Bukit Bauk, Dungun (Puncak ke 115)

BUKIT BAUK SOLO, DUNGUN, TERENGGANU


Alhamdulillah..puncak ke-115

Bukit Bauk Solo, Dungun
472 meter

        Agak mengambil masa untuk merancang misi kali ini kerana seribu satu komitmen yang bukan senang nak dielakkan dan pelbagai faktor persekitaran perlu diambil kira. Hanya sekadar mahu mengambil sedikit kesempatan masa di dalam kesempitan ruang yang sebenarnya kalau di persiakan amat merugikan diri. Segala percaturan sudah diambil kira dan misi yang bakal dimulakan sepertinya dirahmati dengan turunnya hujan sebaik sahaja aku memarkir motokar di tepi jalan bersama-sama dengan begitu banyak kereta lain disitu. Pada jam 9.45 pagi, Berbekalkan hanya dengan sekaki payung yang menjadi peneman diri, aku ingin memastikan pendakian kali ini berakhir hingga ke puncaknya walaupun aku sebenarnya tidak punyai apa-apa pengetahuan sedikit pun mengenai trek atau denainya dan bagaimana jalan mahu ke puncak melainkan hanya mengikut jalan yang berturap dengan tar menuju hingga ke atas bukit yang dihujungnya terletak menara telekomunikasi dengan melawan arus berpuluh-puluh warga tempatan yang senang turun, mungkin sudah habis prospek puncak masing-masing agaknya. Gaya ringkas hanya memakai sepasang sandal usang dan bertopi hijau sebagai pelindung kepala dan rambutku yang sudah mencecah paras bahu mungkin dilihat kurang sesuai untuk melakukan aktiviti riadah seperti mereka, mungkin dari keselamatan tampak agak lewa, tapi aku lebih mengutamakan keselesaan diri. Aku hanya berjalan menundukkan kepala, terasa malas nak bertentang mata walaupun ada beberapa orang memberikan salam dan menegur kerana aku tak berapa gemar dengan sikap orang sekeliling ketika itu, mungkin aku bersikap prejudis atau paranoia.



       Semakin aku jauh melangkah, semakin berkurang orang, ada juga yang berjaya aku potong dan bila aku tiba ke kawasan menara, tiada sesiapa pun berada di situ. Aku yakin tak ramai orang tiba (akan) ke sini kerana waktu sudah melepasi angka sepuluh pagi. Aku mula berasa sedikit kecewa memikirkan yang puncak yang aku mahu sampai tidak aku temui seperti di harapkan dan mungkin hanya berakhir di depan pagar yang berkunci di situ. Aku tak mahu berputus asa, sudah jauh datang, tak mungkin aku harus mengalah. Aku mula berjalan meronda kawasan sekeliling hingga aku jumpa sebuah denai yang amat jelas menjadi laluan pendaki di sepanjang tepi pagar di sebelah kanannya yang kemudiannya aku membuat keputusan untuk meredah melaluinya hingga aku sampai di sebuah kerusi bersimen dan terdapat sebuah papan kenyataan yang memaparkan sebuah peta yang amat ringkas tapi amat berguna. Peta tersebut memberi info yang akan membawa aku ke puncak melalui sebuah denai yang berjarak 3.75km lagi untuk sampai berdasarkan pada papan tanda yang terletak di garisan permulaan denai tersebut.


         Selepas mengambil gambar peta tersebut sebagai rujukan, aku tanpa berfikir panjang dan rehat lagi, memulakan perjalanan memasuki trek denai hutan untuk menuju ke puncak. Jaraknya yang hampir mencecah empat kilometer iaitu bila berada di dalam hutan mungkin mengambil masa sejam atau lebih jika laluannya mudah. Tetapi, sejak di awal penjalanan, aku sudah beberapa kali terpaksa mendaki naik dengan treknya sangat licin dan berkabus disebabkan hujan sebentar tadi. Itu belum lagi kira penat belum habis lagi berjalan naik bukit dari jalan raya tadi dan selama dua hari berturut-turut aku berlatih naik bukit berdekatan dengan rumahku sebagai persediaan. Aku juga perlu menyimpan tenaga dan tidak boleh terlalu berhempas pulas untuk sampai ke puncak kerana tidak membawa sebarang makanan dan minuman.


       Sebanyak sepuluh bukit (aku kira) telah di redah naik dan turun, dan hampir keseluruhan perjalanan aku tidak ke temui sesiapa selain bertembung dengan seekor babi tunggal yang nampaknya kami kedua-dua terkejut bila melihat antara satu sama lain yang pasti. Ada beberapa kawasan di pasang tali yang amat membantu aku naik (dan turun) kerana sandalku sudah menjadi licin dan aku sudah bersiap siaga memakai stoking di kawasan peta tadi kerana tahu apa yang akan aku hadapi nanti.

       Cuaca yang agak sejuk dengan persekitaran berkabus dan suasana yang kelam dan hambar sebenarnya memberikan satu permandangan luar biasa kesan daripada impak cahaya matahari yang mula kembali bersinar selepas hujan berhenti yang terbit dari celah-celah pokok di dalam hutan tersebut. Sepanjang perjalanan, terbayang cerita-cerita mistik yang asyik bermain di fikiran silih berganti walaupun aku cuba melupakannya dengan bercakap seorang diri. Beberapa tapak kaki yang kesannya agak baru mungkin memberi harapan yang aku mungkin bertemu dengan orang ditengah-tengah laluan dan sangkaan aku menjadi kenyataan apabila beberapa meter lagi untuk sampai ke puncak, aku bertembung dengan tiga orang pendaki yang sedang turun iaitu Zul, Izzul dan Sabri yang masing-masing merupakan anak jati Terengganu Darul Iman.

       Selepas memberi laluan kepada mereka untuk turun terlebih dahulu, aku terus melangkah naik dan sebenarnya aku agak tak percaya kerana tidak sampa beberapa meter selepas itu, akhirnya aku sudah tiba di puncak Bukit Bauk walhal kiraan jarak pada jam baru mencecah 1.3km lebih. Seperti dalam mimpi, kerana aku menjangkakan mungkin akan tiba di puncak sebelum pukul 12 tengahari berdasarkan pada tahap pendakian dan keadaan trek yang sedikit diluar dugaan. Masih menjadi misteri, trek manakah yang perlu dilalui sebanyak 3.75km itu? Sehala.



       Tidak sampai lima minit, aku bergegas turun dari puncak kerana mahu menuju ke Maran, Pahang demi menghadiri sebuah kenduri kahwin dan kemudiaan merancang ke Jerantut, Pahang lagi untuk mendaki Bukit Seladang. Perjalanan menurun dari puncak amat santai kerana aku yang bertembung semula dengan ketiga orang pendaki tadi kembali bersama-sama mereka berjalan secara berkumpulan dan sempat berbual-bual di bertular pengalaman, nombor telefon dan menjadi teman di laman alam maya pada ketika itu juga hinggalah aku terpaksa memohon untuk mengundur diri untuk segera berangkat pergi (dengan pantasnya menurut pergerakkan kebiasaan aku).
Sebelum pukul satu tengahari aku sudah berada di Kemaman.

P/S: Hampir semua blog yang aku baca dimana penulisnya tak sampai pun ke puncak sebenar Bukit Buak ni. Semua claim sampai kat menara telekomunikasi je


Klik bawah untuk cerita: 15 Cerita Paling Termistik Sepanjang Cikgu Mencompress Gunung

Ulasan

  1. Terima kasih Cikgu.. Jika tiada aral macam nak mendaki besok dengan isteri ke Bukit Bauk..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya Allah... aim sampai pencawang dulu (ikut jalan tar je smpai atas) ..pastu baru cub ke trek denai sampai puncak

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK