Gunung Junction: Trans Titiwangsa V1 Dayhike anjuran oleh Penjejak Gunung pt 2/3
EKSPEDISI TRANS TITIWANGSA V1 DAYHIKE/24H
11 MAC 2017
12 JAMADILAKHIR Bahagian 2/3
Bahagian 2/3
7.0 KEM KUALI (2004 meter)
Kawasan berkumpul yang seterusnya adalah di Kem H20 yang dianggarkan mengambil masa selama tiga ke empat jam menurun. Kami semua bergerak serentak kecuali Abang Hani dan Azizol menuju ke Kem Kuali yang hanya mengambil masa kurang 10 minit dari puncak Yong Belar. Terdapat sebuah Kem Helipad iaitu tapak kem sementara yang didirikan oleh jabatan hutan semasa mereka mengukur dan memasang batu sempadan (agaknya). Kami berhenti seketika untuk bergambar dan ada pula yang berhenti untuk mengisi air dikawasan berkenaan. Terdapat sumber air sungai yang berdekatan dan ia adalah sumber air paling akhir sebelum sampai ke kem H20 nanti. Jarak perjalanan dari Kem Kuali ke Kem H20 adalah sangat jauh dan kami dijangka tiba lewat tengahari nanti. Dari Kem Kuali, kami dapat melihat dinding puncak Gunung Yong Belar yang meninggi seolah-olah dibina daripada sebuah piramid tetapi tampak lebih menarik kerana dihiasi oleh pokok-pokok halus yang renek dan lumut-lumut yang berwarna warni serta kehijauan. Puncaknya pula diselaputi kabus yang sentiasa berganti-ganti sedang menaik tinggi, sesekali ianya hilang ditiup angin dan menampakkan puncaknya yang teguh dipasak bumi.
8.0 PUNCAK H20 (1657 meter)
Perjalan diteruskan lagi dengan pergerakan yang agak sedikit perlahan daripada kebiasaanya. Kemungkinan cuaca yang panas dinihari atau kami telah mulai merasa penat ataupun kerana trek yang licin serta menaik-turun. Apapun, perjalanan harus diteruskan walau apa jua alasannya. Setibanya di Kem Helipad Dua, kami berhenti sekali lagi untuk regroup kerana terdapat 2 orang lagi peserta tertinggal agak jauh kebelakang. Dari checkpoint tersebut, kami dapat melihat 2 buah gunung G7 yang bakal kami tujui nanti berada nun jauh disana. Dua gunung yang seolah-olah berkembar tetapi terdapat cerun yang sangat curam diantara kedua begitu menggerunkan perasaan. Dari jauh dapat kami lihat Gunung Korbu lebih tinggi sedikit dari Gunung Gayong dan secara faktanya, ianya kurang 10 meter tinggi berbeza. Apapun jua, tidak dapat aku bayangkan bagaimana azabnya perjalanan untuk menuju ke sana nanti. Lebih 20 minit selepas itu, 2 peserta yang ditunggu iaitu Murshid dan Yuyu masih belum juga tiba. Dikala itu, aku menyarankan agar perjalanan diteruskan jua kerana tidak mahu membazir masa dengan hanya menunggu. Kawasan Kem Helipad tersebut yang begitu terbuka dipancarkan dengar sinaran matahari yang makin terik.
Semasa turun dari puncak Yong Belar, bahagian celah kangkang kiriku mulai kembali terasa sakit sedikit demi sedikit. Kesakitannya amat terasa terutamanya ketika perjalanan menurun. Ceritanya bermula selepas aku mendaki Gunung Liang-Tumang Batak pada seminggu sebelumnya sebagai latihan dan persiapan terakhir sebelum menyertai ekspedisi V1 ini. Setibanya daripada Gunung Tumang Batak untuk kembali menuju ke puncak Gunung Liang Barat, aku cuba beraksi dengan memanjat di sebatang pokok berdekatan beirut disitu. Namun kakiku sedikit tergelincir disebabkan oleh memijak lumut yang sangat licin telah tumbuh pada pokok berkenaan. Hujan yang turun dengan renyai-renyai pula keadaannya menjadi lebih teruk sehingga aku menjadi hilang kawalan hanya mampu berpaut pada dahan pokok namun kakiku sudah tergelincir kerana tidak dapat mengcengkam dengan kuat. Walaubagaimanapun, kesakitannya hanya mula terasa apabila berjalan turun ke parking kereta dan selepas seminggu dari itu, kesakitannya mulai hilang sedikit demi sedikit tanpa aku perlu mengambil apa-apa ubat atau ke klinik.
Aku hanya mampu bertahan dan harus melupakan segala kesakitan yang ditanggung. Pelbagai senaman untuk meregangkan otot-otot aku cuba lakukan demi mengurangkan rasa sakit itu. Sekejap duduk bertinggung dan sekejap bercangkung. Sedaya upaya aku cuba untuk mengurut dikawasan terbabit, tetapi amat sukar untuk aku dilakukannya sendiri kerana tidak tercapai oleh tanganku. Ingin meminta kawan-kawan urutkan terasa begitu malu dan amat janggal pula, maklumlah kawasan tersebut amat berhampiran dengan anggota sulit.
Setibanya di Kem Helipad 3, para peserta mula perlahan-perlahan ketinggalan dan mula berpecah beberapa kumpulan kecil. Aku bersama 5 orang ahli yang lain merupakan kumpulan pertama tiba disitu iaitu kami telah sampai pada pukul 1.08 tengahari. Kawasan helipad tersebut agak luas terbuka dengan disajikan permandangan 360 darjah disekelilingnya. Aku tidak pasti gunung apakah yang berada di sekelilingnya kerana tidak begitu pandai membaca topo. Cuaca yang agak membahang panasnya tidak sedikit pun menghalang aku untuk melelapkan mata buat sementara waktu. Selepas meneguk sedikit air dan mengalas perut dengan memakan sedikit kekacang yang dibawa untuk mengembalikan semula tenaga, aku pun cuba untuk tidur selama dan selelap mungkin. Kedengaran suara semakin bising dan bingit, tanda ketibaan hampir semua peserta kecuali hanya Abang Hani dan Azizol yang pasti menghampiri kearah kami jua nanti. Untuk meneruskan kembali perjalananan, terasa sangat malas pula kerana aku sudah berada agak selesa ditempat yang aku tidur tadi. Beberapa orang peserta telah pun mula beredar sebaik sahaja aku bangun dari tidur.
Destinasi seterusnya adalah ke Puncak H20. Dari kem helipad tersebut , kami perlu mendaki bukit untuk sampai ke checkpoint tersebut. Hanya mengambil masa kurang daripada setengah jam, kami tiba di puncak H20 yang begitu sempit dan kurang sesuai untuk bermalam disitu kerana keluasannya hanya dapat memuatkan satu atau dua khemah pada satu-satu masa. Apa yang dapat aku ingati, terdapat sebatang pokok senduduk yang agak besar tumbuh subur disitu. Signagenya pula terletak agak tersorok dari pandangan dan ada beberapa teman telah terlajak pergi dan langsung tidak perasan kewujudannya kerana mungkin mengangap ianya salah satu lagi puncak tipu yang agak kerap ditemui sebelumnya.
9.0 KEM H20 (1497 meter )
Tanpa melengahkan masa, kami bergerak turun menuju ke Kem H20 pula yang dikatakan tidak jauh berada. Semakin lama, semakin kuat kedengaran bunyi air sungai dan perjalanan yang hampir 95% menurun sahaja memudahkan pergerakan kami. Aku tidak sabar lagi untuk tiba ke kawasan sungai disitu nanti untuk membasuh kaki, sandal dan stoking yang sudah kotor dengan lumpur.
Pada pukul 1.37 petang, selepas 11.5 km berjalan, kami tiba di Kem H20 akhirnya yang sangat sesuai dijadikan tempat bermalam. Kawasannya boleh dikatakan agak selesa walaupun tidak seluas Kem Kasut atau Kem Tudung Periuk. Rasanya tidak menjadi masalah untuk para pendaki berkhemah disitu kerana aku tidak merasakan kawasannya akan dipenuhi oleh para pendaki. Untuk sampai ke Kem H20 amatlah jauh dan lama masa diambil walhal dari kedua arah samaada masuk dari Gunung Yong Belar dari Gunung Junction. Apatah lagi, hanya mereka yang membuat ekspedisi trans titiwangsaV1, V2 atau V3 sahaja bakal melalui kem tersebut .
Air sungai yang sejuk dan suasana yang begitu nyaman dan mendamaikan menyebabkan aku ingin sahaja duduk lepak disitu dan berasa keberatan untuk berganjak pergi. Usai membasuh kaki dan seluar, aku mula makan tengahari iaitu nasi putih yang hanya berlaukkan daging masak kicap. Aku membawa sebanyak dua bungkus kesemua dan kebiasaanya tidak berapa menggemarinya. Namun demi mengekalkan prestasi dan mengembalikan tenaga, aku memaksa untuk memakannya sehingga separuh dan berkongsi baki selebihnya dengan rakan-rakan yang lain. Setiap 4 ke 6 jam sekali, manusia memerlukan makanan yang berat dari segi karbohidrat dan protein untuk mengisi kembali perut serta proses pemulihan sel-sel dan tisu-tisu. Makan dengan kerap dalam kuantiti yang sedikit lebih mengenyangkan dari makan sekali atau dua kali pada suatu masa dalam jumlah yang besar. Kesemua kami pula tidak membawa dapur untuk memasak kerana ekspedisi ini sudah sedia maklum oleh pesertanya untuk tidak membawa beban berlebihan bagi memastikan ianya tidak melambatkan pergerakan kami dan prosesnya berjalan dengan lancar.
Di Kem H20, aku dan yang teman-teman menunaikan solat zohor dan asar secara jamak qasar dan mula kembali mengemaskan barang-barang untuk menyambung perjalanan. Setengah jam kemudian, 2 peserta terakhir iaitu Abang Hani dan Azizol akhirnya tiba jua. Untuk pengetahuan semua, di Kem H20 inilah menjadi tempat terakhir untuk kesemua peserta ekspedisi ini berkumpul bersama-sama kerana kami akan mula berpecah kepada beberapa kumpulan nanti secara tidak dirancang sesiapa. Menurut Abang Hani, bermula dari Kem H20 ke Gunung Junction bakal mengambil masa lebih kurang 4 jam berdasarkan daripada pengalaman solo beliau sebelum ini. Aku beranggapan bahawa bergerak secara solo lebih mudah dan laju berbanding bergerak dalam kumpulan walau sangat kecil kerana perlu bergerak seiring dan pace perlu sama. Oleh disebabkan itu, aku telah berpesan dengan Poi lebih awal sebelum bermula ekspedisi ini agar kami bergerak bersama-sama semasa ditrek nanti kerana kami mempunyai keupayaan dan rentak yang hampir sama.
Trek menuju ke Gunung Junction adalah paling susah dan mencabar sekali di dalam ekspedisi V1 ini. Dengan memiliki ketinggian puncak yang melebihi 2000 meter dan elevation gunung yang meningkat sebanyak 600 meter lagi perlu diatasi. Tambahan lagi, abang Hani turut berpesan supaya berhati-hati semasa melalui kawasan air terjun selepas Kem H20 nanti kerana disitu terdapat simpang yang mengelirukan. Terdapat kesan tanah runtuh disitu pernah terjadi dan telah hampir menutupi trek yang asal.
10.0 GUNUNG JUNCTION (2072 meter)
Sebaik tiba dikawasan air terjun tersebut, separuh daripada peserta yang mana berada dihapadan telah terlajak ke trek di sebelah kanan didapati tiada marking dan jalannya pula padam begitu sahaaja. Aku berasa agak bertuah kerana terpandangkan satu marking yang diperbuat dengan plastik merah putih terikat pada sebatang dahan pokok dimana ianya agak tersembunyi sedikit dari pandangan. Demikian selalu kita diingatkan bahawa, semasa memasuki hutan, kita hendaklah peka terhadap persekitaran kita.
Tanpa melengahkan masa, aku segera mengemudi langkahku menuju jalan tersebut dan berpendapat itu adalah trek sebenar. Telahanku benar, sebuah jalan menuju naik ke atas terus melepasi batu sebuah batu besar dan air terjun yang perlu dilalui disitu. Pergerakan kami terus berubah formasinya dimana kini aku pula yang berada dihadapan dan menjadi 'shooter' secara tidak rasmi. Pada waktu tersebut, aku mula mengorak langkah besar dan berjalan agak pantas meninggalkan mereka yang lain. Aku memasang niat untuk mencuba berada dihadapan meninggalkan peserta-peserta lain di belakang sejauh mungkin. Ini bukanlah untuk aku menunjuk-nunjuk ataupun cuba berlagak padu. Aku sebenarnya ingin menguji diri sama ada mampu bergerak solo dan merasa sendiri pengalaman berseorangan didalam hutan yang dialami sendiri oleh Abang Hani sewaktu membuat ekspedisi V1 solonya sebelum ini. Bukan aku tidak pernah menaiki gunung secara solo, pengalaman mendaki Gunung Rajah melalui Kuala Kubu Bharu secara solo sebanyak 2 kali sebelum ini contohnya memberi satu pengalaman yang benar-benar mencabar dan menguji kekuatan mental dan fizikal. Begitu juga pengalamanku yang pernah menaiki Bukit Kutu pada waktu malam secara solo juga memberikan keyakinanan dan kekuatan mental terutamanya dan yang pasti pengalaman sangat berbeza. Rasa takut pasti ada, tetapi kepada yang berani sahaja digalakkan untuk melakukanya.
Hiking disiang haripun boleh 'pewai', apatah lagi pada waktu malam. Terpulang pada masing-masing, minat dan hobi tak kenal waktu dan tempat.
Langkahku semakin lama semakin perlahan. Memang benar apa yang dikatakan oleh Abang Hani yang trek menuju ke Puncak Junction terlalu pacak dan mencerun naik hampir-hampir 70-85%, sehingga disuatu tempat aku memerlukan memerah segala kudrat tenaga yang ada untuk melepasi beberapa batu besar yang sangat licin dan tajam. Beberapa utas tali yang dipasang pula bagaikan penyambung nyawa kerana jika terlepas pegangan kedua tangan maka gaunglah tempat jatuhnya nanti. Namun sedikit sebanyak ianya membantu pergerakan menaik disamping kekuatan otot tangan amat berguna. Latihan cardio untuk biceps dan triceps memberikan kelebihan tersendiri pada mereka yang rajin mempraktiskanya, manakala kekuatan kaki dari bahagian peha khususnya membantu si pendaki untuk melakukan tujahan dan menolak badan naik ke atas.
Sepanjang jalan, aku menyumpah seranah diri tanda menyesal yang amat kerana sanggup menyertai ekspedisi ini. Penyesalan tiada guna dan jalan keluarnya hanylah perlu menghabiskan jua ekspedisi ini. Pada saat ini, kekuatan mentalku amat menguji diri dan aku cuba berfikiran positif seperti mengingatkan diri bahawa aku harus menamatkan ekspedisi ini dengan jayanya kerana peluang ini mungkin datang hanya sekali seumur hidup. Aku mula mengimbas kembali segala ekspedisi dan trip pergunungan yang telah aku sertai dan pengalaman susah senang selama ini aku lalui bukanya mudah. Nampak indah dan manis bila didalam gambar tetapi azabnya untuk ke puncak hanya tuhan yang tahu apa yang dirasai. Aku pastu setiap orang ada kisah dan pengalaman pahit dan manis tersendiri. Bagi aku seorang jururawat yang bertugas mengikut shif, dan masa bertugas pula sentiasa berubah sama ada kena bekerja waktu siang ataupun malam. Manakala waktu berkerjaku pula tidak anjal kerana sudah ditetapkan shif bekerjanya bila dan cuti aku pula tidak menentu harinya. Amat jarang untuk aku dapat bercuti panjang dan paling menyedihkan cuti mingguan pula selalunya akan diberi pada mana-mana hari bekerja. Oleh sebab itu, jika ada jemputan atau ekspedisi yang tertentu aku hanya mampu berputih mata sahaja dan tidak berani memberikan janji sama ada dapat mengikutinya kerana tidak yakin akan dapat cuti pada minggu tersebut
Aku merasakan telah agak jauh meninggalkan teman-teman dibelakang apabila sahut-sahutan yang dilaungkan pada mulanya makin sayup-sayup dan mula hilang kedengaran. Keadaan trek mula kian berubah bentuknya. Hutan mossy atau berlumut dan pokok-pokok jenis pine mula kelihatan dan pada suatu tempat amat cantik sekali dan masih baik terjaga. Ingin sekali aku berhenti untuk bergambar namun kakiku terasa amat berat untuk berhenti dan terasa ingin terus sahaja melangkah satu demi satu. Kerana sememang caraku yang tidak suka berhenti-henti lebih-lebih lagi jika aku bergerak secara solo. Sebaik sampai disuatu kawasan dimana terdapat sebatang pokok balak tumbang langsung menutupi trek tersebut. Aku terpaksa berhenti seketika untuk mencari dimana jalan masuknya. Ranting dan dahan pokok aku cuba patahkan seboleh mungkin dan aku bagaikan orang buta meraba-raba daun-daun dengan menyelak-yelaknya untuk mencari jalan asal. Tidak banyak yang dapat aku lakukan, hanya beberapa batang pokok sahaja dapat aku patahkan bertujuan memberitahu orang dibelakang bahawa laluan tersebut merupakan laluan yang betul. Aku masih ingat yang aku perlu memanjat naik balak tersebut dan agak payah untuk melakukanya dalam keadaan kangkangku yang masih sakit lagi. Dikawasan itu juga aku berasa seolah-olah diperhatikan dan aku terpandangkan sepohon pokok kecil bergoyang-goyang ditiup angin seolah-olah baru sahaja dilalui orang. Aku mula berfikir yang bukan-bukan. Keadaan hutan yang agak kelam dan suram agak mula menakutkan perasaan aku. Aku mula membaca ayat Qursi dan beberapa surah Lazim serta berselawat. Aku cuba beranikan diri dan bersuara dengan berkata bahawa aku hanya datang dengan bertujuan baik dan jangan menganggu aku. Beberapa kali juga aku berniat untuk berhenti untuk menunggu yang lain namun aku memaksa diri untuk terus berjalan.
Strategi aku adalah untuk sampai cepat di Puncak Junction untuk rehat dan tidur selama mungkin sambil menunggu mereka yang lain. Selepas lebih setengah jam berjalan, keadaan trek mula terasa lebih mudah dan landai walaupun bergerak agak menaik, adakala sekejap menurun dan sekejap menaik. Aku mula perasan yang aku telah pun berjalan di atas permatang gunung yang menghubungkan antara Gunung Yong Belar dengan Gunung Gayong dan Korbu. Dari jauhnya, aku dapat lihat sebuah puncak yang sangat jauh perlu aku lalui. Perjalanan di kawasan ini hampir menyamai ekspedisi YB3B pada tahun lepas kerana perlu melalui banyak puncak tipu. Entah berapa kali berasa begitu kecewa setiap kali sampai di suatu puncak namun ianya adalah puncak tipu.
Setibanya di Kem Helipap aku berhenti untuk melepaskan lelah. Tidak terlalu lama, selepas 10 minit beredar dari Kem Helipap 4 yang juga merupakan kem Helipap yang terakhir, aku akhirnya tiba jua di Puncak atau Gunung Junction yang berketinggian 2082 meter atau kaki pada jam 4.15 petang. Begitu lega perasaan dirasakan kerana berjaya juga sampai. Apatah lagi terasa bangga pun ada kerana dapat melakukannya secara solo pula. Keadaan puncak yang agak luas, landai dan tertutup amat sesuai untuk dijadikan tempat bermalam buat para pendaki. Disebelahnya pula terdapat satu lagi kawasan yang luas dimana terletaknya satu simpang yang dikenali sebagai simpang Y. Aku memilih untuk tidur di suatu pokok yang mempunyai akar banir yang agak selesa. Berbantalakan beg sandangku, aku berbaring sambil menunggu peserta lain tiba.
Simpang Y inilah yang menjadi titik pertemuan atau perpisahan yang menjadi tempat para pendaki yang akan melakukan trans titiwangsa 1 iaitu simpang disebelah kiri, manakala disebelah kanan pula menjadi jalan masuk para pendaki menuju ke Gunung Yong Yap, Gunung Bubu dan Gunung Tok Nenek bagi melengkapkan misi transtitiwangsa 2. Namun aku kurang pasti walaupun mempunyai peta yang boleh didapati di internet juga. Disimpang inilah Abang Hani mengingkatkan kami agar berhati hati agar tidak memasukinya simpang yang salah. Tambah beliau, jika timbul sebarang keraguan, haruslah berhenti dan menunggu mereka yang lain terlebih dahulu agar tidak terlajak atau sesat. Satu kes yang telah terjadi pada akhir tahun lepas dimana bebeberapa pendaki telah tersesat masuk ke simpang sebelah kanan tersebut selepas keluar dari simpang kiri. Kumpulan tersebut turut melakukan ekspedisi Trans Titiwangsa V1, namun amat malang sekali kerana mereka terlajak masuk menuju ke Gunung Yong Yap dan ekspedisi tersebut terpaksa ditamatkan di Kem Sungai Rengil kerana sudah terlajak jauh ke sana.
Untuk mengelakkan kejadian sama berulang kembali, kami semua bakal berkumpul kembali di Puncak Junction sekali lagi untuk regroup dan hal tersebut walau bagaimanapun tidak terjadi sama sekali. Tidak beberapa lama, Abang Lan, Amri dan Fiza muncul tiba seorang demi seorang. Aku yang sedang tidur- tidur ayam bingkas bangun sebaik mendengar suara mereka yang sedang bercakap-cakap. Abang Lan menyuarakan pendapat bahawa kami yang telah mendahului barisan hadapan ini untuk bergerak terus selepas ini dan tidak perlu lagi regroup di setiap checkpoint nanti. Cadangan yang diutarakannya dipersetujui oleh semua termasuk aku sekali. Tambahan lagi, menurutnya, kami semua akan terus ketinggalan masa walhal sememangnya masa kami sudah semakin lari dari tentatifnya jika ingin menunggu kesemua peserta tiba. Disamping itu, misi untuk mencapai masa di bawah 24 jam nanti menjadi makin mustahil untuk dicapai. Aku berasa sedikit risau dan mula merasakan kami harus berbuat sesuatu.
Para peserta lain masih jauh ketinggalan di belakang dek penangan trek menuju ke Gunung Junction yang tersangat sukar ini. Setelah kesemua mempersetujui cadangan tersebut iaitu bergerak terus tanpa menunggu peserta-peserta lain, kami terlebih dahulu perlu menunggu Win sampai yang mana beliauadalah satu satunya peserta memiliki Walkie Talkie yang dapat menghubungkan terus kepada Abang Hani. Ini bertujuan untuk memaklumkam kepada beliau bahawa kumpulan yang di hadapan sekali akan terus bergerak dan tidak berkumpul menunggu yang lain disitu. Hampir separuh peserta telah sampai, termasuk Win, Poi dan juga Essay, dan kami memaklumkan cadangan kami tersebut. Mereka juga turut bersetuju dengan hasrat kami dan tidak membantah langsung cadangan kami itu.
Selesai bergambar bersama-sama di signage disitu, kami meneruskan perjalanan kembali. Hanya kami berlima orang dari situ yang akan bergerak pergi dahulu dengan didahului oleh Abang Lan, kemudian Amri, Fiza, Aku dan Poi paling belakang. Formasi kami ini langsung tidak berubah sehinggalah kami tiba ke Kem Kijang nanti. Sebelum bertolak, Win sempat berpesan kepada aku dalam nada bergurau iaitu sekiranya terserempak dengannya dihadapan nanti beliau mengatakan itu adalah bukan dirinya dan menyuruh supaya aku memberi salam terlebih dahulu sebelum menegurnya. Aku langsung tidak mengambil pesanan itu secara serius dan hanya menganggapnya sekadar gurauan sahaja sehinggalah perkara itu benar-benar terjadi nanti (rujuk bab 14.0; bahagian 3). Peserta paling terakhir sampai disitu sebelum bergeraknya aku pergi adalah Ayie. Beliau mengatakan bahawa dibelakangnya yang mengikutinya adalah Cino iaitu satu-satu peserta wanita tunggal didalam ekspedisi ini. Manakala peserta lain masih lagi jauh tertinggal dibelakang tanpa khabar.
12.0 KEM CEREK
Tepat jam 5 petang, kami berlima bergerak menuju ke waterpoint yang seterusnya atau checkpoint terakhir sebelum sampai ke Simpang Proton yang mana menghubungkan antara 2 puncak iaitu Gunung Korbu dan Gunung Gayong. Perjalanan yang hampir menurun sahaja dari Puncak Junction tersebut agak memudahkan perjalanan kami dengan keadaan trek yang agak kering dan kurang berakar memberi peluang kepada kami untuk bergerak sedikit pantas daripada biasa. Adakalanya kami berlari-lari anak dan hampir-hampir jua aku dan poi tertinggal jauh dibelakang. Hiking bersama-sama dengan geng runners agak berbeza sedikit dari segitaktikal dan persediaan mereka bukan sambil lewa sahaja. Pantang ada kawasan yang landai, mereka terus lesap dari pandangan dan aku hanya dapat mengejar kembali sekiranya di kawasan yang memerlukan kami mendaki. Kami melalui kawasan buluh-buluh halus yang hampir menutupi jalan dan melambatkan pergerakan aku sama sekali sehinggalah malang menimpa aku nanti.
Untuk mengelakkan semasa berjalan atau bergerak pantas, aku biasanya akan berpaut atau berpegang pada pokok, ranting atau dahan bagi mengelakkan diri dari tersasar atau tergelincir sekiranya jatuh disuatu kawasan yang berbatu, lubang atau gaung. Walau bagaimanapun, pergerakanku agak pantas ketika itu kerana ingin mengejar peserta-peserta dihadapanku membuatkanku untuk lebih lebih fokus terutamanya pada pandangan hadapan dengan lebih tajam berbanding pandangan disisi. Dan ketika itulah jua, tangan kananku yang bogel tidak memakai sarung tangan tanpa kusedari terpegang buluh-buluh kecil yang mempunyai duri tajam lagi halus. Yang lebih menyakitkan, tanganku pula melurut habis kesemua batang-batang buluh yabg dipegang sehingga ke hujungnya dan menyebabkan tapak tanganku tercalar luka sehingga berdarah. Pergerakanku terus terhenti ditengah jalan dan aku mula menjadi panik apabila darah mula mengalir tidak berhenti. Aku cuba untuk membuka tapak tangan kananku seluas mungkin namun kesakitan yang amat perit dapat aku rasakan mula mencucuk-cucuk terasa. Poi yang berada di belakangku turut berhenti dan aku memaklumkannya apa yang telah terjadi kepadaku. Aku cuba menghisap kawasan-kawasan yang berdarah bagi membuang segala kekotoran bagi mengelakkan infeksi terjadi terutamanya dalam darah. Infeksi dalam darah atau Sepsis adalah penyebabkan kematian nombor dua dikalangan rakyat malaysia selepas kemalangan jalan raya dan teringat pula pada pesakit-pesakit ku yang lemah terlantar di katil hospitalku tidak kira tua dan muda disebabkan oleh penyakit tersebut. Aku meminta agar dijauhkan daripada segala malapetaka yang menimpa diri. Setelah merasakan luka tersebut agak bersih, tetapi darah masih tetap mengalir keluar tidak berhenti dan langsung tidak berkurang jumlahnya. Aku menyarungkan sarung tangan yang sentiasa dibawa kemana-mana untuk dipakai pada tangan yang luka dengan bertujuan untuk menghentikan pendarahan. Caranya adalah aku harus mengenggam tanganku selama mungkin agar tekanan yang diaplikasikan pada punca pendarahan akan berhenti sedikit demi sedikit.
Lebih kurang 5 minit kami berhenti, 3 peserta dihadapan terus hilang tanpa kesan. Kami mula menyambung perjalanan kembali, terasa amat sukar bergerak dengan sebelah tangan yang terbuku kejap itu. Denyutan kesakitan kuat terasa sekiranya aku cuba membuka tapak tangan kananku. Dan kini lebih perit terasa kerana bergerak bersama kesakitan di celah kangkang yang masih belum hilang langsung sakitnya. Pada waktu itu aku mula berfikir, apakah rasa yang aku tanggung ini berbaloi dengan pencapaian yang aku bakal perolehi ini. Rasa penyesalan mula bermain diminda dan mentalku amat menguji diri disaat saat aku ingin menamatkan ekspedisi ini secepat mungkin.
Perjalanan menuju ke Kem Cerek mengambil masa sejam lebih apabila kami sampai pada pukul 6.08 petang. Kem Cerek yang berketinggian hampir 2000 meter mempunyai kawasan yang agak luas. Banir-banir akar yang berbentuk sangat cantik pada kawasan yang digantung sebuah cerek lama sebagai tanda rasmi kawasan sangat bersih. Bagiku terdapat kemungkinan kawasan tersebut berpenghuni atau ada benda yang menjaganya. Sukar untuk digambarkan kenapa dan mengapa, mungkin kerana tempat tersebut tersangat bersih dan kemas atau suasana yang begitu nyaman dan amat tenang sekali. Kami tidak berhenti lama dan tidak pun bercadang ingin mengambil air di kawasan tersebut kerana waterpointnya tersangat jauh. Tidak pasti berapa jauh untuk sampai namun ada yang mengatakannya antara ianya adalah waterpoint yang terjauh sekali. Namun kesahihan tersebut tidak dapat aku pastikan walaupun Abang Hani sendiri mengakuinya berdasarkan pengalamannya sendiri. Hari yang beransur senja dan gelap membuatkan kami terus beredar dari situ. Kami bercadang untuk sampai di Gunung Gayong nanti selewat-lewatnya sebelum maghrib atau pukul 7 petang dan berharap dapatlah nanti bergambar dengan suasana matahari terbenam dipermatangnya nanti.
Bersambung... part 3/3:

11.0 SlMPANG Y

Misi 14 jam
Ulasan
Catat Ulasan