15 CERITA MISTIK PENGALAMAN: No 09 #Bukit Kutu
(BUKIT KUTU: Pertama kali Solo)
- Bukan Mencari, Tapi Dah Rezeki, Elok Kongsi (Siri 7/15)Lama berjalan, kongsi pengalaman, sedikit pengisian, bukan rekaan, atau khayalan.
CAHAYA (2016)
Mesej terakhir yang dilihat dalam Whatsapp adalah pada jam dua pagi. Mesti semua dah naik sebab langsung tiada satu respon balas seterusnya.
Pada pukul dua pagi yang sama, aku baru je nak bergerak dari rumah. Bergerak seorang diri pula tu, menyusuri lebuhraya PLUS menuju ke Kuala Kubu Bharu (KKB). Dari susur keluar Bukit Beruntung menuju ke Rasa dan hinggalah ke Pekan KKB, aku boleh bilang dengan jari berapa buah kenderaan yang aku jumpa semasa dalam perjalanan. Gelap dalam kegelapan, sunyi dalam kesepian. Radio pun kejap bersuara kejap mendatar siarannya. Cermin sisi terus aku tak pandang. Nak laju pun tak boleh sangat. Takut ada babi melintas tak sempat elak.
Aku dah fikir separuh masak, tunggu siang dulu baru naik. Takkan nak naik seorang diri gelap gelita macam ni. Tak pernah di buat orang. Aku buat keputusan singgah tidur dan rawat dekat Masjid KKB ni dulu. Habiskan masa di situ dulu. Pukul tiga setengah pagi aku pun sampai di masjid. Memang sudah aku jangkakan tiada orang. Baik aku lelap sementara menunggu subuh menjelang. Belum ada kekuatan nak memdaki sorang-sorang. Belum wujud keberanian.
Aku tersedar apabila terdengar bunyi sebuah kenderaan datang, cahaya lampu yang menyuluh masuk ke dalam kereta menyilaukan mata. Aku melihat jam di monitor radio, baru pukul empat pagi. Oklah dah ada orang, dah boleh nak pergi tandas. Tadi punyalah tahan nak kencing, sanggup punya takut nak pergi tandas. Maklumlah tandas Masjid ni terletak jauh sikit. Lepas tu kena turun bawah pulak. Ni dah ada orang terasa berani lah pulak. Ingat takda hantu ke kat tandas masjid.
Aku berjalan keluar dan orang menyapa memanggil nama. Eh macam kenal juga, aku hanya mengangguk kepala dan menunjuk arah tandas dengan isyarat jari. Balik dari tandas, mereka berempat yang terdiri dua lelaki dua perempuan sedang bersiap-siap mengemas barang. Mereka pun akan ke Bukit Kutu juga, tertinggal dengan kumpulan yang dah masuk awal terlebih dahulu. Ok ada genglah kita macam ni.
Aku pun cepat-cepat buka bonet dan mula mengemas barang juga. Kecewa bukan kepalang, belum pun habis bersiap, mereka dah mula bergerak pergi. Lelaki yang menyapa mula-mula tadi, aku mengangkat tangan dan berkata " Gerak dulu Mir... Jumpa kat Pertak!!!". Aku hanya membalas dengan mengangkat tangan juga. Aku cepat-cepat kemas barang, masukkan apa yang patut dalam beg. Bila sampai dekat sana nanti tak perlu nak bazir masa, tarik je beg, angkat sauh.
Aku mula memacu kenderaan membelah jalan menuju ke Kampung Orang Asli Pertak sejauh 12km lagi selaju mungkin. Kali ni jalan langsung tiada kenderaan. Dengan susah payah nak cari parkir sedekat mungkin dengan jambatan besi, aku di kecewakan sekali lagi. Empat sekawan tersebut pun nak gerak dah dan sekali lagi meninggalkan aku seorang diri. Aku cuma membalas
" Gerak dulu..nanti aku datang" Dalam hati bertambah rasa menyesal. Tadi kat masjid tak siap-siap salin pakaian sekali.
Aku mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk bersiap-siap dan memulakan perjalanan dengan lampu dipakai di kepala. Jam menunjukkan pukul lima suku pagi. Sekarang aku buat kerja gila. Hanya bunyi air sungai menjadi peneman. Inilah kali pertama aku masuk mendaki pada waktu gelap macam ni. Nak patah balik rasa macam dah terlambat. Nak menyesal apatah lagi. Dalam kepala aku satu je, kena kejar orang di depan. Aku rasa dorang tak jauh sangat tu. Dengan menggunakan sedikit jurus kelajuan mesti boleh kejar punya.
Nak cakap tak rasa takut, tipulah kalau tak ada. Lepas rentas sungai yang terakhir tu rasa takut dengan pelik mula bercampur baur. Takut sebab kawasan hutan makin sunyi, bunyi sungai pula makin menghilang. Aku doa mintak cepat-cepatlah hari jadi cerah. Disebabkan rasa takut tulah aku rasa aku berjalan sangat-sangat laju. Rasa seperti tak berpijak pada tanah pulak. Aku enggan menyuluh ke sisi jalan. Fokus pada laluan di hadapan dan hanya suluh dekat kaki di bawah. Takut tersuluh benda yang tak patut disuluh.
Bagaimananapun rasa pelik mula timbul dan hati mula berkata tertanya-tanya 'Eh mana dorang ni, takkan cepat sangat dorang gerak?'. Takkan dorang terbang. Hatta, aku menjangkakan akan jumpa mereka dekat kawasan akar banir yang besar dan cantik di mana disitu bermula trek pagok dan mencanak naik (ramai sangkut kat situ, lagi-lagi bila hujan). Dah makin jauh (dan cepat) aku berjalan, langsung tak nampak kelibat mereka. Malah cahaya lampu pun tiada pancaran sinarnya. Dari kawasan buluh hinggalah tiba ke waterpoint, aku masih belum ke temui mereka lagi.
Aku semakin menghampiri ke Batu Tedung. Mungkin mereka berhenti berehat di situ. Aku pun nak berhenti, nak solat subuh. Kalau mereka ada nanti boleh lah gerak sekali. Seram pulak bila lalu dekat dinding batuan ni. Semakin menghampiri kawasan Batu Tedung, aku mencari sumber-sumber cahaya lampu. Tiada. Mungkin cahaya masih tertutup kut atau masih terselindung dengan pokok-pokok lagi. Aku cuba memanggil beberapa kali. Tiada jawapan juga. Aku rasa bertambah hairan. Malah tiada langsung suara orang di situ. Penat sangat kut. Mungkin jiga tengah solat Subuh; berjemaah barangkali. Baik cepat, mungkin boleh jemaah sekali.
Satu je perkara yang selalu akan terjadi iaitu bila kita dah nak sampai, rasa makin perlahan pulak berjalan. Aku tiba di Batu Tedung pada pukul enam pagi. Hampir empat puluh lima minit mendaki. Batu Tedung selalunya menjadi kawasan hentian kerana kedudukannya ditengah-tengah antara puncak dan laluan mula pendakian. Selalunya pasti akan ada orang di situ. Setibanya aku, kawasan tersebut gelap dan sunyi. Tiada langsung orang di situ. Kalau kumpulan yang awal tadi masuk, rasanya mereka dah sampai puncak dah tu.
Dalam kepala aku, hanya ada dua kemungkinan, mungkin mereka dah gerak dan tak berhenti di situ (Betul-betul ada kuasa adiwira) atau yang kedua, aku rasa mereka silap ambik simpang lepas jambatan senget.
Aku melabuhkan punggung dan meletakkan beg disisi. Usai solat subuh, aku duduk di sebuah batu menghadap ke laluan bawah sambil berfikir mengatur semula strategi. Sedang aku meneguk air, aku ternampak beberapa tompok cahaya putih jauh di bawah, tempat dinding batu paling hujung tadi. Cahaya putih yang sangat terang seolah-olah bergerak ke mari, ke arah tempat aku duduk. Anggaran jarak dalam 100 meter sahaja. Tak jauh. Aku tak fikir panjang lagi. Ni mungkin mereka berempat ataupun pendaki lain datang ke mari. Mungkin.
Aku mula rasa sedikit teruja. Akhirnya ada jugak orang boleh teman. Boleh la bersembang nanti. Baru tak rasa bosan. Walaubagaimanapun, dah dekat lima minit aku tunggu, cahaya tersebut tetap malar di tempat tadi; langsung tak bergerak. Alah, mungkin diorang tengah berehat kut. Tapi orang tak berhenti kat situ. Situkan semak. Aku cuba berfikiran sepositif sebanyak cas-cas yang mungkin. Cuba membuat andaian yang boleh mengurangkan rasa takut yang masih menebal. Dengan harapan tersimpul ikatan.
Sebagai seorang manusia yang normal akal fikirannya, di mana, kita selalu banyak berprasangka yang buruk. Walhal jika berada dalam keadaan tegang sendirian begini, mulalah terlintas beberapa cerita-cerita yang tak sedap, bermain-main di minda. Apa aku boleh buat hanyalah tunggu.
Tompokan beberapa cahaya putih tersebut tetap tak bergerak. Aku dah jadi resah gelisah. Tak boleh jadi macam ni. Aku buat keputusan tak nak tunggu dah. Biarku jalan dulu, puasku tunggu. Macam nak jadi betul je cerita yang aku dengar ni. Kena kat diri sendiri.
Jam 6.15 pagi aku pun gerak semula. Seorang diri masuk semula ke dalam hutan. Aku rasa daripada aku tunggu benda yang takkan tiba, baik aku gerak je. Itu lebih menakutkan daripada tunggu. Dalam perjalanan, macam-macam aku fikir. Cerita tersebut kembali berputar-putar. Sekejap aku mengiyakan. Sekejap menidakkan. Cerita mengenai cahaya yang aku nampak tadi adalah mungkin cahaya dari sebuah perkampungan bunian. Kedengaran macam keterlaluan kan. Ada yang pernah bagitahu pernah nampak cahaya seperti itu. Ada yang cakap selalu terjadi juga kes ahli kumpulan selalu terlebih kiraan. Sebenarnya cerita yang paling aku takut adalah cerita yang kawan aku pernah ternampak pelesit sedang terbang bertebaran di udara paling mengerikan (lokasi dirahsiakan). Lagi aku tak boleh terima akal.
Bila hari semakin cerah, aku pun dah semakin nak sampai puncak. Sebelum tiba di puncak, aku jumpa tiga orang pendaki lain yang sedang naik di suatu kawasan lapang dan sempat bertanya jika ada terserempak dengan empat orang pendaki lain. Mereka berkata tiada; seperti yang aku jangkakan. Semasa tiba di puncak dan bersatu dengan kumpulan pendaki yang lain, kelibat mereka pun masih tiada juga. Dah sampai Rajah kut.
Dalam hati, aku rasa yang aku membuat keputusan yang tepat untuk tidak terus menunggu di Batu Tedung. Tak tahu kalau aku duduk di situ entah siapa aku akan jumpa. Sebenarnya masih ada ruang dalam pemikiran aku mengatakan yang itu adalah pendaki lain yang masih ada di belakang walaupun harapan tersebut amat tipis; kerana aku tahu selaju mana kaki berjalan.
Aku tiba di puncak pada pukul 6.45 pagi. Hari yang semakin cerah belum dapat menerangi semua persoalan yang bermain di minda hingga ke hari ini. Cahaya apakah itu?
P/S: Empat sekawan tersebut akhirnya sampai 45 minit (7.30pagi) kemudian dan mereka sebenarnya dari awal telah silap ambil simpang hingga menuju trek ke Lata Medang kemudian berpatah balik.
Ulasan
Catat Ulasan