Kisah Mistik 07/15 (Gunung Rajah)

 







GUNUNG RAJAH (2016-2019)

- Bukan Mencari, Tapi Dah Rezeki, Elok Kongsi (Siri 10/15) 


Lama berjalan, kongsi pengalaman, sedikit pengisian, bukan rekaan, atau khayalan



06/15: GUNUNG RAJAH via KKB 


           Terlalu banyak sebenarnya memori dekat Gunung Rajah ni. Banyak aku belajar 'mendaki' dekat gunung ni. Aku mula naik ke Gunung Rajah bilamana Nuang sudah menjadi terlalu komersial dan ramai orang. Banyak kali juga aku naik seorang diri sebenarnya. Nak cuba rasa layan suasana hutan seorang diri macam mana rasanya. 


         Biasanya aku ambil jalan yang tak akan lalu simpang ke Bukit Kutu (nak elak daripada terjumpa ranjer). Enam kilometer pertama, anda akan di temani dengan bunyi air sungai mengalir, jadi tak berasa terlalu takut bersendiri. Cuma selepas melintasi sungai yang terakhir selepas beberapa ratus meter dari Kem BMW, barulah rasa 'sunyi' alam hutan belantara mula terasa. Sunyi dia tu sampai boleh dengar bunyi jantung berdegup kencang, diselangi bunyi nafas menghela kuat. Bila sunyi macam tu, telinga pun mula jadi semakin sensitif hingga bunyi daun gugur jatuh pun boleh dengar. 


        Dalam enam kilometer lebih seterusnya, akan ada beberapa tempat dalam laluan Gunung Rajah ni di mana setiap kali aku lalu pasti membuatkan aku  sedikit takut dan goyang kaki nak lalu. Bila fikir setiap kali nak kena lalu kawasan-kawasan berikut, memang malas sebenarnya nak datang Rajah ni. 


        Antaranya, kalau siapa dah pernah pergi, mesti ingat pada tempat yang ada  batang paip besi lama yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah hutan. Pertama kali datang mesti teruja tengok. Kalau pergi Yong Belar atau YB3B, pasti terbayang batang paip PVC yang berselirat agak banyak dan besar-besar lengan. Tapi batang paip diperbuat dari besi saiz pun sebesar lengan lelaki dewasa juga dan keadaannya pun dah berkarat (Walaupun dah dekat 15 kali pergi, sekeping gambar pun aku tak terasa nak ambik) 


         Persoalannya, bagaimana batang besi paip tersebut bisa wujud di dalam hutan belantara dan mungkin juga ada kaitan dengan bekas runtuhan banglo yang terdapat di atas Bukit Kutu dan bagaimana pula sejarahnya (cuba google mengenai penemuan lokomotif lama di dalam hutan belantara Kuala Kubu) 


         Masa pergi memang tak rasa apa-apa melainkan perasaan nak lalu tu je dah mula fikir macam-macam. Bila setiap kali nak balik tu, aku mesti akan lari selaju dan seboleh mungkin. Memang tak pandang belakang dah. 


        Kawasan paip tu ada dua bahagian, aku namakan Paip Satu dan Paip dua. Paip satu lagi panjang dari Paip Dua. Kawasan di antara keduanya selalu menjadi bayangan. Selalu rasa macam ada orang ikut belakang. Pengalaman yang tak boleh dilupakan masa nak balik dari paip dua ke paip satu, aku dah tak boleh nak berlari dah sebab nak kena hadap satu anak bukit "masa turun rasa pendek-masa balik rasa nak mati". Baru beberapa langkah naik, aku rasa macam ada orang tengah tengok dari belakang. Mungkin 3-4 meter jauh kut. Masa tu aku solo pergi Rajah. Nak menyesal pun tak guna sebab dah nak balik. 


       Aku pun cubalah toleh nak tengok belakang walaupun dah tau memang tak ada orang pun sebenarnya tapi naluri manusia kan mesti nak tengok jugak. Takut tapi mahu. Aku pun kembali mendaki sambil gaya duk urut-urut peha. Lenguh betis lepas berlari konon tadi pun tak habis lagi, nak lawan pulak sakit peha dan lutut kena naik pula. 


     'Prap'. Kuat tak kuat, tapi bila sunyi tak ada bunyi lain dengar jugak. Bunyi macam ranting kayu patah. Bunyi macam orang pijak. Berderau rasa darah. Tapi mata tetap nak toleh jugak tengok, padahal baru je tengok tadi. Aku pun berhenti kejap, berhenti nak tengok apa hal kejadian kat belakang walaupun dah tahu memang takkan ada orang pun sebab aku seorang je turun dari puncak. 


          Nak tak nak perjalanan mesti di teruskan. Rasa macam tak 'seronok' pula aktiviti solo ni. Kalau beginilah perkara yang nak kena hadap selalu, lepas ni tak buat dah. Paling kurang pun berdua lebih baik. Aku mendaki bukit melangkah satu persatu, cuba laju. Ekor mata aku tetap merasakan ada yang mengikut aku dari belakang walaupun aku tak nampak. Perasaan aku betul kuat aku rasakan. Terlintas jugak dekat kepala, bermain-main apa gerangan rupa dan watak yang  sebenarnya sedang menganggu. Aku tahu. 


         Tiba-tiba rasa berani pulak. Rasa tak seronok ada yang 'cucuk-cucuk' kat belakang. Nak potong, potong jela. 


  "Dah, jangan nak ikut aku.., aku nak balik dengan selamat je ni". Lepas aku cakap terus satu badan rasa meremang. Macam tengah bercakap dengan seseorang. Berani semacam pulak. 


         Lepas sampai kat atas bukit, aku tak menunggu untuk berehat walaupun amat  ada sebatang kayu balak tumbang. Buat apa nak tunggu kalau kedatangan tak di undang. Aku hanya fokus untuk sampai ke Kem BMW semula walaupun masih jauh lagi (Kem Asyur-Kem RNR-Kem Renoma-Kem Botol) dengan harapan akan jumpa orang di situ nanti. Bolehlah mengurangkan rasa gemuruh sekurang-kurangnya. Paling-paling jumpa manusia 


          Kem BMW ni pun tak banyak kurang cerita. Yang paling aku ingat adalah awal 2017. Masa tu, aku buat Trans Reverse Chamang-Kuala Kubu Bharu-Chamang (jarak sejauh 60km). Kami seramai 10 orang. Misi kami bukanlah nak laju, tapi hanya nak capai misi. Yang penting sampai. Depek itu bonus. Walhal kami memang nak buat dua hari satu malam pun. 


         Bermula pada tengah malam dan kami tiba di puncak pada awal pagi esoknya. Sebelum tengahari kami turun dan aku orang pertama tiba ke Kem BMW pada pukul 2 petang. Masa tiba di Kem BMW, tiada orang berada di situ. Sementara menunggu yang lain tiba. aku pun nak pergi selesaikan perkara yang patut dan nak lelapkan mata. Kami dah berpakat akan bermalam di sini dah pada tengah malam akan sambung semula berpatah balik ke puncak Rajah dan Chamang. 

   

           Aku berjalan ke arah kawasan yang agak lapang dan redup berdekatan dengan sungai, sedikit tertutup dengan pokok renek dan rendang Tak sampai seminit rasanya lepas dapat baring berbantalkan beg, aku terus lena tertido dan tak sampai 10 minit kemudian aku terjaga semula dari tido. 


          Tido ku terganggu. Tiba-tiba rasa lemas dan tak boleh bergerak tadi. Macam ada orang tindih. Susah giler nak gerakkan badan. Nak menjerit pun tak terkeluar suara. Yang peliknya mata aku masih terpejam. Nak baca ayat-ayat Manzil pun tak terkeluar suara. Beberapa minit lepas berusahah dengan susah payahnya aku cuba melawan, akhirnya aku dapat lepaskan diri. Terus badan jadi bertenaga. Padahal tadi tidur masih ada wudu' kut. Tandanya, itu tak akan menjamin apa-apa untuk selamat. 


         Nak tunggu lama-lama seorang diri kat sini aku dah rasa macam rimas. Tak senang duduk. Mungkin dia tak senang aku duduk di situ. Terus aku angkut beg gerak nak  menuju keluar hingga ke jambatan besi senget dan kemudian berpatah balik semula ke Kem BMW. Bila aku tiba di Kem BMW, semua orang dah sampai dah dan aku menasihati mereka supaya tidak pasang khemah di tempat aku tidur tadi. 


         Satu lagi kawasan yang kalau aku lalu dekat situ, mesti aku rasa takut-takut sikit. Kawasan tu sekarang dah ada papan tanda di beri nama 'False Peak'. Kawasan banyak batuan besar dan kawasan tu juga adalah kawasan yang ramai pendaki selalu sesat. Aku rasa bukan mereka sesat, tapi anda sebenarnya hanya berpusing-pusing di kawasan batu tu. Memang ada dua jalan. Kalau tak biasa memang akan kena 'game' la kat situ. 


         Teringat satu kejadian yang mana aku duduk paling belakang, teman seorang kawan yang berjalan paling lambat dan jarak kami dengan yang lain di hadpan mungkin berbeza 30

-45 minit. Mungkin sejam barangkali. Masa tu dah nak masuk waktu Subuh. Bila kami berdua tiba di kawasan False Peak tu, kami nampak cahaya lampu berlegar-legar di hadapan kami. Aku pun hairan, rasa kami berdua ni jalan terpaling lambat. Mereka pun macam tak bergerak-gerak. Mungkin mereka berhenti nak tunggu Subuh. Bila kami semakin menghampiri, bilamg mereka, rupanya dah tersesat dan sudah berpusing-pusinng kat kawasan batu tu dekat setengah jam tak jumpa trek. Mungkin kena game la tu. 


P/S: Sebab banyak dengar cerita orangla, jadi terbayang-bayang benda tu masa berjalan. Kat batang paip  dengan false peak tu tu ada gula-gula bungkus. Kat BMW ada hantu raya. Aku rasa macam-macam ada. Wallahu' alam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK