Gunung Tahan via Merapoh ( Compress)




Silibus: GUNUNG TAHAN 2022
oleh: Cikgu compress tetap nak cuba compress;

01: Prolog
      
        Selama aku menghiking ni, aku tak pernah meletakkan sasaran untuk melengkapkan senarai gunung bertaraf G7 (tujuh puncak gunung tertinggi di Semenanjung) ni dalan resume aku. Aku ada cara aku tersendiri bagaimana aku nak capai ketujuh-tujuh puncak tersebut. Biar lebih bermakna, buksn hanya sekeping atau satu album gambar di puncak dengan papan tanda.

        Realitinya, dalam peredaran zaman serba kelam kabut ni, semua sibuk mengejarnya pula. Bagai suatu acara perlumbaan. Setahun dah kira antara yang paling lambat, mungkin merangkak, dan tahniah juga diucapkan jika ada yang berjaya melakukannya dalam masa tiga bulan. Lepas tu ke mana pula anda semua? Hakikatnya, itu selera masing-masing. Besar atau kecik, mulut sendiri yang akan suap, perut sendiri akan kenyang. Tepuk dada, raba poket.

       Kronologi pendakian G7 dan sewaktu dengannya

2008: Gunung Nuang (2 hari 1 malam)
2009 hingga 2013: Keje + Belajar
2014: Bukit Tabur West (nubis)
2015: Bukit Kutu (2 hari 1 malam)
2016: Gunung Yong Belar (dayphike)
2016: TNBYY or Reverse YYBTN (dayhike)
2017: Korbu & Gayong via ekspedisi V1 (dayhike)
2022: Gunung Tahan (4 hari 3 malam)

     Bertahun juga aku mengambil atau mencari masa yang sesuai untuk penuhi keinginan sendiri yang terlampau tinggi. Angan-angan lagi tinggi dari gunung. Sebab tu hajat masih tertangguh. Hajat yang agak luar jangkauan kudrat sendiri, iaitu aku hanya ingin ke Gunung Tahan secara dayhike atau depek SAHAHa!; mungkin tidak pada aku.

         Masa berganti masa, tahun demi tahun bersilih waktu , impian aku tu dah jadi makin lama makin mustahil untuk aku tunaikan. Covid-19 dan PKP segalanya menjarakkan lagi hubungan yang langsung tak pernah terjalin. Hanya mampu mendengar khabar cerita tetaapi masih belum mampu bersua kita. Dalam sejarah hidup, hanya tiga kali waktu yang hampir-hampir membuatkan aku singgah ke puncak tertinggi di Semenanjung ni. Sudah tiga kali aku dirisik. Dua kali di pinang orang tapi semua lamaran aku tolak. Hantaran belum dapat dipenuhi. Jodoh masih belum tiba. 

       Pertama, 2016; Tahan Dayhike anjuran Team Seladang dan seangkatannya. Waktu tu aku baru nak kenal dunia compress dan itu jugalah trip dayhike terakhir yang dibenar dibuat oleh pihak perhutanan sana sebelum menjadi kontroversi dan terus diharamkan; sehingga ke hari ini. Baru je nak belajar mengenal.

     Kedua, 2016 juga, tahun yang sama. Melalui trail Merapoh, tetapi untuk bermalam 3 hari 2 malam. Itupun sudah dikira santai. Ikutkan hati, tak nak bertunang lama-lama, kawin terus.

       Apa yang membuatkan aku gagal menyertai adalah tidak mendapat cuti yang mencukupi. Aku memerlukan cuti sehari atau dua lebih, kerana untuk melancarkan proses pergerakkan yang pasti memakan masa. Compress tak macam Camping. Sampai-sampai, angkut beg terus jalan.

       Yang terakhir, 2018. Masih ingat lagi acara Climbathon Tahan 2018, awal Januari kalau tidak silap aku. Aku masih ingat lagi yuran pendaftaran berjumlah RM400 tunai tersebut sudah aku rasakan amat mahal.  Walhal, belum lagi dikira dengan hal-hal yang berkaitan seperti kos pengangkutan dan sebagainya. Mungkin dua kali ganda ongkosnya.

        Kali ni pun lamaran aku terpaksa tolak bulat-bulat. Tak ingin di kecewakan lagi. Semua ni pun sebabkan payah yang amat nak dapat cuti. Aku bukan tak pernah mintak cuti, malah untuk acara ni,  aku tak daftar pun. Sebab aku tahu, peluang nak dapatkan cuti untuk aku yang berkerja sebagai seorang jururawat di unit rawatan rapi (ICU) rasanya lebih kritikal dan parah dari keadaannya daripada menjaga dan merawat pesakit di dalam ICU. Bagai nyawa dihujung tanduk.


P/S: Sampai sekarang orang masih tak percaya aku tak pernah sampai ke Gunung Tahan. Tapi disebabkan aku terlampau banyak dengar cerita orang pasal Tahan, aku dah rasa dah boleh hafal nama-nama kemsite dengan checkpoint. Kor, Kubang, Botak. Padahal tak tahu pun macam mana rupanya. Orang sembang, aku pura-pura angguk faham



02: LOG


LOG GUNUNG TAHAN VIA MERAPOH (4D 3N)

28.07.2022 (Khamis)
2130H: Bertolak dari Rumah
2400H: Sampai Di Felda Aring


29.07.2022 (Jumaat)

0100H: RnR Gua Musang
0230H: Sampai di Pejabat Perhutanan Taman Negara Sungai Relau
0600H: Subuh
0830H: Daftar di Pejabat
0930H: Declare Barang-Bagi Ration
1100H: Taklimat oleh Ranjer
1130H Naik 4x4 ke Kuala Juram
1200H: Tiba di KUALA JURAM
1205H: Taklimat oleh Gogo dan Guide Gunung Tahan/Sesi Panaskan Badan
1230H: Ekspedisi Pendakian Bermula
1300H: KUALA LUIS (5.0km/306m) - regroup
1430H: Gerak
1519H: LATA LUIS (11.0km/558m)
1550H: Gerak
1628H: KEM KOR (13.5km/750m)
1700H: Mandi-Setup Kemsite
1930H: Maghrib
2000H: Makan Malam + Taklimat pergerakkan untuk hari esok
2100H: Aktiviti bebas
2230H: Masuk tidur

30.07.2022 (Sabtu)

0500H: Bangun
0600H: Subuh
0630H: Sarapan Pagi + Kemas barang
0830H: Gerak
0923H: KEM PERMATANG-waterpoint (16.0km)
0945H: Gerak
1125H: KEM KUBANG (19.5km/1406m) - regroup
1300H: Gerak
1320H: KEM BELUMUT (21.0km/-)
1325H: Gerak
1350H: Bukit V (waterpoint) - Solat
1430H: gerak
1625H: KEM BONSAI (26.5km/-)
1640H: Gerak
1737H: KEM BOTAK (29.5km/1943m)
1800H: Cuci Badan + Setup Kemsite
2000H: Aktiviti Bebas
2130H: Tido

31.07.2022 (Ahad)

0500H: Bangun + Packing
0600H: Gerak ke Puncak
0630H: PUNCAK GUNUNG TAHAN (32km/2187m) + Sarapan
0800H: Turun ke KEM BOTAK + Kemas Kemsite
1045H: Gerak Turun solo
1121H: KEM BONSAI + Lunch
1220H: Refill Air di waterpoint Bukit V
1255H: KEM BELUMUT
1324H: KEM KUBANG
1330H: Gerak
1425H: KEM PERMATANG
1430H: Gerak
1505H: KEM KOR

01.08.2022 (Isnin)

1005H: Gerak balik
1032H: LATA LUIS
1108H: KEM LUIS
1115H: Gerak
1215H: Jambatan + KUALA JURAM
1430H: Naik 4x4
1500H: Sampai Pejabat Hutan
1545H: Bersurai + Balik




03: The Journey

       Aku tak sangka dapat ke puncak Tahan tahun ni; 2022. Dapat pulak sambut Maal Hijrah dekat puncak Tahan; 1444H walaupun selama empat hari tinggal dalam hutan, hari dan tarikh terus lupa nak kira. Rezeki.
     
        Rezeki memang takkan salah alamat. Hari khamis, pukul 12 tengahari, ada Iklan Tahan oleh admin Rentas Buana; Takin keluar dalam whassap. Iklan nak cari penganti seorang diri. Tawaran 4 hari 3 malam dan yang pasti kos hantaran bagi aku sangat berpatutan dan menarik perhatian aku juga. 4 hari 3 malam tu untuk tahun-tahun mendatang sudah tidak wujud lagi. Sekarang dah wajib kena tinggal 5 hari dalam hutan untuk melalui Merapoh dan yang pasti masa lebih panjang untuk laluan yang lebih sukar. Peluang ni takkan datang dah lepas ni. Biarpun bertentangan dengan Mazhab Kompress yang amalkan selami ini, aku harus berlapang dada dan bersikap terbuka. Kalau tak sampai kiamat aku tak merasa.


        Aku tak mengambil masa yang nak buat keputusan nak ikut serta dan tak pula berhempas pulas untuk membuat persiapan dan berkemas. Kebanyakkan barang sudah siap sedia ada, Sebenarnya dalam masa dua minggu lagi aku nak pergi ke Gunung Gerah-Bieh-Bilah secara compress (kalau jadi). Jadi alu gunalah barang-barang yang ada tu dulu. Lepas balik dari Tahan aku ganti balik apa yang aku dah guna. Tak sampai dua jam, aku dah siap bungkus.

        Aku rasa tahap stamina dan kecergasan aku berada pada tahap yang memuaskan; bagi aku. Setiap minggu aku bersolo naik ke Gunung Sarut dan beberapa bukit yang kononnya sebagai persediaan aku nak ke GBB nanti. Risau jugak. Takut prestasj merudum. Tak perform. Lama jugak aku tinggal dunia compress ni. Rasa macam nak buat kebangkitan semula.


         Lepas Isya' aku bergerak menaiki kereta seorang diri menuju ke Gua Musang. Nak tanya dalam whatsapp untuk 'carpool' aku malas sebenarnya sebab aku lagi selesa bergerak seorang diri. Kalau cakap nak takut memandu seorang diri malam-malam tak kesampaian la hajat aku ni nanti. Sesiapa yang pernah lalu jalan dari Tasik Kenyir-Felda Aring-Gua Musang walaupun siang hari mesti tahu macam mana keadaan jalan tu sangat teruk dengan berlubang dan rosak. Nak jumpa kereta malam-malam sangatlah susah. Aku bawak paling laju pun 80km/jam malam tu sebab takut nak bawak laju-laju. Silap terlanggar lubang seketul,  mampus aku nak telefon sapa datang tolong kalau apa-apa yang buruk berlaku. Line telefon pun macam chipsmore.
       
           Pukul satu pagi lebih aku sampai di RNR Gua Musang. Sebenarnya kagum jugak aku tengok ada RNR sebesar itu, penuh pulak orang. Tak adalah mundur sangat daerah ni. TV ni pun asyik duk tunjuk berita orang asli je duk pos sana, pos sini. Aku berhenti rehat sekejap dan cuma nak bagitahu seorang kawan rapat seorang ni je. Dia seorang je tahu selain keluarga aku yang aku nak panjat Tahan esok. Takut la jugak apa-apa jadi dalam hutan nanti.
Ada juga yang maklum.

        Pukul dua setengah pagi aku sampai di perkarangan Pejabat Hutan Sungai Relau. Pintu pagar terbuka. Perlahan-lahan aku masuk, tengok dah banyak kereta bersusun di kawasan parkir. Kehadiran aku mungkin ada yang perasan tetapi tak dihiraukan. Aku memarkirkan kereta di hadapan pejabat hutan tetapi paling hujung iaitu di bawah pokok besar. Kereta aku sebiji jer parkir kat situ. Jauh dari yang lain. Bila melihat pokok besar tu, aku pasrah, berserah dan tawakkal jer la.

        Aku memaksa diri untuk tidur. Esok tak tahu apa akan jadi. Tengok tentatif macam panjang aktiviti dalam jadual. Banyak kali aku juga aku bangun terkejut, sama ada ubah posisi sebab tidak selesa atau dek bunyi katak yang tengah membising dalam longkang dihadapan. Sibuk nak mengawan. Tingkap aku bukak sedikit bagi pengudaraan keluar-masuk, takut jugak lemas nanti. Tak pasal-pasal esok orang jumpa kaku sejuk akibat lemas sedut karbon monoksida.


           Ekspedisi kali ni aku tak kenal sesiapapun, walaupun seorang. Dorang pun tak kenal aku jugak. Dalam dua puluh orang yang menyertai, hanya Takin aku kenali, merangkap ketua kumpulan; itupun hanya melalui ruang dimensi bukan nyata yang aku banyak berurusan hanya pada hari semalam mengenai urusan pendakian yang akan dilakukan esok dan seterusnya. Bila melihat gaya dan gelagat masing-masing, aku rasa sedikit goyah. Nampak semuanya bukan pendaki baru. Semua nampak dah banyak berpengalaman. Aku tak nafikan.

         Aku dah lama tak ber'camping ni. Kali terakhir aku camping di Gunung Stong (Baha-Ayam-Stong) pada 2018. Tu pun paling lama tiga hari dua malam. Boleh bilang dengan jari beraka kali sebenarnya aku pernah bercamping. Biarlah statusnya rahsia. Kali ni empat hari tiga malam pula. Rekod paling lamalah ni aku nak masuk tidur dalam hutan. Agak risau mulanya bila difikirkan sebab aku tahu kaedah nak bercamping dengan compress atau dayhike sangat-sangat berbeza; dari segi keadah dan caranya. Perumpamaannya seperti cempedak dengan nangka. Paling aku risau nak galas beg yang dah lama aku tak guna. Sebuah beg merah Karrimor pemberian seorang hamba Allah adalah satu-satu beg hiking yang aku ada. Aku tidak tahu berapa usianya, tapi masih dalam keadaan baik, masih utuh nak digunakan. Betul-betul ori barangkali.
   
        Beg inilah yang bakal menguji kesabaran aku. Menguji mental aku yang benar-benar ampuh di hari kedua nanti. Aku sampai kini belum dapat menyesuaikan diri macam mana nak rasa bawak beg ni dengan selesa walaupun rasa berat dan sakit pinggang. Tali yang keras yang mana akan duduk di antara tengah belikat dan bahu aku itulah yang membuatkan aku rasa sakit dan perit. Setiap kali aku nak tegakkan badan, pasti rasa sakit. Dengan adanya masalah sakit pinggang yang kronik aku alami hingga kini, pasti akan menambah rasa sangat sakit yang sudah ada selama ni. Aku berdoa sepanjang masa janganlah pinggang aku buat pasal. Segala macam ubat tahan sakit, minyak panas dan ubat akan aku makan atau sapu supaya tak menimbulkan masalah kesakitan yang melampau.

        Itulah salah satu sebab aku tak suka atau tak boleh nak ber'camping' selama ini. Tempat tidur pun aku kena ambil berat dan cakna. Aku tidak boleh tidur sewenang-wenangnya, terutama ditempat yang tidak rata, waima dalam hammocks apatah lagu. Itu lagi menyakitkan badan aku.

          Pukul 8.30 pagi aku dah terpacak depan pejabat hutan dengan beg dan pakaian pendakian. Betul-betul bersiap sedia. Lantaklah apa orang nak kata. Cerita  pengisytiharan (declare) barang-barang aku tak nak cerita panjang. Aku tak nak cerita bagaimana proses yang sangat mudah dan senang di rumitkan. Siapa yang pergi tahu bagaimana leceh dan tak payah dipayahkan pun sebenarnya. Cuma mereka melengah-lengahkan masa. Pukul sebelah baru nak bagi taklimat. Pukul sebelas setengah baru nak naik kenderaan. Pukul dua belas setengah tengahahri barulah nak mula mendaki, itupun selapas diberi taklimat kedua dari juruarah dan senaman ringkas di Kuala Juram. Walaubagaimanapun, kita tak boleh nak komen atau kritik lebih-lebih, sebab status Taman Negara dah jadi begitu peraturan dan sop mereka. Macam tulah jugak nak layan kerenah birokrasi, dimana-mana pun akan wujud.

       Sebenarnya, aku tak meletakkan apa-apa harapan atau permintaan yang tinggi. Aku sudah dapat menyertai ekspedisi ni pun aku dah rasa cukup bersyukur. Aku berlapang dada. Turutkan segala kata perintah dan peraturan. Yang penting aku nak seronok-ronok, tenang-tenang dan jumpa-buat-kenal kawan-kawan baru. Teringat kata-kata ranjer hutan masa taklimat tadi

       " Siapa pun kita dekat luar, apapun pangkat kita.... tinggallah dahulu sementara ni... Kalau boleh nak pergi sama-sama dan balik sama-sama"

Bersambung.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK