15 CERITA MISTIK PENGALAMAN: No 12 (Bukit Maras)

 15 CERITA MISTIK PENGALAMAN (Bukit Maras)

- Bukan Mencari, Tapi Dah Rezeki, Elok Kongsi (Siri 4/15)

Lama berjalan, kongsi pengalaman, sedikit pengisian, bukan rekaan, atau khayalan.

No. 12: Bukit Maras via Trek Denai) : SeSaT
  





      "Rem, nanti kalau jumpa kawasan pokok sireh tu, jangan gedik hang nak ambik gambar". Itulah pesanan pertama aku dekat spesies manusia yang suka ambil gambar hatta kendatipun gambar sehelai daun kering.

        Ketibaan duli yang termulia, bermakna aku harus mencari trek pendakian yang lain dari yang lain. Compress tapi santai. Aku bercadang nak naik ke Bukit Maras melalui trek denai. Jarang sangat orang lalu. Apatah lagi sudah hampir berbulan-bulan sejak PKP dikuatkuasakan, sudah lama aku tidak melalui trek denai ini. Pasti trek tertutup dengan semak samun. Lebih sukar lagi, pendakian di mulakan dari kawasan parkir bermakna aku harus melalui kebun durian terlebih dahulu yang mana agak banyak bersimpang jalannya.

        Kebiasaanya aku akan naik ke puncak Bukit Maras dahulu dan turun mengikut trek denai, barulah treknya lebih mudah di jejaki.

       Permulaan pendakian bermula agak lewat; pukul enam petang lebih, mungkin melepasi suku jam sudah. Selepas kami merentas anak sungai (Ceruk Betik), bunyi monyet hutan yang bersahut-sahutan mengejutkan kami. Lain macam bunyinya. Marah ker. Aku yang berada di hadapan, mulai rasa sesuatu. Ah. Jangan difikirkan sangat. Mungkin kedatangan manusia mengejutkan mereka juga sebaliknya. Memberi tanda protes amaran barangkali. Aku sesekali menoleh ke belakang, agak jauh ketinggalan si Rem ni. Aku dah agak, aksi pengambaran filem sudah bermula, malah sejak dari awal parkir lagi 'camera, take, action'nya.

       Cabaran pertama bermula di kawasan Dusuk Pok Hem. Kawasan kebun yang agak bersemak menyukarkan kami mencari trek hingga telah agak jauh tersasar. Bila jumpa sebatang balak yang dah lama tumbang (itupun dah tertutup jugak di dalam belukar tebal), baru jumpa kesan trek yang betul. Cabaran kedua pula, di sebabkan kawasan dusun baru dibuka, ada beberapa laluan sudah berubah kerana ada pokok yang ditebang sudah menghalang laluan asal. Seperti, ada kawasan laluan batu di mana anda wajib akan merangkak untuk melaluinya sudah tertutup dengan ranting dan dahan pokok.
       
       Cabaran ketiga pula, aku sudah mula rasa menyesal lalu ikut trek ni. Sebabnya, aku dah sampai kawasan yang aku selalu terlajak naik, mahupun aku turun sekalipun. Ya; pasti akan salah jalan walaupun sudah berulang-ulang kali lalu. Aku pun segera berpesan dekat Rem, agar berhati-hati sikit, 'tengok-tengok sket trek, kalau aku tersasar' sebab kami dah nak sampai kawasan Taman Sireh. Aku berpesan lagi kat beliau, jangan ambik gambar dekat kawasan tu sebab 'sesuatu sikit. Dulu aku pernah lalu seorang diri, berhenti ambil gambar tapi dah balik dan sampai rumah aku terus padam. Seram.

       Rem patuh arahan. Bila kami berdua sampai kat kawasan tersebut, dimana pokok sireh yang menjalar di atas tanah sejauh mata memandang terhampar di hadapan. Kami seolah-olah tenggelam dalam lautan daun sireh, aneh rasenya bila berada di situ. Mungkin bicara kecilku tak lunak di dengari. Aku terus mengajak Rem cepat-cepat berlalu pergi. Hari pun sudah semakin senja.

       Cabaran seterusnya (keempat), begitu banyak pokok tumbang di tengah jalan. Laluan dari Taman Sireh ke Kawasan Pokok Kabung (jika tak silap aku), perlu dahulu melalui kawasan anak sungai iaitu Pancur Pok Him dan terdapat sebuah gua kecil yang agak tersembunyi kedudukannya. Suasana senja dan bertambah kelam membuatkan rasa sedikit seram untuk terus berlama-lama di situ. Lebih menyeramkan bila nak lalu dekat kawasan Pokok Kabung tu. Pokok-pokok disitu dahlah besar-besar daunnya rimbun, lebat bunganya serta buahnya. Walaupun.

        Nasib berdua.

       Tetapi selepas lalu kawasan pokok kabung tersebut, cabaran sebenar-benarnya pun bermula. Laluan kami tersekat dek pokok tumbang. Macam baru lagi kejadian alam ni. Putus terus jalan. Tertutup. Kami kena mencari laluan menaik yang lain; merintis dalam belukar. Cari punya cari kami tiba di kawasan batuan; sejuk dan terasa damai. Kalau hujan yang terlalu lebat, pasti ada anak sungai dicelah-celah batuan ini.

         Terdetik dalam hati aku; 'eh aku tak pernah pun sampai kawasan ni'. Dalam fikiran aku, trek tadi seharusnya menaik ke atas je, terus ke arah kiri. Aku amat yakin sekali. Walau bagaimanapun, kalau ikut laluan batu ni, macam ke kanan sahaja.

         Aku tak cakap apa-apa dahulu dekat Rem. Masih mencari. Aku cuma cakap kena cari trek asal balik dan kami berhenti seketika. Aduh sudah. Aku dah mula fikir bukan-bukan. Buntu sekejap tak jumpa lagi jalan ni.

        Mulut aku dah terkumat kamit membaca apa-apa ayat yang terlintas. Dah dekat sepuluh minit, kami masih gagal cari trek asal. Dah dua kali naik turun, dalam radius kawasan yang sama. Aku makin menjadi panik. Tak tahu kenapa. Mungkin berada dalam situasi sebegini, aku jadi mati akal.
    
       "Kita dah sesat ni Rem. Trek asal dah tertutup. Kita dah kena game ni!!". Itu je dalam fikiran aku. Aku bukan jenis lupa trek. Aku ingat tapi kali ni dah 'tertutup'.
Aku pun tak boleh buat apa-apa. Aku jadi naik risau sebab dah nak maghrib ni. Macam-macam boleh jadi. Kalau nak berpatah balik pun tak memberi kami kelebihan kerana tadi naik pun mencari cari juga treknya, makin menyusahkan adalah. Telefon aku tak bersignal, tiba-tiba. Bateri masih ada.

       Nasib telefon Rem masih ada signal. Nasib. Kami berdua berbincang untuk ikut laluan berbatu ini sehingga jumpa puncak mengikut isyarat GPS dari telefon. Aku dah tak boleh fikir apa-apa sebab dah terlalu panik. Selama hiking dari 2015 ni, tak pernah lagi aku sesat dalam hutan macam ni. Kalau difikirkan, ni bukit je pun.

         Biasanya kalau tak jumpa trek pun, sebab pertama kali baru datang, tu bukan sesat namanya. Tapi ini aku dah banyak kali lalu kut. Nampak sangat pengalaman belum meluas lagi. Masih banyak perlu belajar bab survival ni.

       Semakin mendaki naik, semakin besar batu-batuan tersebut. Tiada langsung kesan manusia pernah lalu di situ. Mula terlintas cerita orang kampung yang pernah bersilat dengan Pak Belang pada zaman dulu kala ( sepatutnya kalau tak sesat, akan lalu kawasan bersejarah tersebut sebelum atau selepas Permatang Rambai; aku ingat-ingat lupa).

        Kami terus berjalan dan berjalan mengikut arah GPS telefon. Tak jauh dah. Yup, memang tak jauh, tapi jaraknya macam tak berkurang. Argh, mungkin signal lemah. Bila sampai di kawasan yang agak landai, barulah aku rasa aku cam tempat tersebut tapi samar-samar kerana hari dah gelap.

         Akhirnya kami berjumpa jua tanda marking yang merentang dari sebuah pokok. Satu-satunya ada. Sebenarnya, aku agak cam marking ni. Tapi masih tak  nampak arah mana trek yang sebenarnya tersembunyi, atau disembunyikan. Hanya kawasan sondol babi hutan je ada merata-rata di situ. Dah dua kali jugak kami lalu dekat kawasan marking tu. Tak jumpa-jumpa jalan jalannya. Tiada pembayang lain langsung
    
       Aku mulai rasa naik geram. Nak apa sebenarnya. Tak boleh jadi macam ni. Tiba-tiba aku bersuara menegur supaya jangan ganggu kami. Kena buat buat-buat berani jugak. Satu akal tiba-tiba datang idea yang menyuruh aku dengan Rem kena berpisah, masing-masing cari jalan lain.

        Aku sangat-sangat yakin yang trek asal sebenarnya ada dekat-dekat kawasan marking tersebut, tapi 'tak nampak' atau sengaja ditutup. Aku mengambil jalan yang bertentangan dan Rem aku suruh tunggu di kawasan tersebut terlebih dahulu. Biarkan ku jalan dulu. Entah kenapa, aku hanya mengikut naluri. Aku pernah dengar orang kata, bila berjalan dalam hutan dalam bilangan genap akan ada cabaran yang datang nak mengelirukan. 

         Aku mulai berjauhan dengan Rem. Mulut aku tak berhenti-henti berdoa. Tunggu masa nak bertakbir je. Dan dengan kuasa Tuhan, dalam sekelip mata,   (nak masuk pukul 7 malam dah) dalam kesamaran cahaya aku nampak trek jauh menaik ke atas muncul, terbukak seluas luasnya. Nilah treknya. Baru nak bagi lalu. Tak tergambar perasaan aku. Lega yang amat.

     Aku pun memanggil Rem yang tak jauh berada. Cepat-cepat kami naik, tak toleh belakang dah, puncak kami tak singgah, lalu beredar turun semula. Trauma melanda, mencengkam jiwa.

        Sepanjang perjalanan pulang, aku mencari-cari mana punca silapnya. Bagaimana boleh sesat walhal dah selalu lalu. Mungkin dalam tak sedar, bibir manis bak tebu dipinggir, terlantun kata tak seindah bahasa.

Laman Sireh tu katenyer ada Istana. Wallahu'alam

P/S:
Sampai sekarang aku tak lalu dah trek denai tu.

       

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK