Dari Gunung Ke Gunung: Gunung Rajah KKB & Chamang)

Dari Gunung Ke Gunung








Puncak ke-24:


Mempersembahaan....Rajah...
Rajah adalah gunung kegemaran hamba. Terpaling. Setiap kali pergi mesti ada cerita. Terimalah.....


01/15:  19.03.2016 (Ikut Chamang):

Tiba-tiba ada orang ajak naik Rajah sehari sebelum. Aku pun dah kemaruk sangat pergi sebab dengar cerita orang sana-sini mencanang pasal Rajah. 'Dayhike' katanya, siap cakap mesti keluar sebelum gelap. Makinlah mengamit keterujaan. Mereka janji mahu naik sebelum subuh dan akan bersolat subuh secara berjemaah di mana jua kami berada. Tak sampai 15 minit bertolak, atas jalan balak tu jugak kefardhuan ditunaikan.

Alhamdulillah berjaya sampai ke puncak bawah enam jam pada percubaan pertama. Lagipun masa tu aku tak tahu kenapa sepanjang jalan perut aku memulas. Mungkin sebab makan roti canai kat kedai mamak awal-awal pagi. Bila sampai kat puncak aku makan cokelat 'Cadbury terus keluar-keluar angin kentun. Lega. Dekat sejam duduk melangut kat puncak aku pun turun sebab kawan aku; Zul tak sampai-sampai. Tapi dia dah cakap masa kat Lata Naning tak nak naik ke puncak sebab dah pergi minggu sebelumnya. Baru lima minit aku turun, jumpa Zul baru nak naik. Masa tu iklan panadol tak wujud lagi. Aku pun pun patah naik balik ke puncak.

Aku berjaya keluar pukul 6.30 petang sampai di Air Terjun Chamang. Orang pertama jugak sampai kat bawah. Dalam ekspedisi inilah aku jumpa dengan Amin dan Fahmi. Mereka ni orang kuat Rajah. Masa tu cakap je "aku nak masuk Rajah minggu ni", Hatta, permit pun terus disetelkan dengan kadar segera.

02/15: 23.07.2016 (Ikut KKb turun Chamang)

        Orang kata, naik ikut Kuala Kubu Bharu lagi mencabar walaupun trek Chamang lebih panjang 4km. Macam mustahil; yang lebih panjang belum tentu sudah. Belum cuba belum tahu. Bagi menafikan teori diatas, Ekspedisi kali ini melibatkan lapan orang saintis termasuk tiga dewasa perempuan (Eny, Jujue & Qelly), termasuk Hawk dan Faiz, dan yang pasti ada Amin dengan Fahmi pun ikut yang sanggup datang dari Bentong ikut Batang Kali dan .

        Ringkasnya, disebabkan masih bulan Syawal yang diberkati, rata-rata masih membela lemak semuanya, kami sampai ke puncak dah lewat tengahari, masing-masing bersetuju nak turun ikut Chamang. Muktamad. Keputusan yang agak tak masuk di akal, tapi itulah pengorbanannya jika tidak mahu menimbulkan lebih banyak masalah. Masa balik, hujan turun dengan lebat, mata pulak mengantuk sampai masing-masing tak boleh nak jalan dah sampai terbaring tidur kat trek balak. Aku pulak baru balik dari syif malam, terus pergi hiking dan dah nak hampir 24 jam tak tidur. Si Amin dan Fahmi dah jauh ke depan sebab nak cari line telefon nak telefon kawan-kawan (sebab mereka duduk bentong je) diorang nak minta tolong datang ambik kami keluar. Alhamdulillah, perancangan Tuhan, malam itu kami naik lori yang kawan mereka guna angkut lembu, bawa kami yang busuk-buusk ni ke kedai makan. Malam itu juga, lepas makan kami balik naik van syarikat (mereka). Aku dah tak larat  nak mandinya, dengan dihampar tilam dekat belakang tu punyalah selesa dengan penat aku pun tidur mati. Sampai dorang berhenti van untuk tidur tepi jalan pun aku tak sedar. Hampir subuh kami sampai semula ke jambatan besi.


03/15: 04.08.2016 (Ikut KKB: 10H 20M)


      Waktu ni bertiga je. Aku, Ahnaf dan kawan Ahnaf, nama beliau Amir juga (Amir 2.0). Si Amir 2.0 tu tengah belajar kat German Institute dan pertama kali nak hiking. Akibat ampuh pada 'peer-pressure', termakanlah dengan segala hasutan. Yang pasti - 'Pepom' walaupun kekejangan kaki melanda. Maka, kami berjaya keluarlah sebelum senja.

 
04/15: 31.08.2016 (Ikut KKB: 7H 45M (PB) Solo.

      Ini kerja gila jugak. Aku cuba masuk secara solo konon-konon nak kejar si Fahmi and the geng yang dah masuk bercamping sehari sebelum. Mana datang keberanian nak masuk solo tu aku pun tak tahu.

      Al-kisahnya, aku berjaya potong kumpulan beliau dekat permatang bonsai sebelum sampai ke Batu Maut (yang tau tau la dimana). Lepas tu dekat sejam kemudian aku tunggu mereka di puncak semata-mata nak bergambar.

      Aku naik pukul 7.06 pagi dan sampai ke puncak dalam masa 3.32H (10.48 pagi) dan turun selamat sampai di parkir jam 14.51 petang. Ni rekod peribadi paling laju pernah aku buat naik-turun Rajah ikut KKB ni iaitu 7 jam 45 minit;. Sampai sekarang aku masih gagal untuk membuat masa walaupun bawah 8 jam sekalipun. Mungkin pakai kasut getah adidas kampung lagi padu kut.



05/15: 12.09.2016 (Ikut KKB: 12H 6Min)

Masa ni naik bertiga je dengan Asul dan Afiq. Dua dua pewai. Asul baru je tak sampai sebulan kawin, nasib permit bini luluskan. Baru tahu penangan Rajah KKB, dua-dua kejang kaki.  Pertama kali lalu kat batang paip lama masa senja. Suasana yang sungguh hening. Nasib bertiga.


06/15: 03.10.2016 (Ikut KKB: 8H 24M) Solo.

       Kali kedua naik solo. Tak boleh nak laju dah lepas tu. Mungkin jumpa ramai rakyat jelata masa dekat puncak, kenala beta mencemar duli atau mungkin masa nak lalu kawasan batang paip lama aku rasa macam 'diekori'. Bila toleh belakang tiada. Mungkin penangan mental yang dah penat. Anda rasa?


07/15: 22.10.2016 (Ikut Chamang: 9H 45M (PB)

Pergi empat orang ikut trek Chamang. Dah lama tak masuk ikut situ. Kali ni dengan Amin (lagi), Poi dan Demi. Yang best kami dapat naik motor sampai ke pintu rimba, Amin dan Demi punya motor. Parking bawah pondok dekat situ. Jimat enam kilometer nak berjalan. Balik pun sama. Sebenarnya boleh je bawak masuk sampai ke Sungai Terling. Apapun, dapatlah buat bawah 10 jam. Pengajarannya, jadilah pendaki yang bijak.


08/15:  21.11.2016 (Ikut KKB: 9H (rest 1 jam)

      Yang ni. Aku terlupa bawak seluar yang sesuai. Dah sampai baru nak periksa beg. Sekian.


09/1/5: 22.01.2017 (Ikut KKB) Duo

       Tarikh ni telah pergi berdua dengan Cino. Masa ni jumpa satu kumpulan je. Bayangkan sepanjang-panjang 12km trek ikut KKB ni, tak jumpa dah orang lepas tu selain kumpulan tersebut iaitu gogo die adalah Daus. Daus ni antara orang yang menjadi inspirasi tuk aku bercompress. Pertama kali memdaki bersama dekst TNBYY; 2016.

        Pergi dengan Cino ni maha senang; tinggal dan tunggu. Lagi tinggal lagi laju dia. Tapi kalau balik, lagi di tinggal lagi di kejar, makin di cucuk rasa. Kami masuk agak lambat, hampir pukul sepuluh pagi baru nak mula  kerana aku baru balik kerja syif malam.

       Ini antara ekspedisi Rajah paling aku ingat sebabnya masa dah sampai dekat Kem BMW, dah nak masuk Maghrib pun. Kami 'ambik-lima' rehat sekejap je lepas tu aku bilang kat Cino yang kita jalan jer sampai parkir kereta. Langgar pantang larang. Walaupun tau risiko dengan kisah-kisah misteri yang pernah di dengari tetapi aku rasa nak jalan jugak. Malas nak tunggu lama-lama, sebab ada enam kilometer lagi nak keluar. Mau sejam lebih. Untuk hilangkan kebosanan memikirkan trek yang panjang, sepanjang jalan kami berborak. Tup-tup; jumpa pagar buluh (masa ni pagar tu wujud lagi), tup-tup; simpang rahsia, tup-tup; jambatan runtuh.


10/15: 18.02.2017 (Trans Reverse Chamang-KKB-Chamang: 38H++)

Cerita sini abis sini. Sepatutnya ekspedisi ni nak buat compress tapi hakikatnya jadi santai. Aku, Pok Jo, Uda, Haizer, Chee Lai, Mat, Redho dan Angah yang menjadi satu-satunya peserta dari kategori gadis mneyertai dan menang tanpa bertanding dalam kategori yang diceburi itu yang selepas Wina terpaksa di bawa pulang kerana kecederaan lama berkaitan tulang belakang membuatkan beliau mungkin akan mempertimbangan untuk bersara lebih awal. Pok Jo dengan rela hati sanggup teman Wina kembali ke parkir di Air Terjun Chamang dan sanggup datang semula untuk kembali berolahraga secarap
seorang diri ke pondok di pintu rimba tersebut sejam kemudian. Itu kejadian berlaku diantara pukul 12 tengah malam hingga jam dua pagi ye kawan-kawan. Dek kerana lama menunggu Pok Jo sampai, Haizer siap pasang Hammocks untuk tido seketika. Masa ni pulak, aku tertinggal sekali lagi seluar kegemaran dan terpaksa pinjam seluar pendek Pok Jo. Nasib saiz sama.

Kemudian kami bertungkus lumus menuju ke Lata Naning, bagaimanapun cadangan untuk berehat di situ terpaksa ditunda ke Kem Hijau yang terletak hanya 30 minit sahaja kerana takut niat untuk melipak akan berlaku disitu. Lagipun macam ramai sangat orang datang minggu ni. Penuh tapak perkhemahan dengan lampu cahaya dari setiap khemah yang didirikan.

        Aku sampai di puncak terlebih dalam pukul tujuh pagi, dan masa tu rezeki dapat awan karpet. Cantik. Terus aku panjangkan gopro dengan kayu. Lepas semua dah sampai kami pun turun ikut KKB. Mula-mula semua gerak sekali, tapi bila dah lalu kawasan yang pacak dan mendaki (ada empat tempat kena mendaki balik sebelum sampai ke Kem BMW), seorang demi seorang berpecah aku tinggalkan hingga aku jadi orang pertama sampai di Kem BMW. Masa sampai situ pukul dua lebih, tiada orang langsung dan aku pun tidur sekejap. Dekat sejam tidur, aku bangun pun mereka masih belum sampai dan aku pun bercadang bergerak secara solo ke titik permulaaan di jambatan besi trek KKB. Pukul 3.15 petang aku gerak dan patah balik semula ke Kem BMW  5.30 petang. Masa tu aku dah tak larat dah sebab terpaksa berjalan tengah-tengah panas. Kalaulah aku boleh laju sikit. Semua orang dah sampai dan diorang dah dirikan khemah sementara sebab hanya akan bergerak ke puncak Rajah pada tengah malam sahaja nanti.




      Tengah-tengah rehat menunggu maghrib tiba, hujan lebat pun turun. Nasib dah pasang fly dan ground siap-siap. Pukul dua pagi baru kami gerak semula, punya lena tidur dan malas masing-masing nak bangun. Nasib baju masih kering, sebab masa mandi hujan tak mandi sekali

       Pendekkan cerita. Aku sampai dahulu dipuncak dengan Haizer dan Chee Lai. Awan karpet tak dapat secantik semalam dan orang yang berkhemah di Lata Naning pun makin rmai tiba di puncak. Tunggu punya tunggu, dua jam lebih punya tunggu, aku dah tak boleh tunggu sebab malam nanti aku nak masuk syif malam (pukul 9), maka aku pun berundur diri dan berjaya sampai di parkir kereta semula pada pukul 3 petang.

       Walaupun tahap catatan masa tak begitu membanggakan tapi pengalaman dapat merasai sendiri trek sejauh hampir 60 kilometer bersama orang-orang gila berjaya aku lakukan.
Setakat ni, inilah trek paling jauh pernah aku buat.



11/15:  03.10.2017 (Ikut KKB: 12H 26H) duo

      Sepatutnya nak pergi ke Tumang Batak, tapi sebab aku bawak seorang young lady, tak berani juga nak bawak ke trek yang susah sangat walaupun beliau pernah buat TNBYY secara dayhikenya. Lalu, kami masuklah ke trek Rajah. Dengan pace naik-turun santai tapi non stop, berjaya kami keluar sebelum maghrib. Cara aku nak hilangkan pewai seorang gadis- bercakap tanpa henti walaupun dada macam nak meletup.


12/15: 18.03.2018 (Ikut KKB)

       Trip paling santai. Paling ramai (8 orang). Kami naik mula awal pagi dan berpecah jadi tiga kumpulan kecil. Aku duduk paling belakang, sapu orang. Dengan aku pun jadi pewai sekali.   Kumpulan kedua ada empat orang. Ada dua kejadian terjadi. Pertama; jarak antara kami berdua dengan kumpulan ketiga mungkin hampir sejam. Kami berhenti solat subuh dekat batu sebelum sampai ke False's Peak. Selesai subuh, kami pun berjalan dengan gaya santai seperti sebelumnya hingga jumpa kumpulan kedua yang berada di hadapan dengan lampu kepala masing-masing. Terus aku hoi-hoikan dan tanya "la.. baru sini..." Dorang pun bagitahu yang dorang kena "game". Aku dah dapat agak dah, kawasan berbatu lepas tempat aku berhenti ni agak 'keras'. Mungkin. Yang bestnya, aku pun potong dorang pulak.

      Kedua, dah balik tu kami singgah berhenti dekat Kem BMW, mandi kejap sebab panas sangat. Aku pulak pantang tengok sampah, terus nak bakar. Ada pulak buluh kering. Tak banyak soal terus aku berkungfu patahkan bambu-bambu tu semua. Sekelip mata; zasss, telapak tangan/jari terhiris sampai darah mengalir tak berhenti. Dekat dua hari aku tak berani tukar bandage sebab masa kena aku nampak sedalam mana luka tu. Walaupun aku hari-hari kerja cucuk orang, tapi aku pun takut jarum. Ada seorang doktor nak tolong aku jahit pun, aku tak bagi (Gambar kedua).

13/15: 05.01.2019 (via KKB), solo (9H 33m)

Setahun hampir berlalu. Kembali bersolo. Masa makin perlahan dimamah usia. Penuaan membunuh prestasi.

14/15: 19.012019: Trans Ratu (Solo)

       Dua minggu selepas masuk solo hari tu. Aku nekad nak buat Trans Ratu. Pergi dan Balik dari Rajah macam biasanya. Cuma nak ke Bukit Kutu tu aku tiba-tiba lemah dan longlai. Mungkin kepanasan atau masa naik tak jumpa orang langsung. Rata-rata orang dah balik. Tapi aku tetap nekad, walaupun kaki dah nak cramps dua dua belahnya. Aku tetap paksa diri berjalan walaupun sangat perlahan.

       Hampir pukul enam aku baru nak sampai ke  Batu Tedung dan 40 minit kemudian, pada jam
6.40 petang baru sampai puncak. Kat puncak ada sepasang kekasih berada di atas batu sedang menikmati matahari terbenam. Sebenarnya aku nak turun sebelum pukul tujuh, tapi ralit sangat tengok 'sunset', hampir pukul tujuh suku baru aku nak bergerak turun. Anda bayangkan, lepas ni aku wajib berjalan turun diwaktu senja yang makin mengelap. Sekali lagi aku terpaksa melanggar pantang larang. Sedaya upaya aku cuba berlari turun selaju mungkin walaupun lutut kanan dah terasa sengal-sengal sakit. Target aku nak sampai ke Batu Tedung selagi mata boleh nampak jalan. Dah sampai situ, aku terus keluarkan lampu kepala letak siap-siap dekat kepala supaya bila dah tak nampak terus boleh pasang.

       Akibat melanggar pantang larang, aku dah mula bau wangi semasa melepasi satu kawasan. Aku hanya berkata "jangan kacau aku, aku nak balik dengan selamat". Dada aku tak tahulah berdegup kencang sebab penat atau rasa ketakutan yang tiba-tiba datang menerpa diri.

        Dalam tengah rasa takut-takut gitu, sempat jugak aku berhenti minum air seteguk dua dekat anak sungai dan basuh kaki sekejap, lepas tu sambung balik. Lagipun nak dekat sampai dah. Bila nak sampai ke jambatan senget tu, terus rasa lega sangat-sangar sebab dah nampak banyak cahaya lampu khemah. Bila ingat-ingat balik, sendiri cari padah. Lepas ni tak buat dah.


15/15: 29.06.2019: Trans Ratu (Trio)

       Kali terakhir datang ke Gunung Rajah dan juga Bukit Kutu sebelum bersara. Aku pergi bertiga; Oli dan Farid. Betul-betul menguji prestasi, masih lagi dalam bulan Syawal, kaki pun tak beri kerjasama sangat. Hanya aku dan Oli sambung naik ke Kutu lepas turun dari Rajah. Beza dengan yang pertama kali buat Trans Ratu awal tahun haritu, kali ni aku mampu keluar sebelum senja.

Tamat

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK