Kisah Mistik 8/15: Gunung Tebu
GUNUNG TEBU (2017)
- Bukan Mencari, Tapi Dah Rezeki, Elok Kongsi (Siri 8/15)
Lama berjalan, kongsi pengalaman, sedikit pengisian, bukan rekaan, atau khayalan
SUARA (2017)
" Ada orang ke depan kita tu" Soalan yang rasanya tak perlu di tanya pun, kalau dah tahu memang tak ada sesiapa di depan. Aku pasti.
"Biasala tu, tempat 'dia'" Jawab Fahmi. 'Dia' yang beliau maksudkan tu aku dah faham dah 'siapa' gerangannya.
Aku masih ingat sampai sekarang; Suara seorang lelaki bercakap diselangi dengan suara seorang perempuan gelak kemudiannya. Amat jelas dan kuat sekali. Datang dari atas bukit yang kami nak tuju. Aku menganggak jarak mungkin 10-15 meter sahaja. Begitulah terasa betapa dekatnya suara itu berkumandang. Masing-masing siap berhenti sekejap, cuma mengamati kembali, mana tahu suara tersebut kembali kedengaran. Sepi, bunyi suasana hutan yang sunyi je ada.
Kami baru berhenti rehat sejenak di Batu Mat Hasan tadi, selepas hampir sejam berjalan tanpa henti. Cuaca dah makin panas. Bahang haba matahari kian membangkit. Aku mulai rasa badan tak selesa. Hidung pun macam dah terasa tersumbat dengan hingus yang belum lagi nak merembes; bakal lah tu rona menghijau menyusur di rongga sinus nanti.
Kata Fahmi, Batu Mat Hasan
ni tempat Mat Hasan ni bertapa. Ada kata beliau ni guru silatlah dan ada yang kata dia datang cari hasil hutan. Tapi kalau dah kawasan orang letak nama, mesti bukan calang-calang orang ni. Bawah batu tu pula ada gua. Ada jugak air setitik dua kalau nak ambik. Macam tak berbaloi.
Laluan selepas dari Batu Mat Hasan ni hampir 80-90% nak kena mendaki akar kayu yang berselirat sehinggalah sampai di Last Waterpoint. Di situ, menjadi antara lokasi pilihan pendaki nak bermalam selain kemsite puncaknya. Ada tali di pasang untuk memudahkan pergerakkan kami menaik, takdelah nak pegang-tarik kat akar kayu yang besar tu. Aku tak nak buat kesimpulan awal. Kami mungkin terserempak dengan orang lain di kemsite ataupun puncak nanti. Mustahil tak jumpa orang langsung. Hari ni kan cuti umum. Cuti raya Aidilfitri. Takkan langsung tak ada orang masuk Tebu. Ada 30 juta orang kut penduduk dalam negara ni. Aku masih menaruh harapan ~ sepanjang... perjalanan... ini.
Dipendekkan cerita, dekat Kemsite tak jumpa orang, hatta dekat puncak pun tak ada orang juga. Kami siap turun pergi ke batu hampar dan batu silat lagi. Masih dan tiada langsung orang. Suara tiada lagi kedengaran. Alamak. Sudah!
Turun balik dari puncak Tebu, badan aku jadi makin tak selesa, rasa panas sampai tak sabar nak berendam dekat air sungai kat bawah. Bahana bahang panas Gunung Tebu, terus terasa nak demam. Memang penangan 'panas' dia lain macam. Hutan bukan main tebal, pokok pun banyak, tapi hampir tiada langsung angin lalu. Entah-entah dah kena 'tegur' tak tadi tapi tak sedar. Rasa kencing kat kawasan semak-semak Batu Mat Hasan tak hadap kiblat kut.
Sepanjang turun tu ke bawah rasa jauh sangat nak sampai ke pintu rimba. Nak bilang kami berjalan, tak jugak. Apatah lagi nak berlari; tapi formasi kami macam 3 kali punca kuasa dua laju jugak dari naik tadi. Jika itu sifir mudahnya. Mengah macam tak cukup udara nak sedut. Ingatkan, bila dah sampai kat kawasan batu berlumut tu, kami dah nak sampai. Tanya Fahmi dia asyik beri harapan palsu. Pacak dia bagi macam tak berpenghujung. Mulut aku dah gagal nak terus bertanya bila lagi nak sampai puncak.
Rasa 'jauh' tu amat terasa jauhnya bila lepas lalu Batu Mat Hasan tu, rasa jauh yang teramat. Suasana hutan rasa makin panas. Angin sifar takatnya. Kena pulak dengan mengah nak naik semula tiga empat kali anak bukit. Bila masa lalu entah la. Masa datang tadi tak perasan pulak menurun, nak balik ni macam-macam ada.
Lima kali aku datang Gunung Tebu ni, lima kali jugaklah aku selalu rasa benda ni terjadi Rasa lambat gila nak sampai; walaupun sehabis laju berjalanlari. Mungkin perasaan kita kut. Bila penat, rasa tenaga dah habis guna. Tapi rasanya semua gunung macam tu, bila nak balik rasa lagi jauh nak sampai.
Akhir kata, setiap kali aku pergi Gunung Tebu, rasa mistik dia ada dekat mana-mana, cuma aku bukan ahlinya dan bukan jenis nampak. Tak banyak pengalaman mistik yang aku alami, tapi kalau pergi mesti kuat terasa. Banyak pula sejarahnya tapi kita tak tahu dan tak kaji.
P/S: Orang kata (orang kata lagi).., kalau kita tengah jalan tu jumpa pokok tebu.. sesungguhnya anda telah sesat. Wallahualam.
Ulasan
Catat Ulasan