TRANS BUKIT KUTU-BUKIT BATU PAHAT







Trans Bukit Kutu- Bukit Batu Pahat
12.01.2019/Sabtudate

1.0: Kena Lipak

       Trip kali ni agak istimewa sebab tiada langsung dalam perancangan (rasa kalau aku dah buat cerita sepanjang novel Lagenda Budak Setan tu semua trip tu bukan biasa-biasa la). Semua jadi last minit sebab kes kena lipak ni. Aku pun asyik kena lipak dengan orang kalau korang nak tahu. Rasanya benda tu tak boleh lari dah dalam hidup ni. Sama ada kau dilipak atau sebaliknya. Lipak tu berasal dari Kosa- Kata bahasa Terengganu yang bermaksud berjanji bagai nak rak, tapi hari kejadian abu pun tarak muncul, dengan alasan yang kadang tak munasabah. Paling biasa adalah tertidur. Kes aku pun sama jer jalan ceritanya.

        Asalnya aku dengan Farid dan Abang Yusuf (bukan nama sebenar) merancang nak masuk Gunung Rajah melalui Kuala Kubu Baru. Padahal aku baru jer pergi Gunung Rajah minggu sebelumnya secara seorang diri aka solo (Alhamdulilah, dah empat kali aku solo ke Gunung Rajah setakat ni) Aku pun dah kering idea nak ke mana sekarang memandangkan banyak gunung-ganang sekitarnya masih tutup. Bincang punya bincang, akhirnya kami bertiga bersetuju nak ke Rajah juga pada hari sabtunya itu. Hari Jumaat tu aku dah pulun tidur sepuas-puasnya maklumlah baru habis kerja shift malam. Tidur adalah sejenis hobi yang lama dah aku amalkan selain hiking yang aku amat gemari. Pantang cuti, tak pergi hiking maka aku pun aku tidur dengan penuh berdedikasi dan komited sekali. Aku bangun awal, seawal pukul lima pagi kerana itu adalah waktu aku biasa bangun setiap hari, kendatipun aku cuti!!!. . Sebab aku ni 'morning person' bak kata mat salleh. Lagipun, aku pun nak berkemas barang awal, buat persediaan rapi sikit sambil menanti waktu subuh sekali. Yelah, aku pergi ni hiking ni pun dengan orang padu-padu, hebat dalam dunia masing-masing. Aku tak nafikan. Aku bukan nak ukur kemampuan masing-masing, tapi cuma nak mendapatkan pengalaman baru.

       Nah, mesej yang aku hantar dalam kumpulan kecil kami tak berbalas. Semua senyap. Mungkin tidur lagi. Tak mungkin ada yang bangun seawal waktu dinihari seperti ini. Dalam perbualan, kami dah bercadang nak naik pukul tujuh pagi nanti. Aku agak masa kami akan berlarutan lebih lewat. Selepas tiba waktu subuh, aku menelefoni Farid terlebih dahulu, nasib berjawab walaupun bunyi tengah mengeliat, suara yang penuh romantik sekali. Walaubagaimanapun Abang Yusuf gagal aku hubungi. Berkali-kali jugak aku menelefon sehingga Farid dah tiba untuk mengambil aku di kediamanku pun masih tak berjawab. Masa tu dah pukul tujuh pagi. Cuaca pun makin cerah. Setengah jam kami berdua menunggu kat depan hentian bas kecil di depan rumah aku sambil kami berdua saling mencuba menghubungi Yusuf satu sama lain. Dahi aku dah makin makin berkerut. Dah nak naik bengkak jejari duk mendail tekan nombor dihubungi walaupun pakai phone sejenis padan sesentuh automatik. Masih dan masih gagal. Aku kira dia tidur mati. Nak cakap telefon bateri mati lain bunyi intonasi dalam panggilanya. Eh eh dia ni, setahu aku, dia yang beria-ria nak ikut kami. Katanya si isteri dan anaknya tiada dirumah minggu ini dan makanya beliau pun menjadi percuma la hujung minggu ni. Percuma untuk kemana mana.

        Setengah jam menunggu, kami pun bercadang bergerak dahulu dan akan singgah ke Denai Tiga Puteri kerana di situ kawasan rumah Abang Yusuf terletak. Mana tahu, usaha aku yang dari tadi tak berhenti membuat cubaan panggilan yang masih gagal akan berjaya dijawab. Biarpun Abang Yusuf tak dapat ikut, tapi kami berdua berharaplah dapat sebarang dua berita yang beliah masih hidup. Dah puas meronda, menunggu, menghirup udara pagi segar dan mencuci mata, akhirnya kami membuat keputusan untuk bergerak ke Kuala Kubu Bharu tanpa Abang Yusuf. Usaha aku yang penuh gigih (apa taknya, lebih 20 kali aku cuba membuat panggilan) macam sia sia.

        Sebaik kembali kenderan membelah arus lebuhraya PLUS Utara-Selatan, saat kereta dipacu laju mencelah lautan motokar dengan berlainan tujuan masing-masing, dikala itu kami membatalkan hasrat untuk ke Gunung Rajah kerana sudah terlambat untuk masuk ke dalam sana. Apa taknya, sekarang sudah masuk pukul lapan pagi dan jangkaan untuk tiba ke Kampung Pertak nanti hanyalah pada pukul sembilan lebih nanti. Kalau nak ke Gunung Rajah mungkin akan keluar pada sebelah malam. Tak mahu la aku. Tambahan lagi, tadi perasaan rasa bersemangat berkobar-kobar tapi sekarang dah macam malas. Baru nak berontrek bertiga sama-sama terutamanya dengan Abang Yusuf, ternyata impian tu belum ada rezeki untuk dapat dilaksanakan lagi. Takkan beliau berdendam dengan aku selepas kes pada dua tahun sebelumnya, aku pernah melipak beliau jugak untuk trip TNBYY (Gunung Tok Nenek-Bubu-Yong Yap) dengan alasan bekerja, cuti yang dipohon tidak diluluskan. Tak mungkin. Hamba Allah yang ni sangat baik hati orangnya. Akhirnya, kami berdua membuat keputusan untuk masuk ke Bukit Kutu dan kalau ada rezeki akan ke Bukit Batu Pahat pula. Semoga perancangan kami ini menjadi. No lipak-lipak dah.



2.0: Bukit Kutu





       Kami sampai diparking Kg Pertak pukul sembilan pagi lebih. Ternyata bukan senang nak mencari ruang kosong untuk meletakkan kenderaan pada waktu puncak macam ni. Kami hanya dapat memarkirkan kereta di ruang lebih bawah dari jambatan besi, kawasan parking yang luas yang ada tempat persalinan pakaian. Perlu berjalan jauh sedikit nanti tapi tak mengapa asalkan kereta berada ditempat yang lebih selamat. Nak bawak kereta lebih kedalam takut nanti susah nak keluar. Minggu ini tersangat ramai orang masuk ke Bukit Kutu dan kawasan sekitarnya. Kami menyiapkan diri. Kali ini aku ingin berkasut tetapi dalam pada masa yang sama nak bawa sandal juga kerana perjalanan kami nanti akan menempuh jalan raya yang sangat panjang. Farid pula lupa membawa kasut dan terpaksa memakai sandal pula.Kami dah membuat kata putus akan membuat Trans Bukit Kutu-Batu Pahat dimana pendakian bakal membawa kami keluar ke jalan raya KKB-Fraseri iaitu kami akan berjalan pulang melalui jalan raya/tar sejauh tujuh kilometer lebih untuk kembali ke parking kereta. Begitulah mengikut perencanaan tentatif kami nanti.

Pendakian yang bermula amat santai. Kami perlu beratur melepasi ramai orang yang datang dari pelbagai bangsa dan peringkat umur. Kali ini ramai pendaki dari luar negara aku lihat turut serta ingin merasai dan menikmati keindahan dan pengalaman mendaki Bukit Kutu yang sebenarnya kaya dan tersimpan dengan sejarahnya yang tersendiri. Tiba di kawasan sungai yang pertama, nampaknya air sudah agak kering sedikit sehingga aku tak perlu bersusah payah nak melepasinya dengan membuka kasut terlebih dahulu atau meredah sungai sampai separuh badan basah. Batu-batu kecil yang timbul dari permukaan air amat memudahkan lagi untuk aku memijaknya tanpa perlu basah umpama hikayat dalam cerita dongeng tentang helah sang kancil yang mengira buaya-buaya dengan memijak kepala mereka satu persatu dengan alasan perintah Raja Sulaiman yang mahu mengira jumlah haiwan dalam wilayah kekuasaannya. Padahal Sang kancil tersebut hanya mahu menyeberangi sungai itu dengan mudah tanpa menjadi mangsa rebutan makanan buaya-buaya tersebut. Untuk pengetahuan semua, sungai tu takda buaya pun.

        Makin lama kami berjalan makin ramai orang kami jumpai dan pergerakkan kami menjadi lebih perlahan terutamanya apabila tiba di kawasan denai yang lebih sempit dan bersemak atau trek yang makin pacak dan berkecerunan tinggi. Pada suatu ketika, aku telah tertinggal jauh ke belakang daripada Farid dek tersekat di belakang suatu kelompok pendaki yang agak perlahan pergerakkan mereka. Bukan niat ingin menunjukkan kehandalan atau kepaduan aku, tapi aku sudah terbiasa dengan tahap pergerakkan aku yang biasanya begitu dan ingin cepat mengejar Farid didepan agar tidak jauh tertinggal di belakang. Aku faham, mungkin mereka dari kalangan pendaki yang amat bertanggungjawab iaitu tidak mahu berpecah antara satu sama lain dan ingin menjaga keselamatan ahli masing-masing supaya tidak tersesat. Orang kata, pergi sekali balik pun sekali semua. Aku pun amat berterima kasih kerana mereka yang memberikan aku laluan untuk bergerak terlebih dahulu dan dapt berjumpa kembali dengan Farid sebaik sahaja kami nak tiba di kawasan Batu Tedung. Disitu nanti, kami berhenti berehat seketika untuk melepaskan lelah. Tidak ramai pula orang nak duduk berehat disitu. Aku pun hairan kebiasaanya ramai jer pendaki-pendaki yang akan singgah berhenti kat sini. Padu betul mereka ni Tak rehat ke? Tak penat ke? Trek ke sini bukan pacak dan tegak lagi.

        Lepas lima minit kami sambung balik. Disebabkan trek lepas dari Batu Tedung ni agak sesak beratur, kami mengambil keputusan untuk naik melalui jalan lain. Jalan ni memang takda orang lalu sebab sangat susah nak lalu. Keadaan batu yang curam dan licin serta tiada tempat kuat nak berpaut amat berbahaya sekali. Tetapi aku pun dah lama nak cuba lalu kat situ. Kali ni peluang nak lalu situ. Saat kaki aku dengan payahnya nak melangkau naik ke atas, saat itulah perut aku mula meragam. Sebaik sampai di kawasan balak tumbang atau dimana disitu terdapat view point, makin memulas-mulas rasanya. Dah sampai waktunya dah ni. Rupanya ramai orang berhenti take five di situ, termasuk kumpulan mat salleh yang mula tiba satu persatu. Aku terpaksa mencari ruang dan tempat buat diri jauh dari himpunan orang ramai bagi melegakan azab yang makin membuak-buak terasa sakitnya. Dah makin bawah pangkalnya. Terkemut-kemut aku menahan. Sungguh aku tak tertahan. Tak pernah lagi selama aku pergi ke Bukit Kutu aku mengalami kejadian seperti ini. Terpaksa dah ni walaupun tak rela menjadi mangsa. Kalau tak dilepaskan juga kesian nanti kat Farid dan pendaki lain terpaksa menahan bau kentut yang sudah lama diperam ni. Alhamdulillah, rasa yang penuh bersyukur tak terhingga dan teramat-amat lega bila hajat tersebut dapat dilunaskan. Dah habis berhajat, sekali lagi kami berehat disitu. Betapa banyak kut tenaga telah aku dilepaskan tadi.

        Apabila orang sudah berkurang, kami menyambung kembali baki perjalanan ke puncak. Ramai pula kawan-kawan yang aku kenali dijumpai semasa menuju ke puncak. Aku ditinggalkan seorang diri menuju puncak oleh Farid yang sibuk mencari trek untuk ke puncak Bukit Kutu Selatan. Katanya ada misi rintis baru lepas ni. Jangan lupa ajak aku sekali. Aku tiba di puncak terlebih dahulu dari Farid. Hampir 10 minit aku menunggunya barulah muncul disebalik semak.



3.0: Ruins: Banglo Lama

       Kami berdua tak lama sangat duduk rehat di puncak Bukit Kutu tu. Ingatkan nak naik ke atas batu, untung-untung dapat ambik gambar permandangan tasik empangan, tapi memandangkan terlalu ramai orang yang dah berada di atas dan masih ramai lagi yang beratur untuk naik menunggu giliran, kami terus melupakan hasrat untuk naik ke atas. Lagipun aku baru jer naik sini beberapa minggu lepas. Nak bergambar di signboard pun dah malas rasanya. Gambar dah boleh buat arkib dah. Lagipun cuaca dah mula panas. Ada yang rentung kan nanti.

        Kami dah nekad dan buat keputusan nak buat Trans Bukit Kutu-Bukit Batu Pahat hari ni. Kami meninggalkan puncak Bukit Kutu setengah jam kemudian, menuju ke Banglo tinggalan lama (ruins) yang penuh sejarah dan misteri. Bagaimana sebuah banglo lama boleh terbina di atas bukit yang tinggi. Jalan pengangkutan seolah tidak kelihatan atau sudah hilang disebalik semak-samun yang tebal. Bagaimana mereka membawa naik batu-bata dan besi-besi untuk membuat banglo tersebut. Ternyata masih banyak sejarah yang belum terungkai. Itu belum lagi tinggalan bangkai kereta api lama dijumpai di tengah-tengah hutannya.

        Sudah bertahun aku tak datang ke banglo lama ni. Biasanya sampai ke puncak batu itu je. Sebab dah banyak kali datang ke banglo tu, takda apa-apa pun selain ambik gambar yang aku rasa tak pernah cantik hasilnya. Rasanya dh dekat lima belas kali aku datang ke Bukit Kutu. Itu belum campur lagi ke Gunung Rajah tak terkira dah rasanya. Seolah-olah dah macam kampung sendiri. Siap ada teman-teman berseloroh suruh aku pindah terus duduk sini (KKB).

        Nak ke banglo itu tak sampai lima minit pun. Lagipun trek dh sangat-sangat clear. Masa kami pergi tk jumpa orang pun masa dalam perjalananan dan bila sampai disitu tiada orang pun selain kami berdua. Kami hanya berhenti bergambar dan menyambung perjalanan beberapa minit kemudia selepas habis kawasan banglo itu kami selongkar semak samunnya. Aku masih kagum dengan senibinanya. Utuh. Persoalan yang masih bermain diminda aku; macam mana bongkah batu besar (beberapa) boleh ada dalam banglo tersebut. Bentuknya bukan sejenis runtuhan batu tapi semulajadi wujud di tengah-tengah banglo.



4.0: Padang Bola






       Trek seterusnya bermula dari belakang banglo sahaja. Memang ada trek, keadaannya agak baru, seolah-olah ada yang baru datang beberap hari yang lepas. Trek ni tak susah, mungkin sebab aku banyak menurun sahaja tetapi berakar dan licin dengan daun-daun kering. Akan melalui laluan balak lama yang sudah sempit ditumbuhi dengan pokok-pokok dan semak samun melata. Mungkin itu jalan kenderaan lama naik ke kawasan banglo lama tersebut. Kesan laluan dan tinggalannya masih dapat dilihat walaupun ada beberapa kali laluan akan memotong lereng bukit kerana tersekat dek balak besar yang tumbang ataupun tanah runtuh.

       Ketika ini aku tidak berasa khuatir kerana Farid pernah melalui trek ini sebelum ini, cuma gagal ke Bukit Batu Pahat sahaja lagi. Laluan ini membawa kami ke satu-satunya Waterpoint yang ada. Kedengaran bunyi air terjun dan deruan air jatuh dari celah-celah batu amat menenangkan. Aku tak berhajat nak tambah isi air bila sampai di situ. Cuma melayan perasaan dan jadi mengelamun sedikit kerana kawasannya sangat nyaman dan sejuk. Mungkin pesekitaran yang dipenuhi oleh batu-batuan membuatkan suhu di situ lebih dingin dan aman. Tak sampai seminit berhenti kami menyambung perjalanan kembali. Treknya amat berbeza laluannya sekiranya naik dari Kampung Pertak. Trek sebelah sana lebih licin dan panas tapi lebih pendek dan tak berapa pacak seperti laluan sekarang ini. Aku rasa tersangat jauh walaupun 80% hanya menurun. Ada ketikanya laluan menjadi sempit di beberapak tempat dan ada juga yang menaik.

      Treknya berlantaikan daun-daun kering, memberikan tanda yang tak ramai masuk atau tahu kewujudan trek sebelah sini. Kalau ada yang masuk dekat sini, pastu menyumpah seranah kerana banyak kena menaik dan trek sangat panjang untuk sampai ke puncak. Aku bernasib baik seketika sahaja, cuaca memang semakin panas tapi mungkin agak terlindung dengan pohon-pohon yang agak besar, apabila dah sampai ke kebun getah, makin lama makin panas. Kejap aku bukak topi, bila terkena panas, aku pakai balik. Semua jadi tak kena cara. Dari trek kebun getah, kami lalu pulak masuk ke kawasan kampung orang asli. Macam jakun rasanya masuk kampung orang walaupun aku pun asal orang kampung. Dengan kasut bertajam-tajam tapaknya memang tak seronok langsung pengalaman nak kena lalu jalan bertar. Paling aku takut bila nak lalu rumah orang asli ni adalah dengan anjing-anjing peliharaan mereka ni. Trauma kena kejar tu masih ada. Ada jugak yang menyalak riuh sekampung, tapi dari kejauhan bunyinya. Tapi kami tetap berhati-hati, manalah tau kan kena kejar secara tiba-tiba datang serang hendap dari belakang. Ada yang kena penyakit anjing gila.

       Dari kampung orang asli, kami masuk ke kawasan aku tidak tahu sampai sekarang tempat tersebut. Ada kontena-kontena dibuat macam rumah. Ada kuil Sikh. Ada bangunan macam pusat komuniti rakyat. Selepas melalui anak sungai, kami kini berjalan betul-betul bawah terik matahari. Ya, aku memang tak tahan dan terus cepat-cepat mencari tempat berteduh sebelum nanti aku migraine (masa nak ke Bukit Batu Pahat aku dah mula sakit kepala). Kami berhenti di bawah sebuah pokok ditepi sebuah padang bola. Mula-mula nak berehat lima minit jer, tapi apabila angin mula bertiup sepoi-sepoi bahasa, terus terlajak jadi setengah jam. Asyik betul duduk bawah pokok ditengah padang macam ni.

       Bunyi Azan waktu Zohor yang berkumandang menyedarkan kami bahawa sudah masuk waktu tengahari kini. Peta menunjukkan Bukit Batu Pahat hanya beberapa ratus meter dihadapan kami tapi membuatkan kami musykil untuk ke sana kerana laluan kami dihalangi oleh sebuah sungai yang besar untuk diseberangi. Ada pula ladang kelapa sawit terbentang luas dihadapan. Misi kali ni serupa masa kami merintis Bukit Repin dari Kemensah dan keluar di Janda Baik. Macam peristiwa hitam ini kembali lagi jer. Aku dengan Farid asyik duk astro jer cerita Bukit Repin tu. Macam tak macam, misi harus diteruskan. Dah sampai sini, baik teruskan sahaja. Misi baru, pengalaman pun barulah.

       Kami makan terlebih dahulu. Perut pun kena isi. Mana tahu bila dah cukup tenaga dan rehat mungkin ada akal lain. Sel-sel otak berhubung sikit. Peluh dah kering. Baju yang dibuka serta stoking dan kasut juga hampir kering di sarung pakai kembali. Perjalanan bersambung seterusnya.



5.0: Bukit Batu Pahat

       Pukul 1.45 tengahari kami bergerak. Kami melalui kawasan kontena yang dibina macam dewan dan rumah tumpangan tetapi tiada seorang pun penghuninya disitu, mungkin berada di tempat kerja masing-masing. Kami keluar melalui sebuah pagar yang berpusing-pusing memerlukan hanya seorang dewasa sahaaj untuk masuk melepasinya pada suatu masa. Pintu intu membawa kami ke jalan masuk ke kawasan ladang Kelapa sawit yang mungkin beranggaran berusia lebih 10 ke 15 tahun ke atas dari segi ketinggiannya. Kami berjalan sehingga ke tebing sungai yang amat besar dan lebar. Mulanya kami berasa khuatir dan keliru sama-ada perlu melalui menyeberanginya atau tidak. Tetapi selepas menimbang tara, seolah-olah sudah tiada jalan lain untuk dituju, maka kami bersetuju untuk berenang-renang ke tepian. Terdengar suara orang di hulu sungai, bunyi keriangan yang amat. Tidak pasti pesta keramaian apakah gamaknya telah berlaku di hujung sungai sana yang aku sangkakan cetek rupanya kedalamnya hampir melepasi paras pinggang. Habis lencun seluar basah. Nasib telefon telah diletak siap dalam plastik dan di dalam beg. Walaupun pengeluar telah menjamin kebolehannya untuk kalis air tapi aku sebagai penggunanya tidak pernah yakin sama sekali akan kebolehannya. Nasib tidak disisip dalam poket seluar.

        Kederasan airnya boleh tahan laju. Hampir-hampir saja aku nak menarik tangan Farid agar diriku tidak dibawa oleh arus. Terhuyang-hayang kami sambil tangan terbuka luas di dalam air seolah tengah berirama dondang sayang dengan tangan pasir yang dipijak didalam air tidaklah berapa kuat dan membuatkan kami beralih beberapa kali. Lebar sungai hampir enam ke tujuh meter itu berwarna sangat kuning berjaya dilepasi jua. Badan menjadi sejuk seketika dan nyaman terasa apabila angin yang sepoi-sepoi bahasa datang bertiup. Matahari kian terik di atas kepala hingga buat aku berdoa agar hujan akan turun secara tiba-tiba nanti.

       Sebuah pacuan empat roda ditepi jalan semasa kami berjalan ke hadapan. Rupanya, kenderaan tersebutlah membawa orang ke situ. Bunyi riang-riang seperti kanak-kanak ribena tadi adalah mereka yang membuat 'Water Rafting' disitu. Memang sesuai benarlah tempatnya; sungai yang deras arus dan agak lebar diameternya.

       Cabaran sebenar adalah bermula kini. Perit dan panas. Itulah perkara yang masih tergambar dalam fikiran aku. Jalan dihadapan kami seolah-olah tidak boleh ditujui kerana merupakan tanah persendirian. Kami perlu mencari jalan lain. Kami terpaksa mendaki satu bukit yang amat curam ditengah-tengah panas. Pada mulanya kami menjumpai marking yang hanya beberapa cebisan kertas yang boleh dikatakan sudah lama dan menguning. Tetapi lama kelamaan ianya hilang jejak dan trek yang kami lalui itu semakin menurun dan terus hilang dalam semak hutan yang tebal.

        Kami berpatah balik. Peta dalam telefon Farid tunjuk jalan lain. Kami perlu melepasi pagar. Kami ikut sahaja. Kami berjalan memasuki sebuah kawasan yang akhirnya dikenal pasti adalah Kem Bina Semangat Kuala Kubu Bharu dimana sebelah kiri kami adalah sebuah tasik buatan yang sangat besar. Trek tersebut membawa kami ke jalan yang berbukit yang sudah diturap dengan simen. Namun bukan mudah untuk melalui kerana sudah dipenuhi lumut dan nampaknya macam tiada orang melalui kawasan itu. Kami laluan air yang sudah terjadi ditepi trek tersebut. Kawasan disitu dipenuhi buluh sehinggalah kami tiba di penghujung jalan yang membawa kami ke bangunan disitu. Kami melepasi lorong tikus yang aku kenal pastu adalah jalan keluar yang dibikin oleh pelajar 'fly' atau curi-curi keluar pada waktu malam.

        Banyak masa kami berjalan. Tapi kerana cuaca panas aku jadi tak tahan sehingga aku ajak Farid berhenti di tengah-tengah jalan tanah merah itu.
Angin yang bertiup mengeringkan peluh yang tak berkesudahan. Kepala aku mulai sakit. Sakit kerana bahang panas yang melampau. Masa yang dah berlarutan ke lewat tengahari ini membuatkan kami mengejar masa untuk ke puncak yang masih tiada puncaknya. Lima belas minit kemudian kami berdua menyambung perjalanan kembali. Teduhan pokok menjadi laluan kami. Bila melalui di kawasan laluan yang terik panas membara, kami cepat-cepat bergerak dan bila kawasan teduh kami sengaja melambat-lambatkan perjalanan.

        Trek yang berpusing-pusing mengelilingi bukit secara menaik makin lama makin tinggi dan jadi makin panas. Topi di kepala dibuka buat kipas. Semakin lama aku semakin perlahan. Dari tadi berjalan bersaing dengan Farid, makin lama makin jauh dia meninggalakan aku. Trek ke Bukit Batu Pahat sebenarnya lagi mudah jika dinaiki dengan pacuan roda. Trek tanah merah yang licin, kering dan berdebu ini akhirnya membawa kami tiba ke puncak. Alhamdulillah setengah jam kemudian kami tiba di puncak. Getir betul perjalanan ni. Nasib baik di puncak ada pondok untuk berteduh. Puncaknya amat luas. Ternyata boleh nampak permandangan bukit bukau dan tanah pamah di bawahnya. Terdapat hamparan kain yang aku tak tahu nak gambarkan apa dan puncak Bukit Batu Pahat yang berketinggian lebih 400 meter ini menjadi tempat sukan rekreasi Paragliding. Tibanya kami dipuncak nampaknya tiada orang disini. Hanya kami berdua. Lega rasanya dah sampai puncak. Farid lagi gembira rasanya, cubaan pertama dahulu gagal ternyata berbalas kini.







6.0: RINTIS





       Sejam berehat di puncak. Kami menunggu cuaca dan matahari turun sedikit baru bergerak turun. Kering dan panas. Itulah suasana puncak ketika itu. Masa balik kami melalui jalan sama. Simpang yang di sangka jalan turun rupanya hanylah jalan mati. Bukan main yakin tadi kata situlah tempat turun. Bagaimanapun, peta dalam mobil Farid menunjukkan ada trek ke sebelah kanan. Masalahnya tiada langsung tanda asa trek mahupun laluan. Yang ada hanyalah semak samun dan pokok yang meninggi serta tebal. Mula-mula kami tak percaya, tetapi peta itu menunjukkan jalan betul. Kami mula menyelongkar semak. Nasib baik. Ada marking. Marking lama. Sudah lusuh dan pudar warnanya. Ikut jelah. Ada denai. Kami ikut jer. Kami yakin tak yakin jer, berserah je. Kalau ikut jalan turun trek merah tu mungkin kami keluar ke jalan sungai balik. Takkan nak patah balik. Menurut Farid trek tersebut akan bawa kami dalam enam ke tujuh kilometer terus ke jalan besar iaitu jalan raya. Jalan raya mana aku tak pasti ketika itu. Keliru aku kalau tengok peta. Kepala dahla sakit. Aku hanya angguk faham. Ada Farid ni mudah segalanya. Semua dia tahu.

        Ada marking pun keliru jugak. Macam chipsmore. Kejap ada kejap takda. Lepas tu dah tak macam chipsmore dah. Sebab terus hilang. Kami asyik duk ikut trek menurun seolah trek balak lama. Memang ada kesan trek tapi sangat-sangat lama. Lama kelamaan makin mengecil dan terus hilang. Bila dah mula kena rintis, inilah masanya nak guna segala pengalaman. Guna seadanya. Bukan tak pernah rintis merintis. Tapi kali ni aku rasa lain. Azab sikit.

        Kami berhenti berehat sekejap selepas terjumpa pokok yang aku yakin kesan cakaran beruang matahari (Sunbear). Agak besar beruang itu sebab kesan cakaran tersebut menyamai paras ketinggian aku. Aku mula mencari kayu nak dibuat senjata. Takut jugak makhluk begini muncul depan mata atau sergah dari belakang. Naya kami nanti. Maklumlah kami ni tak bawak parang. Tak sangka ekspedisi kali ni kena merintis teruk. Teruk yang bagaimana? Aku pun tak tahu bagaimana nak cerita dan gambarkan. Terlalu perit.




         Dari tadi trek hilang terus. Hilang dalam semak, pokok resam, buluh, tanah runtuh dan pokok tumbang. Sangat samar. Tak pernah aku merintis trek sebegini susah rupanya. Penuh pokok duri tajam, pokok buluh yang halus dan hampir menutup jalan. Kesan tinggalan trek memang hilang terus. Bahagian yang aku tak boleh nak ingat adalah bila makin ke depan kami berjalan, makin tebal semak tumbuh. Hinggakan tiada cara lain untuk melangkah, kami terpaksa merangkak. Selepas bangun dari merangkak, baru berjalan dua tiga langkah, kami kena merangkak lagi. Habis muka aku kena sauk dengan daun dan ranting-ranting pokok. Sekejap aku di depan, sekejap duduk di belakang, berganti-ganti dengan posisi bersama Farid apabila salah seorang dari kami jumpa trek yang lagi senang (takda yang senang pun). Bayangkan kami patahkan pokok untuk buat laluan hanya guna kayu dan kaki. Masa tu ingat nak keluar jer. Jam dah menunjukkan pukul 5.30 petang.

        "Berape KM lagi Farid" Aku bertanya sambil mengaru lengan yang gatal. Banyak betul debu-debu pokok kering melekat kat tangan dan muka, dengan berpeluh lagilah buat makin gatal.
"1.5km lagi.."aku terkedu, bunyi dekat tapi "....nak jumpa jalan raya"sambung Farid "Dah tu kite macam mane ni, dari tadi duk menebas, aku dah penat duk merangkak dari tadi tak sudah-sudah" mental aku dah bawah dari paras sifar dah. Tadi melayan panas jalan balak ke puncak Bukit Batu Pahat. Sekarang kami kena lalu jalan-trek yang tiada langsung marking. Sikit kesan orang masuk pun takde Dah berkurun agaknya orang tak masuk sini rasanya. Yang ada hanya jalan balak yang tertutup dengan pokok-pokok dan tanah runtuh serta pokok tumbang.

        "Kalau berterusan macam ni kita kena patah balik" kata Farid. Itu yang aku tak mahu. Dari tadi fikiran aku bilang macam mustahil nak kena patah balik. Aku dari tadi dah amat sangsi dengan trek ni. Makin lama makin tertutup jalannya. Nak patah balik tak larat dah. Walau macam mana pun kena teruskan jua. Mara ke depan

       "Kejap aku update GPS aku" bunyi macam ada sedikit harapan. kami berhenti pada satu kawasan yang aku sedikit terbuka dan bercahaya. Di hadapan kami semak dan pokok resam setinggi dua manusia dewasa menanti untuk dilalui.." ada 700 meter lagi nk ke jalan besar (jalan raya)". Aku berkata "kalau 700 meter aku sanggup redah lagi mcm ni, tapi kalau ko ajak patah balik aku tak sanggup nak patah naik balik, trek dah la memacak je naik nanti" aku menambah lagi.
"Aku ni dari tadi mengidam nak makan aiskrim yg bangla jual kat tepi empangan (Kuala Kubu Bharu) tu". Luah aku. Dari tadi tergambar keenakkan dan kesejukkan aiskrim membasahi tekak.



7.0: Jalan Raya




       Kami target keluar ke jalan raya sebelum senja. Tak boleh nak bayangkan macam mana waktu gelap masih duk merangkak nanti. Nampak dekat tapi bila nak melangkah dari satu langkah ke satu langkah begitu mengambil masa sekali. Bunyi benda berlari dari atas mengejutkan kami. Babi mungkin. Kami mula membuat bunyi bising. Aku terus menguatkan volume speaker semaksimanya. Dah lari kut sebab tiba-tiba hutan jadi sunyi balik. Aku tak suka bila kawasan berbabi ni sebab ada kutu babi nanti. Janganlah ada yang melekat ikut balik.

        Satu balak besar di hadapan kami dah lama tumbang, disebabkan tanah runtuh menutup terus trek dihadapan, terus tak ada jalan lain yang dapat kami tembus selain melencong naik ke bukit sebelah kiri sedikit. Mengah dan penat sebab kena berusaha naik lereng bukit yang tak ada tempat nak pijak. Kekuatan tangan digunakan untuk berpaut pada pokok dan akar pokok, lalu badan ditolak ke depan dan naik ke atas. Kami mungkin tersasar dari trek tapi sebenarnya ianya membawa kami keluar ke trek yang betul. Sebaik mrlangkah dalam sepuluh langkah, kami ternampak trek denai di sebelah kana. Terus kami turun semula dan akhirnya sekarang kami sudah menjumpai treknya semul. Terus terbuka jalan di hadapan. Luas dan mempunyai jalan sendiri. Jalan yang nampaknya amat kerap digunakan. Bermula denai kecil hingga membawa ke trek jalan balak dan hingga ke kawasan tanah yang lapang. Terang benderang. Nampak bekas laluan tayar motosikal mungkin milik orang asli ke sini. Terdapat kesan pokok buluh yang di tebang di beberapa tempat. Untuk jualan rasanya.

        Kami tiba di suatu kawasan lapang. Hutan yang sudah ditarah. Sedih juga bila melihat kawasan hutan diperlakukan sebegitu rupa. Kawasan itu telah dijadikan tempat pertanian. Semakin kami hampir ke kawasan tanaman di situ, semakin kedengaran bunyi kenderaan lalu lalang. Nampaknya kami semakin hampir ke jalan raya. Tapi aku masih berteka teki jalan raya manakah akan bawa kami lalui ke parking kereta semula.







        Kami berehat sebentar mengambil angin dan berehat di kebun sayur di situ. Boleh nampak empangan pula dari sini. Tak jauh dah ni. Sekarang aku boleh agak akan keluar dekat mana nanti sebab kami akan melalui empangan terlebih dahulu. Teruja kami sebab dah berjaya keluar dari hutan yang tebal tadi. Dah tak merangkak dah lepas ni. Jam sudah menunjukkan hampir pukul enam sebaik kami tiba di jalan raya. Dari kawasan kebun tadi, kami hanya jalan menurun hingga ke jalan raya. Agak mustahil untuk kenderaan biasa naik ke bukit ini kerana jalannya yang sangat curam dan berbatu. Sakit jugak lutut kami masa menurun. Tapi itu tak jadi masalah sebab aku dah tak sabar nak makan aiskrim.

         Akhirnya kami sampai di jalan raya. Rupanya kami keluar dekat simpang tiga Kampung Gerachi Jaya. Kini tinggal tujuh kilometer lagi perjalanan untuk kembali semula ke Kampung Pertak yang perlu ditempuhi. Rasanya kami dah boleh tarik nafas lega. Cuma nak kena berjalan je nak balik.


8.0: Empangan/Aiskrim





          Berjalan menyelusuri jalan raya bukan aktiviti kegemaran aku. Aku lebih mengimpikan trek denai atau jalan tanah kerana lagi sesuai dengan keadaan aku yang berkasut ini. Menyesal tak bawak sandal sekali. Tapak kaki dah mula rasa sakit. Tak biasa aku macam ni. Dah nak masuk 30 km dah perjalanan kami ni. Aku mula membuka kasut dan hanya berkaki ayam sambil beralaskan stoking nipis berjalan melalui jalan tar. Kereta dan motosikal yang lalu lalang pasti memerhatikan gelagat kami yang sekejap berlari dan sekejap berjalan. Sebiji pun tak ada rasa nak tumpangkan kami. Tak larat nak berlari, aku hanya berjalan selaju boleh. Kami berhenti di jambatan tempat Rentas Adventures melakukan aktiviti ropeswing. Mungkin kami terlewat tiba, acara tersebut sudah menutup tirainya. Agak tinggi juga jambatan tersebut, gayat pula aku rasa. Terbayangkan diri sendiri sedang melambung terjun ke bawah sambil menjerit keseronokan. Mungkin suatu hari nanti aku berpeluang melakukannya.

         Selepas hampir dua kilometer berjalan, kami tiba di kawasan empangan dan terus ke kawasan lapang dimana ramai orang sedang berhenti mengambil gambar. Tujuan aku hanya satu sahaja, mencari penjual aiskrim. Nasib menyebelahi kami, masih ada seorang penjual aiskrim (bangla mungkin) yang masih setia menunggu pelanggan di situ. Duit yang aku telah keluarkan awal-awal tadi sebelum tiba di dalam poket, terus membeli 3 jenis aiskrim aneka rasa untuk aku lahap nanti untuk menghilangkan suhu panas badan dan dahaga tekak yang tak terkata ini. Farid hanya beli dua biji, tu pun katanya dah banyak. Farid masih lagi mengagumi (hingga kini) aku kerana tak sangka aku tahu ada penjual aiskrim kat situ. Aku bilang yang memang selalu orang akan berhenti berfotografi disitu. Kadang-kadang ada jer orang ambik gambar kawin di situ. Padahal bagi aku tak lawa pun permandangan disitu. Terus tak jadi nak lepak ambik gambar. Lagipun dah nak gelap dah ni, kami nak segera tiba ke parking kereta.

        Baru saja nak berlalu lepas beli aiskrim, kami ditegur oleh seorang kakak yang bertanyakan kami dari mana. Mungkin beliau pelik tengok kami berkasut sukan sambil berjalan kaki membeli aiskrim disitu. Mungkin rasa ingin tahu. Aku nampak riak sedikit terkejut wajah beliau bila kami beritahu kami dari kampung Pertak, turun ke Ampang Pecah kemudian nak ke Kg Pertak semula. Tak perlu hairan akak kalau kenal kami berdua ni. Kami dah biasa buat kerja gila ni. Tahun lepas kami buat lagi kerja gila, naik Bukit Repin dari Kemensah, lepastu keluar ke Janda Baik dengan tak ada kenderaan balik. Nasib ada kawan yang sanggup datang ambik bawa balik ke Kuala Lumpur balik.



9.0: Air Terjun




         Satu kerja gila yang pernah aku buat iaitu setibanya kami di air terjun yang terletak di tepi jalan terus kami mandi untuk membasahkan badan. Sungguh sejuk sekali airnya, lantas membuatkan aku menjadi kembali terasa segar dan badan pun bersih lagi suci selepas seharian berjalan meredah dan merangkak dalam hutan belukar dan semak samun. Aku mandi sepuas-puasnya (patut niat mandi wajib sekali). Bila lagi nak rasa pengalaman macam ini. Biasanya aku hanya lihat orang menadah mata air di tepi jalan masa datang ke Kuala Kubu Baru ini. Mungkin mereka menggunakan air mata air disitu untuk tujuan perubatan ataupun minuman. Siap ada warga asing turut bertandang sama tidak mahu melepaskan peluang. Bila dah tak tahan sejuk kami kembali menyambung perjalanan. Masih berbaki beberapa kilometer lagi untuk habis.

       
         Perjalanan seterusnya menjadi semakin membosankan kerana hanya melalui jalan raya yang bersimpang siur macam ular. Aku tak boleh bayangkan macam manalah orang-orang ni boleh berlari 25km ke 50km ikut melalui jalan raya. Bosan weh. Aku tabik spring kat mereka-mereka ni. Jiwa kita berbeza. Sepanjang perjalanan aku menyanyi-nyanyi kecil, sesekali disambung duet oleh Farid. Bosan juga beliau barangkali. Kami hanya sekali dua berborak, rasanya dah puas berborak sepanjang trek tadi. Atau mungkin kami sudah betul-betul keletihan. Bibir aku dah jadi makin kering. Nafas panas je terasa angin keluar kat hidung. Badan kembali jadi panas selepas mandi tadi. Baju dan seluar pun dah semakin nak kering.

         Kami melalui kawasan jambatan di mana sebilangan orang masih lagi duduk memancing di tepian jalan walaupun hari sudah senja. Tak pulang rumah ke semayang maghrib? Agak bahaya untuk memberhentikan kereta disisi jalan yang sempit ini sebenarnya. Siap ada yang berkampung seolah-olah mungkin akan bermalam disitu nanti. Lampu-lampu neon tepi jalan sudah pun bernyala. Kami semakin menghampiri ke kawasan simpang masuk ke Kampung Pertak. Tidak tercapai oleh akal bila memikirkan kembali perjalanan kami ini yang begitu payah, getir serta panjang ini bakal ditamatkan sebentar lagi.



10: Kedai Runcit/Parking



       Berjalan balik ke kawasan parking memberi satu pengalaman baru. empat tahun aku datang ke sini selama ini, tidak pernah aku tahu kewujudan sebuah surau di kampung ini. Selama ini aku pergi sembahyang atau mencuci badan di masjid di pekan Kuala Kubu Baru sahaja. Nampaknya ada juga orang asli di sini yang menganut agama Islam dan bukan sejenis pagan. Tambahan lagi, tidak jauh dari surau tersebut terdapat sebuah kedai runcit yang tidak pernah aku tahu akan kewujudannya, malah hanya ditepi jalan sahaja. Lantas aku berhenti dan berkunjung masuk untuk membeli beberapa jenis air minuman sejuk. Seperti kedai runcit yang biasa yang dimiliki diluar sana, kagum jugak aku sebab nampaknya kampung Pertak ini mempunyai fasiliti dan kemudahan yang tidak pernah kita tahu. Pasti dalam fikiran kita menganggap orang asli ini masih mundur, walhal di setiap rumah disini mempunyai piring Astro. Diulang; Astro.

        Berjalan sambil menikmati air Jus Kundur beperisa Asam Boi dan Limau nipis yang dibeli tadi memberikan aku satu rasa pengalaman dan impak baru pada lidah aku. Nasib baik aku beli dua botol. Sedap giler air ni. Memang tak jumpa kat mana-mana lagi setakat ini. Selepas beberapa minggu, usai membuat Trans Ratu Solo (Rajah-Kutu), hajat aku tak kesampainya untuk singgah membeli air jus tersebut lagi kerana kedai runcit itu telah tutup. Betapa kecewa masa itu, dahlah tengah mengidam.

         Kami tiba di parking pada pukul 7.45 malam. Kami bertembung dengan beberapa pendaki yang macam baru turun dari Bukit Kutu/Gunung Rajah mungkin. Pasti pelik melihat kami sedang berlari-lari dengan memakai lampu kepala datang dari arah bertentangan. Alhamdulillah berjaya mencapai misi terbaru kali ini. Bukit Batu Pahat adalah puncak ke-101. Misi kali ini amat berbeza daripada yang sebelumnya. Masa bukan menjadi matlamat utama. Yang penting puncak berjaya ditawan dan kami dapat pulang dengan selamat. Sekian. Tammat.



Log Bukit Kutu-Bukit Batu Pahat
12.01.2019

0925H: Mula
1025H: Batu Tedung
1115H: Puncak Bukit Kutu (Rehat)
1145H: Gerak
1150H: Banglo Lama
1230H: Waterpoint
1310H: Simpang Y Buloh
1315H: Kg Orang Asli
1325H: Padang Bola (Rehat)
1345H:Gerak
1350H: Lalu Sg Selangor (6-7m lebar)
1400H: Simpang Jalan Balak
1425H: Rehat (Panas +++)
1505H: Simpang
1515H: Puncak Bukit Batu Pahat
1610H: Gerak
1740H: Jalan Balak
1800H: Jalan Raya
1925H: Simpang Kg Pertak
1930H: Singgah Kedai Org Asli
1940H: Parking
2000H: Balik.


Ulasan

  1. Assalam bro. Nak tye. Kalau nak naik bukit batu pahat tu nak kena parking kete kt mana ya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wassalam w.b.t... kalau tak silap kena parking dekat area MRSM KBB dgn IKBN KKB...ada kawasan parking tepi jalan kalau tk silap

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK