaknya sahaja. Kami baru berangan-angan ingin bergambar dengan suasana matahari terbenam di puncak tipunya nanti. Matahari pula hilang disebalik awan tebal nanti. Setibanya di Simpang Y, kami tidak pun berhenti disitu mahu hanya mahu berhenti rehat di Gunung Gayong sahaja. Setibanya disitu, untuk ke Gunung Gayong perlu ke simpang kiri dan simpang kanan akan membawa anda (jauh) untuk ke Gunung Korbu.



14.0 GUNUNG GAYONG (2173 meter)

Dari Simpang Proton ke Gunung Gayong hanya berjarak 100 meter treknya yang lebih landai dan kira-kira mengambil masa hanya 5 minit sahaja untuk sampai. Walaubagaimanapun, melalui permatang ke Puncak Gayong tidak semudah yang disangka juga, jalannya penuh dengan becak, lumpur dan lopak yang berair harus ditempuhi jua. Aku sedaya-upaya cuba untuk mengelak dari terkena bukan sahaja kerana takut kotor tetapi kesejukkan disebabkan terkena airnya yang tidak dapat aku tahan sekali. Pokok-pokoknya pula hampir lembap dan dibasahi dengan air yang dibawa oleh kabus-kabus. Stoking yang dipakai sebanyak 2 lapis tetap jua basah dan lembap dipenuhi dengan lumpur segala. Dikala dapat berjalan agak laju dan ingin menawan satu lagi puncak yang sudah lama diidam-idamkan, aku tidak boleh alpa dan perlu juga beringat bahawa dikiri dan kananku adalah gaung yang curam yang hanya ditutupi sekadar dengan pokok pokok renek.

Akhirnya kami sampai juga dipuncak Gunung Gayong selepas 4 minit dari Simpang Proton pada pukul 18.44 petang. Target awal kami adalah untuk sampai ke situ sebelum pukul tujuh ataupun maghrib dapat dilakukan dengan lebih awal daripada yang dijangka. Bagi aku pula, ini adalah satu pencapaian baru dalam bidang pergunungan ini. Gunung Gayong adalah Gunung yang bertaraf G7 ke tiga aku dapat tawan selepas Gunung Yong Belar dan Gunung Yong Yap. Terasa amat bersyukur sekali, impian menjadi nyata. Hanya tinggal Gunung Korbu dihadapan sana yang bakal ditawan nanti yang juga merupakan sebuah gunung bertaraf G7. Secara peribadi, aku bukanlah orang yang mengejar gunung-gunung 'G7' ini tetapi aku lebih menginginkan kejayaan menawannya dicapai dalam cara tersendiri dan biarlah aku sahaja yang tahu mengetahuinya. Pada aku semua orang mampu untuk ke puncaknya biarpun merangkak, berjalan mahupun berlari, yang penting usaha dan jangan berputus asa.

Hari sebenarnya masih lagi cerah dan seorang demi seorang dari kami berlima mula bergambar di signage puncak Gayong tanda kenangan berbekalkan camera Abang Lan sebagai tukang gambar. Gopro yang aku miliki hanya kekal kemas tersimpan sahaja didalam beg. Aku sudah malas ingin mengeluarkannya kerana mengambil gambar menggunakannya tidak akan memberikan hasil yang cantik tanpa kelebihan cahaya matahari di waktu yang kian mengelap ini. Hanya beberapa keping gambar yang mampu aku ambil dan aku cuba senyum semanis mungkin kerana sudah berasa terlalu penat. Aku pula tak ingin apabila pulang ke rumah nanti menyesal tak sudah bila melihat gambar yang kurang menarik. Selepas bergambar kami makan malam pula dengan berbekalkan nasi yang masih berlebihan tadi. Aku cuba mengisi perut seadanya dikala mata masih mampu menatap rezeki yang ada sebelum bergelap nanti. Pengalaman makan diwaktu malam yang gelap bukan suatu pengalaman yang menarik atau mengembirakan langsung. Sambil makan kami semua berbual-bual bagi menghilangkan rasa penat, cuba mengagakkan berapa lama lagi masa untuk sampai ke Gunung Korbu nanti serta masa yang perlu diambil untuk menghabiskan ekspedisi ini. Kami beranggapan bahawa peserta-peserta lain mungkin sudah beredar kesemua dari Gunung Junction dan mungkin akan sampai ke sini selepas Maghrib nanti. Dengan rentak dan jarak kami yang sudah menjauh kini, amat mustahil untuk peserta-peserta lain mengejar dan menyaingi kami. Kejayaan yang kian menghampiri kini mula bermain-main diminda ku. Ah, tak sabar sungguh nak menghabisnya.




15.0 GUNUNG KORBU (2183 meter)



Mungkin ramai beranggapan karangan ini untuk menunjuk-nunjuk atau berlagak. Tidak sedikit berniat aku untuk riak mahupun meninggi diri. Dan harus diingatkan juga bahawa ekspedisi ini bukan bertujuan untuk bertanding siapakah paling cepat dan laju sampai ke puncak atau menamatkanya tetapi objektifnya adalah melakukannya di dalam masa atau kurang daripada 24 jam sahaja. Soal siapa laju atau padu tidak langsung timbul. Oleh kerana itu, tidak pernah terlintas dalam fikiran aku untuk memotong mana-mana peserta dihadapan dan begitu juga dengan peserta-peserta lain. Formasi kami berlima tetap tidak berubah kedudukanya dimana aku kekal berada dibelakang si Fiza sehinggalah sampai di Last Waterpoint nanti manakala Abang Lan dan Amri berada dihadapan sekali.

Jam yang telah menunjukkan waktu 7.00 malam. Tanpa membuang masa, kami mengemas kembali barang-barang untuk bersiap-siap menuju ke Simpang Proton balik dan terus ke Gunung Korbu pula. Aku diberitahu perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 45 minit hingga sejam perjalanan dengan rentak yang santai, tapi aku sedikit khuatir kerana perjalanan diwaktu malam nanti mungkin akan memperlahankan pergerakan seterusnya mengambil masa yang lebih panjang dan lama. Hari yang kian gelap dan matahari pun beransur tenggelam, semua peserta mula memasang lampu kepala masing masing.

Tiada perubahan dari segi formasi dan pergerakan kami masih diketuai oleh Abang Lan. Tiada yang menarik untuk diperkatakan tentang keadaan trek yang nyata agak landai dan lebih santai kerana agak menurun pada mulanya. Keadaan pokok yang lebih banyak bermossy, aku rasa mungkin lebih enak dinikmati sekiranya diwaktu siang. Suasana agak sepi dan tidak seorang pun dari kami bersuara. Kekadang sahaja salah seorang dari kami akan bersuara memberi amaran sekirinya ada lopak air besar, pokok besar atau tunggul kayu yang tajam perlu dielakkan. Dalam diam, kami berhenti sekejap bagi memastikan itu suara 'orang' dan merasakan wajarkah untuk kami menyahut kembali. Setelah beranggapan bahawa itu adalah suara Win ataupun Essay yang mungkin baru sampai ke Simpang Proton atau hanya beberapa jarak jauh dibelakang kami, kami berteriak membalas. Kami kembali menyambung perjalanan sambil berteriak sekali sekala untuk memastikan jarak antara dua kumpulan tersebut. Setelah beberapa detik, telahan kami semua salah, suara teriakan tersebut semakin mendekati dan kuat pula kedengaran membalas. Apa yang memeranjatkat aku, kedengaran dari arah hadapan pula, bukan di belakang secara logik akalnya. Alangkah terkejutnya kami semua apabila muncul dihadapan adalah Win dan Essay. Pada mulanya kami semua agak gembira walaupun agak terkejut kerana berjumpa mereka berdua tetapi aku masih ingat pesan Win padaku sebelum berangkat pergi dari Puncak Junction sebentar tadi. Dengan segera aku memberikan ucapan salam Assalamualaikum kepadanya dan Alhamdulillah, dijawab beliau dengan betulnya. Ia adalah untuk memastikan mereka berdua adalah manusia sebenar dan bukan jelmaan jin atau syaitan, maklumlah diwaktu senja seperti ini sudah sedia maklum akan kejadian-kejadian paranormal bakal berlalu. Ku peluk si Win dan Essay tanda gembira, tidak disangka kata kata gurauan boleh menjadi nyata. Kami agak keliru sedikit memikirkan bagaimana mungkin mereka mampu memintas kami kerana sepanjang-panjang perjalanan kami tiada satu orang pun dihadapan. Setelah diceritakan mereka berdua, barulah kami ketahui cerita sebenar yang mereka tidak sampai ke Gunung Gayong dan membuat 'cut off' sebaliknya. Itu tidak menjadi masalah buat mereka yang aku rasakan mungkin telah beberapa kali menyertai mana ekspedisi untuk sampai ke sana.

Keriuhan tersebut berakhir tidak lama kemudian apabila kami menyambung kembali perjalanan. Kami bercadang untuk berhenti disuatu kawasan yang lebih lapang nanti bagi menghormati waktu maghrib yang telah tiba ini. Tepat jam 7.40 malam, kami berhenti rehat untuk sementaranya disuatu puncak tipu dan tidak beberapa lama kemudian, muncul pula si Win dan Essay berdua. Kerana terlampau penat, aku tertidur disebabkan terlalu mengantuk. Aku duduk secara bersila bagi mengumpul haba kerana mula terasa sejuk dengan beg sandangku dibuat bantal tidur. Larangan tidur diwaktu maghrib sama sekali aku tidak hiraukan lagi. Agak lama juga kami berhenti dan aku hanya dikejutkan oleh Poi untuk beredar pergi. Tanpa membuang. Kami menyambung kembali perjalanan dengan berlatarkan langit yang begitu cerah dan bulan yang hampir penuh bersinar seakan akan turut akan meraikan kejayaan kami ini nanti. Apa tidaknya, Puncak Gunung Korbu semakin menghampiri dihadapan.

Semakin lama headlampku mula berkurang cahayanya dan bertambah malap, padahal aku baru sahaja membelinya dan telah mengecas penuh baterinya pula. Berkali-kali aku menukar bateri simpanan namun hasilnya tetap mengecewakan. Ianya akan terang untuk beberapa minit dan kembali malap kemudiannya. Dikala itulah aku mula berfikir yang bukan-bukan lagi (harap-harap tak kena 'game') Bagaimanapun, aku mungkin amat bernasib baik pada malam itu kerana sinaran pantulan bulan sangat terang amat seolah-olah turur membantu aku menyuluh jalan sepanjang-panjang perjalanan itu. Trek yang dilalui menjadi sedikit cerah dan seolah-olah warna tanah dapat aku lihat berbeza permukaannya tetapi ianya bukanlah benar-benar satu pengalaman yang menyenangkan bagi aku dikala perlu bergerak sehampir mungkin dengan teman-teman dihadapan kerana takut tertinggal jauh pula.

Bergerak menuju ke Puncak Korga tidaklah semudah yang disangka. Trek yang kebanyakkan terus menaik disuatu kawasan serta agak ber'roller coaster' juga membuatkan kami cepat berasa keletihan dan memerlukan kami berhenti dengan lebih kerap. Namun aku sudah berazam untuk tidak meneguk air setitik sekalipun selagi tidak sampai di Puncak demi meraikan kejayaannya nanti. Lebih mengembirakan kami apabila dari jauh kami nampak beberapa cahaya lampu dari Puncak Botak agaknnya dan tidak dapat dipastikan sama ada para pendaki berkenaan akan menuju naik atau bergerak turun kerana cahaya lampu tersebut hilang serta merta disebalik gunung sebaik sampainya kami ke Puncak Gunung Korbu nanti.

Kami menjangkakan akan tiba di puncak Korbu nanti pada pukul 9 malam nanti dan sebenarnya berjaya berbuat demikian lebih awal sepuluh minit dari jangkaan sebelumnya. Alhamdulillah, pada pukul 8.50 malam, akhirnya kami tiba jua ke Puncak Gunung Korbu yang aku diidam-idamkan selama ini. Aku berasa amat tidak percaya sekali kerana mampu sampai jua disini dan ternyata dalam pada cara yang amat benar-benar istimewa dan berbeza sekali pencapainya. Setibanya aku di puncak, tiada yang dapat aku terbitkan rasa bersyukur yang tak terhingga kepada-Nya. Aku hanya mampu memanjatkan rasa kesyukuran dan bersujud syukur diatas rerumput yang dibasahi oleh titisan embum malam itu. Terasa sayu dihati kerana puncak yang diidam-idamkan selama ini dapat ditaeab jua. Kami semua berpelukan antara satu sama lain dan perasaan sebak bercampur gembira menyelubungi perasaan aku ketika itu. Mana tidaknya, dengan segala kepayahan, keperitan dan kesakitan yang ditempuhi (kaki aku masih lagi terasa sakitnya dan kesakitan semakin terasa setiap kali aku cuba melangkah) tetap aku gagahi dan cuba menutup rasa tersebut dari pengetahuan sesiapa. Begitu jua luka tangan yang terkena buluh tadi, denyutan sakitnya hampir hilang tetapi sekiranya aku cuba membuka telapak tangan yang bersarung itu, peritnya hanya tuhan sahaja yang tahu saat itu. Sehinggakan aku terpaksa menggunakan tangan kiri untuk bersalaman kerana darurat yang dialami. Aku cuba membuka sarung tangan untuk keadaan luka dan aku dapati darah beku merata-rata ditapak tangan sudah kering. Lebih mengerikan, dijari tengahku aku melihat keadaannya agak dalam sehingga menampakkan isinya yang berwarna putih semasa ku cuba menyuluhnya dengan cahaya headlamp malapku. Tak dapat aku bayangkan berapa lama masa untuk luka itu sembuh nanti, yang hanya ku tahu, pasti malam-malamku akan ditemani dengan denyutan kesakitan sepanjang malam. Semoga tidurku lena hendaknya dan sudah pasti ubat penahat sakit menjadi gula-gulaku harianku.

Win dan Essay tiba lama beberapa kemudian. Kami sama-sama meraikan kejayaan sekali lagi. Aku sudah kepenatan terbaring di atas tanah dan mula menyarungkan baju sejuk ke badan. Kesejukan mula terasa mencengkam hingga ke tulang-belulang. Tidak banyak yang kami bualkan kerana semua melayan perasaan masing- masing. Aku masih ingat Fiza yang duduk berhampiran sekali denganku sudah lena terbaring.

Bagi diriku, ini adalah gunung bertaraf G7 yang ke 4 telah aku berjaya tawan setakat ini dan apa yang lebih istimewa, ke semunya aku berjaya melakukannya secara dayhike atau dibawah masa 24jam yakni sehari. Keadaan puncak Korbu tidak dapat aku terangkan dengan lebih lanjut bagaimana rupanya kerana aku tidak mempunyai waktu yang cukup untuk melawat kawasannya sekelilingnya. Aku pun tidak berapa berminat ingin bergerak ke sana-sini melihat keadaanya. Apa yang dapat aku lihat adalah sebuah signboard besi kuning yang bertuliskan 'Mount Korbu' beserta ketinggiannya yang biasa aku lihat dalam gambar-gambar pendaki lain yang telah sampai ke sini dan 2 batang bendera terpacak teguh bendera Negeri Perak dan si Jalur Gemilang semestinya. Aku berfikir apa salahnya kalau 'signboard' tersebut ditulis kesemuanya dalam bahasa kebangsaan dan aku pasti rata-rata pendaki yang sampai ke puncak semestinya warganegaranya sendiri.

Suasana yang gelap dan sejuk menyukarkan lagi pergerakkan masing-masing untuk ke sana sini. Terasa amat puas sekali yang tidak dapat aku gambarkan dengan kata kata mahupun untuk digarap dengan tulisan disini. Kepuasan dapat mengapai kejayaan yang jarang-jarang dicapai dan dimiliki aku pasti bakal dicemburui ramai nanti. Bertambah teballah 'resume' aku nanti dan semoga aku dijauhi dari segala perasaan riak dan bangga diri nanti. Aku hanya bergambar tiga keping sahaja kerana mood untuk bergambar sudah lari jauh. Orang kata, asal ada gambar di puncak atau signboard sudah pun mencukupi untuk buat kenangan nanti. Sebungkus nasi yang masih ada tidak pun aku berasa untuk menjamahnya. Aku hanya menelan beberapa biji asam dan meneguk air sebanyak mungkin demi meraikan kejayaan. Sememamgnya selepas berhenti berehat ketika waktu maghrib tadi, aku sebenarnya telah bernekad untuk tidak meminum air langsung selagi tidak sampai ke Puncak Korga. Dan kini aku mampu tersenyum sendiri kerana berjaya melakukanya walaupun cara tersebut agak bodoh walhal mungkin memakan diri sendiri jika tidak dapat dikawal. Dengan berbuat demikian, aku sebenarnya cuba menguji diri dan salah satu cara untuk aku memaksa diri agar terus bertahan dari segi mental terutamanya dan tidak kurang fizikal juga agar tidak mudah mengalah kerana kesusahan pasti akan berbuahkan kejayaan jika berusaha.



16.0 TANGGA CHUBAN & PUNCAK BOTAK

Kami berada di puncak Korbu selama lebih kurang setengah jam sebelum meneruskan perjalanan yang masih berbaki lebih kurang 11 kilometer lagi. Kami bertujuh bakal bergerak turun untuk menuju ke Chuban dan seterusnya bakal 'regruop' kembali di Puncak Botak pula. Sebanyak 14 anak tangga besi kesemua yang berbeza dari segi panjang pendeknya perlu kami tempuhi terlebih dahulu sebelum tiba ke Puncak Botak nanti.

Semasa di Puncak Korbu aku cuba mengenalpasti masalah headlamp tetap menemui jalan buntu dan hasilnya gagal. Lampu kepalaku tetap malap walaupun aku telah menukarkan kepada bateri baharu sekalipun. Hendak tak hendak, terpaksa juga aku menggunakannya walau apa cara sekalipun. Aku menghadapi kesukaran untuk berjalan turun apatah lagi tahap kecerunan yang menurun hingga mencapai 90 darjah cerunnya. Walaupun agak malap, aku masih lagi dapat menggunakannya. Sebenarnya, keadaan langit yang sangat benderang pada malam itu sedikit sebanyak membantu aku untuk bergerak. Dalam kepekatan malam yang amat itu, mataku masih lagi boleh nampak trek dan setiap kali aku merasakan jalan yang dilalui agak berbahaya, aku akan berhenti sekejap dan menyuluh dengan lebih dekat untuk mengetahui keadaan trek tersebut samaada bahaya atau tidak.

Formasi kami masih sama dengan aku berada dibelalang Fiza dan Poi masih tetap berada dibelakang aku lagi. Sesekali Poi tertinggal dibelakangku dek kerana aku yang cuba mengejar Fiza dihadapan. Aku cuba bergerak serapat mungkin dengan beliau adalah bertujuan ingin memastikan setiap langkah yang dilaluinya dapat aku perhatikannya demi mengelakkan aku memijak di salah tempat berikuta lamu kepala yang juga sudah malap. Aku mungkin berisiko untuk mendapat kecederaan atau kemalangan agak jarak pandangan aku hanyalah sejauh kurang daripada satu meter. Aku cuba mengira berapa jumlah kesemua tangga semasa menuruni Puncak Chuban itu namun 'lost count' jua. Dua peserta di hadapan sekali iaitu Abang Lan dan Amri sudah pun tiba di Puncak Botak apabila melihat cahaya lampu tidak bergerak kelihatan dari atas. Aku sudah jauh tertinggal dari mereka nampaknya disebabkan oleh pergerakanku yang agak terbatas dan aku tetap jua cuba bergerak dengan sepantas mungkin.

Pada pulul 10 malam, aku tiba di Puncak Botak bersama-sama yang lain. Kerana kehausan yang amat, aku terus meneguk kesemua air yang ada setelah diberitahu bahawa waterpoint tidak jauh lagi dari sini. Perjalanan menurun nanti hanya akan mengambil masa lebih kurang 30 minit hampir keseluruhan menurun sahaja. Berbekalkan dengan informaai tersebut, aku berharap tidak akan tertipu kerana perbuatan aku mungkin memakan diri sekiranya sumber air tiada disana nanti. Bukan tidak mempercayai tetapi apa saja boleh terjadi bukan.

Setelah kesemuanya sampai di puncak botak, kami mengambil sedikit masa untuk berehat. Namun apa yang mencuri tumpuan kami adalah dari Puncak Botak ini kami melihat terdapat dua cahaya lampu nun jauh dari atas Puncak Korbu sedang bergerak turun. Tidak dapat dipastikan siapa mereka tersebut dan kami semua berteka teki antara suatu sama lain. Aku agak yakin salah seorang tersebut adalah Ayie kerana beliau adalah orang terakhir yang kami tinggalkan di Puncak Junction dan seorang lagi masih lagi menjasi misteri (Kehadiran mereka hanya dapat diketahui setelah sampai di Kem Kijang; Bab 17).


17.0 LAST WATERPOINT

Kami tidak bercadang untuk menunggu kedua peserta tersebut sampai untuk ke situ kerana jarak mereka masih agak jauh. Mereka juga perlu menempuhi kesemua anak-anak tangga yang ada sebelum sampai kepada kamidi bukit. Kami terus mara menuju ke checkpoint seterusnya iaitu bakal ke kawasan waterpoint terakhir pula (jika sekiranya anda memasuki dari pintu masuk Gunung Korbu dahulu). Tidak banyak dapat aku ceritakan sini; perjalanan turun agak membosankan kerana hanya perlu bergerak turun sahaja. Setelah suku jalan bergerak, aku sudah hampir hilang sabar dengan headlamp. Apa tidaknya, sudah tak terkira banyak kali aku tersadung dan hampir jatuh kerananya. Dengan memakai sandal, aku perlu lebih berhati-hati agar jari-jari kakiku tidak terlanggar batu ataupun tunggul disepanjang trek. Masih terbayang aku rasa sengal-sengal kesakitan apabila melanggar sesuatu dihadapan akibat 'wrong step'.

Aku akhirnya berhenti seketika umtuk menunggu Poi dibelakang dan cuba bertanyakannya sekiranya beliau ada membawa headlamp lebih daripada . Sedikit kecewa rasanya apabila mendengar jawapan tiada daripada beliau. Mungkin merasa kesian kepada aku, beliau pula cuba bertanyakan kepada dua peserta dibelakangnya iaitu Win dan Essay soalan yang sama aku tujukan. Aku sebenarnya tidak berapa mengharap kerana tidak mahu menyusahkan orang, apatah lagi tidak ingin orang beranggapan pada aku tidak membawa dan menyediakan peralatan yang secukup dan selengkapnya sebelum pendakian. Bagaimanapun, sungguh tidak ku sangka apabila Win menghulurkan headlamp tambahan yang dibawanya kepada aku. Segan juga ingin menerimanya pada mulanya, tapi kerana memikirkan tidak mahu perjalanan aku menjadi lebih lambat, aku harus menebalkan muka mengambilnya. Lampunya agak terang dan itu sudah memadai bagi aku berbanding headlamp 'tak guna' ku itu dan berasa semakin selesa selepas memakainya.

Setiap langkah yang ku hayun semakin lama semakin laju aku rasakan. Aku kembali dapat mengejar Fiza dihadapan yang sudah terlalu jauh meninggalkan aku tadi. Selepas 40 minit kemudian, aku dan yang lain-lain akhirnya sampai di waterpoint yang di sebut-sebut. Disitu terdapat sebatang anak sungai yang tidak besar manapun tetapi air mengalir agak deras dan terdapat juga sebuah air terjun yang anggarkan berketinggian lebih kurang 4 ke 5 meter tinggi sahaja. Untuk sampai ke anak sungai tersebut, kami perlu turun ke bawah lebih kurang 15 meter untuk mengambil air pula. Aku yang sudah terlalu kehausan tanpa melengahkan masa terus menuju ke anak sungai itu dengan meninggalkan beg terlebih dahulu. Selepas meneguk air sepuas-puasnya, aku mengisi pula air di dalam botol hijau berjenama Tupperware 1.5L yang dibawa. Dibubuh pula didalamnya beberapa keping asam masin bagi menambah rasa dan menghilangkan rasa payau air sungai juga.

Selepas cukup berbuat demikian, aku perlu naik kembali keatas kerana kawasan tersebut tidak dapat memuatkan ramai orang dan aku perlu memberi ruang kepada yang lain untuk mengambil air pula. Setibanya diatas, aku terus melelapkan mata sekali lagi. Lebih daripada sehari aku langsung tidak tidur dan mataku tidak dapat bertahan lagi, begitu berat seolah-olah dihempap batu. Aku sudah tidak dapat membukanya lagi. Sewaktu dikejutkan dari tidur oleh Poi, kesemua peserta telah pun meninggalkan pergi kami berdua. Kedua-dua peserta dibelakang pula masih belum muncul lagi dan masih menjadi agak misteri serta tanda tanya. Rasanya mungkin telah sampai di Puncak Botak agaknya.


18.0 KEM KIJANG

Jarak antara last waterpoint tersebut dengan Kem Kijang tidak sampai satu kilometer pun. Dengan formasi yang sudah pun berubah, pergerakan aku pula semakin perlahan aku rasakan. Rasa mengantuk masih lagi berbaki dan lutut pula terasa sakit dan sengal-sengal sekali. Keadaan trek yang lebih kering dan agak luas untuk dilalui berbanding sebelumnya. Akan tetapi perlu berhati-hati kerana akar dan banir pokok yang agak besar dan banyak berselirat kadang kadang dihalangi oleh beberapa batang balak lama dilaluan treknya tidak harus diambil mudah. Sepanjang perjalanan kedengaran bunyi sayup-sayup anak sungai semakin lama semakin kuat kedengaran menandakan kami semakin hampir untuk sampai ke Kem Kijang.

Dari kejauhan, kami dapat lihat begitu banyak cahaya lampu dari kawasan perkhemahan tersebut. Aku dan Poi sebenarnya sudah sedia maklum bahawa beberapa teman pergunungan yang lain akan turut serta bermalam di situ. Kami berdua mula menyahut memanggil mereka dan panggilan kami pula kembali disahut. Aku yakin mereka pun bersedia untuk menerima kehadiran kami. Akhirnya, kami tiba di Kem Kijang 5 minit sebelum jam menginjak ke waktu 12 tengah malam. Rupanya sudah 18 jam lebih kami 'on trek' setakat ini.

Di suatu tapak perkhemahan yang dihuni oleh mereka, kami menumpang berehat sementara kerana ianya agak berdekatan dengan sungai disitu. Aku tidak berhajat untuk menambah air minuman kerana bekalan sebelumnya lagi masih mencukupi. Beberapa teman baru disitu juga menawarkan kami untuk makan tapi aku menolaknya dengan lembut kerana masih belum terasa lapar, tetapi aku pula meminta sekiranya mereka mempunyai kopi panas kerana aku sudah terlalu mengantuk. Aku sedikit rasa kecewa kerana mereka tidak mempunyainya dan perlu membuka dapur untuk memasak air dan membuat air kopi. Bagaimanapun, aku menolak sekali lagi tawaran mereka untuk menunggu mereka memasak air untuk aku. Rasanya tak berbaloi langsung untuk aku menghirup secawan kopi dan sudah tentu menyusahkan mereka pula. Aku memberi alasan bahawa kami tidak mahu menunggu dan agak mengejar masa. Masa hanya berbaki kurang 6 jam lagi untuk lengkap 24 jam dan masa yang ada ini perlu digunakan dengan sebaik mungkin agar kami semua mampu sampai ke destinasi yang ditujui dalam masa yang diharap-harapkan.


19.0 KEM SEROJA

Berehat di Kem Kijang tidak mengambil masa yang lama untuk kami berada dan perjalanan di sambung kembali menuju ke Kem Seroja pula. Hanya dua km perjalanan menuju ke Kem Seroja yang bakal menjadi checkpoint yang terakhir dalam ekspedisi ini sebelum sampai di kawasan penamatnya nanti. Kami perlu melalui beberapa batang anak sungai sepanjang perjalanan tersebut dan ianya tidak menjadi halangan kepada aku. Berkelebihan memakai sandal membuat aku mampu berjalan merentasi anak sungai dalam keadaan basah sekalipun malah aku mampu bergerak mengharungi sungai dengan lebih pantas daripada yang lain. Tambahan lagi, aku tidak perlu bersusah payah untuk membuka atau menyarung kembali sandal apabila sampai di tebing sungai.

Baru beberapa minit kami bertujuh bergerak pergi dari Kem Kijang, kami terdengar beberapa suara kecil memanggil-manggil dari belakang. Ku sangkakan teman-teman di tapak perkhemahan tadi yang memanggil kami, mungkin ada di antara kami yang telah tertinggal barang di tempat tadi. Pada mulanya aku tidak menghiraukannya kerana yakin bahawa aku tidak meninggalkan satupun barang aku apetah lagi semasa berehat tadi aku langsung tidak membuka begku. Rupa-rupaya si Ayie dan satu-satunya peserta wanita tunggal dalam ekspedisi V1 ini iaitu Cino yang memanggil-manggil kami tadi. Mereka bergerak agak pantas mengejar untuk bersaing bersama-sama dengan kami. Rupanya cahaya lampu headlamp mereka berdualah yang kami nampak sedang menuruni Puncak Korbu tadi (Bab 16). Kami memberitahu mereka bahawa kami semua tidak lagi mahu berpecah dari kumpulan ini dan semua akan bergerak seiring bersama-sama tanpa ada yang ketinggalan. Ini kerana kami tidak mahu tersesat atau terlajak keluar dari trek terutamanya apabila sampai di Kem Seroja nanti yang dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan kepada peserta yang belum biasa dengan treknya. Bagi aku yang belum pernah sampai ke situ lagi adalah lebih baik untuk aku mengikut sahaja nasihat mereka yang lebih berpengalaman dan tidak mahu menyusahkan sesiapa pula.

Akhirnya kumpulan kecil kami berjumlah sembilan orang kesemuanya dengan kehadiran Ayie dan Cino, perjalanan pula menjadi sedikit meriah sambil mereka menceritakan pengalaman mereka yang bergerak berdua sahaja s dari Puncak Junction. Tambah mereka, sewaktu meninggalkan Puncak Junction, peserta-peserta lain belum lagi tiba ke situ dan masih berada agak jauh dari dibelakang mereka. Kami bertanyakan bagaimana mereka boleh sampai kepada kumpulan kami dengan agak pantas dan mereka memberitahu yang mereka hanya berehat sekejap sahaja di setiap checkpoint atau suatu puncak demi mengejar misi 24 jam dayhike yang sama.

Kami tiba di Kem Seroja pada pukul 1.11 pagi. Mengikut perkiraan, kami mengagakkan bahawa kami mampu sampai ke pintu masuk atau starting point di Gunung Korbu sama ada sebelum pukul 4 atau 5 pagi berdasarkan pada tahap kelajuan pergerakkan kami dan keadaan trek yang lebih santai dan mudah ini. Pada saat ini, aku sudah nampak harapan untuk menamatkan ekspedisi dibawah masa 24 jam ini kembali bersinar dan bakal menjadi semakin pasti. Tidak dapat aku gambarkannya bagaimana perasaan dan pengalamannya sekiranya aku berjaya melakukannya nanti.

Kem Seroja merupakan sebuah kawasan perkhemahan yang amat luas dan agak selesa sekali kawasannya. Kemudahan yang disediakan disitu pasti membantu para pendaki yang tiba yang mana tidak dapat diperolehi di tempat atau gunung lain. Itu berdasarkan maklumat yang dinyatakan di pada papan tanda yang terpacak disitu, namun tahap kepuasan, kualiti infrastruktur dan kepenggunaannya tidak dapat aku terangkan kerana tidak nampak keseluruhan kawasan tersebut. Tidak banyak masa yang kami ambil untuk berehat. Aku bergerak ke kawasan semak agak jauh dari yang lain untuk membuang air kecil dan seingatku kali terakhir aku berhadas kecil adalah 4 jam yang lalu iaitu di Puncak Gunung Korbu sahaja. Perit sedikit aku rasakan dan aku yakin warnanya pasti sangat pekat disebabkan kekurangan cecair didalam badan. Proses perkumuhan yang lebih banyak terjadi semasa perpeluhan membuatkan badanku menjadi cepat terhidrat dan aku harus mengantikan jumlah air di dalam badan nanti secepat mungkin.

Selepas berhenti di Kem Seroja, kami memutuskan untuk tidak lagi berhenti lama sepanjang perjalanan. Aku pun sangat bersetuju kerana jika lagi banyak berhenti aku rasa akan membuatkan aku lagi cepat penat dan setiap kali berhenti rehat dan membuatkan aku mahu tidur sahaja. Kami akan menuju ke kawasan air terjun yang terkenal dengan batang balaknya disitu nanti.


20.0 MISSION ACCOMPLISHED

Menuju ke air terjun pula tidak semudah yang disangka. Trek yang adakala turun berganti pula dengan pendakian turut memerlukan aku mengerah hampir kesemua sisa-sisa tenaga yang masih berbaki. Trek kali ini dipenuhi dengan pokok jenis palma yang duri dan agak berakar semasa menuju ke air terjun tersebut. Setiba di kawasan terjun adalah pada pukul 1.55 pagi. Kami berhenti rehat sebentar disitu kerana ada yang ingin mengambil air dan melihat air terjun tersebut. Yang istimewanya mengenai air terjun disitu adalah terdapat sebatang pokok balak yang telah mati tumbang di tengah-tengah air terjun tersebut dan sedikit sebanyak memberikan impak yang agak dramatik kepada pesekitarannya. Aku tidak bercadang untuk bergambar mahupun ke gigi air. Hanya mampu duduk berdekatan sambil memejamkan mata menanti masa untuk bergerak lagi kembali sahaja.

Masih berbaki tiga kilometer lebih untuk menamatkan perjalanan, kami masih mampu bergerak secara berkumpulan secara serentak, jarang sekali kami berpecah antara satu sama lain. Makin banyak pula anak sungai yang perlu di harungi dan ini mengingatkan aku pada ekspedisi mendaki Gunung Yong Yap-Bubu-Tok Nenek pada tahun lepas. Kedua-dua kakiku menjadi sangat kembang kerana kasut dimasuki air oleh kerana aktiviti meredah sungai yang terlalu kerap berlaku. Makin lama anak sungai menjadi semakin besar. Kami melalui jalan disepanjang tepi sungai dan adakala perlu meniti batang beberapa batang balak untuk melepasi sungai tersebut. Aku tidak tahu apalah nama sungai tersebut, yang pasti ianya mengalir menuju ke pintu masuk Empangan Korbu.

Secara keseluruhan, pergerakan kami tersangat santai dan bersahaja dalam pada itu kami tetap tidak lupa untuk memastikan bahawa kami masih berada dalam waktu yang ditetapkan. Apabila kakiku mula melangkah ke ruang jalan yang ternyata semakin luas yakni kawasan jalan keluar masuk kenderaan berat atau pacuan empat roda ataupun kebiasaan dipanggil trek balak oleh kebanyakkan pendaki, aku yakin yang kami semakin hampir tiba ke kawasan penamatnya. Seorang demi seorang mula bergerak semakin pantas. Aku dan Poi yang berada dibelakang sekali berjalan akan sedikit ketinggalan daripada kumpulan di hadapa kerana mahu memastikan yang Cino dihadapan kami tidak tertinggal oleh yang lain pula. Pergerakannya mula perlahan selepas turun dari air terjun dan berkali kali beliau meminta maaf kerana membuatkan kami bergerak sedikit perlahan. Aku sedikit pun tidak rasa terkilan mahupun kecewa kerana apa yang aku lebih pentingkan adalah keselamatan masing-masing untuk keluar dengan selamat dan masa adalah merupakan hanya bonus nanti.

Tepat jam 3.40 pagi, Aku, Poi dan Cino akhirnya sampai di kawasan penamatnya yang merupakan kawasan meletak parking kenderaan masuk ke Gunung Korbu, manakala yang lain sampai sedikit awal sebelumnya. Kawasannya adalah agak lapang, dipenuhi berumput yang tumbuh pendek tetapi di penuhi banyak batu-batu kecil itu menjadi tempat kami berkumpul.

Setibanya di kawasan penamat tersebut, aku sekali lagi hanya mampu bersujud syukur sahaja. Terasa amat bersyukur dan tersangat gembira walaupun amat keletihan kerana dapat menamatkan misi yang begitu getir sekali. Akhirnya kami berjaya melakukannya. Kami saling menyalami dan berpelukan antara satu sama lain. Aku menjerit kegembiraan, terasa begitu puas dan tersangat bangga pun ada. Begitupun, masih ada suatu perasaan yang memang tidak dapat aku diungkapkan langsung ketika itu. Langit yang amat terang di sinari bintang dan bulan pula seolah-olah turut menyambut kejayaan kami ini. Terasa suasana begitu bening sekali dengan ditemani oleh deruan bunyi air sungai tidak jauh dari situ.

Seramai sembilan orang daripada 18 peserta berjaya menamatkan ekspedisi trans titiwangsa V1 dibawah masa 24 jam ini dengan penuh jaya dan gemilang sekali. Kami sempat berbual-bual sambil berbincang sekali lagi dimanakah yang lain mungkin berada. Aku mengagak yang lain mungkin akan keluar di luar masa yang diharapkan. Semasa kami bertujuh berada di Puncak Botak hanya Cino dan Ayie tiba di Puncak Korbu selepasnya dan tiada lagi peserta lain mengikuti mereka dengan lebih dekat. Namun kami tetap berharap yang lain akan keluar dengan selamat dan kesemuanya mampu juga melakukan catatan masa yang terbaik buat diri masing-masing nanti.


21.0 NAIK MOTOR & NASI LEMAK

Kerana kepenatan yang teramat, seorang demi seorang mulai terlena tidur. Kesejukkan tidak menghalang kami langsung untuk berbuat demikian. Aku memilih di suatu kawasan yang agak kurang berbatu disisi jalan dan beralaskan dengan menggunakan plastik sampah berwarna lutsinar yang dibawa. Aku menyaluti tubuh dengan baju sejuk dan menggunakan sehelai poncho untuk menyelimuti bahagian bawah kaki pula. Beberapa kali aku terkejut bangun untuk mengubah kedudukan badan kepada tempat yang lebih selesa. Tidur di atas tanah yang berbatu dan dingin ini membuatkan aku teringatkan katil dan bantal yang lebih selesa di rumahku. Namun apa yang aku harapkan ketika ini adalah dapat melelapkan mata selama mana yang boleh dan menanti ketibaan pagi yang hampir menjelang tiba untuk keluar pulang pula.

Aku tidak pasti jam berapa aku bangun untuk bersolat. Yang pasti kewajipan sembahyang tetap harus dilakukan walaupun dimana-mana kita berada dan tidak menjadi alasan untuk meninggalkannya. Aku tidak lupa yang aku masih belum menunaikan solat Maghrib dan Isya' lagi yang mana aku boleh melakukannya secara jamak dan qasar. Kesejukkan yang mencengkam dan kesakitan tapak tangan akibat luka masih lagi terasa. Justeru itu, sarung tangan masih tidakku dapat menanggalkan kerana dengan memakainya adalah satu-satunya cara yang dapat mengurangkan kesakitan ketika ini. Konsepnya tidak dapat aku terangkan bagaimana ianya bertindak namun ternyata caranya berhasil. Aku sekadar mampu bertayamum dan hanya mampu bersolat secara duduk. Bersolat duduk menjadi pilihan terbaik buatku kerana kesakitan dikangkang mungkin memudaratkan pergerakkan amali solatku. Begitu juga semasa bersolat Subuh, aku hanya mampu melakukan sedemikian rupa. Tiada siapa bertanya aku akan apa sebabnya, hanya Tuhan yang tahu azabnya yang aku rasakan.

Usai bersolat subuh, hari masih lagi gelap dan aku menyambung kembali tidur. Begitu juga teman-teman yang lain. Kami telah dikhabarkan oleh Abang Hani akan ada motosikal yang diupahnya bakal membawa kami keluar seorang demi seorang nanti. Walaubagaimanapun, ianya hanya akan tiba setelah pukul 9 pagi nanti apabila pintu masuk ke empangan dibuka diwaktu yang ditetapkan itu sahaja. Peserta-peserta lain masih belum muncul-muncul tiba dan membuatkan kami agak kerisauan. Jam sudah melepasi waktu lebih daripada 24 jam.

Memang benar penantian suatu penyeksaan. Kami hanya kembali bangun tidur apabila dikejutkan oleh bunyi beberapa biji motosikal hadir dikawasan lapang tersebut. Muncul 3 orang anak muda yang aku sudah lupa namanya siapa mengenalkan diri mereka siapa dan salah seorang dari mereka tiba-tiba mencari aku dan mengatakan bahawa si Angah sedang menungguku diluar pagar masuk ke empangan. Rupanya Angah ada mengirimkan kepada mereka untuk membawa masuk beberapa bungkus nasi lemak kepada kami semua untuk dimakan. Aku berasa begitu terharu dengan pergorbanan Angah dan sungguh beruntung memiliki teman yang begitu banyak membantu didalam menjayakan ekspedisi ini. Tidak terlintas sedikit pun dihati aku yang Angah akan berbuat demikian. Apa yang ku ingati lagi aku hanya berpesan kepadanya untuk menunggu kami hanya pada pukul 9 pagi diluar pagar. Menurut Angah, setelah menghantar kami di Cameron Highlands, beliau telah bergerak pergi menuju ke Bukit Kledang untuk didakinya keesokan pagi setelah berjanji dengan seorang lagi teman iaitu Farez yang juga seorang kenalan rapat dalam Team Seladang.

Setelah dapat menjamu selera, Kami semua berangkat pulang keluar dari kawasan tersebut akhirnya satu demi satu. Jam sudah pun menunjukkan pukul 9 pagi. Cuaca kian panas dan matahari semakin meninggi, namun para peserta yang selebihnya lain masih belum muncul muncul tiba. Setelah dihantar keluar ke pintu masuk empangan aku melihat Angah sudah setia menanti di dalam kereta dan aku meminta Angah membawa aku pergi ke Masjid berdekatan untuk ke tandas bagi menyucikan diri. Kesan makan dari nasi lemak tadi membuatkan perutku meragam dan aku tidak dapat menahannya untuk lebih lama lagi. Usai membersihkan diri, aku dan Angah kembali ke pintu masuk empangan untuk menunggu rakan-rakan yang lain keluar. Alhamdulillah hampir sahaja ke waktu tengahari, hampir kesemua peserta akhirnya keluar dan berjaya menamatkan misi ini. Ayie telah bergerak dari situ serta merta kerana teman yang terpaksa membatalkam ekspedisi mungkin telah lama menunggunya di Masjid Lojing. Abang Hani iaitu selaku penganjur ekspedisi adalah orang terakhir keluar yang aku jumpa dan menurutnya masih ada lagi seorang peserta yang belum pun keluar ke kawasan penamat. Beliau terpaksa meninggalkanya kerana kondisi kecederaan kakinya sendiri kini kembali dan beliau mengakui yang masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan tersebut. Beliau tidak risau berbuat demikian kerana peserta tersebut agak berpengalaman dan sudah beberapa kali mendaki gunung yang sama ini. Walhal, selok belok trek dan keadaannya mungkin sudah didalam genggamnya.



22.0 KALAU TUAN PERGI KE KUALA,
JANGAN LUPA MENCARI TEBU,
SUDAH LAMA KITA BERKELANA,
SAMPAI MASA PULANG DAHULU.

Setelah hampir kesemuanya keluar, kami berkumpul untuk kali terakhir sebelum pulang. Abang Hani memberikan kata-kata terakhir dari beliau termasuk ucapan tahniah kepada semua yang terlibat dalam ekspedisi kali imi. Walaupun matahari kian pacak meninggi di dinihari, kami bersama-sama tetap gigih untuk bergambar kenangan dalam satu kumpulan. Aku dihadiahkan oleh Abang Hani iaitu banner yang dibuat khas untuk ekspedisi ini. Beberapa minit sebelum waktu Zohor masuk, kami semua beransur pulang ke destinasi masing-masing. Kami bersalam-salaman sebelum bersurai sambil bertukar ucapan tahniah antara satu sama lain. Kami bernekad dan berjanji akan kembali menyertai mana-mana ekspedisi yang lain dan lebih mencabar pula pada masa akan datang. Bagi aku, cukup sampai di sini dulu kerana terlalu banyak kepahitan yang dirasai. Bagaimanapun, telah banyak pengalaman dan pengajaran yang ditimba sepanjang perjalanan ini dan tak mungkin dapat aku alami dan rasai dalam ekspedisi yang lain nanti.


23.0 PENUTUP

Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Ilahi. Aku berjaya melakukan catatan masa selama 22 jam 15 minit untuk ekspedisi ini bersama teman-teman seangkatan yang lain. Apa yang aku dapat pelajari adalah pengalaman dan latihan yang mencukupi perlu disediakan dan dipersiapkan dengan rapi dan teliti untuk menyertai ekspedisi yang sukar seperti ini. Penyediaan dari segi fisikal dan mental perlu dilakukan terlebih dahulu agar tidak 'pancit' terlalu awal dan mampu bertahan lama sehingga tamat acara. Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada teman-teman yang turut terlibat secara langsung atau tidak langsung. Jutaan terima kasih buat Angah yang banyak berjaya sekali. Angah menjadi pemandu kami pulang ke Kuala Lumpur dan sepanjang perjalanan aku tidak pun tidur demi menemani Angah disisi.



.*_Log V1 Reverse Dayhike (Yong Belar-Gayong-Korbu)_*
_11 March 2017/14 Jamadil Akhir 1483_  
Total Distance: 32km
Total line up: 18
Total Time: 22h 15min

0525H:: Started from Kem Kebun (0.0km - 0 H - 1626m)
0630H:: Kem Tudung Periuk
(2.37km -1h 05m- 1673m)
0820H:: Kem Kasut, Regroup
(5.41km - 2h 55m - 1965m)
0840H:: Continue Journey
*0914H:: Arrived at Peak of Yong Belar Mt* , regroup.
(6.90km - 3h 49m - 2185m)
1041H:: Continue Journey
1057H:: Kem Kuali + Helipap ÷ 
(7.40km - 5h 35m - 2004m)
1207H:: Helipap 2
1231H:: Continue Journey
1308H:: Helipap 3
1331H:: Puncak H20
(10.77km - 8h 06m- 1651m)
1347H:: Kem H20 , regroup
(11.50km - 8h 22m 1497m)
1447H:: Continue Journey
1604H:: Helipap 4
*1615H:: Junction Mt.*
(16.17km - 10h 50m - 2083m
1700H:: Continue Journey
1808H:: Kem Cerek
(18.44km - 12h 43m - 1996m)
1844H:: Simpang Proton
(19.1km - 13h 18m - 2182m)
*1848H:: Arrived at Peak of Gayong Mt.*
(19.22km - 15h 23m -  2178m
1905H:: Continue Journey
1940H:: Rest & Regroup of 1st team
2015H:: Continue Journey
*2050H:: Arrived at Peak of Korbu Mt.*
(21.61km - 16h 25m - 2188m)
2120H:: Continue Journey
2209H:: Chuban
(22.11km - 16h 40m -  2068m)
2209H:: Puncak Botak
22.71km - 17h 16m - 1837m)
2248H:: Last Waterpoint
(24.04km - 17h 23m - 1507m)
2355H:: Kem Kijang
25.82km - 18h 30m - 1039m)
0111H:: Kem Seroja
(27.82km - 19h 16m - 754m
0155H:: Waterfall
(29.55km - 20h 30m - 548m
0340H:: Starting Point
(32.82km 22h 15min -273m)




24.0 TAMMAT

Hanizamal, Amir Muslim, Yuyu Alfonso, Asrul, Cino, Poi, Win, Ramlan, Amri, Essay, Murshid, Nomad, Fiza, Azizol, Ikhwan, Azuha, Ayie & Anonymous

"Datang Mu Tidak Diundang,
Jika Ragu Silalah Pulang,
Andai Ada Orang Melarang,
Jangan Pula Melangkah Sumbang"

Sekian. Terima Kasih.


Misi 14 jam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK