TRANS TNBYY SOLO Dayhike (Gunung Tok Nenek- Gunung Bubu- Gunung Yong Yap/YYBTN REVERSE)

Trans TNBYY Dayhike 5.0: Solo Itu Indah
17/02/2019 Hari Ahad


*Kronologi Misi 150 puncak (2015-2022
https://amirmuslimteamseladang.blogspot.com/2022/11/kronologi-151-puncaksetakat-08112022.html?m=1




1.0 MUKADDIMAH




        Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah dan lagi Maha Penyayang. Masih lagi mampu bernafas dan diberi kekuatan serta sekelumit masa untuk melakukan beberapa misi-misi yang gila, menyondol gunung dan buat log masa yang masih tak masuk di akal.

       Sebuah kisah yang aku rasa sudah tiba masanya aku nukilkan pengalamannya. Agak lama aku menyimpan nota ini. Sebuah pengalaman yang tidak mampu dibeli dan juga di cari oleh sesiapa dan di mana-mana. Mana datangnya kekuatan untuk membuat solo kali ini aku pun tak tahu. Bagaimanapun ternyata ianya sudah lama menjadi idaman atau orang kata 'wishlist, mungkin sejak tahun yang lalu, sejak aku melakukan ekspedisi Trans Titiwangsa V1.

       Dari semasa ke semasa aku merancang dan mencari tarikh yang sesuai. Banyak yang perlu aku fikirkan. Log dan misi sebelum ini siang malam aku duduk kaji dan merangka perancangan. Bukan hanya nak main sondol, ilmu kena ada dan aku pun kena cari jugak kekuatan fizikal dan stamina yng makin lama makin kelaut aku rasa hanyut. Kalau setakat banyak idea tapi tak mampu nak terjemahkan dalam bentuk amali baik lupakan hajat tu. Setakat menjirus air ke daun keladi jer la.

       Kali ini, aku cukup bertuah kerana misi ini disertai oleh dua orang krew yan hebat dan bukan calang-calangnya personaliti yng dimiliki dengan secara sukarelanya turut ingin menyertai dan membantu aku. Angah dan Atie, dua orang kembar tak seiras dan tak sebaya umurnya, sejenis yang nak berkepit je kerja dua orang ini. Mereka siap pelawa untuk jadi 'co-driver' atau bergilir-gilir jadi pemandu jika aku kepenatan atau mengantuk masa balik atau pergi nanti. Cuma ongkosnya aku kena tanggung tiga kepalalah jawabnya. Malah mereka berdualah yang lagi bersungguh dari aku, memberi dan meniup kata-kata semangat dikala aku tak berapa yakin nak buat solo ni. Sungguh, misi kali ini adalah misi solo. Misi agung solo lagi selepas Trans Naning awal Februari (2019) lalu. Mereka berdua hanya sekadar menjadi 'pompom girls' dekat starting point nanti.

       Mengapa aku memilih solo? Bagi aku inilah masanya untuk mengukur kemampuan diri dan menimba pengalaman sebenar. Catatan masa dah buat, trip compress dah banyak kali dan merintis serta menyondol pun kurang banyaknya. Dikala misi seratus puncak sudah tamat perjalanananya, aku kini terkial-kial mencari misi apakah yang harus aku lakukan demi memeriahkan industri dunia pergunungan (aku punyalah) yang makin lama makin sendu dan bosan dilihat. Walaubagaimanapun, misi kali ni adalah bakal menjadi misi ke lima untuk aku membuat Trans Gunung Tok Nenek, Gunung Bubu dan Gunung Yong Yap atau dikenali sebagai TNBYY atau YYBTN reverse akan menjadi suatu penanda aras bagi aku.

       Setiap misi aku kategorikan sebagai episod yang bermula dengan Episod 1: The Beginning, Episod 2: The Return of An Era, Episode: The Revenge: Reputation Becomes Silence,Episode 4.0: Finding An Ending: Dendam Terlerai dan Episod 5: Solo (ringkas jer kali ni)



2.0: PERSIAPAN


       Aku memilih hari ahad kerana itu jerlah cuti yang aku dapat kali ini. Semalamnya aku baru habis kerja malam dan pada hari sabtu sepenuhnya aku gunakan untuk tidur sahaja. Malah selepas bangun untuk bermaghrib, aku kembali sambung tidur lagi sampai aku pun terkejut dek bunyi jam yang di kunci suruh bangun tepat 12 tengah malam berirama. Selepas itu sahaja aku mula mengemas barang-barang seperti biasa (seperti dalam gambar). Tidak terlalu banyak barang aku bawa, rasanya kali ini aku ingin memastikan air yang mencukupi berserta ubat-ubatan turut di bawa bersama. Sebotol besar air kopi panas siap dibancuh untuk dijadikan bekalan utama dan perangsang beserta air 100% nanti akan aku beli semasa dalam perjalanan. Beberapa biji asam boi turut menjadi 'items' wajib di bawa kerana aku selaluterbayang kesejukkan air sungai yang segar diminilum nanti itu dibubuh dengan Asam Boi. Aku dah berkira-kira dekat mana nak 'top-up' air nanti.

       Aku bergerak dari rumah pada pukul 12.30 pagi ke Shah Alam terlebih dahulu untuk mengambil Angah dan Atie. Biasalah kalau dah namanya perempuan, kita para lelaki ni kena bawak banyak bersabar. Aku pulak kena ambil hati mereka sebab mereka ni adalah ahli krew utama dalam misi aku ni. Tunggu punya tunggu dekat pukul 1.30pagi jugak kami bertolak. Aku tak kisah sangat pasal masa kali ni sebab masih tidak lari dari tentatif dan aku dah target paling lambat akan sampai kat Masjid Lojing pun dalam pukul enam pagi nanti. Jadi, masih ada masa lebih kurang empat jam lebih untuk sampi. Dengan kecekapan pemanduan aku pasti akan sampai dengan lebih pantas dari itu. Aku pun bercadang nak memulakan pendakian pun selepas pukul tujuh pagi sahaja. Kasi waktu cerah sikit.

       Perjalanan menuju ke Cameron Highlands berjalan dengan biasa-biasa sahaja; gelak ketawa, gurau-senda, nyanyian sumbang dan penuh cerita pembawangan isu semasa sehinggalah sampai di parkir Masjid Lojing. Setibanya kami di perkarangan masjid, kelihatan ramai orang rata-ratanya dari kalangan pendaki yang aku lihat dari di dalam kereta. Gaya, karakter dan gelagat mereka tidak asing sekali dilihat dari mata budak 'hiking' macam aku ni.

       Kami tidak mahu masuk campur. Seorang demi seorang mulai melelapkan. Aku dah mematikan enjin kereta dan menurunkan sedikit cermin kereta bagi memberikan angin masuk. Takdelah nanti kami bertiga keesokannya bakal di jumpai mati kelemasan di dalam kereta. Kesejukkan suhu yang dingin yang mulai terasa mencengkam tulang. Aku dah siap sarungkan stoking di kaki lagi bagi mengelakkan jari jemari kaki mengalami kesejukkan melampau. Aku lebih rela tidur di masjid ini biarpun suhunya sangat sejuk daripada tidur di Pos Rengil itu iaitu kampung orang asli yang akan menjadi pintu masuk jalan ke trek ekspedisi ini nanti.

       Perisitiwa yang terjadi dua tahun lterjadi masih menjadi trauma buat aku. Aku dan kawan-kawan aku yang telah tiba lebih awal situ mengambil keputusan untuk diluar kereta secara terbuka. Dipendekkan cerita, misteri nusantaranya adalah bila salakan anjing malam itu menimbulkan rasa hairan dan pelik buat aku. Makin lama makin dekat kedengaran. Tidak lama kemudian aku merasakan badan aku tidak dapat bergerak kerana kena 'ditindih' untuk beberapa lama ketika. Memang tak nampak pun siapa yang main tindih-tindih tu. Dengan aku orang yang paling luar sekali tidur, faktor tu kut yang membuatkan aku paling mudah terdedah rasanya. Bertambah malang, selepas aku menukar posisi tidur, aku sekali lagi kena tindih, walaupun aku dah berbaring mengiring. Selepas dapat bergerak, aku terus bingkas bangun dan tidak lagi bercadang mahu tidur lagi. Aku hanya menanti yang lain untuk bangun dari tidur sambil melihat video yang ada. Rasa mengantuk pun hilang. Takkan pisang berbuah tiga kali.



3.0: POS RENGIL

        Suara azan Subuh mengejut kami bangun dari tidur seorang demi seorang. Malas pula rasanya. Nak bangun sembahyang satu hal. Nak bangun tidur tu dah tahap berjihad dah ni. Demi misi agung, aku gagahkan diri jua. Alangkah ruginya kalau terlepas solat berjemaah. Ceh. Lagi satu, nak buat misi agung macam ni, jangan lupa minta doa dan petunjuk dari Tuhan. Baru berkat sikit hari-hari yang bakal di lalui. Petua aku itu jer kalau nak masuk hutan. Niat betul dan berserah pada Allah.

       Usai solat, kami bergerak ke Pos Rengil, Lojing yang terlepak di dalam negeri Kelantan. Apa yang menariknya tempat ni adalah aku ni datang melalui Negeri Perak, masuk Pahang (Cameron Highlands) dan lepas tu hiking kat negeri Kelantan. Tiga negeri terus jelajah. Nak masuk ke Pos Rengil tu agak memakan masa walaupun jalan dah berturap tar ada sesetengah tempat sempit dan rosak serta agak jauh masuk ke dalam. Pernah la rasai masuk ke dalam kampung ni masih lagi trek jalan tanah lagi. Ni pun kira dah banyak dah jimatkan masa. Memudahkan. Tetapi kena beringat, tak boleh bawak laju-laju, sebab jalan boleh muat sebuah kereta saja.

       Hari yang gelap bertukar cerah beransur-ansur. Kami pun sampai di parking tepi Surau Kampung Asli Pos Rengil pada pukul 7 tujuh lebih. Lari sikit dari target aku nak mulakan misi tepat pukul tujuh. Ingat sikit, aku beroperasi dengan dua orang perempuan. Kelihatan beberapa biji kereta menandakan yang sudah ramai pendaki masuk terlebih dahulu. Aku dikhabarkan ada beberapa kumpulan pendaki yang akan masuk tetapi hanya membuat Yong Yap Single. Aku sebenarnya tidak berapa risau kerana terdapat beberapa orang kawan yang sudah memasuk untuk membuat Trans Titiwangsa V2 terlebih dahulu iaitu Poi dan Yogi (mereka berlainan kumpulan). Mereka telah masuk pada hari Jumaat yang lalu. Jadi mengikut perkiraan aku, kami bakal berjumpa semasa berada di antara laluan trek dari Tok Nenek menuju Yong Yap nanti atau mana-mana trek turun dari Yong Yop hingga keluar ataupun tak jumpa langsung.

      Barang-barang tambahan yang sudah dibeli di RNR tadi termasuklah air 100 plus dan makanan ringan aku dimasukkan di dalam beg. Aku memeriksa beg buat kali terakhir sebelum berlepas pergi. Pastikan kabel telefon dan powerbank dibawa, stoking lebih, speaker JBL, sweater dan headlamp dibawa bersama.


      Aku tetiba berasa kurang yakin dan mahu sahaja membatalkan ekpedisi ini. Aku rasa misi ini amat mustahil nak dilakukan. Tiga misi yang lepas,  aku mesti kejang kaki. Apa nasib dengan misi ini nanti. Tetapi bila di fikirkan ayat 'bila lagi nak buat, inilah masanya' itu, menaikkan kembali semangat aku. Tapi aku masih 50-50 lagi. Belum mula dah macam-macam aku fikir. Binatang buas, hantu, makhluk halus, pewai, cedera, kaki 'cramps, kepala air, hujan, panas, trek panjang, seorang diri dalam hutan dan macam-macam lagi. Bukan aku nak fikir semua itu, sebab ianya datang terlintas sendiri dalam kepala. Aku kena kuatkan semangat jer. Nampak luaran jer tenang, lebih-lebih lagi depan dua orang krew ni, tapi dalam hati tuhan saja tahu apa aku rasa.



4.0: SIMPANG YY-TOK NENEK

       Tepat jam 7.30 pagi aku memulakan misi. Doaku panjatkan dan dengan hati yang bergelora, rasa berdebar-debar mula aku rasakan. Tapak tangan pun dah berpeluh. Aku melangkah agak perlahan pada mulanya. Bukan aku masih takut, tapi sebab aku perlu redah menaiki bukit yang agak tinggi itu dulu, nasib dah bersimen. Tambahan lagi, aku ni dalam mode yang bersedia untuk berlari bila-bila masa saja nak bukak langkah seribu. Bukan juga di sebabkan aku nak lelaju tapi aku takut dengan anjing-anjing orang asli yang boleh datang dengan tiba-tiba menyerang. Memanglah anjing tu terkurung kat rumah, tapi kalau ada yang terlepas sakit juga nanti. Bunyi salakan mereka pun dah boleh buat jantung aku pecah. Makin lama makin laju aku berjalan. Lepas pergi dari rumah pun dah cukup rasanya.

       Aku bernasib baik yang anjing-anjing di rumah orang asli tidak mengejutkan aku dengan salakan mereka. Mungkin masih tidur. Misi pendakian di mulakan tanpa berjumpa dengan tok batin terlebih dahulu. Tak mengapa, aku sudah berpesan dengan Angah dan Atie nanti, pandai-pandailah diorang buat kerja (bagi nama dan bayar parking, itupun kalau dorang tak bercadang nak pergi Tanah Rata). Angah tu siap pernah tidur kut dekat Rumah Pak Ajis tu dulu. Takkan dia lupa kut. Malah permit TNBYY pun angah tolong buatkan. Tu pun buat tiga empat hari lepas jer. Senang.

       Melalui trek jalan merah atau jalan powil (4x4 atau 4WD) ni ada masa rata, ada masa becak kena main lompat-lompat tak bertepian lalu kasut termasuk dalam selut dan berbatu-batu yang tak bermata yang membuatkan anda senang "terpeleot"

       Terdapat beberapa simpang yang perlu dielakkan. Jalan itu juga akan bawa anda ke kebun-kebun orang asli. Simpang paling akhir perlu ambil sebelah kanan sebab jalannya menurun sedikit dan nampak logik la sebab tak perlu menaik lagi. Banyak kali jugak kena naik turun naik turun. Bunyi aliran sungai di sebelah kananku semakin lama samakin kuat. Aku perlu melalui sebuah anak sungai yang kecil sahaja sebelum berjalan lagi menuju ke sebuah sungai yang besar. Setibanya di situ, baru satu kilometer lebih aku berjalan. Masih ada 42 kilometer lagi perjalanan yang harus aku tempuhi. Aku pun tak tahulah macam mana nak hadap trek panjang-panjang gini. Aku dahlah bukan jenis nak gi training, jogging atau berlari-lari panjat bukit petang-petang. Masa ni rasa menyesal tak training dan beristiqamah denganya. Bab training lain bab aku cerita.

       Sungai yang pertama aku lalui ini (ada dua sungai besar perlu dilalui dan dua tiga lagi anak sungai) boleh tahan besar kuat arusnya. Aku kira nak lalu naik jambatan kayu, itupun tu masih ada lagi, rupanya dah hancur lebur. Kena kaut dengan kepala air lah tu kut. Seingat aku rupa jambatan itu konsepnya; kalau korang tak nak lalu pun takpa. Sebab lepas ni akan lalui banyak anak sungai juga. Aku jenis yang suka main redah, lagipun lepas ni akan basah juga. Cuma yang tak 'best' sebab dah kena air sejuk pagi-pagi. Telefon aku dah masukkan dalam beg siap bungkus dalam ziplock plastik. Seutas tali yang panjang di pasang merentasi sungai aku gunakan untuk membantu menarik diri menuju ke seberang sana. Tanpa tali itu aku rasa agak sukar aku nak imbangkan badan dalam air ini. Kuat arusnya. Kadang-kadang terumbang ambing badan. Nak pijak lantai sungai pun kena berhati-hati, batunya sangat licin. Sampai pinggang jugaklah badanku basah. Aku tak ada masa nak rehat-rehat. Lepas jer sungai ni trek dah start nak masuk denai-denai hutan dan akan melalui kebun-kebun orang asli sepanjangnya.

       Sepanjang perjalanan anda akan di temani oleh batang-batang paip yang menyalurkan air entah ke mana aku tak pernah tau. Kadang-kadang ada bahagian paip yang bocor akan memercik sebesar-besarnya (aku dah plan nak bermandi-manda kat situ masa balik nanti) lantas anda akan berfikir tiada orang nak baikikah? dan tak membazirkah air itu? Usah kalian perlu risau, itu pun air sungai jer kut. Nanti pulang ke sungai jugak air tu. Laluan sedikit bersemak dan basah disebabkan embun-embun pagi. Trek agak mudah dilalui. Senang cakap ikut jer denai tu dan banyak melalui kawasan buluh. Aku sedikit untung masuk hari ahad kerana kalau ada pokok atau buluh-buluh yang tumbang orang yang masuk hari sabtu akan buat kerja.

       Lalu di kawasan buluh ni kena berjaga-jaga sedikit. Buluh yang tumbuh sangat rimbun menjadikan sesetengah kawasan jadi kelam tidak dimasuki oleh cahaya makanya kurang sikit darjah penglihatan. Anda pula dinasihatkan lebih baik pakai topi atau cap takut tercalar kepala kena buluh tajam. Bunyi sungai kejap ada, kejap hilang, kejap bunyi macam di depan mata dan kejap bunyi nun jauh di sana. Aku dah mula bosan dan bila aku bosan aku akan pasang lagu dan bukak kuat-kuat pakai speaker. Sambil berjalan aku menyanyi anak-anak. Langkah terus makin padu, jitu dan penuh berkeyakinan. Banyak naik turun bukit jer lepas ni. Ada bukit yang boleh buat patah pinggang dan ada yang jenis turun sampai tak ingat balik nanti kena hadap naik.

       Lama kelamaaan aku rasa semakin yakin dan berani untuk meneruskan misi. Aku target untuk sampai ke Simpang Y terlebih dahulu. Bila tiba di simpang Y ni nanti baru aku buat post mortem tengok aku boleh teruskan ke tak misi solo ini. Aku akhirnya tiba di simpang Y selepas sejam memulakan perjalanan. Tetapi sebelum tiba ke situ aku perlu melalui sungai yang kedua. Mengikut perkiraan jam aku, jarak antara simpang Y dan sungai kedua itu hanya dua minit mengikut 'pace' aku. Dekat jerlah senang cerita. Malangnya, anda kena redah jugak sungai itu tanpa banyak soal. Cumanya sungai itu tak sedalam sungai pertama tetapi lagi panjang tambah dua tiga depa (anggaran penulis jer). Lepas lalu sungai akan lalu kawasan lapang dan sepanjang perjalanan aku berjumpa dengan orkid liar. Pesan aku orkid tu boleh ambik tapi jangan bawak balik.

       Simpang Y adalah simpang yang memisahkan dua laluan antara trek di mana trek sebelah kanan akan menuju ke Gunung Yong Yap dan Gunung Tok Nenek pula laluan disebelah kiri. Bunyi pertemuan dua buah sungai disitu menjadi tempat perkhemahan disitu yakni tiada orang pun yang aku lihat berkhemah disitu. Setakat ni zero orang aku jumpa. Dan kini aku dalam perkiraan sama ada nak teruskan atau tidak.



5.0: KEM LENGKUAS, BOTOL & ASADI

       Keadaan sekeliling yang sunyi melainkan hanya bunyi aliran sungai yang mengalir mendatang rasa yang tak dapat aku gambarkan. Takut tu tetap ada, mana taknya tiada sesiapa pun berhampiran aku. Aku hanya rasa perjalanan harus di teruskan lagi. Tak guna nak berpatah balik. Dah jauh dah aku masuk ke dalam hutan ini. Aku dah tanamkan azam nak habiskan jua misi ini. Sepanjang perjalanan dari mula sampai sini aku berfikir dan memberi semangat kat diri sendiri agar meneruskan misi ini hingga tamat.

         Aku pergi membuang air kecil terlebih dahulu di suatu sudut tersembunyi. Walaupun berseorangan ketika ini, aku kena berhati-hati takut ada orang muncul tiba dari mana-mana. Perasaan malu kena ada walaupun seorang diri. Lega lepas dah menunaikan hajat. Tak sedap rasanya kalau berjalan ada perasaan menahan tengah pundi kencing. Aku hanya berhenti di situ selama dua minit. Tak mahu berlama-lamaan disitu. Aku mahu kejar masa iaitu COT (Cut off time). Ingat budak-budak run jer ke ada COT. Aku pun pakai jugak. Aku target nak sampai puncak Tok Nenek sebelum pukul dua belas tengahari.

        Aku kena cepat sikit berjalan lepas ini kerana aku mungkin sampai ke Puncak Yong Yap pada sebelah petang. Puncak Bubu harap-harap boleh sampai awal lagi jika trek kering. Ini kali pertama aku buat Trans TNBYY ni bermula di waktu siang. Empat kali sebelum ini mesti aku bermula pukul lima atau sebelum subuh. Misi aku pula kali ini adalah nak masuk siang dan dapat keluar siang juga



5.1: Kem Lengkuas

8.35 pagi: aku berangkat dari Simpang YY-Tok Nenek. Perjalanan seterusnya banyak melalui atau meredah sungai. Sebanyak lima kemsite atau checkpoint yang bakal aku lalui sebelum tiba ke puncak Tok Nenek.

       Menuju ke Kem Lengkuas adalah paling memakan masa diantaranya kelima-lima kemsite tersebut. Bagaimanapun, treknya banyak melalui di tepian sungai dan kawasan buluh yang sangat panjang. Ada tempat masih lagi kena merangkak.

       Trek lain banyak mendatar, siap boleh berlari kalau yang mampu. Dulu aku selalu berlari, tetapi lepas selalu akan pancit awal aku enggan berbuat demikian lagi. Aku hanya 'fast walk' atau orang kata 'powerhike'. Kalau bergerak dalam berkumpulan buat cara kita sahaja, jangan ikut 'pace' orang depan. Belajar kenal keupayaan diri sendiri. Macam nak bercompress ke depek ke, asah pengalaman dan kemampuan dulu. Aku pun dulu mula bercamping jugak. Bila dah rasa padu banyak buat misi lebih mencabar.


       Sebab dah banyak buat TNBYY ni, aku mudah ingat suatu tanda-tanda atau landmark di sesetengah tempat. Cepat boleh cam jalan. Tapi tu dalam hutan jer. Kalau kat jalan raya tetap pakai GPS. Selepas melalui balak tumbang yang dah jadi macam jambatan semulajadi, baru sampai ke Kem Lengkuas. Aku tak tahu sebab kenapa bagi nama lengkuas, mungkin banyak lengkuas hutan yang tumbuh kut disitu.

       Setakat ni masih belum ada rezeki jumpa orang lagi.

       Selepas 45 minit tanpa berhenti berjalan langsung, aku akhirnya tiba di Kem Lengkuas. Agak luas tetapi tak sesuai nak berkhemah disitu.


5.2:Kem Botol

9.35 pagi: Hanya berhenti untuk minum seteguk dua air kopi yang di bancuh sendiri. Dua minit kemudian aku beredar. Dalam seratus meter lebih bergerak dari Kem Lengkuas, sedang aku nak simpan balik telefon dalam poket seluar, baru aku tersedar yang plastik ziplock aku terjatuh. Aku berhenti sejenak dan fikir punya fikir sama ada nak berpatah balik nak cari atau tidak. Aku buat keputusan nak berpatah balik cari sebab tak tahu kenapa. Mungkin aku tak suka buang sampah tengah jalan kut. Bila berjalan balik cari plastik tu, boleh tahan jauh jugak aku kena berpatah balik. Korang pun kena contohi aku tau. Disebabkan banyak kali melalui sungai aku takut telefon akan terbasah tanpa di sedari atau aku tergelincir terjatuh dalam sungai tiba-tiba. Malang ni kadang-kadang tidak berbau. Pernah terjadilah (banyak kali jugaklah) aku terjatuh dalam sungai, yang paling diingati masa pergi ke Gunung Bah Gading dua tahun lepas. Sampai paras pinggang masuk air, telefon selamat, tapi gigih jugaklah aku duk tiup bahagian nak masuk wayar untuk 'charging' tu kering.

      Trek ke Kem Botol agak mencabar sebab banyak naik beberapa bukit, lepas tu dia main-main suruh turun balik. Lagi banyak lalu sungai. Dekat sini kena hati-hati cari marking, tak berapa nampak sebab hutan agak redup. Kadang marking ada dekat batu, pokok-pokok dekat akar-akar dan ada marking dalam air pun ada . Laluan amat licin dengan batu dan kayu yang banyak berlumut. Kasut anda pula di jamin 100 peratus akan basah dan berkilat sepanjang perjalanan.

      Anda mungkin tak menyedari sudah sampai ke Kem Botol sebab tak nampak macam kemsite pun. Ada sebotol lama tersangkut kat pokok situ dan aku masih tak berjumpa orang lagi.


5.3: Kem Asadi

0945 pagi: Aku tak berhenti di Kem Botol tadi sebab aku tau nak ke Kem Asadi dah dekat sangat. Lagipun banyak berjalan jer. Laluan memang lalu redah sungai sahaja. Setakat ni misi nak jumpa orang belum lagi nak kesampaian. Siapalah orang yang bertuah jumpa aku nanti.

      Sampai di Kem Asadi lagilah takkan perasan itu adalah checkpoint ketiga. Kosong. Tiada sesiapa. Dulu ada selipar berjenama Asadi dekat situ. Asal nama.



6.0: SUARA: KEM HARI(MAU)

        Dari Kem Asadi nak ke Kem Hari takdelah jauh sangat. Lepas 10 minit aku dah sampai. Trek banyak turun naik turun naik. Bila aku rasa nak dekat sampai makin laju jadinya. Bukannya apa, aku nak take five dan buang air kecil lagi. Tak ingin aku kencing merata-rata on trek, takut sesat nanti tak jumpa jalan.

       Aku jadi makin gembira dan ceria, ni dah tahap aku dah dapat pace aku macam ni la. Aku berjalan sambil bercakap sorang-sorang, macam bercakap dengan alamlah. Aku nampak burung pun aku akan tegur, siap panggil lagi. Kadang-kadang terfikir tak kita kenapa ada burung yang terbang macam jadi guide kita?

       Setiap kali berhenti atau aku jumpa kemsite aku akan bagi salam. Itu aku rasa satu adab yang aku jaga kalau masuk hutan. Setakat ni tak ada lagi yang jawab balik. Cuma feeling terasa ada yang mengikut tu biasa jer la. Dua tiga tempat aku rasa diperhatikan. Macam ada yang ikut. Seronok jugak, rasa tak keseorangan Bila aku rasa nak menoleh tengok ke belakang, aku dah tau dah mesti ada yang memerhati. Sifat semulajadi manusia nak tengok walaupun dah tau ada orang. Contohnya; dalam bilik tinggalah ada dua orang kawan, kawan anda bangun dan nak keluar bilik anda dah tau kawan anda nak keluar tapi tetap nak tengok juga. Iyakan.

       Sedang aku berpetualang, keadaan sebenarnya agak sunyi dari biasa. Bunyi lagu dari speaker dari tadi tenggelam timbul disebabkan oleh bunyi sungai kembali kedengaran. Tiba-tiba aku terdengar bunyi suara orang. Suara memanggil aku dengan panggilan "Hoi". Jelas kedengaran dari depan dan bunyi panggilan tersebut datang dari sebelah kanan (bukit), sebelah kiri adalah sungai. Suara itu memang seperti suara orang memanggil, aku tak silap. Bukan suara bunyi unggas atau kera hutan. Aku secara spontan membalas balik hoi itu. Tiada balasan. Sekali lagi aku memanggil. Tiada juga. Dahlah. Aku dah rasa semacam. Dah mula rasa pelik. Mulanya, dalam kepala aku fikir mungkin itu Poi kut sedang berhenti di Kem Hari. Aku dah berkira-kira dia akan keluar hari ni dari Tok Nenek.

       Dengan kadar segera aku berjalan pantas untuk sampai ke Kem Hari. Aku dah rasa gembira yang aku akan jumpa orang akhirnya. Bunyi suara orang mungkin tidak jauh dari situ. Tak sampai seminit aku sampai ke Kem Hari. Dari jauh aku dah tercari-cari susuk tubuh bentuk manusia di setiap daerah di situ hingga aku pun tiba di Kem Hari. Alamak. Macam tak ada orang pun. Sudah. Siapa yang panggil aku tadi tu. Aku rasa dah semacam. Sedikit meremang. Aduh.

Tak apa, bagi salam dulu, letak beg dan pergi buang air kencing kat sungai dulu. Nanti sambung fikir.


7.0: KEM BELUMUT

       Suara yang memanggil tadi masih tergiang-giang bermain di telinga. Aku pasti ada orang aku akan jumpa masa nak ke Kem Belumut nanti. Suara yang aku dengar tu berada di kawasan tinggi.

       Aku berehat agak lama sedikit di sini. Dari Kem Lengkuas hingga ke Kem Belumut jauh jugak aku berjalan, mungkin hampir tiga kilometer dengan aku tak berhenti langsung. Trek selepas ni banyak menaik sahaja. Trek nilah paling aku tak suka kalau nak ke puncak Tok Nenek iaitu dari Kem Hari nak ke Kem Belumut. Anda pernah terfikir tak kenapa Kem ni bernama Hari. Hari tu adalah singkatan Harimau atau Maybank. Betul atau tidak cerita yang aku dengar dulu kawasan ni banyak orang jumpa Maybank tengah turun ke gigi air. Dalam perjalanan ada juga aku duduk intai-intai kat tepi sungai memeriksa ada kelibatnya. Lebih-lebih lagi bila aktiviti yang kena melintasi sungai. Dibuatnya ada seekor tengah sedap minum air, haru aku.

       Aku mula mencari kayu untuk dibuat tongkat dan satu lagi untuk keselamatan. Kalau ada serangan tetiba boleh aku angkat kayu dulu untuk pertahankan diri. Kedua baru lari kalau sempat. Trek yang menaik mendatar menaik, menaik sampai patah pinggang, lepas tu menurun, menaik, menurun, jumpa waterpoint dua kali dan lepas tu menaik sedikit hingga jumpa Kem Belumut. Dengan adanya tongkat sedikit sebanyak membantu aku bergerak.

       Dari kejauhan dah boleh nampak kain baju orang sidai atas ampaian Mungkin ada orang berkhemah. Tapi hampa bukan kepalang. Tak ada kesan orang langsung. Skor aku masih sifar ketika ini. Kali ni aku kena isi semula air sampai penuh. Sini kawasan waterpoint yang terakhir. Naik ke Tok Nenek hingga ke Bubu dan Yong Yap nanti tak ada dah waterpoint selain Kem Lopak kat Bubu (nanti kat episod, Bubu aku cerita). Turun dari Yong Yap baru boleh jumpa air. Jaraknya tersangat jauh. Itupun kalau boleh betahan. Ada tiga puncak gunung lagi nak kena hadap.

       Selepas aku isi air ni kiranya bekalan air aku masih mencukupi. Masa pertama kali dayhike ke sini dulu, aku tak tahu menahu pasal waterpoint yang jauh jaraknya. Yelah, dengar je cerita, tapi tak tahu realitinya macam mana. Aku ada dekat 2 liter air lagi dalam beg. Lebih pada cukup. Aku depek-depek pun bawak banyak air.



8.0: PUNCAK GUNUNG TOK NENEK

       Alhamdulillah. Perjalanan setakat ini masih berjalan dengan lancar. Tiada tanda-tanda kecederaan nak berulang kembali atau kepewaian nak datang. Rasa masih bersemangat lagi sebab dah nak sampai puncak. Trek memang akan menaik jer lepas ni, memang dagu bertemu lutut, silap-silap bertemu dahi terus. Rasanya aku boleh sampai ke puncak paling santai bawah sejam jer kut kalau jalan non stop. Mesti.

       Tak banyak sangat pancaroba melainkan trek yang maha pacak tu jer. Lepas Kem Belumut tu ada bahagian landai, sikit jer dan lepas tu menaik dan menaik. Bila jalan jumpa balak tu lah kaki dah rasa cucuk-cucuk kat betis. Makin lama aku makin perlahan pace aku. Aku cuba kekalkan momentum, satu langkah satu saat. Tapi macam tak ikut jer. Bila bab hadap trek pacak ni, kena kawal pernafasan dan fokus pada langkah. Jangan terlalu tengok kat depan, sekadar nak tahu berapa jauh jarak cukup. Nanti mental lebih sebab jalan tak sampai-sampai. Kaedah kalau nak naik pacak adalah buat langkah besar. Bagi aku situ ada kelebihan untuk kaki nak curi rehat dan ambik masa nak 'recharge' balik berbanding 'small step'. Bagi aku la.

       Bila dah jumpa trek macam mossy (berlumut) baru rasa lega sikit kaki. Tadi bukan main nak tercabut betis duk main angkat-angkat. Dah terasa sejuk dan nyaman. Dah mula lalu kat permatang. Dah boleh nampak gunung-ganang sekeliling. Yang belum adalah jumpa orang lagi. Tak apa, mungkin jumpalah orang nanti kat puncak. Biasa kat situ kan orang akan duduk lama melepak.

       Nak ke punca Gunung Tok Nenek tak banyak nak lalu puncak tipu. Ada la bahagian kena turun dan naik balik, tapi sikit jer. Dekat kawasan permatang itulah aku pernah kena 'cramps' kedua-dua kaki. Silapnya adalah aku memang tak sihat dan deman pun masa naik, tapi naik juga. Dipendekkan cerita, aku nak melompat dari lalu selut, tapi kaki salah 'landing', terus rasa tertarik dan bila aku nak angkat kaki yang satu lagi, dua-dua kena kekejangan. Terus tak boleh berjalan dekat sepuluh minit. Segala ubat aku sapu. Hiba gila rasa bila orang yang kau dah tinggal kat belakang dapat potong kau balik.

       Yang best trek nak ke puncak Tok Nenek tu adalah kita akan melalui dinding-dinding batu yang panjang tapi yang tak best dalam skala dan berkadaran menaik. Kawasan laluan di situ biasanya kering saja disebabkan terlindung dari angin dan hujan tetapi licin sebab berpasir dan berbatuan. Ada tempat dah terpasang tali, guna jerlah kalau padu sekalipun sebab licin. Kena jaga 'step' lagi.

       Ingatkan nak sampai ke puncak dalam masa setengah tapi rasa macam mustahil sebab sampai kat dinding batu ni pun dah lebih setengah jam. Hati-hati, dekat kawasan dinding tu ada satu tempat yang ada tali yang selalu orang img at itu puncak tapi sebenanya situ adalah view point atau tak silap aku trek zaman lama dulu. Aku pernahlah ternaik masa pertama kali datang dulu. Tak mudah juga nak naik, nak turun tu gayatlah jugak.

       Habis dinding batu, akan main selut, trek berakar dan boleh tahan becak kali ni (rasa tak pernah kering dan biasa aku tak pernah bersih lalu kat situ). Lepas tu kena panjat batu sekali lagi untuk sampai ke puncak. Bab nak pakai tali ni aku rasa nak bunuh diri sebab aku rasa dah tak cukup nafas, kaki dahlah nak kena angkat tinggi sebab laluan batu tu sempit dan nak pijak susah. Kena kangkang sikit kalau tak senang naik dengan kedua-dua tangan nak kena pegang tali.

       Azab berakhir bila tiba di puncak pada jam 11.34 pagi. 45 minit aku ambik masa kali ni. Dalam banyak-banyak misi, ni adalah masa terpantas aku lakukan untuk dari Kem Belumut ke Puncak. 'Not bad' jugak. Tapi masa kat Puncak tu tak terfikirlah pulak personal best semua tu, sebab bukan objektif misi ni pun nak buat 'timing'. Dah capai COT tu dah kira selamat dan berjaya. Misi nak keluar siang.

       Di puncak masih tiada sesiapa yang menyambut ketibaan ini, tidak Poi atau Yogi jua. Mana pulak semua orang hari ni. Tak hiking ke?. Jarang Tok Nenek ni tak ada orang. Bila bahagian nak bergambar aku kena jadi lebih kreatif dan inovatif. Memamg banyak koleksi gambar berselfielah gini. Gambar aku dekat atas batu tu adalah salah satu karya dalam trip solo aku yang terbaik pernah aku buat aku rasa setakat ini. Sesiapa yang pernah pergi Gunung Tok Nenek mesti tau macam mana kedudukan batu itu dan macam mana susahnya nak naik ke situ. Aku malas nak bongkar rahsia. Tulah gunanya ada saka.

       Yang buat aku leka sebab permandangan 360° hari ini memukau kalbu. Nampak setiap inci gunung-ganang yang ada. Aku nampak Gunung Bubu dihadapan yang melindungi puncak Yong Yap disebaliknya. Apa lagi gembira bukan kepalang dah mampu sampai sini sorang-sorang sapa tak bangga. Senyum sampai telinga aku duduk puncak. Aku cuba memanggil menjerit mana tahu ada orang balas. Kali ni hanya suara aku jer bergema.



9.0: PUNCAK KAYONG & KAMBING

        Aku bercadang nak rehat lama sikit dekat puncak Tok Nenek ni sebab lepas ni nak menuju ke Gunung Bubu pulak. Nak bagi badan 'recharge balik'. Trek lepas ni nanti bukan calang-calang nak kena redah. Apa yang boleh gambarkan treknya adalah seperti bentuk huruf V; mula-mula seronok menurun lepas tu azab menaik.


       Ketinggian puncak Gunung Tok Nenek dalam 1916 meter. Nama lain Gunung Tok Nenek ni adalah Table and Chair Mountain. Mungkin sebab bentuk puncaknya jenis berbatu ala-ala macam Bukit Tabur. Kalau matahari tegak kat kepala puncak tu sangat panas. Sejuk dan dingin tetapi anda akan rentung dengan serta merta. Kalau 30 orang kat puncak maknanya semua orang akan berlaga punggung nak duduk sebab puncaknya taklah luas sangat dan berbatu. Kalau bergamabar tu mesti nampak aksesori tambahan masuk sekali. Ni kira untung tak ada orang boleh ambik gmabar sepuah hati.


       Lama tak lama, dekat 20 minit aku jugak aku berehat. Nak kata berehat takda la rehat sangat, duk sibuk main telefon (mentang-mentang ada line) dengan ambil gambar. Aku dari awal lagi dah niat keluarkan cerita 18 episod. Mesti gempak punya kalau aku berjaya keluar buat solo nanti.


       Kemaskan barang dan buang pasir dalam kasut sebab lepas ni nak berjalan jauh balik. Tak selesa rasanya kalau ada seketul batu atau pasir kecil berlingkar bawah tapak kaki. Selepas dah rasa puas hati nak beredar, aku memulakan langkah dengan Bismillah. Eh, aku ternampak signboard kat bawah, berhenti kejap pejam mata ambik gambar lagi. Memang trip kali ni mana-mana signboard jumpa aku berhenti ambil gambar. Bukti aku bersolo. Nanti mesti ada spesies yang suka kecam. Buatnya tak.


       Checkpoint seterusnya tak jauh pun. Lepas turun sikit dari batu tu, kena cakna sikit simpang nak ke Bubu tu, belah kanan kalau turun. Tak susah pon, orang yang pewai pun boleh nampak. Trek berlendir banyak dan lembap. Memang seronok menurun tapi hati-hati jika pijak akar atau kayu yang berlumut, kadang-kadang aku pun tergelincir. Seluar pun dah kotor sikit kena selut. Kasut tak payah aku nak huraikan.


       Sedang seronok turun, tiba jua kat Puncak Kambing. Sebenarnya timing aku lagi cepat dari sebelumnya. Ini sudah bagus. Aku pun rasa masih banyak tenaga lagi (hinggalah nak naik ke Bubu baru ada drama). Ambik gambar dan lepas tu sambung jalan balik. Tak perlu berehat lama. Memang seronok sebab menurun jer. Boleh nampak segala permandangan gunung-ganang di tepian perjalanan. Trek pun cantik bermossy-mossy. Tapi itu tidak membuat aku alpa dari melayan view. Budak depek tak ada masa nak layan view. Semua view gunung-gunung kat Cameron ni sama jer bentuk die, jenis hutan dipteropkarpa atas dan dipteropkarpa bawah, hutan Montana dan hutan ericaceous.


       Sepuluh minit kemudian selepas bergerak dari Puncak Tok Nenek, aku tiba di Puncak Kambing. Luas dan rata dengan pokok-pokok buluh sehalus jari tumbuh dan pokok-pokok renek yang rimbum menghalang angin masuk menjadi antara salah satu kemsite yang selesa untuk bermalam. Cuma tak best nak sampai sini kena angkut air banyak-banyak. Tapi ramai bilang kalau bermalam kat sini sejuk nak mampus, lagi-lagi kalau angin turbo datang.


       Berhenti dan ambil gambar lagi. Masih tiada orang lagi aku dapat jumpa. Tapi beberapa tapak kaki kesan kasut kat tanah aku dapat dilihat. Baru tak baru bekasnya masih jelas jugaklah. Ada yang berlubang dan rata (kasut getah kut). Harapan nak jumpa orang kian pasti nun jauh dihadapan. Pasti ada orang.


10.0: PUNCAK GUNUNG BUBU

       Trek nak ke Gunung Bubu dalam anggaran tiga ke empat kilometer lebih. Bunyi macam dekat tapi azabnya bermula sebentar sahaja nanti. Aku akan cuba beri gambarannya nanti.

       Sampai Puncak Kayung tadi ngam-ngam pukul 12 tengahari. Aku dalam kepala duk fikir macam nak keluar sebelum pukul lima petang dalam tentatif. Bukan main konfiden aku cakap dekat Angah dan Atie yang aku target nak keluar pukul 5.30 petang. Siap suruh mereka pergi naik ke Tanah Rata kat Cameron dulu pergi beli Strawberi kat aku. Sebab apa aku rasa dah macam mustahil, sebab bila aku dah sampai kat simpang nak ke last waterpoint atau orang panggil Kem Lopak tu, aku duk bilang-bilang jari tengok masa aku bergerak makin lama makin bertambah dari log masa yang lama.

       Kebiasaannya aku akan bandingkan log masa lama dengan masa bergerak sekarang ni sebab nak tengok berapa lama aku ambik masa nak ke suatu checkpoint ke suatu checkpoint. Aku mula jadi nak berpasrah dah, makin kecewa sebab makin lambat jadinya, makin tak perform. Nanti mesti lagi lama sebab lepas ni trek mencanak jer lepas naik dari lembah ni.

       Trek dari Puncak Kayung banyak menurun pada mulanya; licin sebab lembap dan basah sertaberlumut-lumut. Trek sejenis senang nampak, marking tak ada pun masih jelas kelihatan bentuk denainya. Tak perlu susah-susah nak rintis. Dua tiga tempat akan naik anak bukit dan banyak lalu permatang gunung dan bila dah start nak kena naik balik, aku rasa kaki aku dah rasa semacam,yang pasti makin kurang enak gituh. Rasa macam nak start ala-ala urat nak cramp setiap kali aku nak melangkah lebih laju dan angkat tinggi sikit. Aku rasa dah mula sedikit mental kalau gini gayanya. Lepas tu perasaan tu akan bakal bergoyah bila melihat trek semakin menaik pulak. Aku perasan yang aku makin tengok jam, nak tengok dalam seratus meter tu berapa lama masa yang diambil. Tiada perkara yang ajaib terjadi antara aku dengan jam tu. Hanya masa makin lama diambil dan makin perlahan rentak perjalanan aku.

       Aku kena tukar strategi. Dalam hutan bersendirian ni macam-macam idea nak buat itu ini yang datang. Aku kena menyusun langkah dengan bijak. Sambil jalan, fikir strategi. Tak perlukan berhenti untuk lukis atas tanah. Aku memilih untuk bergerak perlahan tapi non-stop, kalau penat sesangat baru aku berhenti lima saat, ambil nafas dua tiga kali, lepas tu hembus balik panjang dan lama perlahan-lahan. Kadang-kadang boleh nampak asap-asap keluar dari mulut, teringat cerita korea yang berlakon dalam salji tu.

       Padahal tu je cara untuk aku tak nak bagi cramps kaki. Satu lagi cara yang ada adalah tak berjalan. Mana mungkin. Aku tak nak berhenti terlalu lama, nanti masa makin lari. Tiada istilah 'take five' tengah-tengah ontrek kalau aku buat compress ni melainkan emergency (itu termasuklah sekali berhadas dan beristinjak). Air pun kena buat catuan. Maknanya aku hanya akan minum bila sampai puncak saja nanti. Waterpoint dah tak ada lepas dari Kem Lopak. Yang ada pun terlalu masih jauh, itupun lepas turun dari Gunung Yop Yap. Aku ni baru nak ke Gunung Bubu.

       Yang waterpoint kat Kem Lopak tu aku tak tahu macam mana bentuk dia, tapi tak berbaloi untuk aku pergi kerana dengar khabar agak jauh dan ambil masa. Lain kalilah jika aku bercamping tiga empat hari (rasanya itupun mustahil aku nak buat), aku akan pastikan aku akan pergi ke sana. Tapi bila aku rasa kaki nak cramp aku cepat-cepat teguk air 100 plus tu, nak ganti balik electrolytes yang hilang masa peluh balik. Misi nak sifar cramps, lantas catuan air ditunda ke peringkat seterusnya.

       Perjalanan nak ke Gunung Bubu ni aku rasa paling menyeramkan perasaan, menakutkan hati dan mendebarkan jiwa. Mau tak takut, aku ni sudah berada di tengah-tengah hutan dara yang terletak antara dua gunung (Yong Yap-Tok Nenek) seorang diri kut. Kalau aku nak berpatah balik rasanya suatu benda yang mustahil nak dilakukan dan satu keputusan yang amat bodoh di dalam sejarah hidup. Perjalanan ini mesti diteruskan walaupun dengan cara merangkak sekalipun. Aku tidak ada pilihan.

       Keadaan hutan pun boleh dikatakan agak kelam dan sunyi suasananya. Cuma bunyi lagu aku yang makin kuat bergema memecah kesunyian dan menemani perjalanan. Takut tu taklah sampai nak bukak MP3 mengaji lagilah, macam yang aku buat masa V1 half solo tahun lepas. Mana tak datang takutnya, bau wangi mengikut je kau dari belakang, dekat jalan menuju keluar empangan time lepas maghrib dan seorang diri. Gila ke apa time tu nak sangat berjalan sorang-sorang keluar. Meremang segala bulu roma yang ada.


       Alhamdulillah tiada apa yang aku alami dan hadapi sepanjang perjalanan ke Puncak Gunung Bubu. Siang mungkin agak selamat. Hanya bunyi kicauan burung menemani perjalanan. Sesekali ada yang ikut (burung, bukan hantu) duduk dihadapan aku seolah-olah nak jadi guide. Aku malah nak menafsir apa-apa maksud hal itu. Biarlah alam dengan bicaranya sendiri.

       Trek ke puncak Bubu amat berbeza dari trek nak ke Tok Nenek. Hampir langsung tiada trek yang mendatar tetapi ada beberapa puncak tipu yang mementalkan perasan. Bila nak sampai puncak, beberapa meter dah boleh nampak dari bawah. Betapa aku yakin itu adalah puncak sebab dah banyak kali kena game naik turun treknya. Dah boleh baca. Makin yakin bila kau sendiri tengok bentuk flora dan makin bermossy-mossy dan pokok makin kecik, halus dan renek tapi cantik. Bila trek seolah-olah macam nak menuju ke arah ruang cahaya terang. di situlah nanti puncak Gunung Bubu.

       Aku tiba di puncaknya pada pukul 1.04 petang. Selepas sejam setengah berhempas pulas dari Tok Nenek dan masa aku sudah lari sebanyak 30 minit. Ya, setengah jam. Sangat lama terlajak masanya. Rasanya aku mungkin ambil masa lagi lama untuk ke Gunung Yong Yap selepas ini.

       Seperti yang dijangka, tiada kelibat manusia yang hadir di situ. Buat pertama kali aku tiba di Gunung Bubu sendirian. Rasa gembira, teruja dan bangga. Sukar nak digambarkan. Dua puncak sudah ditawan secara solo. Tinggal satu puncak lagi nak ditujui iaotu sejenis gunung G7. Treknya lagi azabnya dari sebelum ini. Tapi bukan itu buat aku berasa amat kecewa. Dua kali ganda rasa kecewa ni.


11.0: SIMPANG YONG YAP/BUBU

       Aku sebenarnya sangat kecewa melihat puncak Gunung Bubu yang penuh dengan sampah sarap di setiap sudut. Sebenarnya, sudah banyak cebisan kulit gula-gula, makanan and botol air aku lihat dibuang sepanjang jalan, sarung tangan pun ada. Aku hanya bersangka baik mengatakan yang semua itu mungkin tercicir dari beg atau poket masing-masing. Aku pun tak berupaya nak kutip semua. Mana yang aku rasa mampu aku ambik simpan. Yang jenis botol air atau berat-berat atau yang tersorok jauh tepi jalan atau celah-celah pokok aku tak larat nak tunduk dan ambik. Takut tetiba nak bangun balik kejang kaki.

       Tiba di puncak Bubu buat aku terlalu bangga dengan diri sendiri. Mau tak bangga. Bersolo kut. Tapi aku tak nak mendabik dada lagi. Belum separuh jalan lagi ni. Masih jauh perjalanan. Trek lepas ni aku rasa 'okey' sikit dari trek ke Bubu ni. Susah tu susah jugak tapi makin dekat nak ke balik tu 'feeling' tu lagi teruja, lebih lebih lagi nak ke puncak terakhir

       Dah habis layan rasa kecewa, aku pun rehat. Bukan aku rehat sangat. Sekadar duduk luruskan kaki dan betulkan kasut. Dah habis rehat aku kembali sambung perjalanan. Dalam tiga belas minit juga aku rehat. Trek mula menurun semula, turun dan turun seturun-turunnya. Aku bolehlah nak acah berlari sikit sebab nak kejar masa. Aku jangka dan berharap sangat boleh sampai ke Puncak Yong Yap sebelum pukul tiga petang. Tak dapat nak COT pukul dua, aku lajak pukul 2.30 petang. Tak lepas jugak, pukul tiga kena kasi pulun habis. Lepas tu tak tahulah boleh keluar sebelum malam atau tidak. Tak mustahil kalau aku jenis manusia yang ada sayap.

       Trek nak ke simpang Yong Yap-Bubu atau YY ni hampir sama trek dari Gunung Gayong ke Gunung Korbu. Itu pandangan peribadi sebab aku rasa persekitaranya lebih kurang. Mungkin terletak dalam banjaran yang sama. Hutan masih sama jer suasananya kelam, sunyi dan suram. Semasa perjalananan aku dah letak dalam kepala siap yang aku kena naik-turun bukit-trek ni sebanyak lima kali, kalau aku tak silap. Memang buat mental 'down dan melemahkan semangat bila fikir. Aku ni sejenis suka kira benda masa berjalan sebab nak cam trek. Bila jumpa pokok, batu atau apa-apa tanda (landmark) yang aku kenal dan ingat, baru aku boleh agak jarak satu tempat ke suatu tempat.

       Kadar pergerakkan aku sama macam nak ke Bubu tapi lebih perlahan sebab banyak trek menaik. Aku dah tak fikir dah sama ada aku seorang diri ke tak sebab perasaan takut tu tak timbul langsung dah. Sebab aku kena hadapi jugak. Cuma aku yakin yang aku akan jumpa orang nanti. Hampir dekat, aku rasa mungkin di puncak Yong Yap. Walaubagaimanapun, dalam kepala aku hanya nak sampai ke Simpang YY-Bubu je terlebih dahulu. Dah tak larat dah kaki nak melangkah ni. Bila nak sampai daku tak tahu. Lepas tu tengoklah macam mana dan apa yang bakal terjadi, sama ada gigih ke tak nak naik ke puncak Yong Yap. Kalau tak pergi pun bukan orang tau. Nak bukti, guna gambar yang lama sudah. Edit semula.

       Makin banyak sebenarnya tapak kaki manusia yang aku lihat. Teruja tapi bila boleh jumpa. Bila juma baru rasa semangat. Banyak jenis yang berkasut getah. Tanah yang basah dan lembik memang akan jelas nampak kesan tapak kaki, siap bertakung dengan air pun ada. Aku pun turut meninggalkan kesan tapak kaki aku sendiri. Aku amat bernasib baik sebab cuaca agak cerah dan tak panas sangat. Kalau Tuhan nak takdirkan hujan, aku berdoa yang hujan turun masa aku menurun dari Yong Yap. Tak sanggup nak hadap trek berlendir dan bertasik nanti.

       Bukit yang terakhir aku nak kena naik adalah yang paling mencabar dari yang sebelumya. Tahap kecerunannya hampir ke 80-90 darjah tingginya. Pasrah je nak kena angkat kaki perlahan-lahan tak nak bagi cramp dam tangga terkapai-kapai cari pokok atau batang kayu sebab nak mudah tolak badan naik ke atas. Makin lama terasa bila-bila masa jer tragedi kaki nak cramps (kejang) akan terjadi. Bila dah lalu kawasan buluh-buluh yang halus aku yakin aku akan sudah hampir sampai nak ke Simpang YY-Bubu walhal bagaimanapu aku sebenarnya kena menurun lagi dan kembali naik semula untuk ke Simpang YY-Bubu ataupun dipanggil ke Kem Simpang.

       Dari celah-celah pokok yang berlumut boleh nampak macam ada kawasan rata dihadapan. Pada pukul 2.28 petang, selepas lebih sejam bergerak dari Puncak Bubu, akhirnya aku sampai di Kem Simpang/Simpang YY-Bubu.


12.0 PUNCAK YONG YAP

       Aku tersadai dan terbaring di sebatang pokok yang begitu kurang berlingkar sedikit akarnya. Begku dilonggarkan sarungnya untuk dibuat sandaran. Kelebihan beg yang punyai kusyen lembut ni, selesa dibuat menyandar badan dan baring untuk tidur. Kaki pula diluruskan. Kemudian, topiku buka. Panas, penat, mengah dan letih terasa yang amat bila trek mencanak jer. Tapi aku masih belum perlu nak susah merangkak naik lagi. Mungkin sebentar lagi. Perjalanan nak menuju ke puncak pasti sangat getir sekali aku rasa. Lagi-lagi bila melihat prestasi kaki yang tak segah dulu. Jika tidak ianya adalah sejenis puncak G7, aku rasa tak perlu nak gigih naik ke puncak.

       Tapi aku bukan sejenis lipak puncak orangnya. Prinsip seorang hiker kental kena sampai puncak walau apa jua keadaan, mahupun solo. Masa buat solo inilah nak dapatkan puncak. Air diminum lagi. Kali ini air seratus tambah itu aku habiskan yang mana sudah pun tinggal separuh botol. Masih ada sebotol lagi yang tak dibuka. Simpan untuk dibuat air kemenangan samada di puncak atau masa keluar tamat nanti baru diminum. Baru bermakna.

       Aku memerhati ruang legar yang luas dan lebar. Masih tiada kelibat orang. Semilir pun turut sama tidak mahu singgah menyambut kedatanganku ini. Begitu sepi sekali suasana. Sisa-sisa nafas aku hela puas. Dada berombak-ombak menarik nafas. Dah sampai sini aku rupanya. Hampir ke kemuncak sudah.

       Tujuh minit berlalu, aku melangkah dengan penuh longlai dan lemah. Walaubagaimanapun aku tetap berazam tinggi nak sampai puncak juga. Trek yang sangat berlumpur dan lembap melambatkan lagi perjalanan. Kesan tapak kaki manusia dapat dilihat sepanjang trek, yang susah datang, samada naik ke atas dan sudah turun pulang. Aku mengharap (sangat) nak jumpa orang di puncak. Nak jugak aku suruh tolong ambilkan gambar diri ini. Nanti aku belanja trip compress yang agung sekali. Mana tahu yang jumpa pula nanti adalah kawan-kawan sendiri.

       Kasut aku sudah tidak dapat di selamatkan rupanya. Rasa basah air terserap masuk hingga ke sarung kaki. Mungkin kalau dibuka, pasti kembang jari jemari mulusku. Rupa merah bertukar warna cokelat hingga tercalit jua lumpur sampai ke seluar. Kadang-kadang aku tergelincir bila memijak akar yang disangka kuat tapi rapih dan kasut pun masuk ke dalam tanah berselut yang di sangka padat itu rupanya lembut. Tapak tangan pula sudah tidak dapat dielakkan, kotor terkena tanah bila terpaksa jua mencapai akar dan pokok untuk dipegang. Sesekali baju dan seluar dikesat bila rasa tak selesa pada tangan. Itu belum lagi di kawasan yang memerlukan acara sukaneka berganti-ganti antara menunduk dan merangkak naik. Tiada apa yang dapat diselamatkan. Aku tunggu turun nantilah jumpa waterpoint untuk dibasuh baju dan badan sebersih-bersihnya.

       Separuh perjalanan menuju ke puncak Yong Yap tidak menawarkan diri peluang untuk melalui disebarang laluan yang landai dan senang. Kebanyakkan perlu menaik. Istilah tiada yang mudah untuk menuju kejayaan amat diaplikasikan dalam trip ini, ketika ini lebih-lebih lagi. Separuh lagi perjalanannya memperlihatkan permandangan pokok berlumut mossy dari akar hinggalah ke batang-batang pokok yang mengasyikkan hinggalah ke puncak. Warna lumut hijau itu benar-benar mendamaikan perasaan walaupun terasa seolah-olah ada yang memerhati dari rongga-rongga batang pokok atau akar yang berbentuk seakan-akan gua yang kosong itu sebuah kediaman yang bolrh didiami, didalam atau dibelakangnya. Aku enggan memandang lama-lama. Tidak mahu perasaan takut menguasai diri. Usah di ganggu aku yang ingin tuntas cepat sampai ke puncak.

       Lantai tanah yang agak lembut dimana hasil untaian akar-akar pokok yang sudah berabad lamanya bersulam dengan tanah dan pokok yg sudah mati perlu dipijak dengan berhati-hati. Ada ruang yang tidak selamat untuk dan membolehkan kaki terperosok masuk ke dalamnya; aku adalah salah seorang yang malang nasibnya ketika itu. Itulah tak fokus. Mana taknya, aku terlalu kusyuk melihat permandangan yang percuma di depan mata.

      Siapa kata itu percuma. Aku datang sini berkorban masa dan tenaga. Nak sampai ke sini dah rasa bertarung nyawa dah. Trek pacak dan pacak terus ke puncak. Hingga aku rasa kaki hampir tak bergerak langsung. Aku rasa tak keterlaluan rasanya mengatakan yang bumi lagi laju berputar dari kaki aku yang amat berat dan perlahan melangkah.

       Aku tiba di puncak pada pukul 3.03 petang. Sudah masuk petang hari. Selepas 7.30 minit lebih, aku tiba akhirnya di puncak ke tiga selepas Tok Nenek dan Bubu. G7 pertama aku tahun ini. Yang lebih manis aku menawannya secara solo. Lagilah bermakna. Hingga tiba di puncak, sujud syukur sahaja mampu aku lakukan. Aku rasa seolah-olah diperhatikan.


12.0: MONOLOG: Aku Hanya Manusia

       Rasa seperti dilihat itu adalah perkara biasa bila berada didalam hutan. Tidak perlu dilayan sangat. Kalau bau wangi, itu bunga tengah berkembanglah jawabnya. Tiba di puncak, seperti biasa salam diberikan walaupun ku tahu takkan ada sesiapa berjawab (puncak tiada orang dah). Tempat mungkin berpenghuni, ya mungkin jasad tidak kelihatan tetapi tidak perlulah di nafikan kewujudannya. Aku tidak ingin bermain perasaan. Aku harus menyusun masa semula. Aku sudah kelewatan lebih dari sejam maka strategi harus ditukar. Walaupun tiada tentatif yang spesifik (aku hanya merujuk pada log-log masa yang lama), aku tetap rasa ingin mencipta 'personal best' yang baru.

       Mungkin tidak untuk kali ini. Aku sudah kepenatan. Lain macam persembahan solo hari ini. Masa untuk turun harus dilakukan dengan lebih pantas dimana aku harus melakukan dalam masa empat jam, itu paling lambat harus aku buat. Macam mana aku nak buat ni, jumlah trek masih ada lebih kurang 20 kilometer lebih. Didarab dan dibahagikan bermakna setiap sejam aku bukan harus dah, dah jatuh hukum wajib habiskan lima kilometer perjalanan. Atas kertas, pada kalkulator tampak mudah. Trek bukan landai. Berpuluh-puluh sungai harus diredahi (aku kira kut..jeng, jeng, jeng), berbatu, berbuluh, berbukit, berpanas dan sebagainya.

       Jam yang sudah berpukul tiga petang lebih berdetik tanpa pernah tertunda masanya. Kalau aku gerak pukul empat petang, pukul lapan malam aku harus keluar atau tiba di parking. Itu sifir mudah. Tidak mudah jika berjalan pada waktu malam pula pasti pergerakan akan jadi perlahan disamping penglihatan menjadi lebih terhad. Konsepnya, setiap minit adalah berharga dan harus bergerak cerdas. Elakkan keluar pada waktu malam.

       Aku bukan pelari mahupun manusia luar biasa. Tiada kuasa magis atau ilmu pendekar yang boleh buat aku terbang ke sana ke mari, apatah lagi penyapu terbang. Aku sangat mengharap punyai sepasang sayap yang boleh terbang atau seekor binatang untuk dibuat tungangan. Terbayang pula si Reindeer rusa-rusa artik milik santa klaus itu aku sedang memegang tali kendalinya di dalam pedatinya itu, sedang memacu turun dari puncak atau sedang menyelunsur dari satu puncak ke puncak gunung. Tetapi, aku adalah hanya manusia biasa. Tiada sebarang keistimewaan dan kelebihan, tetapi aku punyai semangat yang luar biasa. Nak tak nak aku kena mencuba untuk keluar sebelum malam. Pandai masuk, pandai pandailah cari jalan keluar. Kalau tak pecahkan ruyung, manakan dapat sagu. Usaha tangga kejayaan.

       Aku akan turun selepas menunaikan solat jamak. Aku mencari titisan air yang biasanya ada pada lumut-lumut yang agak belakang sikit dari puncak itu. Air yang terbentuk dari kabus-kabus tersimpan sedikit di sini. Aku malas nak bersolat bila turun nanti walaupun dah banyak jumpa sungai dan air. Alasan, nanti dah sedap berlari nak kena berhenti pulak. Badan tengah panas-panas lepas tu muka kena air boleh kena panau nanti. Dahlah leceh nak kena bukak kasut lagi nanti.

       Agak lama aku berada di puncak. Berehat seadanya kerana lepas ini perjalanan nak menurun aku takkan berhenti lagi di simpang YY atau Sungai Jerok. Air seratus tambah yang sebotol tinggal diminum. Aku dah berpesan kat diri, jangan habiskan, simpan untuk minum masa pewai nanti.

       Harapan nak jumpa orang di puncak tidak juga kesampaian. Mana mungkin ada lagi orang nak duduk di puncak pada masa petang dah macam ini. Orang nak balik dah, esok hari Isnin mereka nak bekerja. Aku tak apa, hari Rabu baru mula bekerja. Jauh perjalanan aku dan kali ini betul-betul bersolo. Tidak sangka betul yang memang rezeki hari ni tak ada rezeki nak jumpa orang lagi. Mungkin dan tak mustahil. Mungkin aku akan jumpa masa turun nanti. Itu pasti punya.

       Hampir setengah jam kemudian, aku berkemas dan bergerak turun pada pukul 15.30 petang.


13.0 KEM HASSAN ATAU BALAK PECAH

       Bergerak menurun dari puncak adalah perjalanan yang paling indah dan menyenangkan. Aku hanya perlu menurun, walaupun licin dengan trek yang berlumpur dan penuh berselut. Baru tadi kering, kena selut balik. Aku dah tak perlu fikir nak bersusah-sudah nak hadap trek memacak lagi. Tambahan lagi, aku tak perlu nak mengelak ( beri laluan) setiap kali jumpa orang. Insya Allah, perjalanan akan ada tanpa sebarang halangan.

       Perjalananan kali ini aku memilih untuk tidak memakai atau memegang sebarang kayu untuk dibuat tongkat. Aku nak guna tangan sepenuhnya.
Penggunaan kayu atau tongkat tak berapa sesuai dengan trek dekat gunung yang berkedudukan tinggi macam ini. Aku gunalah pokok dan akar untuk berpaut. Aku pun tak nak masa menurun nanti kayu akan menyebabkan proses perjalanan aku akan terganggu. Penggunaan tongkat ini ada caranya, kalau tersalah pegang boleh tersalah cucuk kat badan. Boleh tembus.

       Nak turun memanglah tak sama macam menaik. Lebih cepat tetapi ada beberapa tempat aku kena melompat sebab terlalu tinggi dan tiada tempat untuk kaki berpijak. Daripada tergelungsur jatuh, baik aku biarkan lutut rasa sakit sikit sebab kau dah melompat pasti soket lutut tertekan. Rasa macam atlet gimnastik yang buat landing dalam acara papan kekuda. Tapi aku punya tak ada 'sommersault' lah, cuma dalam static position jer. Mendarat atas tanah lembut pasti kedua-dua kasut tenggelam didalamnya. Jenuh pulak nal angkat kaki tarik keluar.

       Dalam masa 15 minit aku pun sampai kat Kem Simpang balik. Laju jugaklah aku berlari turun. Aku berhenti sekejap, pusing kepala kiri kanan untuk pastikan aku pilih simpang yang betul. Kedua, nak tengok ada orang tak. Mana tau geng-geng V2 baru tiba dari belakang. Aku hampir terlupa akan Yogi dan Poi. Dimanakah kalian berdua ini, sudah jauh ke depan atau masih berada di belakang. Sebab nak kejar merekalah aku nak turun cepat-cepat jumpa mereka. Haish, takkanlah cepat sangat dorang turun ni.

       Lepas simpang YY-Bubu, aku akan menuju ke Kem Balak Pecah atau Kem Hassan. Ok, anda pasti nak tahu kepada ada nama manusia kat sini. Jarang orang bagi nama kemsite dengan nama orang. Nama Hassan tu tak asing lagi dalam dunia hiking yang mana kes orang hilang dalam hutan. Kes beliau ni oranh masih tak jumpa-jumpa sampai sekarang sejak 2009. Genao 10 tahun masuk tahun ni, tetapi cerita beliau hilang masih hangat diperkatakan lagi. Makin timbul ceritanya bila kes Acap yang hilang tu terjadi. Dikatakan kat Kem Balak Pecah nilah Hassan Ayat dikatakan hilang dan meninggalkan jejak terakhirnya. Aku malas nak kupas isu ini sebab aku pun kurang arif dan tak berada di tempat kejadian. Mungkin ada kaitan dengan alam lain. Wallahu'alam. Lagipun aku taknak panjangkan lagi cerita aku yang dah cukup 18 episod ni.

       Trek makin kering dan berakar. Semakin sedap aku turun. Banyak pokok buluh yang halus mulus sepanjang jalan. Aku takkan sentuh sebab takut jari terluka. Bunyi lagu dekat speaker masih kedengaran, masih ada bateri. Harap cukup sampai keluar nanti.

       Selepas sepuluh minit, aku sampai ke Kem Sungai Jeruk. Ah, sekejap saja sebab belari tak ingat dunia. Berhenti ambik gambar sahaja, tak bercadang duduk lama-lama. Rasa sejenis. Lagipun nak Kem Balak Pecah dah dekat sangat dah.



14: KEM SUNGAI JEROK.

       Harapan aku nak jumpa orang di Kem Sungai Jerok tak kesampaian juga. Aku menduga akan ada manusia di situ yang duduk masih bercamping. Awal benar kalian keluar hari ni. Ni mesti masing-masing dah naik ke puncak awal pagi tadi. Kosong betul kemsite bila aku tiba di situ. Hanya tinggal bekas unggun api yang mati dah ditinggalakn. Hampa sekali weh. Kalau ada yang kenal-kenal boleh mintak kopi panas. Aku perlukan air manis untuk menyegarkan badan. Kopi yang ada tu rasa macam dah tak sedap. Dah nak masuk 16 jam kopi tu aku buat dari rumah, nak buang sayang. Nak minum tak lalu.

       Dari Kem Balak Pecah nak kem Sungai Jerok ni trek dia umpama turun dari Last Waterpoint Korbu hinggalah Kem Kijang. Itu aku rasa sebab sebijik sama dengan kebanyakkan trek banyak menurun jer. Ada jer dua tiga bukit yang kena naik sedikit sampai boleh buat aku kena perlahan-lahan berjalan sambil pegang peha (dari tadi aku belari turun). Tengah seronok layan kaki turun, aku lalu kawasan agak rata (aku lupa sama ada tempat ni sebelum ke Kem Sungai Jerok atau Kem Balak Pecah) luas dan lapang, senang cerita macam ada orang jaga. Terus cepat-cepat aku berlari. Rasa semacam jer.

       Terlintas jugak dalam kepala yang aku terbayangkan berjumpa dengan Hassan Ayat tengah berjalan-jalan ala-ala tengah berkelana dalam hutan (aku terbayangkan yang dia tengah pakai baju putih sambil pegang kayu, ala-ala nenek kebayan, cuma dia tak bongkok) semasa tengah turun. Ada beberapa tempat tu agak lawa dan seolah-olah macam syurgawi; suasana yang amat nyaman dan tenang hutannya bersama cahaya matahari yang menembus dari celah-celah pokok membuatkan sekeliling kelam dan pudar warnanya tetapi masih menarik dilihat; tak terlalu terang dan tak terlalu gelap. Dapat dilihat tiga lapisan pokok disini. Pertama, jenis pokok yang bersaiz besar dua tiga pemeluk orang dewasa dengan dahannya menjulang tinggi. Pokok-pokok renek yang separas lutut tumbuh berkeliaran di lapisan paling bawah, boleh nampak sedaya upaya bersaing sesama sendiri untuk dapatkan cahaya untuk berfotosintesis. Manakala, di lapisan tengah yang mana agak kosong ruangnya. Ada pokok-pokok yang banyak melilit di pokok besar dan menumbang tumbuh dibatangnya. Ada juga beberapa pokok berjaya tumbuh membesar tetapi tidaklah berapa tinggi dan agak berjarak antara satu sama lain. Boleh nampak semua jenis pentingkan diri untuk melangsungkan kendiri masing-masing. Di lantai hutan dipenuhi dengan daunan dan ranting kering. Ada beberapa tempat yang treknya dihalangi oleh balak yang sangat besar.

       Dilapisan yang tengah-tengah itulah aku terbayangkan bahawa sedang aku tengah sedap berlari -lari anak ni, bertembung pula dengan Hassan atau di tegur beliau macam diberi salam ke. Aku masa tu tak tahulah aku nak jawab apa. Terbayang rupa wajah beliau yang pernah aku lihat gambarnya laman sesawang sebelumnya. Kalau aku jumpa dia, apakah harus aku bertanggungjawab membawa dia pulang ke pangkuan keluarga atau aku pulak yang ikut dia bersama?. Tapi nak juga bertemu bual, ingin tahu apakah sudah terjadi pada anda dan kenapa anda jadi begini.

       Terkumat-kamit aku membaca ayat-ayat yang sepatutnya minta dijauhkan dan berdoa semoga perjalanan ini lancar dan aku terus nampak jalannya. Bila keseorangan begini, fikiran kita jadi bebas untuk berfikir. Sukar aku nyatakan
Aku tak nafikan, ada beberapa ketika aku tersasar keluar dari trek sedikit, bukan kerana aku kena 'game' tetapi tak berapa nak nampak trek sebab kadang-kadang cahaya matahari yang menyinar tu membuatkan pandangan menjadi silau dan bila dah tema kena berlari-lari, kaki ni lagi cepat bergerak dari mata yang memandang. Motor reflex response lagi cepat dari Sensory response.

       Aku tiba di Kem Sungai Jerok dua minit sebelum pukul 4.15 petang (18 minit dari Kem Balak Pecah). Dari jauh aku dah boleh dengar bunyi arus aliran sungai mengalir. Jadi makin bersemangat aku dan terus lupa yang tadi bukan main pewai nak mampus masa nak naik ke Puncak Bubu dan Yong Yap. Aku tak sabar nak berendam dalam sungai tu sekejap nanti. Aku nak basuh baju dan isi semula air (bersama asam boi).


15.0 KEM AGAS: Jumpa Orang (Akhirnya)

       Tiba di Kem Sungai Jerok bermakna aku masih ada dalam 15 kilometer lagi nak keluar. Masih jauh dan panjang tapi aku tak rasa gundah sebab trek nanti banyak melandai dan mendatar jer. Seperti yang aku mahu, aku berendam puas-puas dalam sungai, basuh baju dengan seluar dan kasut di cuci sebersih-bersihnya. Baru ada rupa sejenis kasut. Badan yang tengah panas begini memang asyik duk berendam.

       Lulut tetiba rasa terketar-ketar mengigil-gilir. Mungkin sebab tadi berlari turun bukit, tak tahan kena hentak-hentak banyak sangat tu. Dah lama aku tak belari seseronok turun macam ni. Memang tulah padah yang dapat. Aku dah stanby akan pakai knee guard je kalau betul-betul tak tahan nanti tapi aku hanya bawak sebelah jer knee guard tu. Sebab malas nak bergantung kat situ, jadi kena betul-betul tahan sakit kalau apa-apa jadi. Boleh pakai pun sebelah kaki je la. Nanti aku tukar-tukar kaki pakai. Sama di rasa. Duk berendam kaki dalam air sungai ni jugak macam recovery jugak la, walaupun sekejap sahaja.

       Bila hujan rintik-rintik turun baru aku cepat-cepat naik dan pakai kasut semula. Nak tak nak kena naik jugak, walaupun tak puas lagi mandi. Tadi cuaca elok-elok je kat atas, tetiba pulak turun. Mungkin hujan lalu je kut. Ralit jugak main air walaupun sejuk. Kecut habis tangan. Kaki tak payah cakap la, dah macam mayat pucat rupanya. Aku pakai dua lapis stoking sebab nanti tapak kaki aku sakit. Kulit kaki pasti akan kembang sebab banyak main dalam air. Aku juga tak mahu nanti kaki jadi melecet dan aku pun tak nak bila lalu sungai nanti pasir-pasir yang halus masuk dalam kasut tu, buat kaki jadi tak selesa.

       Siap berkemas, aku sempat meneguk air 100 plus lagi sedikit dan rasa air asam boi yang tak berapa nak larut lagi. Nantilah, lama-lama sikit baru sedap rasanya. Damai tekak minum air sejuk. Beberapa keping asam masin aku makan dan simpan sikit dalam seluar, nak buat kudapan mengunyah sambil berjalan dan lalu main air. Hujan yang turun tiba-tiba buat aku tergesa-gesa dan sedikit kelam kabut. Bukan aku takut basah kena hujan, walhal aku dah memang satu badan dah basah, cuma nak pastikan barang-barang eletronik dan kering yang lain selamat di simpan. Yang paling penting, telefon tu kena simpan elok-elok. Senang nak ambil, senang jugak nanti nak simpan.

       Benda terakhir aku buat adalah perah baju, tapi aku tak nak pakai lagi sebab badan masih rasa sejuk. Takut nanti badan tak tahan sejuk. Aku pun hanya ikat dekat tepi beg. Rasa seksi pulak. Bukan ada orang pun. Aku meninggalkan Kem Sungai Jerok pada pukul 4.22 petang dengan rasa penuh bersemangat dan waja. Tak jumpa orang pun tak apa sebab aku nak keluar dah ni. Tak berharap dah. Harapan dah lunyai.

       Aku hanya pakai semula baju lepas melalui sungai yang agak deras dan lebar laluannya. Sampai paras peha jugak dalamnya. Nasib ada tali, baru tak kena hanyut. Aku lagi takut baju yang hanyut dari diri sendiri. Memang banyak sungai yang kena lalu. Kejap ke kiri ke kanan dan berganti dari kanan ke kiri. Sejuk badan bila pakai balik baju. Kalau kering semula, aku basahkan balik baju ni. Mata ni ada jugak duk perhati kat depan nak tengok samada bertembung dengan orang ke tak. Masih berharap lagi.

       Nak ke boleh sampai ke Kem Agas, tak silap aku akan melalui sebanyak 13 kali sungai (gigih aku kira), padahal sungai tu satu je tetapi sebab trek di buat ditepi sungai, maka kena la lalu kiri-kanan, kanan-kiri. Agak menyusahkan dan mental sebab berair je kasut je. Kadang-kadang bila lalu tu dan anda terpijak batu yang licin, tergelincir jatuh dalam sungai. Memang melambatkan proses pergerakkan dan aku akan menghadapi perjalanan macam ini hingga sampai habis keluar nanti. Sambil lalu, aku ambil kesempatan meneguk satu dua air sungai pakai tangan. Alang-alang, orang kata sambil menyelam, minum air.

       Tengah sedap aku berlari-lari anak, aku terdengar suara orang. Makin jelas. Ini bukan khayalan. Suara orang bergelak ketawa. Memang lah macam tak lojik boleh dengar suara orang dari jauh, tapi dalam hutan ni kentut pun boleh dengar. Makin lama makin kuat dan akhirnya aku nampak kelibat manusia. Bukan seorang, tetapi tiga orang. Yakin sekali itu orang. Aku memperlahan sedikit kayuhan kaki, takut tak sempat nak brek kan, bertembung pula dengan orang di depan nanti. Lagipun aku tak nak megejutkan mereka dengan kehadiran aku yang penuh misteri dari belakang.

       Mereka bergerak perlahan, tersangat perlahan sehingga bila aku cuba memotong, mereka tidak perlu berhenti untuk memberi laluan. Tiga orang pendaki yang bergerak turun keluar dari puncak yang pasti terdiri dari seorang wanita yang duduk paling depan sekali, di tengahnya kelihatan seorang lelaki yang bersaiz agak besar, dua kali ganda dari wanita itu dan yang paling terakhir kedudukanya, seorang lelaki yang paling tinggi dan kurus dari dua orang dihadapannya itu. Nampaknya lelaki paling tengah-tengah macam mengalami kecederaan kaki ataupun lulut, sedang berjalan dalam keadaan terhenjut-henjut sambil memegang sebatang kayu. Bagi aku, kayu agak besar dan panjang dari beliau. Macam tak sesuai kayu macam tu nak pegang buat 'support' kaki awak brader. Bagaimanapun aku tabik kat beliau sebab kagum dengan semangatnya nak panjat gunung. Tak boleh nak bayangkan macam mana dia naik ke puncak tu.

       Tak menyempat mana aku nak tanya beliau sampai puncak ke tak walhal aku hanya menegur dengan berkata "hai" dan "hati-hati" sahaja. Aku tak tahu apa yang boleh aku sumbangkan untuk membantu lelaki yang mengalami kecederaan selain hanya cuba berjalan-jalan sedikit perlahan agar tak nampak sangat tengah acah-acah padu. Nanti mereka tengok aku berlari, boleh buat diorang patah semangat pulak. Nampak nanti aku menunjuk-nunjuk. Aku amat yakin yang mereka akan keluar pada tengah malam karang jer sebab mereka bergerak terlampau perlahan dan perjalanan nak keluar masih terlampau jauh. Aku ni pun dah kesuntukkan masa, ada dalam tiga jam lagi masa yang ada sebelum hari akan bergelap. Dah puas aku duk mencongak masa ni.

       Aku berasa begitu gembira. Makin bersemangat aku jadinya. Makin padu melangkah dan tiba-tiba rasa makin bertenaga. Kegembiraan aku tak berakhir di situ apabila aku berjumpa lagi dengan seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan. Tak sempat aku nak menegur, aku disapanya terlebih dahulu
"ada nampak tiga orang tak kat belakang" ..... "dengan lelaki yang berbadan besar". Aku bilang ada dibelakang dan mereka tak jauh. Aku rasa aku tipu. Padahal jauh dah aku tinggalkan. Yelah, pace aku kan belari.

       Sebelum tiba di Kem Agas, aku berjumpa lagi dengan dua orang pendaki yang turut sama sedang bergerak keluar. Aku tiba di Kem Agas hampir pukul lima petang. Nampak dari jauh asap-asap orang tengah membakar dan tak lama kemudian, boleh nampak fly masih terpasang. Ada jugak sebiji khemah masih tercacak teguh di bumi. Ada kelibat beberapa orang dalam lingkungan empat lima orang pendaki yang ke semua wanita sedang bekerja. Masih bercamping lagi ker, tak nak keluar ke mereka ni?. Persoalan yang timbul tersebut buat aku rasa nak teruskan, terbantut nak bertake five.


16.0: SIMPANG YY-TOK NENEK

       Aku berhenti hanya untuk melengkaplan log masa agar tak berterabur. Banyak nak catat. Nampaknya aku tak adalah paling laju, tapi masih boleh dapat masa yang mengagumkan anda semua. Yang penting tak pernah lupalah nak log masa ni. Penting jugak, sebab nak berkongsi dengan orang. Kadang-kadang terasa laku log aku bile ada orang bagi respon positif dan bangga bila ada yang bilang log aku sangat membantu mereka dan jadi panduan.

       Dah mula jumpa ramai orang ni berturut-turut. Lega rasanya. Bayangkan, betapa jauhnya aku berjalan dan dekat 30 km baru nak berjumpa orang. Pertama kali jugaklah aku bersolo masuk hutan tak jumpa-jumpa orang. Bila jumpa bukan main rasa seronok. Alah bukan aku kenal pun mereka atau sebaliknya. Tak seorang pun kenal dan tegur aku masa balik tu. Semua aku yang tegur dulu. Baik bukan.

       Aku pun dah kesuntukkan banyak masa. Janji pelesu kat Angah dengan Atie (krew-krew rasmi dan tak berbayar TNBYY aku) yang aku katakan yang aku akan keluar pada pukul 5.30 tu hanya omong kosong. Aku mencongak kembali masa ni, paling awal boleh aku buat adalah pukul 7.30 malam. Itupun kalau aku gigih berlari sahaja sepanjang perjalanan. Aku akan cuba walau macam manapun. Cuma aku berharap cuaca tak panas. Hujan yang tadi rintik-rintik dah berhenti. Memang hujan lalu jelah. Kalau terlampau panas aku cepat mental, pewai dan sakit kepala. Aku harap mereka bersabar menunggu di Pos Rengil. Harap mereka sabar melayan kerenah anak-anak orang asli disitu.

       Lama-lama duduk kat Kem Agas nanti kena agas. Sebab tu aku pun tak bercadang nak berhenti kat situ. Lepas ni aku nak kembali semula ke Simpang Yong Yap-Tok Nenek. Simpang penentuan aku panggil, sebab masa mula-mula pagi tadi, aku kena buat keputusan berani mati sama ada nak teruskan bersolo atau tidak. Tapi kini ni dah nak balik dengan trek yang banyak melandai dan mendatar macam ni aku rasa tak perlu ingat pun takpa. Dah nak keluar dah.

       Masih banyak anak sungai aku laluinya. Walaupun tak sederas dan selebar tadi, tapi tetap aku ambil kira. Sejumlah 36 anak sungai (anggaran penulis, kadang-kadang mungkin ada yang terlepas kira), aku yakin lebih daripada 30 kali yang aku lalui kesemua, tapi aku lupa sama ada aku kira termasuk sampai di Simpang YY-Tok Nenek atau sampai jambatan (nak sampai jambatan ada lagi tiga sungai kena lalu). Aku gigih kira sebab itu buat aku leka daripada nak layan mental dan fizikal menghadap trek yang panjang nak mampus ni. Secara perbandingan; Trek balak Gunung Nuang dekat lima kilometer, trek Gunung Rajah via KKB sampai ke Kem BMW dekat enam kilometer, trek Rajah via Chamang ke Lata Naning dekat sepuluh kilomeeer. Semuanya lagi senang daripada trek dari Kem Agas nak ke simpang ni.

       Jarak hampir tujuh kilometer trek nak ke simpang ni. Setiap kilometer aku ada 'landmark' aku sendiri je tau yang mana aku sendiri boleh tau dah berapa lagi/dah jarak aku lalui sebab aku nak mudahkan ingat jalan (episod berapa dah aku huraikan). Dah dekat setahun tak masuk, aku rasa ingatan aku masih kuat lagi dan rasanya tak hilang kut.

       Kilometer pertama; trek hanya biasa-biasa jer, banyak lalu anak-anak sungai, pokok pisang dan ada bahagian kena mendaki sikit lepas lalu Kem Agas tu dan kena lalu trek yang tepinya macam ada gaung. Sepanjang perjalanan memang akan dengar bunyi sungai yang aliran boleh kira besar, deras dan kuat (walaupun hanya dapat didengari dari jauh dibawah sana). Nak ke kilometer kedua hinggalah ke tiga pun tak banyak beza. Banyak pokok lengkuas hutan yang ada sesetengahnya akan menaik bau wanginya. Trek agak kering dan hanya tinggal lumpur yang berair kesan dipijak orang. Aku mula bertemu dengan orang semula dekat kawasan tersebut. Mereka bergerak dalam kumpulan yang kecil, berpisah dan berjarak jauh antara satu sama lain. Macam biasa, aku potong barisan mereka dengan rasa megah. Secara automatik jadi makin laju. Aku pun hairan, setiap kali jumpa orang mesti jadi laju tetiba. Korang mesti pernah jadi macam tu. Ada yang jumpa aku tu sempatlah tanya aku "naik YY tadi ke bang".. dan aku pun hanya iyakan jela. Dia tak tahu aku ni dah nak separuh mati buat TNBYY. Kalau tau cerita solo kut, mesti tak percaya.

       Seterusnya aku mula lalu trek yang banyak tumbuh pokok-pokok buluh. Ciri-ciri pokok yang berdekatan sangat dengan sumber-sumber air (aku permerhatian) atau diketinggian tertentu (hasil pembacaan). Bermakna aku dah masuk ke kilometer keempat dah. Dah separuh jalan dah. Kawasan buluh tu buat badan aku rasa kembali hangat. Buluhkan sejenis kalis haba, bila kena cahaya matahari, haba tu akan terpantul semula. Sebab tu jadi panas persekitarannya. Walaupun cahaya matahari tak berapa panas, tapi bahangnya tetap terasa, apatah lagi baju dan seluar serta kasut pun dah mula kering.

       Sambil acah-acah berlari, aku mengudap asam yang masih berbaki dalam poket. Sampai di sungai aku akan teguk minum airnya. Aku memilih anak sungai yang agak deras dan besar. Ada bahagian di kawasan buluh yang aku rasa perit nak kena menunduk dan ada yang pula kena berjalan macam itik sebab tak nak bagi beg dan pakaian tersangkut dengan buluh. Mereka yang bawak beg besar pasti kena tanggalkannya kemudian tolak beg masuk dahulu melepasinya. Bila nak masuk ke kilometer ke lima hingga ke enam tu, empat lima kali aku jumpa lagi orang. Meriah pulak trek masa nak balik ni. Girang rasa hati bila bertembung dan dapat berbicara walaupun hanya sepatah dua kata. Tetapi rasa kecewa dan sedih bila setiap kali aku jumpa orang dimana aku akan bertanya mereka dengan soalan "korang satu group dengan Poi ke?" atau "ada nampak Yogi lalu tak ?" atau "ada nampak budak buat V2 dah keluar ke belum?" Jawapan semuanya negatif. Lagi hambar bila semua jawab tak kenal pun dorang tu sapa. Aku dah dapat agak yang mereka pasti belum keluar lagi.

       Bila nak dekat sampai disimpang itu bermakna nak masuk ke kilometer enam-tujuh dah. Trek akan banyak lalu tepian sungai (Dah macam budak run pulak cerita setiap kilometer dari satu CP ke satu CP.) Yang paling perit bila kena lalu satu sungai tu, nampak jer cetek dan perlahan aliranya, tapi dalamnya boleh sampai ke pinggang jugaklah untuk orang yang tak berapa tinggi mcam aku ni dan jika hujan mungkin air naik sampai ke atas pusat. Sungai tu kejap bunyi belah kanan, lepas tu hilang, tapi datang balik bunyi dari belah kiri dan lepas tu dengar mengalir dari kedua-dua belah sekali. Tapi kalau ikut logik, siapa yang pernah datang sini tak perlu kepala nak bercelaru, keliru dan buntu sebab kan ada dua sungai yang nanti bertemu kat simpang YY-Tok Nenek nanti.

       Aku sekejap berlari. Penat aku akan berjalan. Bila aku rasa berjalan buat aku makin lambat keluar, aku paksa berlari semula. Aku bermain-main macam tu hinggalah aku jumpa dan tanpa pandang belakang terus potong seorang gadis yang memakai purdah dan akhirnya aku pun sampai ke simpang YY-Tok Nenek. Jarak pun tak jauh sebab beliau akan potong aku balik nanti. Boleh tahan besar beg beliau. Bila tiba kat Simpang selepas dekat tujuh lima minit dengan acah berlari-lari, aku berhenti bukak kasut untuk buang pasir di tengah2 sungai sambil ambik angin. Tak boleh lama-lama sangat, dah senja dah ni. Dah pukul enam suku petang lebih. Kasut di sarungkan kembali selepas puas buang pasir didalamnya.


17.0: GADIS MISTERI

       Sebelum aku beredar pergi, aku kena keluarkan headlamp siap-siap. Gantung kat leher bersama-sama wisel yang aku jumpa kat Kem Hari tadi (aku takda cerita pun pasal wisel ni). Wisel ni macam orang tinggal dan siap tergantung kat tali kat kemsite tu. Takkan nak biar macam tu, elok lagi, bunyi kuat dua marhalah boleh dengar. Boleh buat halau binatanf buas ke. Kalau takut itu barang 'bertuan' lain, maka tak lojik nak oi. Mak cik bunian manalah nak pakai wisel ditengah hutan-hutan ni. Setiap barang yang dijumpai aku simpan dan jadikan kenangan. Bila aku tengok, aku akan ingat dan ada memori di sebalik cerita setiap perjalanan tempoh hari. Paling hebat aku pernah jumpa jam Suunto, tapi tak orilah. Cermin mata pun tiga empat pasang aku jumpa.

       Hari masih cerah lagi, tapi aku bimbang nanti lalu dekat kawasan yang jenis terlindung cahaya, tak berapa nak nampak sangat tak atau denainya. Headlamp aku periksa sekali lagi sama ada cukup bateri dan masih boleh berfungsi dengan baik ke tak. Takut nanti tengah-tengah nak pakai, semua tak menjadi. Plan B nya adalah pakai lampu telefon atau powerbank jer la.

       Gadis yang berpurdah tadi dah pergi beberapa minit yang lalu. Langsung tak berhenti masa kat Simpang tadi. Cukup padu. Ataupun segan berdua-duaan dengan bukan mahram. Tak mengapa, mungkin teman -teman sepurdahnya ada menunggu di hadapan nanti. Kan depan sana kena lalu sungai besar lagi. Nanti aku potong balik. Lagipun kalau beliau berjalan sorang-sorang tu boleh aje aku temankan kalau dah jodoh. Tapi permintaan itu hanya terlintas niat dihati. Bisikan syaitan.

       Pukul 6.22 petang, aku bergerak kembali. Nak target sejam je untuk sampai balik ke parking. Hari pula kian bertambah gelap. Aku hanya berjalan perlahan-lahan pada mulanya. Trek menaik sedikit dari simpang tu buat aku penat kembali. Lama-kelamaan aku nampak kelibat wanita berpurdah itu kembali dan berjaya memotongnya bila trek terbagi pada dua denai di kawasan yang aku panggil (sendiri) padang ragut sebab keadaannya rata, lapang dan seluas alam dengan banyak pokok lalang dan rerumput tinggi.

       Aku percepatkan langkah sambil anak mata curi-curi melihat siapakah gerangan gadis berpurdah ini walaupun pasti aku tak dapat nak tengok mukanya. Jarang lihat wanita sesolehah macam gini masuk hutan. Aku yang kepanasan bagai nak bukak baju ni terfikir macam mana beliau boleh tahan panas dan bahang macam ni. Ada kipas angin ke dalam kain tu.

        Aku cepat-cepat mengalihkan mata takut jatuh cinta pandang pertama (kalau ada yang rasa dia gadis itu dan baca cerita ini sila mesej aku sekarang). Aku tak nak dia melihat aku dalam keadaan begini; basah kuyup, kotor dan berpeluh muka. Sempat tarik lengan baju untuk kesat peluh bertitik daj jatuh dimuka. Nak jugak aku bagi nur kat muka ni terserlah. Aku melangkah dengan mendabik dada sedikit tapi muka masih dalam kedudukan menunduk berlakon fokus konon-konon tengok trek atau kasut (cuba korang buat sekarang). Cover line. Gaya malu malu kucing.

       Aku dan dia bertembung di satu simpang pertemuan semula beberapa saat kemudian. Hanya terpisah oleh lalang dan pokok-pokok renek ditengah tengahnya. Tetapi aku masih dapat lihat dari ekor mataku yang beliau seolah-olah memperlahankan rentak kakinya. Aku boleh baca yang dia sedang beri signal tak terucap itu, sedang beri aku laluan. Takpa, aku lalu dulu. Bakal imam kan kenalah harus duduk depan.

       Aku perasaan yang baju di pakainya serba hitam dari hujung kepala hingga hujung kaki, lengkap bertutup satu badan. Tipikal gadis-wanita berpurdah bergaya. Tapi dalam begitupun masih ada tarikannya tersendiri. Beg yang digalas agak besar, mungkin bersaiz dalam 40 liter aku mengagak. Lagu yang berkumandang sengaja aku perlahan dari belakang lagi. Takut nanti dia panggil aku kan "Awak, awak... tunggu kejap" ... " Awak, ada barang awak jatuh" .... "Awak, awak, mintak tolong" atau " Awak. AMIR MUSLIM kan" nanti aku tak sedar, tak perasan atau tak dengar. Sunyi. Masa yang teramat suntuk itu berlalu begitu sahaja. Terasa suasana bagai Mohabbatein pulak bila kawasan yang dilalui banyak ditumbuhi dengan orkid-orkid hutan tumbuh berkeliaran.

       Sedar tak sedar, makin laju aku melangkah. Bila aku rasa kelibat aku tak dapat dilihat olehnya terutamanya aku kembali berlari anak untuk sampai ke sungai dalam dua tiga minit kemudian. Bila aku melepasi sungai itu, si dia tiba pula di sungai itu. Seorang dirinya.



18.0: THE END:Jambatan/Finishing Line

        Aku meninggalkan gadis berpurdah sekali lagi. Beberapa kali aku menoleh ke belakang melihat kelibat nya, mana tahu si dia nak mengejarku. Mengejar cinta sekali. Tapi memang aku rasa tidaklah. Aku mengejar masa. Hati belum bersedia.

        Perjalananan yang masih berbaki dalam empat kilometer lebih ni aku rasa amat mudah bagai mengambil kacang dalam tepung. Tak perlu nak panjat naik ke puncak atau bukit lagi. Dua tiga kumpulan pendaki lagi aku jumpa dan memotong mereka. Aku nak cepat. Sekadar berbasa basi sahaja. Tak sempat nak berbual panjang. Itu etika para pendaki perlu terapkan semasa berjumpa pendaki lain. Tak salah bertegur sapa, memberi salam (pada yang beragama Islam), sedekahkan senyuman atau memberi laluan yang ingin cepat. Mana tahu kalau ada jodoh, mungkin dapat bertemu di tempat/gunung lain. Ramai aku jumpa kawan dan dengar cerita mereka yang jumpa jodoh beranak-pinak dekat gunung ni. Dalam seratus orang, dua tiga pasangan yang melekat.

        Hari makin gelap dan aku tak mahu angah dan Atie menunggu lebih lama. Risau juga mereka kebosanan. Apalah sangat yang ada dekat kampung orang asli itu. Kalau main dengan anak orang asli, game apalah dorang main. Aku tengah terbayangkan mereka main pondok dengan anak orang asli. Dorang jadi Mak-mak, anak-anak orang asli jadi anak-anak palsu mereka

       Banyak juga pokok orkid liar yang menghiasi tumbuh di sepanjang jalan, aku betul-betul ingin bawa balik sepohon dua walaupun tak secantik pokok kacukan lain dengan nama spesis yang pelik-pelik. Warna ungu kebanyakkannya dan yang penting orkid disini sejenis yang asli. Tapi aku sedar yang jika aku mengambil, perjalanan aku mungkin mengundang bencana. Mungkin ada yang tak suka. Pasti akan ada perkara yang tak enak berlaku. Apatah lagi dikala waktu senja meremang macam ni. Aku hanya lupakan hasrat tersebut dan mungkin suatu hari nanti. Sekali sekala aku meraba headlamp dileher, memastikan ianya masih disitu. Masih ada bersama dengan wisel tergantung kemas ditempatnya.

       Bila tiba di kawasan kebun dan paip air yang berselirat aku tahu yang aku hampir tiba ke sungai yang terakhir. Bunyi aliran sungai makin lama makin kuat. Aku masih cuba berlari, memaksa kaki sedaya upaya untuk bergerak walaupun perut mula terasa senak. Seolah-olah tulang rusuk patah dan mencucuk-cucuk ke dalam perut. Ada yang kata normal dan lama-lama akan biasa atau hilang. Mungkin aku tak biasa keadaan begini. Aku mula menyesal tak pernah nak training macam orang lain. Bila datang waktu macam ni, baru rasa menyesal. Keadaan ini berterusan sampai aku tiba ke parking. Aku hanya mampu bertahan sahaja. Kadang-kadang terpaksa letak tangan dekat pinggang dan perut tekan untuk kurangkan rasa sakit.

        Kejayaan makin lama makin menghampiri. Sebenarnya bila tiba di simpang YY-Tok Nenek tu aku dah rasa dah aku memang akan berjaya melakukannya. Aku tak nafikan dan 95% sudah boleh meraikannya. Apatah lagi bila aku tiba di sungai terakhir pada pukul tujuh petang. Rasanya tak ada apa-apa halangan yang aku raaa akan aku lalui lagi melainkan Tuhan nak datang bala atau malapetakan atau nak takdirkan aku jatuh pengsan tu semoga dijauhkan. Harap-harap segala perancangannya adalah baik untuk aku.

       Aku meredah sungai sekali lagi tetapi ni yang kali terakhir sekali dengan berhati-hati. Walaupun aku sedikit gopoh dan tak dapat imbangkan badan (bayangkan dah berjalan dekat 40km, anda rasa apakah yang dah jadi kat kaki), aku cepat-cepat mencapai tali dan terus aku pegang sampai ke tebing. Yang pasti sepanjang perjalanan aku senyum seorang diri. Tiba di tebing, aku tak membuang masa aku terus berjalan semula sambil air sungai menitik-nitik jatuh dari pakaian. Separuh badan basah kuyup. Aku tak menoleh belakang lagi. Aku rasa tak ada dah yang nak ikut balik sekali.

       Aku tiba di trek balak/jalan merah. Terdapat sebuah 4WD disitu. Aku mengintai melihat ada orang atau tidak. Mungkin masuk ke kebun gamaknya. Aku meneruskan perjalanan. Aku cuba berlari bila trek rata dan berjalan laju atau 'power hike' jika trek menaik. Dalam keadaan diri yang semakin tak bertenaga, aku paksa diri. Aku harus mengerahkan tenaga sebanyak mungkin. Mungkin ada hikmah aku lalu di lewat petang ini kerana trek tidak panas dan berdebu. Beberapa orang asli melihat aku jauh dari rumah mereka. Mungkin sudah biasa melihat pemandangan para pendaki keluar-masuk ke gunung disini. Aku berharap kalau ada motor boleh aku tumpang naik sekali. Berapa ringgit pun aku sanggup bayar. Dah tak larat sangat dah ni.

       Setakat ini kaki aku masih lagi mampu nak melangkah. Belum ada tanda-tanda nak cramp. Setiap masa aku melihat jam. Aku tetap ingin melakukan masa sub 11 jam atau bawah dua belas jam. Biar menjadi rekod. Rekod solo paling laju.

       Trek balak ni terasa sangat jauh pula. Masa datang tadi cepat je sampai kat sungai. Bila nak balik selalu rasa lama. Aku melihat sebuah pondok di sebelah kiri. Checkpoint terakhir. Selepas trek menaik yang terakhir, aku tiba di trek bersimen. Atap rumah orang asli mula dilihat dari jauh. Asap api yang dibakar terlihat diudara. Aku makin laju berlari, berlari turun untuk menuju ke jambatan. Itulah 'finishing line aku nanti. Anak-anak orang asli yang seolah-olah menyambut kejayaan aku ni memerhati diriku dengan pandangan ingin tahu. Pelik kut tengok aku tersengih-sengih berlari sambil memanggil nama Angah dan Atie.

       Sudah kulihat mereka di kereta, setia menunggu sambil melayan anak orang asli. Seperti yang aku sangka Aku menanggalkan beg dan terduduk keletihan. Sedikit demi sedikit baru terasa kaki yang mula rasa sakit dan terketar-ketar. Tak dapat aku gambarkan ya Allah, betapa bersyukurnya aku dengan kejayaaan ini. Berjaya tanpa sebarang kecederaan dan malapetaka. Aku tersenyum penuh gembira sambil memikirkan dua belas jam yang lalu aku masih berfikir-fikir sama ada nak teruskan misi atau tidak. Sekarang aku dah berjaya. Misi solo paling gila; sebab aku gigih buat solo, paling agung; sebab ni TNBYY kut, kira ada G7 la dalam senarai, paling hardcore; sebab trek panjang dan jauh dalam 43km dan elevation gain yang sangat banyak (aku tak kira), paling awesome; sebab aku buat timing walaupun bukan personal best tapi masih bawah 12 jam dan antara yang terbaik; compress ada, solo lagi, trek superb, tak jumpa orang (sangat) dan aku berjaya masuk siang keluar siang.

       Sudah pasti aku berkongsi kejayaan aku dengan krew-krew yang terlibat (makan-minum free kut). Tanpa mereka aku pun takkan berjaya. Yang penting balik nanti aku boleh tidur dalam kereta.

       Aku tiba di parking kereta mencari-cari Yogi dan Poi. Batang hidung mereka pun tak nampak. Hingga aku beredar pergi mereka masih belum tiba (Yogi keluar pada awal pagi esoknya dan Poi sehari selepas itu). Sudah ramai pendaki yang keluar pada hari tersebut dan kebanyakkan sedang berkumpul si surau disitu. Beberapa orang yang dikenali aku bertegur sapa. Dunia hiking ni terlalu kecil, pergi mana-mana pun pastu jumpa orang yang sama. Dengan itu, janganlah sesekali cari musuh. Beberapa orang bertanyakan hal aku amat terkejut mengetahui yang aku baru buat solo. Mungkin ada yang tak percaya. Yang tau tau la. Aku malas nak cerita banyak.

       Selesai mandi dan solat kami beredar turun. Nasib baik tadi Angan dan Atie ada beli makanan. Ada krew-krew macam inilah bagus, tak yang payah suruh dan minta apa nak buat. Kami berangkat pulang hampir pukul sembilan malam.

       Aku terasa amat puas dan jika di fikirkan balik tak mungkin aku dapat atau akan ulangi lagi dalam masa terdekat. Alhamdulillah, misi berjaya.
Walaupun tak dapat buat bawah 11 jam tapi cacatan masa 11 jam 50 minit tu dah kira dah cukyp bagus. Bila hiking sorang-sorang ni tiada orang depan kau nak kejar dan tak orang belakang nak push. Kena kuatkan semangat. Kalau malas, memang takkan dapat.

       Tapi untuk mendapatkan kejayaan seperti ini, aku rasa tak sedikit pengorbanan yang dilakukan. Pengalaman yang sangat mahal dan tidak dapat di tukar ganti. Rahsia mampu bersolo tu aku cakap tiada. Yang ada sedikit kekuatan pengalaman yang tak dapat di cari dimana-mana dan ilmu yang tak seberapa di dada. Lain orang lain cara. Buat yang termampu. Insya Allah.

Sekian.

Log Ringkas

Total: 11jam 50 minit
0730H: Mula
0833H: Simpang YY-Tok Nenek
1039H: Kem Belumut
1134H: Puncak Mt.Tok Nenek
1304H: Peak Mt Bubu
1503H: Peak Mt. Yong Yap
1657H: Kem Agas
1816H: Simpang YY-Tok Nenek
1920H: FL

Tammmat


Personal Best Timing: 10H 53M (2018)

Ulasan

  1. Kagum betul sy baca blog saudara. Saya harap suatu hari nanti boleh jadi pro mcm saudara..,klupun bknlah solo tp skurangnya mmpu mnawan puncak G7

    BalasPadam
  2. Hebat sgt dan kagum.. kalau nak buat lagi Aku nak ikut juga.. boleh Jadi geng..Baru Ni Aku buat daypack Baha ayam stong 11jam tapi x setinggi yybtn.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah..ad rezeki dan keingginan insya Allah bleh buat..mane2 gng pn...

      Padam
  3. Bole jd rujukan utk trip Tnbyy akan dtg. Tq

    BalasPadam
  4. Fuh serius laa takdak training? Betul padu ni. Bagi tips sikit training terbaik untuk tnbyy.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau nak lari 10-20km sehari tak mampu la.. tapi kena rajin naik turun tangga (kat rumah atau tempat kerja)..tiap minggu pergi je hiking tak mana2 walaupun bukik nak bagi kaki ada "muscle memory"...

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK