15 CERITA MISTIK PENGALAMAN: No 11 #Gunung Liang
15 CERITA MISTIK PENGALAMAN (Gunung Liang)
- Bukan Mencari, Tapi Dah Rezeki, Elok Kongsi (Siri 5/15)
No. 11: GUNUNG LIANG (2016)
" Pukul lapan malam tadi lagi, geng-geng dorang dah turun beratur turun, duduk keliling duk tengok kita buat apa" Kata Shah (bukan nama sebenar) selepas aku menceritakan pengalaman aku masa tidur dekat khemah semalam. Mungkin mereka ingat kami ni geng sarkas yang datang buat pertunjukkan.
"Dah laluan dia kat situ. Dah macam highway!" Terang Shah lagi. Aku mengiyakan je, tanda bersetuju. Beliau pun jenis boleh 'nampak' lebih sikit.
Itulah pengenalan untuk memulakan kisah yang sudah berminggu tergantung. Ekspedisi Gunung Liang ini adalah julung kalinya diadakan iaitu pada tahun 2016. Aku menyertai acara perkhemahan ini secara pakej dua hari satu malam. Bersama seramai 30 orang dan lebih mungkin, bertolak naik mendaki pada pukul lapan pagi lebih. Kemsite pertama yang akan sampai adalah sebuah tapak perkhemahan yang mempunyai nama paling seram (ikut nama yer, bukan tempat paling seram) di Malaysia iaitu Lubuk Antu. Untuk mengurangkan rasa seram tapi masih mengekalkan elemen mistik bila dibaca, konsonan 'H' sengaja di gugurkan. Kurang qolqolahnya. Cuba korang sebut 3x (Lubuk Hantu vs Lubuk Antu). Sini pun banyak hantu tapi aku tak ada cerita. Semua tahu.
Seterusnya, kami akan menuju ke Kem 7E. Di sinilah segalanya bermula dan ada 'sesuatu' terjadi (Amaran: kisah aku tak adalah seram sangat tetapi elemen mistik masih aku kekalkan). Disinilah tempat kami akan bermalam, makan, tidur, mandi dan berhadas besar. Kan dah cakap pakej tadi.
Di pendekkan cerita (aku tak nak lah panjang-panjang sangat), ni pun dah banyak versi aku cerita kat orang. Aku tak pun tak nak cerita yang ada versi bagaimana jauhnya nak turun ke waterpoint' hingga setiap kali ada yang nak turun nanti akan ada yang tumpang- suruh ambik air sekali bertangki-tangki tong air atau versi yang aku sanggup turun ke bawahnya seorang diri dikala orang lain dah nak turun-keluar-balik keesokkan harinya untuk membuang hajat besar dan baru perasan yang kawasan di situ pokok pisang dan bagaimana aku cepat-cepat naik, kemudian tengok semua orang dah habis bergambar kumpulan.
Dipendekkan lagi cerita ini, aku tak nak bercerita versi dimana dan bagaimana aku boleh sampai ke puncak Liang sebelum Maghrib, seorang diri pula tu. Nak dijadikan cerita, mulanya Mawi dan Man pun ikut sekali, tapi jauh sangat dah aku tinggalkan diorang berdua tu, (sampai sekarang aku masih rasa tak bersalah), mereka terpaksa berpatah balik. Aku juga tak nak ada versi yang akan menghuraikan juga bagaimana perasaan aku bila melalui kawasan batu yang macam gua, tiga kali lalu macam tempat yang sama dan rasa macam ada orang sedang duduk bersila l di atas batu tu, seolah-olah sedang bertapa. Setiap kali aku ingat, hingga kini boleh terbayang. Justeru itu, setiap kali aku lalu pasti aku akan beri salam dan tak boleh nak gambarkan perasaan kalau ada yang jawab.
Aku pun tak nak cerita ini ada versi yang mana dan bagaimana aku akan cuba berlari anak-anak setiap kali lalu di kawasan yang agak gelap dan suram tu. Berlari meniti di atas batang kayu yang biasanya mesti ada lumut tumbuh dan nak di tambahkan elemen dramatis, mesti ada pokok yang ditumbuhi mossy-mossy akan berbentuk seakan-akan 'tidak-harus-dinamakan' di tepi laluan. Versi berapa kali hampir tergelincir jatuh tu jugak tidak perlu nak diceritakan!. Dipendekkan cerita, akhirnya sampai puncak dengan jaya sebelum pukul 7 malam, selepas 4 orang yang duduk paling depan tinggal dekat setengah jam ceritanya.
Baiklah. Tahniah, sekarang anda sudah hampir ke klimak cerita. Hampir semua masuk dah tidur kecuali aku. Aku ni suka main api. Arakian, aku pun duduk bermain-main api melayan perasaan. Padahal aku sebenarnya tengah mencari di mana tempat nak tidur malam tu (yang lebih selesa). Bila semua orang dah tidur (agaknya), aku pun tengok tempat aku letak beg dekat khemah unta, berhadapan dengan dapur tempat kami memasak dan ungggun api itulah jugak la jadi tempat tidur aku nanti. Sah. Malam ni tidur tengok langit.
Belum pukul 12 tengah malam semua dah masuk tidur. Sunyi sepi. Aku pun rasa macam dah bosan duduk kat situ sorang-sorang, padahal dah rasa tak 'best' sebenarnya pun lantas berpura-pura buat masuk tidur. Beg di buat bantal, stoking wajib pakai siap-siap jari kaki dah naik beku. Manakala kain pelikat dijadikan selimut pula.
Rasa macam tidur depan pintu rumah yang mana pintunya tak pernah ditutup. Luas terbukak. Mula-mula aku tidur mengiring ke kanan (ikut sunnah kononnya) sambil pejam mata. Walaupun tak rasa mengantuk tapi aku tak sanggup nak tengok pokok-pokok balak besar dengan berlatarkan hutan yang gelap. Apapun tak nampak. Biarpun mata kejap terpejam, aku rasa macam diperhatikan dari jauh. Tak sampai masa beberapa minit, aku dah rasa gelisah. Dalam hati, nak tinjau-tinjau bukak mata tengok, tapi perasaan takut mengatasi segalanya. Dah terbayang macam-macam. Dah terlintas semua cerita. Hantu asrama yang duduk suka atas locker. Masalahnya, sini tak ada locker. Semuanya khemah. Mau dibilangnya dari khemah ke khemah. Nahas aku nak lari mana.
Aku pun bukak mata cepat-cepat-imbas sepintas lalu sambil pusingkan badan ke posisi kanan sepantas kilat, lalu mengiring menghadap seseorang yang tengah tidur. Yer, masih sejenis orang. Boleh dengar orang berdengkur. Lega sikit Paling tidak pun ada orang sebelah - sini. Ruang belakang yang terasa kosong aku letakkan gumpalan dua tiga helai baju yang terkeluar dari beg, mana sempat di capai. Lutut dirapatkan ke dada, kalau boleh nak jadi elastik macam ulat gonggok. Gaya macam tengah sembunyi dari musuh di medan perang. Risau jugak kan ada yang datang mencuit-cuit kat belakang.
Aku memasang fon telinga dengan lagu-lagu kegemaran dimainkan. Suhu makin sejuk. Dahla tidur tak lapik apa-apa. Terasa sejuk gila tanah macam tidur atas salju. Sambil layan lagu yang lepas satu main, satu habis, aku pun terlelap. Aku pun sudah lupa apakah sudah membaca doa tidur.
" Brappp !!!". Bunyi seolah-olah macam ada benda terjatuh. Tak jauh dihujung kaki aku. Hujung khemah. Mungkin dahan kayu kut. Inferens awal aku. Tak pun
ada orang jatuh dari hammock barangkali. Mau tiga empat tingkat juga dorang pasang dekat pokok di hujung khemah sana, dan beberapa lagi di tempat lain. Mungkin juga haiwan kut. Jangan binatang buas sudah. Kembali senyap sunyi semula. Bunyi desas desus angin je, bergesek-gesek bunyi pokok bergoyang macam kena geletek.
Aku tak nak fikir apa-apa dah. Bukan tak nak fikir, tapi otak ni terlalu ligat berfikir. Aku betulkan fon telinga kembali. Usah berperang pada musuh yang tiada. Strategi; jangan ubah posisi-pantang bergerak-jangan berundur kebelakang. Jam baru pukul dua pagi.
Lena tak lena, setengah jam sekali aku terjaga; kemudian periksa telefon dah pukul berapa jam (tak pakai jam tangan lagi zaman ni), cuba bukak fon telinga sebelah, mungkin nak dengar ada orang bangun ke. Bila tiada apa-apa berlaku lepas tu tidur balik. Tak mungkin ubah posisi badan walau apapun terjadi.
Entah pukul berapa, aku dengar ada orang berjalan pula dekat unggun api. Aduh sudahlah. Aku pura-pura tidur mati. Kuatkan lagi lagu hingga tak dengar apa-apa. Badan dah bercampur antara kebas sejuk dengan sebab tak ubah posisi tidur. Nak mati kalau pusingkan badan. Entah masa bila aku lena pun tak tahu.
Sebelum subuh, aku dah 'rasa' mcam tak ada apa-apa dah yang nak berlaku. Dah rasa selamat dah. Dah boleh bangun jerang air buat kopi panas. Makin lega bila seorang demi seorang bangun.
Balik paginya aku cerita kat Shah (dia satu kereta dengan aku), Shah gelak besar kat aku.
"Malam tadi budak-budak yang tidur atas hammocks semua kena kacau" Kata Shah, 'benda' tu datang geletek kaki dorang, ada yang kena kuis-kuis tapak kaki dengan muka. Aku pun terbayangkan mesti budak-budak ni ingat nyamuk atau agas duk tepis-tepis. Padahal-----
" 'Dia' siap tawaf khemah aku semalam. Aku perati je tengok 'dia' buat apa.... Budak-budak ni kena kacau pun ak tengok"
Bila dengar Shah cakap macam tu, sel sel otak aku terus berhubung, terasa cas-cas eletrik sedang bersambung hingga mentol pun bercahaya. Aku cuba mengaitkan fakta-fakta yang terjadi telah semalam. Hipotesis awal; bunyi benda jatuh mungkin betul orang jatuh sebab kena kacau atau bunyi seperti ada orang berjalan tu mungkin 'dia' sedang bertawaf dekat khemah aku sampai terlanggar tunggul kayu. Maklumlah banyak pokok berakar banir besar. Tapi bukankah hantu nui tak ada kaki ke?.
Masa balik pun Shah cakap berpuluh-puluh ekor nak ikut balik.
Bila korek-korek balik cerita pasal Gunung Liang ni, mesti anda pernah terbaca pasal kisah Ustaz Azrin yang buat Liang-Tumang Batak solo tu. Tempat sama jugak, di Kem 7E tu lah yang khemah dia kena goncang. Dah dia pun sorang-sorang dia. Lagi gempak.
P/S: Aku pernah dengar la.. Liang tu maksudnya hantu dalam bahasa orang asli.
Dah tu Tumang Batak apa pula?
Wallahua'lam
Tamat
Ulasan
Catat Ulasan