Bukit Lagong 2023 (Puncak Ke 176)

      



 

Alhamdulillah.. Puncak ke 176

Bukit Lagong (572m)

Total Distance : 11.50km
EG Gain: 753m

       Sejak aku jadi pengulas bukit - bukau, Haizer aka Tiger pulak suruh aku review pasal Bukit Lagong pulak. Memag dalam senarai pun cuma tunggu masa dan waktu yang mengizinkan. Rezeki Tuhan, Oni ada mesej dalam beberapa hari sebelum tu pun ajak kalau nak hike dan beliau pun percuma kalau weekdays. Lama jugak tak jumpa Oni, kali terakhir bersua masa buat Trans Yamtuan Antah, 2017 barangkali. Terus aku ajak buat teman. Tak perlu risau mengenai permit atau guide kerana statusnya hanya Hutan Rimba; (betulkan jika silap info) bukan HSK - Hutan Simpan Kekal

        Kami bermula agak lewat kerana kedua-dua terpaksa keluar semua dari kawasan parking Bukit Lagong kerana sakit perut. Tandas awam yang tersedia sudah rosak erana vandalisme. Air pun tak ada. Hanya pukul lapan setengah lebih, barulah kami bergerak naik dan masa senang naik, ada jumpa seorang Uncle India yang sedang turun mengatakan jika kami ingin ke Bukit Lagong, bolehlah cuba untuk tembus ikut FRIM di Kepong (dah confirm dalam maps, boleh). Macam jauh.



        Dahlah trek nak menuju ke puncak pertama atau sub-peak iaitu 302m sudah cukup meletihkan. 70% atau lebih banyak mendaki. Beberapa orang pendaki kami temui, rata-rata hanya tiba di puncak tersebut. Hanya di puncak 302m sahaja menawarkan permandangan terbuka langit berlatarkan kabel pencawang dan bangunan moden, manakala di puncak 323m atau sub-peak kedua, anda hanya akan berjumpa pokok balak besar tumbang dan seterusnya pendakian di puncak 498m adalah dua kali susah dari trek menuju ke 302m tadi. Menaik dan terus menaik. Walaupun treknya agak redup, tetapi bahang panas sudah makin terasa.

        Bermula dari puncak 498m, kami meneruskan perjalanan turun hinggalah berjumpa sebuah waterpoint yang agak luas dan jernih airnya. Elevation loss pun agak banyak jugak, lebih dari 120 meter menurun. Dah boleh nampak dah azab dia mana nak naik balik nanti. Sebelum itu anda akan jumpa simpang ke Bukit Lagong- Kolam Tok Batin dahulu. Pendakian yang sebenar hanya akan bermula selepas anda jumpa anak sungai tadi (ada port untuk sliding dekat beberapa meter dari atas, macam ada batu hampar yang agak landai untuk dibuat gelongsor).
         Oni yang asyik mengambil gambar suruh aku jalan je dulu. Keadaan trek agak bersih dan terang, menandakan sudah lebih ramai orang dah pernah sampai dan datang ke sini. Marking pun senang nak cam. Kalau takda marking atau gpx pun nak sesat tu mustahil boleh jadi. Cuma trek jadi berpusing-pusing disebabkan nak elak daun pokok nipah yang berduri batangnya tumbuh disekeliling.

         Tiada apa yang menarik aku nak cerita cuma aku pengalaman yang sedikit buat jadi agak kaget bila ada seekor makhluk kecil yang agak lincah bergerak memasuki semak lalu. Warnanya agak coklat dan mulanya aku beranggapan mungkin sang tupai kut. Tetapi tak adelah laju sangat, boleh nampak gayanya yang bergerak dalam acara lompat berirama, agak lincah tetapi aku tak dapat melihat dengan jelas kerana dlindungi daun-daun nipah yang agak tebal. Bukan sekali, malah tidak kurang dari tiga kali hal tersebut terjadi. Apatah lagi, bila aku berjalan seorang diri, lagi jelas kelihatan. Tetapi masa balik, masa lalu kat trek yang sama, tak ada pulak.

       Sepanjang aku mendaki ni, pernah sekali aku jumpa seorang kancil di depan mata melompat-lompat berlari masuk dalam hutan. Perasaan masa tu, kaget bercampur terkesima sekali dengan tangan konon nak rakam, walhal mata pulak nak tengok. Hatta, terus tak dapat apa-apa pun, dahla cepat sangat di larikan diri. Dua tiga lompat, terus hilang.


        Dekat sejam lebih kami lepak dekat puncak. Memang tak ada orang dah datang lepas tu, masa balik sekalipun. Hanya ada sebuah beirut besi atau stesen trigonometri dah usang, berkarat dan separuh condong dek patahkakinya. Cuaca yang panas agak membantutkan mood nak bergambar dan kami berehat dekat kawasan yang agak lapang dari pokok resam yang memenuhi sekitar puncak. Bila lebah semakin banyak mengerumuni ke badan, kami bergerak pulang semula, rimas. Lagipun nak berkejar solat jumaat pulak hari tu.

       Bila tiba semula di simpang Kolam Tok Batin-Waterpoint atau ke puncak 498m, kami memutuskan untuk berjalan ikut Kolam Tok Batin. Masa di parking tadi, aku ada nampak la papan tanda kecil yang mengatakan Kolam memancing lagi 2.5km ke dalam. Mungkin kolam yang sama. Kalau nak ikutkan kaki memang tak larat dah nak naik semula. Masa ikut trek ni, kami agak was-was mulanya sebab trek pun seperti tak ramai orang lalu, dan banyak menurun pulak tu. Beberapa kali jumpa pondok kecil orang asli di tengah jalan, barangkali mungkin pondok tok batin datang berehat.

        Treknya agak bosan dan banyak menurun, jadi  kami berdua pun sambung bersembang tanpa henti dari puncak tadi hinggalah sampai keluar. Kami keluar di hujung sebuah kebun durian dan dari jauh nampak beberapa kolam ikan dan rumah-rumah orang asli berserakkan. Untuk mencari jalan keluar masuk ke jalan utama pula, aku beritahu Oni kita kena mencari punca di mana tiang kabel elektrik sebab ia akan membawa kita ke jalan utama. Pada aku, ada kabel dan tiang elektrik bermakna adalah penempatannya.

         Kami ikut sebuah van yang baru usai menghantar masuk anak-anak kecil pulang dari sekolah. Sambil berjalan kaki, kami menikmati suasana kampung yang dihiasi dengan permandangan kebun durian, projek ladang daun kesum, pokok bunga kantan, Kolam ikan tujuh puteri dan macam-macam lagi sambil ditemani oleh bunyi deruan aliran sungai di sepanjang jalan. Beberapa kali juga berhenti meninjau keadaan air sungai di tepi jalan memeriksa kejernihannya. Anda juga boleh datang masuk ke Taman Rimba Bukit Lagong yang mempunyai kelengkapan dewan (kem bina semangat) dan trek untuk jogging seumpamanya.

        Sempat kami singgah menghilangkan dahaga di sebuah kedai makan berkonsepkan dalam kebun (sebab dinaungi oleh pokok-pokok durian) dan kolam ikan (mungkin boleh pilih-tangkap-makan segar dari kolam).
Hidangan makan lauk pauk tengahari sudah pun tersedia untuk dijamu. Harganya pun tak berapa nak rahmah walaupun ada wifi disediakan (line telefon hampir sifar servis).

       Usai minum, kami menyambung semula perjalanan keluar dan anak sungai yang mulanya kecil tadi kian membesar dan luas walaupun airnya agak cetek seperti di Sungai Congkak. Aku membersihkan diri di sungai berhampiran parking sebelum bergerak keluar menuju ke masjid berdekatan.

        Apa yang aku dapat simpulkan, tempat ni agak best dan seronok kalau nak training. Ada macam Kemensah-Pondok Repin sedikit tapi 'less crowd' atau mungkin aku kena datang di hujung kut. Barangkali.

CC Haizer aka Tiger







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK