Gunung Yong Belar: Trans Titiwangsa V1 Dayhike anjuran oleh Penjejak Gunung pt 1/3
Ekspedisi Trans Titiwangsa V1 Dayhike anjuran oleh Penjejak Gunung
11 MARCH 2017 12 JAMADILAKHIR 1438H
Bahagian 1/3
1.0 PENDAHULUAN
Ekspedisi pendakian banjaran Trans Titiwangsa V1 adalah merangkumi beberapa gunung tertinggi di Malaysia seperti Gunung Yong Belar (2181m), Gunung Korbu (2183m) dan Gunung Gayong (2173m) merentasi Banjaran Titiwangsa sejauh jarak lebih 32 kilometer. Ekspedisi ini selalunya mengambil masa lima atau enam hari kebiasaannya, sama ada menaikinya dari Empangan Sultan Azlan di Perak terlebih dahulu atau Empangan Blue Valley di Cameron Highland.
Walau bagaimanapun, ekspedisi yang bakal aku lalui ini bakal mengambil masa selama 24jam atau sehari atau juga mungkin lebih cepat daripada masa yang diharapkan. Ekspedisi ini adalah merupakan ekspedisi yang paling hardcore dan gila pernah aku lakukan selama berkecimpung didalam bidang pergunungan ini. Ramai yang mengatakan aku gila dan kurang siuman, namun tidak kurang juga yang menyokong dan memberi kata-kata semangat serta sokongan moral. Sememangnya aku gila, bukan gilakan populariti atau sanjungan, tetapi inginkan suatu kepuasan pada diri sendiri dan sebagai catatan peribadi.
Pada awalnya, aku langsung tidak memberitahu sesiapa pun mengenai penglibatan aku didalam ekspedisi ini kerana tidak mahu menjadi heboh dan beria-ia. Kata orang, kalau terlalu bergembira atau beria-ia biasa benda yang diingini tidak akan menjadi. Hanya beberapa hari sebelum kejadian, barulah aku memberitahu kawan-kawan seangkatan dalam dunia hiking yang lain supaya perjalanan aku dan teman-teman yang lain turut direstui oleh mereka dan keluarga serta mendoakan keselamatan aku samada pergi dan juga pulang nanti
2.0 TEMUDUGA
Perjalanan menuju ke tempat berkumpulnya semua ahli ekspedisi yang berjumlah seramai 18 orang kesemuanya telah ditetapkan. Perbincangan didalam group whassapp selama lebih daripada sebulan sebelum hari kejadian dilakukan dengan teliti dari segi carpool, transport hinggalah aspek keselamatan, tahap kesukaran trek dan pengalaman masing masing yang tidak kurang hebatnya. Pemilihan yang sangat ketat telah dilakukan oleh si Penjejak Gunung atau lebih mesra dipanggil Abang Hanizamal aka Hani kerana menurut beliau tidak mahu kesilapan yang lepas berulang lagi.
Pada awalnya, aku berasa sangat segan untuk 'pm' beliau kerana terasa amat merendah diri dan takut direject mentah-mentah nanti oleh beliau. Pengalaman yang ada tidak mampu rasanya untuk melayakkan diri dan tidak setanding dengan kehebatan beliau yang sememangnya sudah dikenali ramai. Namun aku meminta jasa baik kawanku yang agak rapat dengan beliau iaitu Yuyu Alfonso atau lebih aku gemari memanggil dengan nama Miji atau Mizi. Alhamdulillah, selepas di interview secara maya oleh beliau, aku berjaya melepasi tahap pertama kelayakkan masuk di atas jasa baik si Mizi. Tidak dapat aku luahkan betapa gembira apabila turut terpilih menyertai ekspedisi V1 ini. Beberapa soalan diajukan dan untuk pengetahuan semua, bukan tahap gunung yang bertaraf G7 dipilih semata mata (G7 adalah gelaran untuk tujuh puncak gunung tertinggi di Malaysia) tetapi pengalaman mendaki gunung yang dikatakan antara tersukar di Malaysia seperti Gunung Semangkuk, Gunung Liang-Tumang Batak (LTB) dan Trans Yong Yap-Bubu-Tok Nenek (YYBTN) yang mana perlu dilakukan dibawah masa 24jam atau secara daypack/dayhike. Beberapa kawanku seperti Miji, Murshid dan Asrul juga berjaya melepasi kelayakan awal tersebut dan termasuk satu satunya peserta wanita nanti iaitu Cino turut layak masuk sama.
Persiapan awal telah aku lakukan dengan penuh teliti dan rapi sejak dari awal lagi. Latihan pendakian ke beberapa gunung terdekat seperti Gunung Nuang dan Gunung Liang-Tumang Batak (dimana aku berjaya mencatatkan masa 'personal best' setelah sekian lama ingin dilakukan; aku berjaya membuat catatan dibawah 12 jam keseluruhannya). Perjalanan aku menuju ke ekspedisi ini bermula selepas pulang solat Jumaat dimana aku mula mengemas dan membeli beberapa barang dan peralatan yang sangat penting semasa ekspedisi nanti termasuk makanan dan minuman. Bagi mengelakkan kes tertinggal atau terlupa barang disaat-saat akhir nanti, aku kebiasaanya akan mencatit segala senarai barang keperluan yang sepatutnya dibawa nanti dan memeriksa kesemuanya sebelum berangkat pergi . Kemudian, perjalanan aku diteruskan dengan 'mengutip' peserta yang menaiki keretaku bersama untuk menyertai ekspedisi V1 ini iaitu Nomad yang menyertainya disaat-saat akhir dan juga Asrul. Selain itu, Angah pula secara sukarelanya turut menyertai kami selaku pengiring tidak rasmi kami. Beliau bakal bertindak sebagai pemandu penganti sekiranya kami semua terlalu letih dan mengantuk semasa pergi atau pulang nanti.
3.0 TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR
Kami mula bergerak keluar dari Klang Valley pada pukul 6.30 petang. Selepas mengharungi segala kesesakan jalan raya pada hari terakhir bekerja, kami dengan penuh bersemangat bergerak dan bakal menuju ke pintu Empangan Korbu sebagai tempat berkumpul semuanya nanti. Semua peserta mula bergerak dari kawasan masing masing dan mula mengupdatekan lokasi keberadaan masing masing dari masa ke semasa. Segalanya bermula dengan penuh lancar sehinggalah sesuatu telah terjadi. Alangkah malang nasib, kereta yang kami berempat naiki telah terlajak menuju ke Grik kerana google map telah membawa kami ke suatu lokasi dimana Empangan Sultan Azlan Shah berada. Rupa-rupanya itu adalah tempat penjanakuasa elektrik yang turut mempunyai nama yang hampir sama membuatkan kami sedikit kekeliruan. Setelah menyedari kesilapan, Aku selaku pemandu mula membuat pusingan U dan berpatah balik masuk ke lebuhraya. Pada pukul satu pagi, kami masih lagi berada di lebuhraya dan perjalanan pula sedikit tertangguh dek ditahan oleh polis yang membuat operasi di tengah-tengah jalan. Aku memandu dengan agak laju dan kami melaporkan kepada yang lain bahawa kami tidak dapat berkumpul di hadapan pintu empangan seperti yang dirancang. Mengikut tentatif asal, kami semua sepatutnya berada berada disana sebelum pukul 12 tengah malam untuk menaiki bas yang telah disewa khas menuju ke kawasan parking Masjid Lojing. Kami terpaksa menukar pelan asal dan mengambil jalan alternatif lain iaitu keluar dari exit Simpang Pulai dan menuju dengan sendirinya ke Masjid Lojing.
Sebaik tiba di tol Simpang Pulai, kami berhenti rehat dan solat seketika dan kemudiannya sebaik sahaja kenderaan melepasi Kampung Pos Slim, kereta mula bertukar pemandu. Kali ini Angah pula mengambil alih sebagai pemandu kerana aku mahu melelapkan mata seketika bagi mengumpul kembali tenaga kerana pada pengiraan aku, kami dijangka akan tiba di Masjid Lojing pada pukul 3 pagi dan bakal menaiki kenderaan pacuan empat roda pada pukul 4 pagi. Tambahan lagi, aku masih belum lagi mengemas dan menyusun barang-barang yang akan dibawa dengan kemas dan rapi. Beberapa orang teman mulai menelefon dan menghantar pesanan ringkas bagi mengetahui lokasi terkini kami dan bertanyakan keadaan kami. Kami tiba Masjid Lojing lebih kurang pukul tiga pagi dan mula melaporkan diri pada penganjur ekspedisi atau gogo iaitu sebaik sahaja tiba diperkarangan masjid dan agihan baju ekspedisi diberi kepada setiap peserta yang terlibat mengikut saiz yang telah diminta oleh masing-masing. Satu hal yang selalu menjadi pantang larang aku sekiranya menyertai sesuatu trip atau ekspedisi bahawa aku tidak akan membeli mana-mana lagi baju rasmi program kerana sekiranya aku membelinya sesebuah trip itu akan dibatalkan atau aku tidak akan sampai ke puncak. Memang tahyul tetapi aku percaya setiap orang ada kepercayaan dan pantang larang masing-masing.
Rata-rata kesemua peserta sedang berehat dan tidur sementara menanti ketibaan pacuan empat roda yang dijangka tiba bila bila saja masa nanti. Aku dan teman lain yang baru tiba mula bersiap-siap mengemas barang-barang secepatnya. Masa yang kian suntuk harus digunakan sebaik mungkin. Semakin lama terasa semakin sejuk dan aku mula menyarungkan baju sejuk dan yang pasti apabila menaiki pacuan empat roda nanti kesejukannya pasti lebih terasa daripada ini. Dapur kecil dibuka untuk memasak kopi bagi memanaskan badan dan sebagai mengalas perut. Seingatku, kali terakhir aku mengisi hanyalah makan malam pada pukul 10 malam tadi.
4.0 PINTU RIMBA
Seorang demi seorang peserta mula bangun dan bersalaman tanda perkenalan diantara satu sama lain berlangsung. Lebih daripada separuh peserta langsung tidak aku kenali dan terasa diri begitu kerdil dihadapan mereka. Ada beberapa orang daripada mereka adalah peserta untuk acara Korga Dayhike 4.0 anjuran Penjejak Gunung yang diadakan pada baru-baru ini. Pemenang bagi tahun ini, malah pemenang untuk acara pada tahun lepas turut sama menyertainya. Hati ku kian berdebar-debar terasa. Aku pasti profile lain-lain peserta dalam bidang pergunungan ini juga calang-calang dan tidak boleh dipandang rendah. Lihat sajalah pemilihan yang ketat perlu dilalui dan masing-masing sudah bersiap-siaga dengan latihan dan segala macam perbincangan yang dilakukan. Apa yang harus aku lakukan adalah jangan cepat menyerah kalah dan tidak sesekali cepat berputus asa serta harus berfikiran positif.
Dua buah kenderaan pacuan empat roda akhirnya tiba jua walaupun agak terlewat lebih kurang 30 minit dari waktu yang sepatutnya. Tergambar wajah kerisauan Abang Hani sewaktu menanti kehadiran mereka. Tanpa pengangkutan tersebut, pasti ekspedisi ini tidak dapat dimulakan langsung apatah lagi menamatkannya. Bak kata orang, penantian memang suatu penyeksaan. Semua peserta mula mengangkut beg dan peralatan masing-masing ke bahagian belakang 4×4 tersebut. Aku amat bernasib baik kerana dapat menaiki kenderaan yang mempunyai tempat duduk yang agak selesa, manakala 4×4 yang satu lagi memerlukan penumpangn untuk berdiri dan kami sebaliknya pula. Bersamaku menaiki 4×4 yang sama adalah Abang Hani dan Murshid, manakala yang selebihnya langsung tidak aku kenali. Malam yang gelap pula menyukarkan aku untuk mengenalpasti wajah masing-masing. Mengharapkan pabila siang tiba nanti, barulah kesemua peserta dapat aku kenali dengan lebih rapat. Sempat juga aku berbual-bual dengan Abang Hani yang hanya duduk setentang denganku sehinggalah masing-masing mulai melelapkan mata. Hampir 30 minit mengharungi jalan yang sememangnya tidak rata langsung seolah-olah menaiki roller coaster, akhirnya kami sampai kawasan kebun yang merupakan starting point ekspedisi ini yang turut menjadi jalan masuk untuk ke Gunung Yong Belar dan Gunung Tiga Sempadan (YBC atau YB3B).
Setibanya di pintu rimba, kami diberikan masa sebanyak 15 minit lagi untuk menyiapkan diri, makan atau minum, membuang air dan sebagainya. Kemudian, sesi berta'aruf secara ringkas dimana hanya nama panggilan masing-masing diperkenalkan seorang demi seorang kerana sudah agak kesuntukan masa dan kami juga sebenarnya sedikit lari daripada jadual asal. Taklimat ringkas diberikan dimana kami akan 'regroup' di Kem Tudung Periuk dan seterusnya di Puncak Gunung Yong Belar nanti akan diberikan taklimat kedua. Bacaan doa selamat dikepalai oleh Nomad bertujuan mendoakan perjalanan ekspedisi ini berjalan dengan selamat, dipenuhi rahmat dan berkat inayah dariNya. Semoga dielakkan dari sebarang malapetaka, kecelakaan mahupun kecederaan pergi dan balik jua. Bak kata Abang Hani, "Dilarang injured', bermakna jangan biarkan diri tercedera atau elakkan kecederaan.
5.0 KEM TUDUNG PERIUK
Sebagai seorang sweeper, Abang Hani akan berada pada kedudukan paling belakang sekali. Semasa taklimat awal yang diberikan sebentar tadi, beliau telah berpesan agar jangan sesekali berjalan berseorangan dan hendaklah menunggu peserta di belakang jika tidak tahu jalan atau terlalu jauh jarak dengan yang lain. Kami mula bergerak masuk pada jam 5.25 pagi dan dijangka akan tiba di Kem Tudung Periuk iaitu checkpoint yang pertama sekali untuk berhenti menunaikan solat Subuh disana nanti. Kami perlu melakukan sedikit pendakian sebaik memulakan perjalanan dan bagi aku yang sememangnya agak lambat 'panas', terasa sedikit pancit seketika pada mulanya dan itulah adalah antara kelemahan terbesar aku. Amat sukar sekali untuk aku atasi masalah yang sentiasa berulang kali ini kendatipun sudah melakukan sesi 'warming up' badan sebelumnya tadi. Mungkin kadar dengupan jantung aku mengambil masa yang lama sedikit untuk bergerak selari dengan kadar pernafasanku agaknya. Setelah beberapa ketika, barulah aku dapat merasakan 'sedap badan' dan badan sudah mula panas. Aku cuba menyanyi-nyanyi kecil sebagai satu latihan untuk menguji pernafasan. Bukan perkara yang mudah untuk melakukannya. Cara lain yang dapat membantu juga adalah cubalah berbual-bual dengan teman disamping menghilangkan kebosanan.
Oleh kerana trekking dilakukan pada waktu sebelah malam, maka aku berasa tidak perlu bergerak terlalu laju ataupun untuk berada terlalu kedepan kerana kami jua akan regroup nanti. Aku berjalan bersama Murshid dan Cino yang berada dihadapanku. Tambahan lagi, diwaktu yang hampir menjelang subuh ini adalah kurang selamat untuk berada mahupun bergerak didalam hutan kerana ada penghuninya yang sedang aktif beraktiviti dikala ini. Perjalanan aku agak perlahan kerana headlamp aku yang pakai tidak bercahaya dengan begitu terang, walhal baru saja membelinya. Walaupun telah menukar kepada bateri simpanan, ia tetap serupa jua. Arakiannya, aku berharap agar hari akan siang dengan cepatnya supaya tidaklah aku terkial-kial berjalan dalam gelap.
Hampir sejam berjalan, kami semua tiba secara berkumpulan sedikit demi sedikit di Kem Tudung Periuk. Jam menunjukkan sudah pukul 6.30 pagi. Tanpa melengahkam masa, kami secara bergilir-gilir mulai turun ke kawasan waterpoint disitu untuk mengambil wuduk dan kemudiannya bersolat Subuh. Langit yang semakin cerah dan matahari pun mulai terbit dari arah timur sedikit demi sedikit. Kicauan unggas yang kedengaran bersahut- sahutan mengingatkan aku suasana pagi dikampung yang penuh damai dan menenangkan jiwa seperti ini.
6.0 GUNUNG YONG BELAR (2173meter)
Kami dimaklumkan oleh pemilik 4×4 bahawa terdapat satu kumpulan telahpun masuk terlebih awal dari kami untuk ke Yong Belar Tiga Sempadan (YB3B). Abang Hani memberikan sedikit taklimat ringkas lagi bahawa kami perlu regroup semula dipuncak Yong Belar nanti untuk penerangan yang seterusnya. Kami mula bergerak meninggalkan Kem Tudung Periuk menuju Kem Kasut pada pukul 7.00 pagi seorang demi seorang. Tanpa perlu menghidupkan kembali headlamp masing-masing, laluan trek semakin lama semakin dapat dilihat dengan jelas seiring dengan pergerakan terbitnya sang matahari dari ufuk timur. Ianya juga memberi suatu petanda bahawa kemungkinan cuaca yang baik akan berlangsung pada hari tersebut dan semoga kekal cerah sehingga tamat ekspidisi ini nanti.
Perjalanan menuju ke Kem Kasut keseluruhannya agak memacak dan aku rasakan perjalanannya tersangatlah panjang walaupun telah menaiki Gunung Yong Belar sebanyak dua kali sebelum ini. Seorang demi seorang peserta aku dapat pintas sehinggalah aku pula yang bergerak keseorangan. Aku tidak berasa harus menunggu orang dibelakangku kerana aku yakin dengan treknya dan berasa sudah biasa dengan jalannya. Agak mustahil untuk sesat kerana treknya juga agak luas dan laluannya mudah untuk dikesan. Tidak banyak simpang yang perlu lalui. Tidak lama kemudian, akhirnya aku berjumpa dengan Abang Lan yang mengepalai cabaran ini sejak dari mula. Untuk pengetahuan semua beliaulah pemenang Cabaran Korga Dayhike beberapa minggu sebelumnya yang ada kukatakan tadi. Aku bersama-sama beliau berdua-duaan terus berjalan sehinggalah kami sampai ke Kem Kasut. Keadaan trek yang sangat licin dan berlumpur sedikit sebanyak melambatkan pergerakan kami kerana perlu lebih berhati-hati supaya tidak tergelincir atau terpijak lumpur yang mungkin menyebabkan tapak sandalku menjadi lebih licin yang merupakan keburukan utama memakai sandal sewaktu hiking lazimnya. Sandal pula menjadi pilihanku dan aku begitu setia memakainya walaupun ada yang memperlekehkah ketidakselesaan dan bahaya yang bakal dihadapi sekira memakainya. Aku punyai pendirianku sendiri dan bukan aku tidak pernah cuba berkasut sebelum ini. Malah pengalaman memakai kasut memberi suatu impak yang tidak aku sukai iaitu tapak kaki dan jari jemari kakik mudah terasa sakit. Misi kali ini pula aku berazam ingin menamatkan ekspedisi V1 ini dengan jayanya hanya memakai sandal sahaja. Bukan aku sahaja, malah Cino dan Murshid juga memilih untuk menggunakannya sandal juga. Manakala Poi pada mulanya turut memakai sandal sama tetapi akhirnya menukarnya kepada kasut setelah turun dari puncak Yong Belar menuju Kem Kuali kerana tidak tahan dengan tapaknya yang licin dan berkali-kali pula beliau jatuh dek penangannya. Jenama Karimor menjadi pilihan yang terbaik buatku kerana tapaknya yang kuat lagi mencengkam, tahan lasak dan dapat digunakan untuk jangka masa yang lama mengikut penggunaan masing-masing
Kami berdua sampai di Kem Kasut pada jam 8.20 pagi dan setibanya disana, kumpulan yang telah sampai pada malam tadi sudah pun berkampung disini. Beberapa ahli kumpulannya turut aku kenali dan merupakan teman seangkatan hiking juga. Aku dipelawa oleh mereka untuk makan sarapan pagi bersama mereka, namun aku menolaknya secara lembut kerana masih terasa kenyang dan hanya minum secawan kopi yang baru siap dibancuh. Beberapa minit kemudian, hampir semua peserta mulai sampai kesitu. Keadaan menjadi riuh dengan ketibaan kami kerana rata-rata peserta lain turut punyai teman-teman yang dikenali. Rupa-rupanya ada yang sedia maklum tentang keberangkatan kami ini. Mungkin perkhabaran di laman page facebook Penjejak Gunung barangkali tersebarnya info tersebut.
Aku kembali bergerak bersama yang lain menuju puncak Gunung Yong Belar dengan rasa yang lebih bersemangat kerana perjalanan ekspedisi V1 ini hampir sampai ke suku jaraknya. Trek ke puncak yang semakin mencerun dan memerlukan kerahan tenaga yang berlebihan perlu digunakan. Walaubagaimanapun, sepanjang perjalanan, aku terpesona kerana disajikan dengan permandangan trek yang penuh bermossy yang begitu cantik dan pokok-pokok pine yang tumbuh berubah mengikut perbezaan altitud ketinggian gunung. Namun, apa yang aku rasakan, mossy forest di Yong Belar kini makin berkurang keindahannya. Banyak faktornya yang mungkin menyumbang kepada kehancurannya, salah satunya mungkin disebabkan kekerapan masuk dan keluar para pendaki telah merosakkannya keindahannya flora dan alam semulajadinya sedikit demi sedikit.
Selepas 35 minit berjalan turut dan naik dari Kem Kasut, akhirnya aku sampai jua di Puncak Gunung Yong Belar dan merupakan orang pertama sekali sampai dipuncak. Selepas beberapa minit, peserta lain turut beransur-ansur tiba sama seorang demi seorang. Aku mula mengetip gambar dari kamera GoProku satu persatu dan lebih mengembirakan lagi, disajikan dengan permandangan gunung-ganang dan langit biru yang cerah memukau setiap mata yang memandang. Bukaan awan yang biasanya meliputi dan menutupi permandangan gunung-ganang sesaujana mata memandang ini ganang terbentang luas adalah pertama kali aku menyaksikan permandangan seumpama ini disini. Sebelum ini, nasib tidak menyebelahi dan selalunya agak hampa dengan keadaan puncak yang diliputi kabus tebal.
Lama-kelamaan, rasa sejuk mula terasa dan aku mula mengumpul kayu dan ranting-ranting halus serta dedaunan kering untuk membuat unggun api bagi memanaskan badan sambil menunggu ketibaan Abang Hani dan 2 orang lagi peserta lagi yang agak ketinggalan dibelakang. Ketibaan meeka selepas hampir sejam dari masa aku sampai selepas itu melegakan kami semua namun menjadi tanda tanya kerana hanya Abang Hani dan Azizol berdua sahaja sampai. Menurut Abang Hani, beliau terpaksa mengerah seorang peserta untuk pulang dan berpatah balik kerana kondisi beliau memungkinkannya tidak dapat meneruskan ekspedisi ini hingga ke hujungnya. Beliau yakin bahawa sekiranya peserta tersebut meneruskan ekspedisi ini akan melambatkan pergerakan kami semua nanti. Disamping itu, akan mengganggu perjalanan dan pace para peserta lain kerana kami perlu sentiasa untuk ber'regroup' bersama-sama kembali dibeberapa checkpoint selepas ini. Untuk peserta tersebut pulang, kami tidak perlu risau, kerana semasa kami menaiki 4x4 pagi tadi, terdapat satu kumpulan kecil yang terdiri dari pada 4 orang pendaki akan ke Gunung Yong Belar sahaja. Dengan itu, peserta tersebut dicadangkan untuk mengikuti mereka bersama-sama hingga ke puncak dan pulang keluar sekali bersama mereka nanti. Walaupun kedengaran agak tegas dan penting diri, namun itu adalah satu-satunya cara terbaik bagi mengelakkan kecederaan dan tergendalanya ekspedisi ini. Jika beliau meneruskan jua, ekspedisi ini mungkin terpaksa dilanjutkan kemasa yang lebih lama lagi. Hingga kini, peserta tersebut aku tidak kenali dan dapat ingati siapa orangnya. Dan yang lebih menghairankan bagaimana beliau boleh 'terjebak' masuk dalam barisan kami kalau begitu 'performance'nya. Mungkin malang menimpanya seperti telah jatuh sakit seperti deman atau cirit birit disaat-saat akhir tadi. Aku pun pernah mengalaminya, sakit perut dan deman pada hari kejadian membuatkan diri terasa begitu 'pewai'sekali.
Taklimat yang kedua diberikan oleh Abang Hani sekali lagi. Kali ini agak berjela panjangnya dan lebih teliti penuh info dan maklumat berserta kata-kata tips dan nasihat. Hal ini kerana untuk berpatah balik bukan lagi menjadi pilihan kami dan perjalanan yang masih jauh berbaki harus diteruskan jua. Penerangan adalah mengenai keadaan trek, checkpoint dan waterpoint yang seterusnya akan kami temui dan lalui. Kami sentiasa diingatkan soal keselamatan dan dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati kerana bakal memasuki hutan yang dara, lebih tebal, tiada berpenghuni, amat tipis nasib untuk bertemu manusia nanti dan lebih jauh ke dalamnya. Kami mungkin akan berjumpa dengan binatang dan diharapkan agar sesekali tidak akan bertentang mata dengan binatang buas didalam perjalanan nanti.
Bersambung...
Part 2/3
Misi 14 jam
Ulasan
Catat Ulasan