Compress Hiking : Dari Hati ke Hati; sisi pandang

 






"Yang pernah buat compress je tahu sengsara buat compress "


       Nak ulas isu 'compress' ni malas sebenarnya. Bukannya apa, asyik-asyik isu berbangkit. Naik turun macam roda. Semua nak bagi fatwa masing-masing, berpaksikan mazhab yang diceburi. Kalau nak suruh aku, aku pun bukan pakarnya, jauh sekali seorang pelopor tapi sekadar berkongsi pengalaman. Aku tak nak kecam siapa-siapa. Nak buat, tanggung sendiri. 


      Apa itu compress atau trip compress. Kalau dalam Kamus Dewan Bahasa yang diterjemahkan pasti dinyatakan maksud 'tekan'. Dari segi hikingnya adalah menyingkatkan atau memendekkan perjalanan sesebuah ekspedisi. Masa aku mula-mula hiking ni, apa yang aku faham dengan trip compress semuanya kena dayhike atau depek atau bawah 24 jam pendakian. Tak dengar lagi orang buat V1 dayhike. Compress pun yang aku dengar V1 48 jam je.


SELECTED ONLY 


       Hampir semua trip compress yang aku sertai adalah kelolaan atau anjuran aku sendiri. Jadi aku bukan jenis bukak sesuatu trip tu kepada umum dan peserta adalah sejenis orang yang 'selected only'. Jadi aku bukan jenis nak 'makan duit orang'. Kebanyakkan mereka adalah yang pernah mendaki bersama sebelum ini dan aku sudah 'X-Ray' siap-siap. Bukan tak nak bukak kat umum, tapi kita tak boleh tangkap muat je, sebab kita tak tahu kondisi, keupayaan dan kepaduan mereka; baik lelaki mahupun wanita. Ya! aku tahu nilai persahabatan penting. Tapi aku lebih pentingkan kejayaan trip aku nanti. 


       Tanggungjawab 'gogo' atau ketua penganjur ekspedisi lagi besar nak dipikul. Anda kena tahu kat mana nak 'regroup', kat mana waterpoint, nak kena bagi arahan lagi. Bukan senang nak buat keputusan;nak suruh member berhenti ke atau nak sambung bergerak/jalan semula. 


        Dan sebab itulah aku lebih suka bergerak dalam kumpulan yang kecil. Lima orang pun sebenarya sudah memadai. Itupun aku kawatir kerna, kalau dalam trip compress nanti, pasti akan berpecah menjadi dua group juga. Jadinya, sebagai gogo, di permulaan pendakian atau group whatsapp contohnya sudah diberi taklimat ringkat atau diberitahu siap point-point penting supaya pendakian berjalan lancar. 

Jelas. 


BELAJAR 


     Antara ekspedisi compress pertama aku sertai adalah YYBTN (Yong Yap-Bubu-Tok Nenek). Dibahagikan kepada dua group. Group pertama bagi aku tersangat padu kerana terdiri daripada trail runner dan mereka masuk awal sejam dari kami. Group kami rata-ratanya terdiri dari hiker-hiker yang biasa-biasa dan acah-acah laju macam aku. Aku cuma nak timba pengalaman je. Dipendekkan cerita, mungkin disebabkan aku terlalu laju atau ahli group aku yang terlalu perlahan, aku dapat kejar group pertama dan menamatkan pendakian bersama-sama. Catatan masa adalah 21 jam masa tu adalah rekod peribadi yang amat dibanggakan buat aku. Masa trip nilah aku banyak belajar daripada melihat geng-geng runner 'mendaki gunung cara compress' yang mana adalah wajar dan betul dilakukan. Salah satunya adalah 'kalau dah rehat kena betul-betul rehat,kalau nak jalan, biar betul-betul jalan, kalau boleh terbang sekalipun' dan 'setiap empat jam atau kurang, kena isi perut dengan makanan kerana kitaran perut aku melapar pada waktu yang ditetapkan'. Aku yang kerja nurse ni pun tak terfikir benda penting macam tu. 


MAKANAN 


       Cumanya aku tak makan nasi terutamanya masa dekat on-trek la. Tak boleh nak telan. Jadi aku modifi selera makan aku. Aku elakkan makan chocholate atau protein bar kerana terlalu lumayan bagi aku. Bukanlah, kerana aku rasa manisnya membuat aku lagi inginkan,  dahagakan air. Jadi aku mencari asam yang tak terlalu masin atau buah yang seangkatan dengannya. Senang nak kudap, waima masa berjalan sekalipun boleh nak kunyah dan cepat boleh kenyang pula. Itu ikut selera masing-masing. Tak semua orang boleh telan makanan yang sama. Kena ingat satu jer, jangan makan sampai penuh perut pulak. 


FOOD POISONING 


       Aku pun pernah mendaki YYBTN secara reverse dan semasa pendakian aku mengalami keracunan makanan. Buat compress kut. Apa korang jangka nak berlaku, benda tak dirancang, jauh sekali mintak. Malam tu tak sengaja makan cendawan goreng banyak sangat. Bayangkan sepanjang trek 43km tu aku tak boleh telan apa-apa makanan sebab perut rasa banyak angin dan sebu, tapi tak boleh kentut. Aku hanya minum air. Perut pun tiba-tiba jadi kembung menyebabkan peparu serta diafragma tak boleh nak kembang dengan seluasnya disebabkan abdominal pressure yang tinggi dan masa tu, aku  betul-betul tercungap-cungap dan rasa macam tak cukup habis sedut nafas kena hembus keluar semula. 


        Aku cakap kat kawan aku yang setia teman kat belakang (dia siap boleh nyanyi sebab aku terlalu slow gerak) yang "kaki aku tak penat tapi aku rasa mengah giler". Tapi mengah-mengah pun aku berjaya buat bawah 11 jam (10jam 53min). Compress tetap compress. Punya gila aku push masa tu.


STUDY TREK 


      Satu lagi aku nak pesan, kalau nak buat compress atau apa-apa jua gunung, walhal bukit sekalipun, study trek. Buat pembacaan kat blog atau tanya mereka yang dah melalui pengalaman. Pasti ada tips-tips penting nak bawa dan guna masa mendaki nanti. Kalau malas sangat tengoklah video-video. Sekarang hampir semua orang buat video. Cari atau minta log ataupun GPX. 


     Cara aku, kalau nak buat compress aku kena mengarang tentatif aku dulu. Tentatif tu sekadar panduan je. Anggaran jarak dari satu checkpoint atau kemsite ke kemsite atau ke puncak. Tak perlu terlalu teliti tetapi jangan terlalu 'santai'. Ingat compress bukan nak santai-santai. Perlu tekan. Perlu paksa diri.


TENTATIF & LOG 


       Oleh yang demikian, kalau aku nak buat compress ni, biasanya aku karang dari log yang aku pernah buat dahulu. Bila dapat dari log sendiri, lagi senang nak buat tentatif. Kat mana nak target belari, nak curi masa, nak berborak, kat mana nak skip rehat, kat mana nak regroup atau kat mana selalu slow dan kena laju. 


        Sebab tu kalau aku nak buat betul-betul compress, kena pergi banyak kali dahulu. Kena biasakan dengan trek tersebut. Ingat trek, simpang mana kena lalu, kat mana nak kena isi air. Takkan setiap tempat nak singgah ambik air. Masa nak kena jaga. Dari situ barulah anda tahu kat mana kelemahan anda dan ahli yang lain. Ada orang laju masa trek menaik dan ada orang laju masa menurun, siap boleh berlari. 


       Dah pergi Gunung Rajah lebih 10 kali baru aku yakin nak buat trans reverse KKB-Chamang-KKB. TNBYY pula kali keempat baru dapat personal best (kali kelima aku buat solo, tapi sub 12 jam je sebab aku pewai), Gunung Semangkok; 5 kali (9jam 53 minit), Liang-Tumang Batak; lima kali (sub 11 jam), Trans Titiwangsa V1; 3 kali (14 jam 26minit) dan Trans Slim pulak percubaqn kedua barulah dapat buat bawah 12 jam (11jam 32 minit). Tu sebab dah hadam trek LTB banyak kali dah. Ini antara rekod peribadi dan semua log masa aku simpan hingga ke saat ini. 


  KASUT VS SANDAL 


      Ini pun isu besar jugak - bagi aku. Dulu aku suka sandal, tapi bila nak buat compress kena pakai kasut yang sesuai dan betul. Aku tak pandai nak cadang kasut apa, sebab kaki masing-masing kita tak sama tapaknya. Pengalaman pahit masa buat TNBYY ni, aku ingat pakai sandal ni memberi kelebihan yang hanya berguna semasa melintasi ribuan anak sungai tetapi langsung menghampakan persembahan semasa trek berselut dan lembap. Sandal jadi licin, grip tapak tak mencengkam dan nak berjalan kaki asyik terkeluar dari sandal. Aku tertinggal setengah jam dengan kawan-kawan didepan sebab asyik duduk berhenti membersihkan tapak sandal dengan selut tebal. Kecewa giler masa tu sebab sandal tak perform. 


COMPRESS TAPI SANTAI 


     Satu lagi terma baru yang muncul. Aku tak berapa berkenan konsep pendakian begini. Kalau nak compress, kena betul-betul compress. Tapi bila dah cakap " kalau tak dapat, kita santai je". Bila dah ada niat macam tu, anda susah nak capai target sebenar. Ianya seolah-olah anda mencipta pilihan nak gagal. Sebab tula banyak insiden kat gunung selalu dikaitkan dengan trip compress. Aku pun tak nafikan. Kalau dari awal dah acah-acah, mulalah konsep depek itu bonus timbul. Kena ingat, masa awal-awal perancangan kita nak compress dan persediaan kita secukupnya untuk trip tersebut. Bila jadi santai, masa yang dihabiskan dalam hutan menjadi makin panjang dan item-item atau barang yang nak digunakan seperti makanan atau ubatan akan terus berkurang. Tu jadi isu seperti kepenatan berlebihan dan kelaparan melampau, tak mampu nak berjalan lagi dan selebihnya. 


TRAINING 


      Kalau nak compress tapi tak training, lupakan hasrat anda. Jangan mengharap tiap-tiap minggu masuk hutan tapi camping 3 hari 2 malam menjamin hasrat nak berjaya tuk compress. Kena ada latihan jugak. Kena rajin berlari. Kena rajin buat latihan cardio seumpamanya. Aku pun ada jugak la 'secret training' nya. Tapi taklah kerap sangat sebab aku kerja shif. Susah nak dapat masa yang sesuai. Jadi apa aku buat adalah aku set setiap hari aku kena dapatkan 13 000 steps. Aku jalan kaki pergi kerja (no car for work) yang mengambil masa paling cepat setengah jam setiap kali. Lepas tu, naik tangga dan jangan ambik lift; naik dan turun melainkan kalau ada kecemasan dalam wad, terpaksa aku guna lift sebabnya nanti nak buat CPR, anda akan termengah-mengah, silap-silap boleh patah tulang rusuk pesakit nanti. Jadi adalah muscle memory. Yang penting, kena konsisten. Bila dah berhenti, nak mula balik tu jenuh. 


      Banyak lagi aku nak karang dan nak pesan. Antaranya pilihnya guide atau gogo yang betul-betul tahu nak ber'compress'. Nasiblah dapat yang cakap tak serupa bikin atau sembang kencang dah buat itu ini. Wujud je orang macam ni. Disiplin pun kena tinggi jugak. Patuhi masa yang ditetapkan. Lagi awal lagi bagus. Sebab tu kena dalam group kecil. Kalau 10 orang, mesti ada seorang dua yang lambat. Mesti ada.


      Asal aku compress sebab masa. Cuti tak cukup sama dengan orang. Orang cuti hujung minggu, aku cuti Selasa atau Rabu. Jadi aku kena cari jalan dan kaedahnya. Nak jugak hiking seronok-seronok 'selfie-senyum-kat-signboard-padahal-tadi-naik-merangkak-siap-cakap-menyesal-tak-nak-naik-dah' perangai. 


    Akhir kata, aku percaya semua gunung di Malaysia boleh dibuat Daypack dan Compress jika kena cara, tidak dipolitikkan dan kerenah birokrasi dikurangkan.  


SEDIA DIKECAM DEMI COMPRESS


Sekian

Amir Muslim

Cikgu Compress

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK