TRANS TITIWANGSA V1 REVERSE Dayhike 3.0 Sub 14H

Ekspedisi V1 Reverse Dayhike 3.0 (Yong Belar-Gayong-Korbu) 3.0
14 April 2018/28 Rejab 1439

V1 Half Solo 14 JAM 26 MINIT






1.0 MUKADDIMAH: Pengenalan

Assalamualaikum W.B.T

       Coretan kali ini agak mengambil masa yang terlalu lama dan panjang untuk nukilkan. Hampir dua bulan selepas ekspedisi V1 dijayakan ini,baru aku dapat 'mood' yang betul dan masa yang sesuai untuk bekarya lagi. Sememangnya sangat panjang dan terlalu banyak yang ingin aku kongsikan kepada semua. Bukan ingin mendabik dada malah jauh sekali untuk berasa riak, tapi aku ingin berkongsi pengalaman ini semoga dapat menjadi pengajaran dan pembelajaran buat pendaki-pendaki diluar sana yang ingin sama menakluki gunung-gunung di dalam Tans Titiwangsa 1 atau dilebih dikenali Trans Titi V1 atau singkatnya hanya dipanggil V1.

       Ekspedisi pendakian di jalur pergunungan merentasi Banjaran Trans Titiwangsa V1 adalah merangkumi beberapa gunung tertinggi di Malaysia seperti Gunung Yong Belar (2181m), Gunung Korbu (2183m) dan Gunung Gayong (2173m) yang dikenali sebagai G7 (Tujuh gunun yang paling tinggi di Semenanjung Malaysia merentasi Banjaran Titiwangsa sejauh hampir 40 kilometer sehala, termasuk sebuah gunung yang melebihi 2000 meter dari paras laut iaitu Gunung Junction (2088). Ekspedisi ini selalunya mengambil masa empat ke enam hari kebiasaannya, sama ada bermula dari Empangan Sultan Azlan di Ulu Kinta, Ipoh, Perak terlebih dahulu atau Empangan Blue Valley, Lojing di Cameron Highland.


2.0 TRAINING: Denai Tiga Puteri



       Tidak banyak yang mampu aku lakukan dari segi latihan kerana masa yang terlalu terhad. Persedian mental aku rasa sangat diperlukan kali ini berbanding persediaan dari fizikal kerana pengalaman melakukannya trip agung sebanyak dua kali sebelum ini sudah banyak dipelajari dan ditimba disamping terdapat pengalaman lain dalam mendaki gunung-gunung bertaraf 'hardcore' orang kata sekitar semenanjung malaysia seperti Trans Slim (Gunung Liang-Tumang Tatak-Chondong Gelinting), Gunung Rajah, Gunung Semangkok dan Trans TNBYY (Gunung Tok Nenek-Bubu-Yong Yap) yang kebanyakan trek berjumlah lebih diantara 25km hingga 40km kesemuanya (pergi-balik). Persediaan yang aku utamakan kali ini adalah mendapatkn rehat dan tidur yang secukupnya. Faktor kurang rehat akan mempengaruhi tahap fizikal dan juga mental.

        Latihan yang bagaimana aku lakukan dan apakah yang menjadi tumpuan?. Tampak senang jika aku nyatakan satu persatu. Tetapi, disebabkan kesuntukkan masa (malah kerja diwaktu tiga shift yang berbeza membuatkan kitaran tidur dan rehat aku pun tidak tentu masanya), aku hanya dapat meluangkan masa yang ada paling kurangnya dengan tiga kali seminggu masuk ke Kota Damansara Community Forest (KDCF) atau lebih dikenali Denai Puteri dikalangan pendaki atau hikers sekitarnya sebagai tempat 'training'. Bukan trek biasa iaitu di Seksyen 10 yang berhadapan sekolah rendah tersebut aku masuki, tetapi aku selalunya masuk melalui pintu masuk di kawasan bersebelahan kawasan Perkuburan Islam Kota Damansara bertentangan dengan Taman Rimba Ria dimana selalunya aku lihat ramai orang berjogging sama ada pagi mahupun di waktu petang. Laluan ini agak jarang digunakan oleh orang malah tidak ramai yang mengetahui kewujudan trek tersebut. Alasan mengapa aku memilih trek tersebut kerana treknya agak tektikal dan panjang jaraknya serta mencabar kerana banyak turun naik, lebih banyak pacak dan banyak trek yang dapat menembusi dari satu simpang ke simpang lain.

       Paling mencabar aku berjaya membuat 1 pusingan atau 'loops' besar atau dipanggil 'full reverse' iaitu aku menaiki trek dari Seksyen 9 ( perkuburan) dan menuju ke trek keluar diSeksyen 10 dan berpatah balik kembali semula ke Seksyen 9. Itu semua aku lakukannya secara seorang solo atau seorang diri tanpa ditemani oleh rakan-rakan lain. Ya, benar, sememangnya aku lebih suka 'training' seorang diri jika aku punyai masa.



3.0 MISI 100 PUNCAK: BUKIT BEREKEH


    


Panas weh 



        Sebenarnya dua minggu sebelum tarikh ekspedisi V1 menghampiri, aku sepatutnya telah berehat dan tidak seharusnya ke Denai Tiga Puteri lagi pada masa terdekat kerana dilanda kecederaan lutut. Kesakitan dibawah dan ditepi lutut sebelah kanan terjadi selepas pulang 'hiking' dari Gunung Rajah pada seminggu sebelumnya Walaubagaimanapun, kesakitan tersebut akan pulih sekiranya aku tidak menjalankn apa-apa aktiviti mendaki lagi. Pada perkiraaan aku, mungkin aku kena Minor' Menisucs Tears Injury' (sila google) koyak selaput lutut. Aku pernah terkena dahulu iaitu pada tahun lepas semasa membuat Trans Jerging di Cameron Highlands. Selama sebulan aku berhenti rehat dari mendaki bagi kembali memulihkan kecederaan tersebut dan berjaya pulih sepenuhnya tanpa berjumpa mana-mana pakar lagi.

       Namun kali ini, aku agak terpaksa menjalankan latihan tersebut. Tapi aku lebih menjaga langkah aku kerana tidak mahu sakit berlarutan lagi. Pada awal pendakian aku tidak berasa sakit, tetapi apabila aku menurun atau berlari maka kesakitan kembali. Dua kali aku terpaksa keluar dari denai tiga puteri pada waktu azan maghrib telah pun berkumandang kerana terlambat keluar kerana dilanda kecederaan. Dahla seorang diri berada dalam gelap masa itu.

       Hari terakhir aku mendaki adalah pada dua hari sebelum tarikh ekspedisi di mana aku telah menaiki Bukit Berekeh di Sungai Siput bersama seorang kawan yang iaitu Kecik di mana beliau tinggal berhampiran dengan tempat tersebut. Kali terakhir kami 'on trek' sekali adalah pada bulan oktober tahun lepas (2017) dimana kami bersama-sama membuat rekod Trans Titiwangsa V1 (masa 17jam 44 minit). Kecik merupakan orang yang paling banyak membantu aku semasa ekspedisi ini terutamanya (Bab 5 adalah 'tribute' aku karangkan tanda penghargaan dan berterima kasih tak terhingga aku kepada beliau).

        Perancangan untuk ke Bukit Berekeh adalah dibuat pada saat yang tidak dirancang. Aku telah berangkat dari Kuala Lumpur pada masa petang sehari sebelumnya telah singgah bermalam di Sungkai, Perak iaitu rumah sepasang teman hiking iaitu Farez dan Dhiya, dan bertujuan melawat mereka yang sudah lama tidak ku jumpai. Sebelum aku masuk melelapkan mata, aku sempat menyeloroh menyatakan hasrat aku ingin ke Bukit Berekeh didalam 'group' Whasapp dan pada masa yang sama si Kecik membalas respon kepada pada aku yang beliau boleh sahaja membawa atau menjadi 'guide' aku untuk ke sana dan dari situ bermulalah semula misi aku untuk menaiki 100 jenis puncak sama ada gunung atau bukit yang semakin meghampiri (semasa karangan ini ditulis aku sudah mencapai 89 puncak kesemuanya).

   



      Aku bertolak pada pukul 5.30 pagi dari Sungkai kerana akan bermula mendaki pukul tujuh pagi. Bagaimanapun, kami berdua hanya bermula mendaki pada pukul lapan pagi sahaja dan hanya mengambil masa setengah jam untuk sampai ke puncak yang ketika itu membahang panas matahari makin terasa dan kami hanya di payungi oleh sebuah beirut lama yang usang dan buruk di puncaknya. Dipendekkan cerita, kemudiannya kami turun selepas sejam lebih berada di puncak dan aku singgah berehat dirumah Kecik seketika dan selepas Zohor sahaja aku berangkat untuk ke Gerik pula, demi menghantar baju Team Seladang kepada seorang teman (Pok Din) dan seterusnya ke Baling iaitu ke rumah Yogi. Rumah Yogi dah jadi kampung halaman kedua buat aku dan ia merupakan perhentian terakhir sebelum bergerak menuju ke Cameron Highlands pada keesokan malamnya nanti

         Cukuplah seharian aku berjalan dari Sungkai-Sungai Siput-Kuala Kangsar-Gerik-Baling yang begitu memenatkan. Setibanya di rumah Yogi, sanggup pula beliau mahu mengajak aku naik ke Gunung Baling pada malam tersebut. Nasib baik aku masih waras dan menidakkan keinginan beliau mahu membuat kerja gila itu. Kalau tidak mengingatkan trip agung pada esok lusanya, aku pasti akan buat kerja gila tersebut. Tapi aku mengatakan padanya aku perlu rehat yang secukupnya kerana perjalanan esoknya masih panjang perlu di tempuhi.




4.0 PACKING: Senarai Barang


       



           Aku ditinggalkan berseorangan di rumah Yogi. Hanya dua orang yang menghuni rumah tersebut iaitu Yogi dan ibunya yang aku kebiasaannya memanggilnya Mami. Mami telah keluar ke tempat kerjanya seawal lapan pagi lagi, manakala si Yogi pula keluar lebih awal dari itu lagi. Pukul 6 pagi beliau sudah bersiap menaiki van ke tempat kerjanya di Kulim Tech, Kulim yang mana mengambil masa selama sejam perjalanan. Aku pula terus menyambung tidur selepas Subuh sehinggalah aku bangun tengahari kerana perlu ke masjid yang hanya 50 meter dihadapan rumah Yogi untuk menunaikan Solat Jumaat. Usai pulang dari Solat Jumaat, aku mula mengemas barang-barang kelengkapan 'hiking' pula.

         Untuk tidak membuatkan aku kelam kabut atau terlupa, aku kebiasaannya akan merujuk kepada satu senarai panjang barang-barang yang telah aku catatkan di dalam telefon. Aku akan menggunakannya sebagai rujukan untuk mengingatkan aku barang-barang hiking mana yang wajib dibawa mana-mana ekspedisi aku pergi. Ia adalah untuk mengelakkan aku daripada terlupa dan tertinggal serta tidak menjadi keruan nanti mencari barang-barang. Dibawah adalah senarai barang yang wajib aku bawa setiap kalinya:-

1. Bandage
2. Panadol
3. Antihistamines Drugs
4. Oral Rehydration Salt (ORS)
5. Salonpas spray
6. Minyak Panas
7. Natural eyes tears
8. Buff
9. Getah
10. Gunting
11. Asam boi/Masim
12. Makanan
13. Kopi & Minuman lain
14. Windbreaker atau sweater
15. Kain pelikat
16. Ziplock plastik
17. Powerbank & kabel
18. Gopro & bateri
19. Gloves
20. Knee & Ankle guard
21. Stoking 2 pasang
22. Sandal atau Kasut
23. Headlamp & extra bateri
(Jumlah barang dibawa berubah mengikut tahap kesukaran ekspedisi)

       Aku lebih suka berkemas atau 'packing' dari awal iaitu sejak dari rumah aku lagi. Semua barang dimasukkan terus ke dalam beg. Kebiasaanya aku akan membahagikn barang barang tersebut kepada dua beg; satu barang yang wajib dibawa dan satu lagi menjadi barang tambahan yang mana tidak perlu dibawa semasa mendaki. Tujuan aku 'packing' awalnya adalah kerana tidak ingin menjadi kelam kabut disaat-saat akhir seperti yang telah terjadi pada ekspedisi V1 kedua aku pada bulan Oktober tahun lepas. Kami hanya tiba di perkarangan Masjid Lojing tepat pada masanya dan tidak berpeluang langsung untuk berkemas sebaik mungkin apatah lagi untuk berehat terlebih dahulu kerana kereta pacuan empat rota atau selalunya dipanggil 'powil' dikalangan pendaki telah tiba lebih awal dari masa yang dijanjikan. Akibatnya aku membawa lebihan barangan yang tidak penting dibawa mendaki sekali, walhal aku sebenarnya sudah pun packing lebih awal dari rumah lagi. Dari awal lagi sebelum berangkat dari kerja, Yogi telah berpesan pada aku untuk membawa beg hiking yang juga sudah siap packingnya dari malam sebelumnya.


          Selama sejam masa diambil untuk packing semua barang-barang aku . Selapas siap, aku keluar untuk ke Pekan Baling untuk mencari bekalan air dan makanan seperti asam masim dan asam boi. Agak sukar mencari kedai yang menjual asam yang biasanya aku bawa. Hanya terdapat sebuah kedai yg menjualnya iaitu di hadapan Pasaraya Billion. Walau bagaimanapun asam yang dijual disitu punyai banyak pilihan. Aki hanya memilih membeli beberapa jenis yang mampu aku telan semasa on trek nanti sahaja.

          Aku pulang ke rumah kembali untuk bersiap-siap bergerak untuk mengambil Yogi di tempat kerjanya pula di Kulim. Tak perlu menunggu pulang ke rumah terlebih dahulu Itu sememangnya dah di dalam perancangan awal, selain ingin menjimatkan masa kerana dari awal lagi Yogi telah memberitahu yang beliau tidak mendapat pelepasan cuti untuk pulang sedikit awal dari tempat kerjanya. Aku bergerak dari Baling beberapa minit sebelum pukul tujuh malam dan memandu dengan agak santai ke Kulimnya kerana masih terlalu awal lagi; Yogi hanya akan habis kerja pada pukul lapan malam sahaja. Kunjungan aku ke Baling kali ini amat singkat dan tidak dapat meluangkan masa untuk berada lebih lama lagi.


      
Dari Baling ke Kulim-Tech





          Sebaik Yogi keluar dari pintu pagar depan di tempat kerjanya, kami terus berangkat menuju untuk ke Simpang Pulai. Disitu nanti kami bakal berkumpul bersama-sama pendaki yang lain yang turut serta ekspedisi V1 kali dengan kesemua berjumlah sebelas orang termasuk aku dengan Yogi. Terlebih dahulu kami berdua sempat singgah makan malam di Restoran Nasi Ikan Bawal di Perda, Pulau Pinang bersama-sama seorang lagi ahli Team Seladang iaitu Farid Ramli yang baru beberapa bulan menetap di Pulau Pinang. Pada mulanya, Farid sepatutnya menyertai ekspedisi kali ini tetapi terpaksa 'lipak' awal kerana terpaksa berkerja pada tarikh berkenaaan. Perjalanan bersambung kembali dan dikhabarkan ada diantara mereka sudah pun sampai di tempat berkumpul yang sepatutnya.

5.0 KECHIK: Jasamu Dikenang

     



        Perjalanan kami masih panjang kerana perlu kembali semula ke Sungai Siput untuk mengambil si Kecikh semula. Misi kali ini amat memerlukan bantuan si Kecik terutamanya dari segi pengangkutan; memgambil dan menghantar pulang. Perancangan secara rahsia yang diputuskan di saat-saat akhir antara aku dan Kecik terjadi apabila kami turun dari Bukit Berekeh semalam pada paginya. Aku mendapat idea dengan mencadangkan kepadanya untuk mengambil kami keluar dari Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta nanti esoknya dan akan mengamanahkan kereta aku kepadanya supaya dapat memandu masuk kembali ke empangan nanti untuk mengambil aku dan yang lain keluar semula. Cadangan tersebut dipersetujuinya dan beliau amat berbesar hati ingin menolong aku.

        Sejak pertemuan pertama kali on trek bersama ke Gunung Liang dan Tumang Batak awal March tahun lepas, hubungan kami menjadi agak akrab, mungkin minat dan hobi yang sama menguatkan ukhwah yang terjalin ini. Mungkin disebabkan rasa bersalah beliau kepada aku gamaknya kerana sudah banyak kali me'lipak' beberapa trip aku sebelum ini, termasuk juga ekspedisi V1 kali ini. Kerana itu aku rasa si Kecik sanggup membantu secara sukarelanya. Untuk pengetahuan semua, permit kemasukan ke empangan dan hutan juga di buat oleh Kecik. Aku turut kagum dengan usaha beliau yang rela pergi sendiri ke pejabat terbabit untuk memohon permit-permit tersebut dengan menaiki motor. Alasannya, senang dan mudah sikit nak siapkan permit dan lagi ceapt siap jika berurusan secara terus menerus daripada surat-menyurat katanya. 

         Walaubagaimanapun, alasan utama kerana tak dapat menyertai kami adalah kerana beliau telah menerima satu tawaran temuduga kerja yang membuatkan beliau terpaksa membatalkan hasrat memyertai ekspedisi ini, walhal mana-mana lain ekspedisi mendaki dalam masa yang terdekat sekalipun. Tidak mengapa Kecik, aku agak berasa sedikit terkilan dan tanpa kehadirannya membuatkan aku kurang bersemangat. Mungkin lain masa, kita boleh beraksi bersama lagi. Ekspedisi V1 yang lepas turut di sertai oleh Kecik bersama-sama dengan aku dan Popoi. Pada ekspedisi tersebut, kami bertiga berjaya membuat catatan masa terbaik peribadi iaitu 17 jam 44 minit.

Sebenarnya, terlalu banyak jasa dan pertolongan yang telah disumbangkan Kecik kepada aku dan kawan-kawan yang lain semasa ekspedisi ini. Kami juga sempat bermalam di rumahnya selepas pulang dari empangan yang aku akan ceritakan didalam bab seterusnya nanti. (rujuk bab 27: Pulang).


6.0 DUA PASUKAN: Pasukan A & B

        Selepas mengambil Kecik di sebuah kedai makan di Pekan Sungai Siput, tanpa membuang masa (sudah sejam kami terlambat), kami bertiga bergerak ke sebuah restoran yg telah dijanjikan di Simpang Pulai. Setibanya di sana semua line up telah pun sampai dan sedang menjamu selera. Dalam pada masa yang sama kami semua mula bermesyuarat kecil-kecilan berbincang mengenai misi kami kali ini kerana inilah pertama kali kesemua ahli bertentang mata dan berjumpa semua sekaligus.

       Dari awal lagi, secara tidak rasminya kami telah membahagikan line up kami kepada dua kumpulan kecil. Pada dasarnya ia bertujuan memudahkan pergerakkan kumpulan masing-masing dan hanya ingin membantu antara satu sama lain dari segi sokongam moral khususnya. Aku menjadi orang tengah di antara dua kumpulan ini kerana hanya aku yang berpengalaman pernah melakukan ekspedisi V1 ini iaitu sebanyak dua kali secara 'dayhike' pula. Kedua-dua pasukan sebenarnya tidak merancang melakukan ekspedisi pada tarikh yang sama dan ianya hanya kebetulan sahaja.

       Pasukan A terdiri dari Yogi, Fahmi, Auz, Zaem dan diketuai aku, manakala Pasukan B terdiri daripada Haizer, Hawk, Shahrizal atau BB, Din, Yoi dan satu satunya peserta tunggal wanita iaitu Miera turut menyertai kali ini (Sampai sekarang aku tak tahu siapa leader dalam pasukan B ini).

        



        Kami berangkat menuju ke Cameron Highlands tepat pada pukul satu pagi. Sempat membungkus makanan selain bekalan lain untuk mengalas perut semasa ontrek nanti (Lunchpax khususnya). Anda dinasihatkan agar bersedia membawa makanan yang agak berat atau tinggi nilai karbohidrat seperti nasi atau roti kerana badan amat memerlukan gizi yang agak kompleks lebih-lebih lagi apabila tenaga yang telah dibakar digunakan amat banyak sekali semasa ekspedisi yang sangat ekstrem sepertu ini perlu di ganti kembali tenaga yang telah didalam kuantiti yang banyak. Manakala bekalan air harus dibawa mengcukupi kerana beberapa tempat tiada waterpoint atau jauh jarak sumber airnya, contoh; perjalanan dari Kem Cerek selepas menuju dari Gunung Junction ke Gunung Gayong dan kemudiannya ke Gunung Korbu tiada waterpoint langsung. Cara pembawaan jenis-jenis makanan harus mencukupi, biar lebih asal jangan kurang kerana misi ini boleh jadi berlarutan lewat keluar dan terpaksa OT (Overtime).

           Seperti yang telah dirancang, kereta aku diserahkan kepada Kecik dan kami berlima menaiki kereta Honda Jazz milik Auz menuju ke Masjid Lojing di Cameron Highland di mana kami sekali lagi akan berkumpul semula diperkarangan parking masjid bagi menunggu kenderaan pacuan empat roda bakal mengambil kami pula nanti. Begitu juga dengan pasukan B, mereka mengunakan sebanyak dua buah kereta dan mempunyai driver mereka sendiri untuk membawa kembali turun kereta ke pintu pagar Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta nanti iaitu Sue dan Byzu. Mereka berdua merancang untuk meronda-ronda dan bermalam di sekitar Pekan Cameron Highland sebelum esoknya berangkat menjemput pasukan B itu keluar di sebelah empangan sana.

       NHampir sejam lebih perjalanan naik ke Cameron Highland dengan dipandu oleh Zaem. Bunyi radio makin lama menjadi makin samar mulai hilang siaran dari radarnya dan jari tanganku tidak berhenti menukar stesen radio dari satu stesen ke satu stesen satu persatu mencari frekuensi radio. Yang selalu dapat adalah siaran Radio berbahasa Mandarin dan Tamil sahaja. Mana nak faham. 

          Keadaan bertambah sunyi apabila aku mematikan sahaja radio kerana tidak tahan bunyi deseran belarutan sahaja menyakitkan telinga. Ditambah lagi dengan keadaan jalan yang semakin gelap, makin menaik menaik dan bersimpang siur. Akhirnya seorang demi seorang mulai terlelap termasuk aku juga. Pada mulanya aku tidak mahu tidur tetapi lama kelamaan mata aku semakin berat dan aku terlelap jua kemudiannya. Sesekali aku terkejut apabila Zaem menekan brek secara mengejut dan ketika badan jadi menyenget ke kanan atau kiri sekiranya melalui selekoh yang tajam. Tidur-tidur ayam jela kami ni.
 
           Kami tiba di perkarangan Masjid Lojing pada pukul 2.30 pagi dan kawasan parkingnya sudah pun dipenuhi dengan ramai para pendaki yang datang dari serata tempat. Kami memilih parking di kawasan yang berdekatan dengan gazebo kerana memudahkan untuk kami berkemas, bersiap dan mengatur kembali barang masing-masing. Seorang demi seorang mula menukar pakaian hiking masing- masing. Aku lebih selesa memakai seluar tight' dan seluar pendek bagi memudahkan pergerakkan dan mengelakkan mudah sejuk. 

             Kesejukan tanah tinggi Caemron mula 'terasa dan mencengkam rasa badan masing-masing, apatah lagi hujan di lewat petang tadi pasti membuatkan suhu persekitaran menurun pada kadar lebih rendah lagi. Apa yang agak merisaukan aku kini adalah bagaimana rupa keadaan treknya nanti, adakah kering atau becak, berlumpur atau basah. Bergerak di atas permukaan trek yang basah nanti akan melambatkan pergerakan masing-masing nanti. Semoga perjalanan ini nanti berjalan dengan lancar. Tambahan lagi, ekspedisi kali ini adalah kali pertama aku menyarungkan kasut dimana sebelum ini aku lebih suka menyarungkan sandal sahaja.


7.0 POWIL: Masa Sejenis Emas

           Selepas mengemas, kami tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk menunggu kenderaan pacuan empat roda atau lebih dikenali dengan nama 'powil' dikalangan masyarakat hikers sekaliannya. Ketibaan awal dua buah powil yang sudah pun sedia menanti di perkarangan parking masjid pada masa yang dijanjikan dapat memastikan perjalanan kami nanti bakal berjalan dengan. Berdasarkan beberapa pengalaman yang aku rasai sebelum ini, servis powil selalu akan tiba agak lambat daripada masa yang dijanjikan atau tempahan. Ini telah membuatkan 'timing' agak lari kerana kami akan bermula lebih lambat. Seramai hampir lima belas orang di sumbat masuk ke belakang powil tersebut bersama-sama beg masing masing. Dalam keadaan yang agak sempit, terpaksa pula berhimpit diantara satu sama lain. Turut sama menaiki powil bersama kami adalah sekumpulan pendaki yang juga akan menaiki Gunung Yong Belar sahaja sebentar nanti. Tindakan pemilik powil yang berbuat demikian sudah kami dapat jangkakan dari awal dan ada juga rasa tidak puas hati diluahkan kerana kami telah menempah sebuah powil yang hanya untuk kami naiki bertujuan untuk keselesaan kami. Nampak sangat perbuatan pemilik kenderaan terbabit seolah-olah mengambil untung tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan. Kerana tidak ingin menjadikan sebarang isu yang bakal melambatkan perjalanan, kami tetap menaiki powil terbabit; pantang berundur sebelum ajal.

          Powil kami mula meninggalkan perkarangan parking Masjid Lojing pada pukul 3.30 pagi dan sebenarnya satu jam lebih awal daripada tentatif yang aku cadangkan sebelum ini. Pengalaman menaiki powil menuju ke kawasan kebun atau pintu rimba kaki Gunung Yong Belar bukanlah suatu pengalaman yang begitu indah dapat dikongsikan. Dalam keadaan yang terpaksa berdiri lama dan pada masa yang sama dalam keadaan yang sangat sempit sekali. Ada masanya kami terpaksa berpaut pada pinggang, bahu atau mencapai mana-mana tangan rakan-rakan yang berada disebelah masing-masing sekiranya powil yang sedang bergerak melanggar lubang, melalui permukaan tanah yang curam dan tidak rata, membuat pusingan di kawasan selekoh yang amat tajam, menekan brek secara mengejut atau mengelak dari terkena batu batuan besar di tengah jalan. Paling malang dan teruk sekali rasanya jika anda yang berdiri duduk dihadapan sekali dari atas powil. Ini kerana anda perlu berusaha mengelakkan dari terkena ranting-ranting dan dahan pokok-pokok yang rendang dari terkena.


      Apatah lagi, didalam waktu cuaca yang gelap-gelita, segala rintangan dan halangan dari depan tidak dapat dilihat sama sekali. Jika lambat mengelak, alamatnya habis semuanya kena sapu dek ranting-ranting tersebut. Bagaimanapun situasi memang menjadi agak panik panik tetapi amat menghiburkan malah membuatkan kami bergelak tawa sakan. Tambahan lagi, kami tak penat berceloteh dengan masing masing sibuk berborak antara satu sama lain yang tak berhenti-henti bercakap dari mula naik powil sehingga sampai ke pintu rimba atau Kem Kebun membuatkan perjalanan yang memakan masa selama hampir sejam itu terasa amat cepat berlalu dan kami akhirnya tiba sampai ke destinasi seterusnya iaitu Kem Kebun menghampiri pada pukul empat pagi.


8.0 KEM KEBUN/PINTU RIMBA: Misi Bermula

          Setibanya di pintu rimba atau Kem Kebun kami berkumpul di suatu kawasan dekat kebun sayuran itu bersama-sama sekali lagi sebelum memulakan perjalanan kami. Sesi memanaskan badan dengan beberapa senaman ringan dan taklimat ringkas diberikan oleh aku; peringatan tentang keselamatan mesti diutamakan dan kata-kata semangat semoga berjaya melaksanakan sebuah misi agung ini. Aku tidak mahu berucap terlalu panjang kerana rasanya sudah terlalu banyak huraian dan penjelasan serta tip-tips yg diberi didalam group whasap sebelum ini dan aku sebenarnya tak reti nak bersyarah-syarah depan orang ramai.

          Tepat jam 4.30 pagi, kami bergerak dari Kem Kebun untuk masuk berjalan ke pintu rimba iaitu pintu masuk ke trek menuju ke Gunung Yong Belar. Dengan ucapan Bismillah dan doa yang telah diaminkan sebelumnya, kami memulakan langkah masing-masing memulakan langkah pertama dan seterusnya dalam misi menamatkan ekspedisi ini. Maka bermulalah perjalanan ekspedisi Trans Titiwangsa V1 untuk kali ketiga bagi aku dengan berbekalkan sebuah misi mencipta rekod 15 jam dan ingin memecahkan rekod sendiri iaitu 17 jam 44 minit sebelum ini yg telah dilakukan pada Oktober (2017) tahun lepas.

       Seorang demi seorang mula menjengah masuk ke pintu rimba diketuai oleh aku yang memimpin kesebelasan barisan pendaki. Bagi aku mereka sangat padu dan mampu melakukannya. Latar belakang masing-masing tidak dapat dipersoalkan lagi. Tetapi aku turut berpesan pada mereka yang V1 ini bukan calang-calang ekspedisi. Baru beberapa langkah, aku mula merasa sudah bosan, semua line up berdiam diri dan mungkin belum ada mood untuk berborak atau tengah mencari 'pace' masing-masing. Aku memasang lagu dari mp3 dalam telefon dan menyambungkan suaranya di speaker JBL aku. Lagu-lagu rock kapak menjadi pilihan aku itu mula berkumandang dan memecahkan kesunyian keadaan hutan sekeliling. Baru layan perasaan dengar lagu-lagu macam ni. 

        Ini adalah salah satu cara bagi aku menghilangkan ke'pewai'aan dan mengurangkan rasa kepenatan semasa mendaki. Cahaya lampu kepala masing-masing menyuluh didepan berganti-ganti antara satu sama lain, cuma yang berbeza sama ada punyai warna yang terang atau kekuatan sinarnya menerangi. Sebagai ketua barisan hadapan yang mengetuai ekspedisi ini, aku sesekali akan berpaling melihat 'line up' yang lain di belakang, bagi memeriksa jarak masing-masing. Yang pasti aku perlu memastikan yang barisan Team A harus tidak berpecah atau berjarak jauh.



9.0 KEM TUDUNG PERIUK: Checkpoint Pertama

         
(Ni gambar contoh kemsite je, sebenarnya sampai sini gelap)



          Perjalanan yang bermula ni agak santai aku rasakan. Namun semakin lama kami bergerak semakin laju sedikit demi sedikit. Mungkin semua sudah mula mendapatkan rentak masing-masing dan badan sudah mulai panas kut. Aku yang mengetuai kumpulan yang akan bertindak memperlahankan sedikit pergerakan sekiranya aku merasakan pace kami semakin laju dan ada ahli yang agak jauh jaraknya. Dengan waktu yang gelap saat ini, sebenarnya pergerakkan kami tidaklah laju manapun, ditambah lagi dengan kabus yang tebal menghadkan penglihatan kami. Cahaya lampu kepala yang dipakai pula agak terhad suluhan cahayanya

          Perasaan aku sebagai leader atau ketua yang berada di barisan dihadapan hanya aku saja yang merasai keperitan dan kesengsaraannya apabila menjadi orang pertama yang akan tergelincir masuk ke dalam lumpur terlebih dahulu, kena sarang labah-labah di muka, terlanggar tunggul atau ranting kayu, tersepak batu terkena jari kaki atau terperosok masuk ke dalam lubang tanah. Apatah lagi,keadaan trek yang semakin becak, lecah dan basah membuatkan aku bertambah sukar melangkah malah menjadikan pergerakan aku menjadi kian perlahan rentaknya. Apa awalnya aku cuba tidak mahu mengotorkan kasut yang dipakai. Maklumlah pertama kali pakai kasut sebegini buat mendaki. Konon-konon nak jagalah. Tapi bila dah kaki masuk dalam lumpur tu, ternyata usaha aku jadi sia-sia belaka.

Tahap penglihatan pula menjadi agak terhad apabila kabus yang sedikit tadi menjadi semakin tebal. Sebagai orang paling depan, aku perlu menyuluh cahaya mencari trek dan memijak di kawasan yang selamat dan kering supaya line up dibelakang turut sama mengikuti aku. Entah berapa kali sudah kaki aku terperosok masuk ke dalam lumpur. Ada masanya selut dapat mencecah hingga ke paras betis dan adakalanya aku tergelincir bila berjalan di atas kayu yang sangat licin dan basah walaupun telah berhati-hati.

         Payah benar aku rasa kalau beraktiviti pada waktu malam macam ni. Sepatutnya aku bawa lampu suluh ysng lain untuk digunakan menyuluh kaki yang sedang memijak trek dan lampu kepala pada masa yang sama dapat digunakan untuk melihat trek dihadapan. Aku siap berhenti untuk memeriksa headlamp aku dan turut menukar baterinya kerana cahaya kian malap. Padahal sekarang kami diliputi oleh kabus yang makin tebal. Haishh, tak sabar aku menanti hari siang. Cepatlah matahari kau muncul.

           Kami dah mula berjarak jauh sedikit demi sedikit dengan Team B. Dah banyak juga puncak tipu yang kami lalui ini. Boleh tahan mental jugak nak dilayankan. Bagi mereka yang perlahan bila mendaki trek menaik, membuatkan jarak kami sedikit berjauhan tetapi masih tidak terlalu ketara kerana aku masih dapat mendengar suara mereka di belakang sedang bercakap-cakap atau memanggil-manggil. Walau bagaimanapun dua kumpulan ini sudah berpecah , kami tidak perlu risau. Kami juga tidak perlu nak menunggu mereka untuk ber'regroup' di mana-mana checkpoint atau kem sekalipun kerana setiap kumpulan hanya akan bertanggungjawab pada kumpulan masing-masing

Selepas berjalan tanpa henti selama 45 minit, Akhirnya kami (Team A) tiba di checkpoint yang pertama iaitu di Kem Tudung Periuk. Lima minit kemudian, line up Team B mula tiba seorang demi seorang. Setibanya mereka disitu, kami menyambung kembali perjalanan untuk bergerak menuju ke Kemsite seterusnya iaitu Kem Kasut. Aku tidak ingin melengahkan masa kerana telah bercadang untuk berhenti bersolat subuh di sana nanti. Dijangkakan kami akan tiba disana lebih awal sedikit dari tentatif kerana hari akan mula siang dan trek akan nampak lebih jelas. Sekarang jam baru menunjukkan pukul 5.24 pagi sewaktu kami beredar dari Kem Tudung Periuk itu.

           Setibanya di Kem Tudung Periuk, terdapat beberapa khemah beserta fly dan ground yang sudah siap terpasang. Bagaimanapun, tiada seorang pun manusia yang dapat kami temui sedang berada di situ. Mungkin ke semua penghuninya sedang mendaki menuju ke puncak Yong Belae agaknya. Mungkin nanti kami akan terserempak dengan mereka sebentar lagi ditengah-tengah jalan.


10) KEM KASUT: Sinaran


     
Kasut ni kat Kem Kasut
          


         Perjalanan seterusnya seperti biasa agak sahaja berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Kami berlima masih belum berpecah dan 'pace' masing-masing masih teratur dan seirama bak lagu lagi. Cahaya matahari terbit dari ufuk timur mula menjelma naik dan menerangi kaki langit. Semakin lama suasana menjadi semakin terang dan hari pun mulai cerah menerangi alam. Jarak penglihatan yang terhad disebabkan oleh waktu yang gelap malam mulai bertukar cerah kini. Pokok- pokok di kiri kanan dan keadaan trek mulai dapat dilihat jelas dengan mata kasar. Kabus yang hadir tadi seolah-olah hilang lari disebalik gunung-ganang. Walaupun trek becak tapi kami masih mampu berjalan tanpa masalah. Keadaan trek selepas Kem Tudung Periuk menuju ke Kem Kasut agak mudah berbanding trek dari pintu rimba ke Kem Kasut tadi. Treknya banyak landai dan luas, namun ada beberapa ketika terdapat kawasan yang perlu juga didaki.

          Kami terlebih dahulu melalui suatu simpang yang mana akan menuju ke Kem Pelaur. Namun kami tidak bercadang untuk singgah kesana walaupun aku belum pernah tiba ke sana. Lagipun tiada dalam tentatif untuk ke sana. Kami tak mahu bazir masa. Ekspedisi ini adalah ingin mengejar masa selaju mungkin. Dalam keadaan ingin membuat masa ini, kami harus berdisiplin tentang masa. Target masa adalah ingin tiba ke puncak Yong Belar dalam masa tiga jam atau kurang daripada itu. Target masa tersebut adalah agak 'standard' bagi aku selepas mengambil kira semua aspek dari segi line up, trek dan lain-lain. Bagaimanapun, kadar masa tersebut bukanlah masa yang paling laju pernah aku buat setakat ini. 

         Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Aku juga tidak mahu terlalu "push" terlalu awal kerana perjalanan baru sahaja bermula. Agak hairan aku melihat perangai sesetengah pendaki yang ramai aku lihat bila membuat eskpedisi pendakian ke gunung-gunung yang ekstrem, hardcore dan pajang treknya (Aku mengklasifikasikan sesuatu gunung trek melebihi 30km adalah sangat hardcore dan susah) akan bermula dengan sangat laju, kalau trek tersebut landai mereka akan berlari. Bagi aku cukup berjalan pantas (fast walk). Ini boleh menyumbang kepada kes-kes cepat 'cramp' dan pancit awal. Bukan mereka sahaja yang mengalaminya walhal aku sendiri pun pernah merasainya. Silap tuan badan sendiri juga.

         Perjalanan eskpedisi ini sangat panjang dan ekstrem. Ini amat memerlukan mereka-mereka yang berjiwa kental, bersemangat padu dan mental yang jitu untuk menghabiskan keseluruhan jarak perjalanan hampir 40 kilometer. Anda semua amat memerlukan kerahan tenaga yang banyak dan mengunakan stamina yang tinggi. Perlu diingatkan ekspedisi ini perlu melalui kesemua empat Gunung Junction, Gunung Gayong dan Gunung Korbu yang kesemuanya berketinggian lebih dua ribu meter dari paras laut. Itu belum ditambah dengan puncak tipu yang tak terkira serta anak-anak bukitnya.

        Delapan minit sebelum pukul tujuh pagi kami tiba di Kem Kasut. Fahmi agak ketinggalan beberapa minit dari kami berempat. Rupanya kecederaan lututnya masih belum pulih katanya. Mula terdetik rasa kerisauan dalam hati aku. Aku tidak mahu terlalu berfikir. Perjalanan masih sangat jauh dan baru sahaja bermula. Aku menjarakkan diri sedikit dari tengah-tengah kawasan berhimpunnya ramai orang untuk menunaikan solat Subuh. Semasa perjalanan ke Kem Kasut ini, kami mula berjumpa dengan satu kumpulan pendaki yang mana merekalah yang berkhemah di Kem Tudung Periuk tadi. Agak ramai bilangan mereka dan rata-ratanya mereka sudah yang berusia dan berumur dalam lingkungan 40 tahun ke atas. Plastik sampah yang selalu dibawa dijadikan sejadah. Betapa sejukknya tanah apabila tapak tangan dan dahi menyentuh lantai bumi ini. Kerdil terasa diri ditengah-tengah hutan sebegini terasa.

 

11.0 PUNCAK YONG BELAR: Puncak Pertama/Last Regroup

      

YOGI

AUZ

FAHMI

ZAEM

PENULIS




          Merentasi jalur pergunungan di Banjaran Titiwangsa bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Perjalanan menuju ke puncak pula terasa semakin sukar dari masa ke semasa. Makin jauh berjalan makin banyak tenaga digunakan. Keadaan trek yang semakin meninggi dan mencanak naik sedikit demi sedikit mula melambatkan pendakian kami. Bertambah sukar apabila tanah dan permukaam trek menjadi semakin becak dan lembap. Beberapa kali aku telah tergelincir kerana memijak tanah atau kayu berlumut yang begitu licin. Jika silap memijak terus aku dan yang lain boleh jatuh tergelincir ke dalam gaung yang ada di setiap tepi di kiri kanan kami berada ketika itu, maklumlah ada ketikanya kami hanya melalui kawasan permatang gunung yang sangat sempit sahaja. Dari sebelah kanan pula, semasa mendaki, kami seharusnya sudah bisa melihat permandangan gunung-ganang jauh dan luas terbentang, walau bagaimanapun, kabus yang masih tebal disekitarnya telah menutup segala ruang permandangan yang ada. Sesekali aku cuba lihat di celah-celah pokok, mana tahu nasib hari ni dapat melihat matahari terbit kali ni. Cuaca dah siang, cerah tetapi diselaputi awan dan kabus tebal. Kadang-kadang angin yang datang lalu seketika membuatkan bulu roma tegang kerana menahan kesejukkan yang teramat. Maklumlah, baju yang di pakai sangat nipis dan hanya dipakai buat menyerap peluh dan melindungi badan. Sampai sekarang aku tak boleh hadam macam mana si zaem tu boleh fikir nak pakai baju tak ada lengan tu. Alih-alih nak sampai puncak terpaksa dia sarungkan baju kemeja sebab tak tahan sejuk.

         Apabila kami tiba di puncak Yong Belar, kabus pula silih berganti datang sama ada dari bawah atau atas gunung sehingga datang menyapu hingga terasa ke pipi masing-masing dinginnya. Akhirnya, selepas tiga jam berhempas pulas meredahi lumpur, selut dan kabus, akhirnya kami sampai juga di Puncak Yong Belar yang merupakan gunung pertama kami dapat tawan setakat ini. Fahmi pula tiba beberapa minit kemudian seorang dirinya. Ya, beliau agak jauh tertinggal dari kami. Kecederaan lututnya berulang kembali. Namun aku tidak pasti seteruk mana kecederaan yang dialaminya.

       Kami berehat sambil menjamah makanan yang dibawa untuk mengalas perut serta makan pagi. Sejak bertolak dari Simpang Pulai hingga sekarang, kami tidak menjamah apa-apa makanan lagi. Aku masih tidak merasa terlalu lapar dan hanya makan beberapa biji asam buah kering yang dibawa untuk menambah kembali sedikit tenaga. Aku hanya berkira-kira untuk makan tengahari di Kem H20 ataupun makan tengahari di puncak Gunung Junction sahaja nanti

        Kabus tebal menutupi segala ruang permandangan yang ada. Semua gambar yang diambil berlatar belakangkan kabus sahaja. Aku sedikit khuatir jika cuaca hujan nanti dan terus berlarutan, mungkin mencacatkan perjalanan kami dan melambatkan masa untuk ditamatkan. Dua ekspedisi yang dilakukan sebelumnya ini ternyata cuaca berpihak kepada kami tanpa sebarang hujan atau ribut melanda. Beberapa hari sebelum ekspedisi, aku telah melihat ramalan cuaca yang melaporkan cuaca mendung dan bakal hujan serta ribur petir di sesetengah masa khususnya nanti. Risau juga sekiranya hujan, aku hanya membawa plastik sampah untuk melindungi diri dari basah dan sejuk.

       Di puncak Gunung Yong Belar adalah tempat terakhir kami berlima dapat berkumpul sekalian bersama-sama, selepas ini kami semua akan mula berpecah seorang demi seorang mengikut pace masing-masing dan mulalah dilanda kecederaan. Team B masih jauh dibelakang lagi. Hampir hilang terus jejak mereka dari kami.


12.0 KEM KUALI: Helipap Pertama


       



         Tepat jam delapan pagi, dikala pagi sudah pun cerah tetapi matahari masih segan untuk memunculkan dirinya kenara berselindung di sebalik kabus yang tebal, kami pun berangkat meneruskan kembali perjalanan yang masih berbaki panjang. Kini, gunung seterusnya yang akan kami tujui adalah Gunung Junction. Kami menjangkakan akan tiba di puncaknya waktu tengahari, itupun jika cuaca masih kekal elok dan baik-baik sahaja nanti.

        Team B masih belum tiba lagi sewaktu kami bergerak pergi dari puncak Gunung Yong Belar. Mereka mungkin sudah tidak jauh dari belakang kami. Agak lama jugak kami berehat tadi. Suasana agak sunyi dan hanya kedengaran lagu-lagu rock kapak berkundang dari 'speaker' milik aku memecah kesunyian alam sekeliling. Masing-masing hampir tidak bersuara langsung sepanjang trek, mungkin sedang menjaga nafas. Aku pun seolah-olah macam tak ada mood nak bersembang. Sesekali dua bunyi dengusan masing-masing menghela nafas kedengaran atau bunyi ranting-ranting kayu yang patah apabila dipijak atau bunyi pokok atau ranting yang bergoyang apabila terlanggar beg atau dipegang oleh kami.

           Simpang menuju ke Kem Kuali adalah checkpoint yang pertama selepas turun dari puncak Gunung Yong Belar akan kami tujui dan terletak hanyalah beberapa ratus meter dari puncak Yong Belar. Simpangnya agak mengelirukan dimana para pendaki perlu berpatah balik sedikit dari puncak dan perlu bergerak mengambil (mencari) jalan trek dari sebelah kiri puncak pula. Treknya agak kabur dan perlu diperhatikan dengan teliti. Pendaki perlu fokus dan pandai membezakan trek yang selalu dilalui melalui kesan-kesan laluan ataupun tapak kasut jika masih wujud. Jika tersasar atau tersilap simpang itu, anda mungkin mengambil jalan masuk dari trek sebelah kiri dari atas puncak atau masuk semula ke jalan dan berpatah balik turun kembali keluar ke Kem Kebun atau kemsite terdekat iaitu Kem Kasut. Simpang kanan dari puncak pula akan membawa anda menuju ke Kem Gurkha-Gunung Charlie-Puncak 6040 dan seterusnya ke puncak Gunung Sempadan Tiga Negeri atau lebih dikenali dengan nama trans Three State Boundaries/YB3B (Yong Belar Three Boundaries, banyak betul nama beliau) dan akhir berakhir di Blue Valley Dam. Kes tersesat masuk ke laluan tersebut boleh dikatakan hampir setiap tahun terjadi. Sekiranya merasa ragu-ragu atau kurang pasti sepatutnya para pendaki mesti terlebih dahulu menunggu untuk 'regroup' dengan ahli pasukan lain tiba terlebih dahulu dan barulah kembali berjalan sama untuk mengelakkan kes sesat.

         Perjalanan ke Kem Kuali pula tidak perlu menggunakan banyak tenaga kerana treknya hanya menurun sahaja tetapi harus lebih berhati-hati kerana kadar kecuraman menurunnya agak tinggi hingga ada sesetengah tempat bercerum dalam 75-90 darjah. Treknya pula sangat licin dan lembap, perlu lebih berjaga-jaga kerana banyak melalui kawasan berakar dan di penuhi dengan lumut-lumut atau mossy. Elakkan berpijak pada batang kayu kerana risiko tergelincir amat tinggi. Selepas sepuluh minit lebih, kami sampai ke kemsite tersebut. Beberapa meter dari Kem Kuala terdapat satu kawsan yang agak luas dan lapang kebiasaannya dipanggil Kem Helipap. Tempat tersebut dinamai Kem Helipap kerana tempat tersebut menjadi tapak perkhemahan sementara oleh jabatan hutan semasa mereka membuat kerja memasang simen dan mengukur sempadan.

         Apa yang menariknya, perjalanan dari Puncak Gunung Yong Belar ke Kem H20 nanti, para pendaki bakal berjumpa sejumlah banyak batu sempadan berbentuk empat segi yang bersemin ataupun batang paip besi di sepanjang trek. Sekiranya tersalah atau tersasar trek, pendaki boleh berusaha kembali mencari trek asal dan jika terjumpa batu sempadan, bermakna anda berada di laluan yang betul.

          Kami berlima hanya lalu kawasan tersebut dan bercadang tidak mahu berehat panjang. Tambahan lagi, ketibaan kami disambut dengan deruan angin yang sangat kuat bertiup kuat membuatkan kami makin kesejukkan. Kedengaran bunyi air terjun di tepi trek bersilih ganti dengan bunyi deruan angin. Kami tidak berhenti untuk mengisi air kerana jumlah air masih cukup dalam simpanan manakala stok air aku masih tidak luak sedikit pun. Sepanjang perjalanan hingga kini, aku hanya minum air seteguk dua sahaja. Cuaca yang sejuk dan pendakian yang masih santai aku rasakan ini belum membuatkan aku kehausan dan dahaga yang teramatnya. Aku mengingatkan kembali mereka berempat bila tiba di Kem H20 nanti kami kami boleh mengisi kemai stok air kami.


13.0 PUNCAK H20: Dilema Kecederaan      

        Kami target untuk sampai ke Kem H20 sekurang-kurangnya sebelum pukul sebelas pagi atau paling lewat pun pada pukul 12 tengahari. Berpandukan pada log masa sebelumnya, aku yakin yang kami mampu tiba di kem H20 pada masa yang lebih awal daripada itu. Pergerakan kami kali ni masih terlalu santai aku rasakan, kami hanya 'fast walk' dan kadang-kadang akan berlari-lari anak sekiranya trek menurun dan landai. Aku tidak mahu jarak kami terlalu jauh antara satu sama lain. Sebagai ketua atau orang paling hadapan, aku harus memastikan pergerakkan mereka di belakang perlu serentak dan aku pula tidak boleh terlalu laju atau terlalu perlahan bergerak. Jika terlalu laju, line up mungkin tertinggal jauh dan sekiranya terlalu perlahan pula, nanti akan lari masa dari tentatif yang ditetapkan. Berkali-kali aku menoleh melihat ke belakang untuk melihat yang lain bagi memastikan jarak dan keadaan mereka yang lain tidak terlalu jauh diantara satu sama yang lain.

          Suasana hutan yang aku rasakan sangat cantik di penuhi dengan pokok yang ditumbuhi lumut-lumut di kiri dan kanan trek sepanjang perjalanan amat mempesonakan. Masih terpeliharan kecantikkan dan serinya. Kawasan ini masih lagi jarang orang masuk berbanding trek ke Gunung Yong Belar di mana kecantikkan 'mossy forest' makin terancam dan rosak dari masa ke semasa. Permandangan gunung-ganang pula boleh mulai dapat dilihat amat jelas sekali, apabila kabus mulai menghilang dari tepi trek atau celah-celah pokok.

           Kami hampir tiba ke satu batu sempadan yang agak besar daripada yang lain, yang menandakan sempadan Negeri Pahang dan Perak seperti yang tercatat dibatu tersebut. Malang menimpa si Yogi yang telah 'cramp' kedua belah kakinya membuatkan perjalanan kami terbantut seketika. Hampir 10 minit kami berhenti bagi memberi bantuan perubatan kepada Yogi supaya beliau mampu sedia pulih kembali dan dapat berjalan semula, justeru dapat menyambung kembali perjalanan ini. Aku menyapu minyak panas yang selalu menjadi senjata rahsia aku sekiranya tidak mahu cramp cepat. Kebiasaanya, aku akan menyapunya sebelum bermulanya hiking kerana setiap kali hiking aku punyai satu masalah yang mana selalunya aku akan lambat 'panas'. 

         Antara cara aku mengatasinya adalah membuat 'warm up' selama 5 ke 10 minit dahulu sebelum mulai perjalanan dan menyapu minyak panas di sekitar lutut hingga ke paras buku lali dengan harapan dapat memanaskan otot-otot kaki terlebih dahulu. Sedikit sebanyak dapat mengelakkan aku daripada pancit awal.

       Aku agak terkilan melihatkan dua orang line up aku (Fahmi dan Yogi) sudah mula dilanda kecederaan seorang demi seorang. Bertambah kecewa perasaan aku tak terkata apabila si kaki Auz turut mengalami kekejangan. Aku terpaksa memperlahankan sedikit pace aku agar kami berlima ke semuanya dapat bergerak bersama-sama.

         Aku dah mula membayangkan misi dan objektif utama untuk mencapai masa 15 jam untuk seolah-olah semakin mustahil dirasakan. Terdetik rasa dalam hati ingin saja meninggalkan mereka semua dibelakang dan aku pula terus sahaja bergerak secara solo hingga akhir penamatnya. Aku hanya berdiam diri dan cuba untuk kekal fokus, cuba melangkah ke hadapan dengan rentak yang lebih perlahan dari sebelumnya agar mereka tidak terus ditimpa kecederaan lain. Tidak mengapa kut, mungkin masih terlalu awal untuk menilai dan membuat percaturan serta menyerah kalah. Perjalanan pun masih jauh lagi nak dilalui.

        Tiba di Kem Helipap yang kedua (yang pertama dekat Kem Kuali) dimana sekiranya permandangan disitu tidak dihalangi oleh kabus, sepatutnya kami dapat melihat Gunung Korbu dan Gayong yang tersergam tinggi dari situ. Manakala setibanya di Kem Helipap Ketiga atau jsebuah puncak tipu yang agak luas dan rata, kami sekali lagi 'regroup' tapi kali ini tanpa Fahmi berada di belakang. Aku di makluman bahawa kecederaan kakinya makin melarat lantas terus memperlahankan pergerakkanya dan beliau sudah jauh tertinggal dibelakang. Sampai ke sudah beliau tidak dapat bergerak bersaing dengan kami yang makin jauh dihadapan.

         Saiz kem helipap yang ke tiga tersebut tidaklah terlalu luas tapi rasanya mampu menampung sekurangnya 15 ke 20 orang pada suatu masa sebab masa V1 pertama kalinya kami hampir 20 orang berkumpul kat atas tu. Ingat lagi aku dulu sempat melelapkan mata di bawah terik matahari semasa menunggu line up lain tiba. Pewai punya pasal. Apa yang menariknya kali ini adalah cuaca yang berkabus tadi mulai beransur cerah, si kabus-kabus mula hilang. Dengan itu, tersajilah sebuah permandangan 360 darjahnya memperlihatkan segala jenis kebun-kebun sayur, gunung ganang pelbagai bentuknya sambung-menyambung antara satu sama lain dengan membentuk unjuran Banjaran Titiwangsa.

          Dari puncak ini juga, kami boleh nampak Puncak H20 yang terletak hanya beberapa ratus meter sahaja lagi dari tempat kami berkumpul itu. Nampak begitu dekat tetapi puncak yang kelihatan itu begitu tegak meninggi (berketinggian pada paras 1651 meter) pasti tidak mudah untuk ditawani. Menang benar, sebaik bergerak dari rehat, trek untuk ke puncak H20 seperti 'roller-coaster' dengan kami kena pulun naik turun naik turun beberapa kali terlebih dahulu untuk sampai ke sana. Keadaan trek yang begitu lembap dan basah sepanjang jalan mengingatkan aku trek Gunung Semangkok, iaitu dari Kem Helipap ke puncak dimana jalan dan keadaan treknya hampir sama bentuk muka buminya (Sebelas hari selepas trip V1 ini, aku telah masuk ke Gunung Semangkok untuk kali ke lima untuk buat cacatan masa peribadi terbaik lagi).

          Aku sudah mulai terasa kepenatan sedikit demi sedikit. Aku lihat jarak antara kami satu sama lain sudah mulai jauh ketara. Dibelakang aku, hanya Zaem yang aku lihat mampu mengejar dan bergerak bersaing sama. Aku mulai merasa badan sudah panas, menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, 'sedap' dan 'layan' dengan keadaan trek seperti itu. Setiap langkah yang aku buka begitu teratur sekali dan pace aku pun agak 'maintain' dan sekata walaupun trek kian mencanak dari satu bukit ke satu bukit.

          Aku memakai kasut jenis Salomon yang baru pertama di beli dan ini adalah kali pertama aku gunakannya (atau memakai kasut semasa hiking selain kasut getah sebelum ini) untuk trip 'hardcore' seperti ini. Komentar; aku berasa amat selesa dan sangat sesuai dengan kaki aku yang menyarungkannya. Terasa pergerakkan seolah-olah diawangan. Tipulah kalau tak rasa sedikit padu bila kasut berjenama seperti ini tersarung dikaki sendiri.

        Kami sampai di puncak H20 sebelum pukul sepuluh pagi. Kami tak berhenti rehat disitu kerana telah sepakat hanya akan berhenti berehat di Kem H20 yang mempunyai anak sungainya nanti.


14.0 KEM H20: Nota

        Dari puncak H20, kami berempat serentak bergerak turun ke Kem H20 bersama-sama dan pada masa yang sama juga aku menunjukkan kepada mereka bertiga sebuah puncak yang sangat tinggi jauh dihadapan iaitu gunung kedua bakal dan akan kami tujui nanti iaitu Gunung Junction. Luahan rasa terkejut yang aku sudah agak dari mulut masing-masing kedengaran. Agaknya mereka tengah membayangkan penderitaan yang bakal mereka lalui nanti, betapa tingginya perjalanan yang harus di daki dan ditempuhi nanti untuk ke Gunung Junction. Nun jauh tingginya sayup jauh puncak nak diredahi.

          Beberapa kali aku mengingatkan sejak dari awal lagi bahawa perjalanan menuju ke Gunung Junction akan memberikan suatu pengalaman pendakian yang paling susah dan paling mencabar di dalam mana-mana laluan Trans Titiwangsa V1 terutamanya. Kerana itu aku memberitahu mereka yang kami akan mengambil masa untuk berehat lebih lama di Kem H20 nanti demi mengumpul kembali tenaga masing-masing dan akan mula menjamah makanan dan minumam masing-masing.

          Kami berempat tiba di Kem H20 pada jam 10.07 pagi tanpa kehadiran Fahmi. Perjalanan yang hanya menurun dari puncak H20 amat mudah sekali walaapun ada ketikanya agak licin dan curam. Kem H20 adalah sebuah kawasan yang agak luas dan selesa untuk di duduki bermalam dan berehat oleh para pendaki. Ianya adalah last waterpoint yang terakhir untuk kami menambahkan kembali stok air minuman kami. Waterpoint yang terdekat hanyalah selepas turun dari Gunung Korbu sahaja, itupun perlu melalui Gunung Gayong, kemudian Bukit Botak dan Chuban terlebih dahulu. Walaupun airnya berwarna agak kekuningan tapi amat di yakini selamat untuk di minum. 

        Masih terbayang-bayang nikmat dan kesegaran rasa air tersebut semasa diminum. Dengan kedudukannya yang sangat jauh di dalam hutan dara yang tebal ini, pasti akan membuat kita terfikir dari mana datangnya punca air sebesar-besar itu dari tengah hutan belantara ini. Kami bernasib baik kerana jumlah air di situ boleh dikatakan agak besar, siap boleh mandi dan basuh kasut serta pakaian. Mungkin kerana musim hujan yang telah turun beberapa hari sebelum ini membuatkan warna sungai tersebut lagi kuning dari sebelum dan membawa jumlah air lagi besar jumlahnya sama ada dari atas ataupun jauh dari dasar tanah. 

          Aku hanya menambah air di dalam botol air minuman yang hampir kembali kosong dengan dibubuh beberapa biji asam boi bagi menghilangkan rasa payau air sungai tersebut. Larutan asam boi mampu menghadirkan rasa masam masam manis lantas menyegarkan badan sama sekali.

         Kami mengalas perut dan sambil menjamah makanan masing-masing. Sekali lagi aku memberi penerangan ringkas tentang perjalanan dan pergerakan yang bakal kami lalui seterusnya nanti. Aku meluahkan rasa agak berpuas hati kerana kami mampu tiba di Kem H20 dua jam lebih awal daripada tentatif asal. Aku memaklumkan bahawa kami masih berpotensi tinggi untuk mencapai prospek dalam mencatatkan masa di seminimum 15 jam jika mampu mengekalkan prestasi seperti ini.

          Fahmi pula aku rasa sudah jauh ketinggalan di belakang. Mungkin beliau telah bersama-sama dengan Team B hendaknya. Aku titipkan sebuah nota kecil menggunakan sehelai kertas yang mana wajib akan aku bawa (jika aku pergi ke suatu trip compress yang panjang, aku pasti akan membawa sebatang pen dan beberapa helai kertas, bertujuan untuk digunakan diwaktu kecemasan) dan ditampalkannya di sebuah pokok yang tergantungnya signboard bertulis Kem H20 dengan meninggalkan pesanan berbunyi ''Kami jalan terlebih dulu''. 

          Kami berempat pada mulanya bertikam lidah juga dengan perbezaan pendapat masing-masing di manakah mahu meletakkan kertas tersebut supaya senang dan mudah dilihat. Ada yang suruh letak atas tanahlah, atas batulah dan lain-lain idea yang ada. Akhirnya kami bersetuju untuk meletakkannya disebatang pokok tersebut, mudah nampak dan dilihat oleh sesiapa yang tiba di situ nanti.

         Selepas hampir setengah jam berehat, kami berkemas dan mula mengorak langkah kembali untuk ke puncak seterusnya.

      

15.0 GUNUNG JUNCTION: Last Regroup

        







        Aku masih mendahului line up aku (Team A) diikuti oleh Zaem, kemudian Yogi dan Auz di belakang sekali. Perjalanan yang bakal dilalui akan lebih menguji tahap mental serta fizikal masing-masing. Dari Kem H20 sehinggalah berjalan melintasi sungai, trek pada mulanya agak mudah sekali; landai tapi berbatu, tidak menjadi masalah kepada kami. Sehinggalah kami melalui kawasan air terjun di mana dari situ kami terpaksa melalui trek yang berbatu sangat curam dan berbahaya. 

         Walaupun sudah terpasang siap dengan tali, namun seolah-olah kudrat tenaga yang dikerah tidak membantu langsung untuk membawa aku naik ke batu tersebut. Tersangat tinggi kecerunannya dan aku perlu berpaut sekuatnya pada tali, kemudian dengan sekaligus menolak dan menginjakkan badan naik ke batu tersebut. Bagi kami yang tidak punyai banyak perkakas barang untuk di bawa, beban tidak menjadi masalah kepada kami. Tetapi bagaimana pula mereka yang membuat ekpedisi yang lebih lama secara 'camping' di mana pasti memikul beg yang sangat berat muatan pasti terkandung pelbagai barangan; makanan, minuman serta peralatan camping yang lain. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana nak melepasi batu-batu tersebut dengan sendirinya, pasti perlukan bantuan orang di hadapan untuk ditarik dari atas atau ditolak dari bawah semata-mata untuk melepasi naik ke atas.

        Perbezaan flora yang tumbuh mengikut perubahan paras ketinggian dapat dilihat dengan jelas sekali apabila keadaan trek mula berubah ke persekitaran yang lebih mossy atau berlumut. Perjalanan yang begitu panjang serta semakin memacak naik seolah-olah tiada penghujungnya. Aku mula bergerak semakin perlahan tapi masih lagi tidak mahu berhenti berehat semenjak bertolak dari Kem H20. Kalau berhenti pun hanya melepas nafas dua tiga saat atau apabila kaki terlampau sakit sebentar. Jarang-jarang sekali aku akan berhenti untuk 'take five' selagi tidak sampai ke checkpoint yang ditujui. Aku terlalu mahu menjaga masa. 

        Demi sebuah masa (cacatan). Aku tidak mahu membazir masa walaupun sesaat dua. Ini adalah suatu sikap disiplin yang aku sudah semat elok dalam diri. Aku amat bertegas dalam konsep mematuhi masa. Lambat akan menyusahkan semua orang. Semua orang benci lambat. Bila lambat semua kerja tak jadi.

        Yogi dan Auz sedikit demi sedikit jauh aku tinggalkan. Suara mereka sudah tiada lagi kedengaran. Tiada jawapan balas apabila aku memanggil (Hoi, Yuhuu, Woi & etc") Hanya Zaem sahaja setakat ini setia mengikuti aku dibelakang. Sesekali aku menoleh ke belakang, ingin juga melihat sejauh mana jarak beliau dengan aku berada. Ini cerita tak tahu kelakar atau tak. Ada satu ketika tu Si Zaem terjatuh, aku kira mungkin tersadung oleh akar semasa dibelakang aku. Waktu dia jatuh tu aku tertoleh tapi beliau tak perasan yang aku sedang tengok keadaah jatuhnya dengan gaya tersembam ke tanah. Di sebabkan cara jatuhnya yang sangat kelakar itu, aku tersenyum simpul, terus hati aku berbunga riang menahan perasaan. 

        Aku terus berpura-pura tidak nampak dan meneruskan perjalanan. Betul-betul menceriakan kejap mood aku masa tu. Terus hilang kejap rasa pewai tu dan lama kelamaan bayang Zaem mulai hilang dari pandangan aku dari belakang. Mungkin sebab jatuh tadi tu buat dia makin perlahan.

         Keadaan trek semakin landai dan menjadi lebih mudah dari tadi. Aku mula melalui kawasan permatang yang bakal menuju ke puncak Gunung Junction. Bermula dari Kem H20 yang berada pada ketinggian 1400 meter lebih dari paras laut, kami perlu mendaki dengan menaik ke Gunung Junction yang berketinggian 2088 meter dari paras laut dengan jarak berjumlah hampir empat kilometer. 

          Aku masih mampu mengekalkan rentak pendakian ini. Rasa berdenyut di urat lutut kanan mulai terasa kesakitannya. Makin terasa apabila melalui trek yang agak menurun, seolah-olah kena cucuk dengan jarum yang tajam setiap kali aku memijak tanah. Apabila mendaki atau menaik, kakiku tidak menunjukkan rasa sakit seperti itu. 

        Aku cuba untuk tidak terlalu memaksa bergerak dan lebih berhati-hati semasa memijak kerana tidak mahu tersilap ' step' atau langkahku dan tidak tersalah memijak. Jika salah berpijak pada tanah atau sesuatu tempat aku mungkin boleh tercedera atau memudaratkan lagi kecederaan yang belum pulih sediakala ini. Lagi-lagi kalau aku salah dan tergelincir. Trek pula semakin lembut tanahnya dan ada beberapa tempat perlu berhati-hati kerana ada yang berlubang dan jika tersilap kaki boleh terperosok masuk ke dalamnya. Suatu kerja pulak nak angkut kaki keluar nanti.

        Sebenarnya, aku amat menyukai trek menuju ke Gunung Junction ini. Mungkin disebabkan oleh treknya yang begitu pacak benar-benar menguji kekuatan fizikal aku. Di laluan seperti inilah aku dapat menguji kebolehan dan keberkesanan latihan menaiki tangga di tempat kerja setiap hari sama ada membantu aku atau tidak. Berbaloi jugaklah hasilnya hari-hari panjat tangga sampai tingkat empat tanpa menggunakan lif selama ini.

        Mental sekali lagi teruji apabila semakin banyak puncak tipu yang harus dilalui. Walaubagaimanapun jumlah puncak tipu yang harus di lalui tidak sebanyak puncak tipu yang bakal dilalui apabila ke Gunung Gayong dan Gunung Korbu nanti. Disebabkan terlalu banyak puncak tipu tersebut, aku sudah tidak dapat mengagak berapa jauh lagi jarak untuk sampai ke Gunung Junction. Ianya amat menguji kesabaran anda apabila anda rasakan sudah dekat untuk sampai dan terpaksa mendaki setiap kalinya tetapi apabila tiba di situ anda hanya sampai di puncak tipu dan sebaik sampai di situ juga anda perlu bergerak menuruni ke lurah untuk ke suatu puncak tipu yang lainnya pula. Terus rasa menyesal timbul.

          Perjalanan tersebut seolah-olah tiada berkesudahan sehinggalah sampai ke Kem Helipap ke-empat dan yang terakhir sebelum sampai ke Gunung Junction. Aku berhenti disitu hanya untuk mencatat masa (log) dan kemudian terus bergerak kembali kerana aku tahu puncak Gunung Junction hanyalah beberapa ratus meter dari situ. Keadaan yang berkabus terus menutup permandangan puncak Junction dari situ. Selepas tujuh minit kemudian, aku tiba di Puncak Gunung Junction seorang diri terlebih dahulu tepat pada jam 12 tengahari.


           Aku sebenarnya berasa amat berbangga dan puas hati kerana berjaya memecahkan rekod peribadi iaitu mampu membuat catatan masa yang lebih baik dari sebelumnya. Sebelum ini, dari Kem H20 ke puncak Gunung Junction, aku telah membuat catatan masa selama 1jam 33 minit dan kali ini dengan catatan masa terbaru iaitu 1 jam 25 minit. Dengan keadaan fizikal yang kurang memuaskan, aku berbangga dengan diri sendiri kerana masih mampu berjalan dengan keadaan yang sedikit mengalami kecederaan dan masih mampu meninggalkan yang lain di belakang.

         Semasa sedang menunggu yang lain tiba, tanpa melengahkan masa, aku mula mengeluarkan telefon bimbit dengan bergerak ke hulur ke hilir mencari line Maxis untuk memberitahu si Kecik yang kini aku sudah berada di puncak Gunung Junction. Kabus yang tebal dengan angin yang agak kuat bertiup menyulitkan lagi pencarian line telefon. Aku cuba menukarkan jaringan rangkaian daripada 4G ke 3G dan 2G yang mana akhirnya aku berjaya membuat satu panggilan masuk. Apabila terdapat satu line, aku terus tidak berganjak dari kedudukan aku pada masa itu dan cuba membuat panggilan. Alangkah kecewanya aku, tengah bersusah payah untuk mendapat line, panggilan aku tidak pula berjawab oleh Kecik. Mungkin beliau sedang tidur agaknya, bisik hatiku. 

       Aku mencuba menelefon rakan lain iaitu Ubai dan kali ini panggilanku dijawab olehnya. Tanpa membuat, takut line terputus, aku terus meninggalkan pesan supaya menolongku menghubungi Kecik dan memberitahunya yang aku kini sudah pun berada di Puncak Gunung Junction ketika ini dan menunggu teman-teman yang lain tiba. Lega rasanya. Setakat ini perancangan berjalan lancar.

           Kedengaran suara memanggil sahut sahutan dan bersilih ganti seolah-olah mereka dari belakang sudah hampir tiba. Bunyinya semacam dekat, hakikatnya mereka masih jauh lagi kerana mereka masih lagi tidak sampai-sampai lagi. Lapan minit kemudian si Zaem tiba dengan badan dan muka dibasahi peluh dan 17 minit kemudian disusuli Yogi dan Auz pula yang tiba serentak. Mereka memberitahu punca kelewatan mereka adalah kerana mereka berdua bersilih ganti kaki 'cramp' dek terkena penangan trek yang begitu kejam ini. Aku tidak mahu mereka berehat terlalu lama sebenarnya tetapi disebabkan mereka baru sahaja tiba, maka aku terpaksa memberikan mereka sedikit masa untuk berehat dengan lebih lama. Semoga mereka tidak dilanda kecederaan lain pula nanti.

         Untuk pengetahuan semua, di puncak Gunung Junction inilah tempat terakhir aku dan mereka bertiga 'regroup' bersama-sama kerana aku selepas itu akan bergerak secara solo sendiriannya sehinggalah keluar ke 'parking' atau 'finishing line' (FL) di kawasan empangan.

          Sedikit penjelasan mengenai keadaan puncak Gunung Junction yang berketinggian 2088 meter dari paras laut. Puncaknya sangat luas dan rata. Selesa untuk duduki berkhemah dan kebiasaanya menjadi tempat persinggahan dan perkhemahan para pendaki untuk bermalam khususnya. Puncaknya tertutup dengan pokok-pokok tetapi sangat sejuk suhunya kerana kami telah berada dipuncak yang berketinggian dua ribu meter dari paras laut. Di dalam jarak 10-15 meter dihadapan, terdapat kawasan yang juga sangat luas (disitulah tempat aku membuat panggilan masuk tadi) dan disitulah terdapat dua simpang masuk yakni simpang kanan adalah laluan trek Trans Titiwangsa V2 dan simpang masuk ke kiri pula laluan trek Trans Titiwangsa V1 yang bakal kami lalui nanti. Sudah ramai pendaki yang selalu terkeliru dengan simpang ini. 

         Dengan berbaki secebis kertas lagi, aku menulis lagi nota kecil menunjukkan arah yang kami bakal lalui sebagai panduan untuk Team B yang bakal tiba pada bila-bila masa nanti agar mereka tidak tersesat. Aku pasti Haizer dan Mira sudah mahir dan lebih berpengalaman berikutan pernah melalui jalur laluan trek Trans Titiwangsa V2 yang mereka lakukan pada tahun lepas.



16.0 KEM CEREK: Bergerak Solo

    



         Selepas 35 minit aku berehat (rehat yang paling lama sekali aku ambil dalam ekspedisi ini) dan memastikan yang lain dapat rehat secukupnya, kami mengatur langkah kembali. Perjalanan berbaki separuh sahaja lagi kerana setibanya anda di Gunung Junction dalam pendakian Trans Titi V1 ini. Kalau nak buat kerja gila nak berpatah balik tu macam kerja sia-sia. Nak balik sama susah dengan pergi. Sekarang, checkpoint yang seterusnya adalah nak ke Kem Cerek pula dan kemudian kami bakal ke Simpang Proton pula. Lepaa sampai ke Kem Proton, kami seterusnya akan ke Gunung Gayong dan Gunung Korbu selepas itu; mengikut tentatif yang dirancanglah itu.

         Keadaan trek ke Kem Cerek pada separuh awal perjalanannya amat mudah bagi aku kerana hanya perlu bergerak menurun sahaja. Semakin lama rentak aku semakin laju dan adakala aku akan berlari anak-anak. Maklumlah trek menurun dan banyak landai. Kena pandai main masa. Kena laju. Kena 'push' dan paksa kaki berlari. Tak laju takpa, asal dapat cepatkan masa, dari 10 saat kurang lima saat, gitu. Mungkin sudah terbiasa dengan cara ini dan aku turut mengajak mereka semua untuk sama berlari anak-anak agar tidak jauh ketinggalan oleh aku. 

        Laluan yang banyak di penuhi buluh ketika ini sentiasa membuatkan aku bergerak dengan lebih berhati-hati. Sutatup pengalaman yang tak pernah aku lupakan yang sentiasa menghantui aku hingga kini apabila tapak tangan aku pernah terluka sangat dalam hingga nampak isi putih tu, terhiris dek terkena buluh halus. Masa tu tak taulah aku sibul ralit mengelamun apa entah, tak sengaja terpegang pokok buluh tu. Tak sangka pulak rupanya halus berbisa. Darah keluar tak berhenti takpa, tapi bila nak buka balutan masa kat parking tu tak boleh bayang rasa ngilu, pedih dan sakitnya. Lagi-lagi bila terkena air, ngeri nak cerita.

       Masih ada lagi parut sejarah luka lama tu. Kali ini, aku tak mahu menyentuh mana-mana pokok buluh lagi sepanjang trek. Tak nak sejarah berulang kembali.

       Tidak sampai setengah jam, sedang leka berjalan, aku terdengar panggilan Zaem dari belakang. Punya aku kusyuk melayan perasaan, rupaya yang agak jauh meninggalkan mereka. Beliau menjerit memberitahu Yogi dan Auz telah cramps kaki lagi. Si Zaem berhenti menunggu mereka dan aku turut berhenti di suatu kawasan yang agak luas dan rata untuk menunggu mereka di situ. 

         Timbul sedikit kerisauan Jika keadaan ini berterusan/berlarutan maka kami tidak mungkin dapat melakukan 'timing' yang diingini. Aku sudah mula gelisah kerana hampir lima minit aku menunggu dan sudah mula merasa bosan. Hakikatnya, Kem Cerek sudah tidak jauh di hadapan. 

         Aku mula berkira-kira untuk berpecah dari mereka, berfikir untuk bergerak solo. Aku mulai rasa serba salah, lalu aku membuka kedua belah kasut untuk membuang pasir dan batu-batu kecil yang telah memasuki kasut. Sambil tu aku berfikir, perasaan nak bergerak sendirian semakin berkobar-kobar. Nak tak nak je ni.

        Selepas mengikat kembali tali kasut, rasa kaki selesa tanpa rasa sakit pijak batu dan pasir. Aku memanggil-manggil mereka di belakang berkali-kali. Tiada jawapan. Di kala itu aku mejadi semakin gusar dan resah gelisah sekali. Lima minit berlalu, masa semakin dibazirkan. Ak tak sanggup menunggu lagi. 

         Akhirnya aku membuat keputusan yang muktamad, mungkin terlalu berani dan mungkin di anggap pentingkan diri sekali. Tetapi setelah aku berfikir baik buruknya, aku percaya ini adalah untuk mencapai objektif dan matlamat misi yang aku sudah lama idamkan. Pada saat ini, hanya aku faham apa yang aku rasa dan mahukan. Peluang sebegini tidak akan selalu muncul dan mungkin hanya datang seumur hidup. Ada sesuatu di hadapan yang memanggil-memangggil mengerakkan hati aku untuk meneruskan perjalanan.

         Aku mula mengorak langkah. Sendirian penuh kepasrahan menuju ke Kem Cerek. Aku tidak ingin menoleh belakang lagi. Aku tunggu sahaja mereka nanti di Kem Cerek sahaja. Dekat situ kami boleh 'regroup' semula. Dah tak jauh dah ni. Sebenarnya, dari situ aku pun bergerak solo bukan saja hingga ke Kem Cerek tetapi terus membuat keputusan muktamad untuk meneruskan perjalanan dengan berseorang diri hingga keluar ke starting point dan pintu empangan nanti. 

        Aku rasa itulah antara kerja gila pernah aku buat selama ini. Aku tidak pernah rasa menyesal kerana apa yang aku lalukan itu adalah pilihan aku sendiri dan dengan membuat keputusan sedemikian, aku rasa sangat berbangga dengan apa yang telah aku lakukan (dan capai kini). Hingga kini, aku pun tidak tahu dari mana datang kekuatan dalam diri aku dan apalah yang meracuni fikiran aku ketika itu. Tetapi apa yang dapat aku beritahu adalah perlu yakin kepada Tuhan walaupun dimana jua kita berada pasti Allah menjaga kita selagi kita meletak seratus peratus kepercayaan kepada-Nya dan berserah segalanya kepada-Nya. 

         Sepanjang perjalanan dan masa aku berdoa semoga perjalanan aku ini selamat dan berjalan lancar.

        Bergerak secara sendirian begini perlu ada rasa berani. Itu jer aku nak cakap. Aku dah banyak kali jugak hiking seorang diri sebenarnya. Takut memang ada, tapi kalau tak cuba kita takkan tau apa hasilnya. Jangan biar perasaan takut membelenggu diri. Baki perjalanan kini banyak naik turun anak bukit.

        Seingat aku, hampir lima kali turun naik anak bukit tersebut sehinggalah sampainya aku ke Kem Cerek tersebut. Sesekali aku cuba menjerit memanggil line up di belakang dengan harapan ada maklum balas. Tapi hampeh, bayang pun tak nampak.

        Kem Cerek adalah kemsite terakhir yang mempunyai 'waterpoint'. Waterpoint yang terdekat selepas itu adalah di suatu kawasan yang diberi nama 'Last Waterpoint" semasa menuruni dari Gunung Korbu nanti. Aku belum pernah singgah pergi ke waterpoint tersebut tetapi daripada cerita yang aku dengar, sumber airnya terletak tersangat jauh dan perjalanan memang sedikit memenatkan, terutamanya apabila pulang semula ke Kem Cerek. Memandangkan sumber air masih mencukupi (kerana sudah mengisi penuh di Kem H20) aku hanya berhenti dua tiga minit disitu sebelum bergerak pergi.


17.0 SIMPANG PROTON: Mari Menuju Kejayaan
 

          Setibanya di Kem Cerek, aku hanya berhenti sekejap sahaja, sekadar minum air membasahkan tegak yang dahaga dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar walaupun seorang diri bersama sebiji cerek air yang tergantung kemas di sebatang pokok di situ. Begitulah nama kem situ diberi. Akar yang keluar dari tanah berlingkaran di tumbuhi lumut-lumut halus dan hijau menambah seri kawasan tersebut dan pasti ada cerita mistik tersimpan.

         Sebelum sampai ke Kem Cerek, aku sebenarnya sudah membuat keputusan yang muktamad iaitu tidak 'regroup', menunggu line up di belakangku dan bercadang untuk terus bergerak secara solo sehinggalah sejauh mungkin. Pergerakan line-up dibelakang yang aku rasa sudah terlalu jauh aku tinggalkan. Naluriku berkata mereka selamat sahaja. Aku tak bimbang, Yogi pernah buat V2, Auz dan Zaem pasti dah biasa dengan trek G7, tak banyak beza pun. Demi mencapai objektif dan matlamat baru iaitu mencapai masa dalam 15 jam, aku harus terus bergerak sendirian walaupun aku sendiri sebenarnya tidak yakin sama ada mampu atau tidak melakukan pada saat ini.

         Perkiraan aku sedikit lari dari tentatif asal, tapi mungkin dapat mengejar sedikit demi sedikit jika aku memendekkan waktu rehat dan mempercepatkan langkahan. Aku harus percaya pada diri sendiri bahawa aku mampu melakukanya dan akan menggunakan pengalaman-pengalaman sebelum ini sebaik mungkin. Inilah masanya.

        Bergerak secara solo amatlah berisiko tinggi dan sangat bahaya kepada mana-mana individu yang ingin melakukannya. Pelbagai perkara boleh terjadi misalannya cedera, cuaca buruk atau berjumpa binatang buas dimana harus di hadapi seorang diri. Bukan aku ingin menakutkan sesiapa, malah aku juga berasa gentar dan takut juga sekiranya perkara-perkara tersebut terjadi kepada aku. 

       Alhamdulillah, perjalanan aku berterusan dengan lancar dan tiada satu pun perkara yang tidak diingini berlaku sama sekali, melainkan beberapa kali terjatuh sendiri akibat salah pijak akar dan batu yang mana aku rasakan bukan masalah besar dan dapat aku tangani dengan sendiri. Bergerak pada waktu siang hari sebenarnya memudahkan perjalanan, kurang rasa takut tu dan aku cukup bertuah hari ini kerana keadaaan cuaca pun amat cerah serta baik sekali. 

         Kalau dah masuk waktu malam, aku lebih rela menunggu teman-teman yang lain tiba dan bergerak bersama-sama mereka nanti. Berjalan malam banyak risiko, bukan sahaja binatang pemangsa banyak tetapi hantu-hantu pun banyak berkeliaran.

        Aku akan menggunakan pengalaman membuat solo sebelum ini sebaik mungkin sebagai tanda aras dan pembangkit semangat untuk diri sendiri (aku telah berjaya masuk secara solo ke beberapa tempat seperti Gunung Rajah melalui Kuala Kubu Baru sebanyak dua atau tiga kali, pernah naik Bukit Kutu secara solo bermula pukul lima pagi, Bukit Chenuang seorang diri dan entah dah berapa kali ke Gunung Nuang (sebagainya). Perasaan cuak, takut dan gentar memang ada, tapi aku harus ketepikan, sekarang bukan masa untuk berlagak pengecut dan inilah masa aku perlu buktikan keupayaan diri sendiri dan buktikan bahawa Team Seladang bukan sekadar indah khabar dari rupa khususnya.

          Sentiasa tergiang-giang pesanan Abang Hanizamal di telinga dan minda, kata-kata beliau selalu menjadi pembakar semangat apatah lagi beliau juga menjadi idola aku sendiri terutamanya pengalaman ekspedisi V1 secara solo yang beliau sendiri lalukan beberapa tahun lepas aku jadikan sebagai impian dan bercita-cita untuk melakukannya pada suatu hari nanti secara solo.

        Aku melangkah dengan sebuah azam, melangkah dengan satu matlamat untuk mencipta satu sejarah dan rekod terutamanya buat diri sendiri. Aku tahu trek menuju ke Simpang Proton sekali lagi bakal menguji mental dan fizikal kerana terdapat sangat banyak puncak tipu yang harus dilalui. Setiap puncak tipu sebenarnya terletak dalam keadaan sejajar di antara satu sama lain di dalam banjaran gunung dan setiap puncaknya akan membelakangi setiap satu sama lain. 

          Dari satu puncak tipu ke puncak tipu tidaklah terlalu jauh tetapi amat memenatkan serta menyakitkan hati dan perasaan aku apabila dah tiba ke puncak tipu tu, maka terbentanglah satu lagi puncak tipu tak kurang sama tingginya berganti-ganti antara satu lagi puncak tipu. Yang buat hati luluh tu bila dah sampai puncak, kena turun balik, turun seturun-turunynya dan kembali mendaki semula. Penatnya duk main macam ni. Mengah sebab kejap perlahan bila menaik, bila menurun gatal nak berlari. Lagi penat rasanya.. Aku cuba mengawal pernafasan sebaik mungkin, mengelakkan daripada menggunakan mulut untuk bernafas. Kalau guna mulut bernafas nanti mulut cepat kering, badan cepat penat dan cepat haus. Masih banyak lagi puncak tipu harus dilalui.

        Setibanya di Simpang Proton, alangkah girangnya rasa hati, selepas berhempas pulak naik turun naik turun entah dah berapa kali. Mana tidaknya, aku haruslah bergembira kerana tidak jauh di sebelah kiri, hanya berjarak 100 meter lebih terletaknya dihujungnya Puncak Gunung Gayong iaitu Gunung G7 kedua dalam trans Titiwangsa V1 ini dan puncak ketiga kesemuanya selepas Gunung Yong Belar dan Gunung Junction. Manakala trek di sebelah kanan pula adalah trek menuju ke Gunung Korbu; trek laluan yang paling aku tidak gemari di dalam Trans Titiwangsa V1 ini. Tunggulah, nanti pasti lalu. Tersergam jauh dan tinggi Gunung Korbu disebelah sana, tanpa dilitupi oleh kabus petanda cuaca di sebelah sana cerah dan elok.



BAB 18: GUNUNG GAYONG: G7 Ketiga

      



        Aku melangkah semakin yakin menuju ke Puncak Gunung Gayong dari Simpang Proton. Yang pasti langkahan aku makin laju. Treknya sangat landai dan mendatar tetapi berselut dan becak. Kesan tapak kaki yang aku rasakan masih baru lagi dapat dilihat. Aku percaya mesti ada beberapa pendaki berada tidak jauh dari sini. Mungkin aku akan jumpa mereka nun di puncak nanti. Aku mula terdengar bunyi suara orang bergelak ketawa dari jauh dan suara itu kian menghampiri. Aku tak nak fikir apa-apa. Bunyi manusia. Aku yakin. 

         Telahan aku tepat sekali. Setibanya aku di puncak, aku melihat sekumpulan pendaki berbangsa India dengan membawa sepanduk yang menandakan mereka mewakili krew produksi Astro bersiaran Tamil sedang membuat rakaman untuk program televisyen mereka. Berbunyi mungkin "Ekspedisi mendaki Gunung Korga dan Gayong" atau "Menyihatlah kalian dengan mendaki gunung di Malaysia" tetapi di dalam bahasa Tamil.

       Setibanya aku di puncak Gayong, aku di tegur seseorang dari belakang. Terkejut woi. Aku ni pantang orang panggil atau sentuh dari belakang. Melatah semua benda keluar. Aku menoleh. Tengah penat-penat macam ni ada orang tegur. Mungkin bukan orang. Dan tak mungkin sebab beliau memperkenalkan diri beliau dengan nama Jack Oh (rupa-rupanya teman sekerjaku juga mengenali Jack Oh) dan memberitahu yang beliau adalah guide kepada kumpulan pendaki India (Astro) tersebut.

         Di dalam perbualan singkat itu, beliau memaklumkan yang mereka akan berkhemah selama 3 hari 2 malam dan telah mula mendaki dan bermalam di Kem Seroja sehari sebelumnya.

         Aku meminta Jack mengambil sekeping dua gambar wajib di puncak sebagai kenangan. Perasaan tersangat bangga dan sayu terasa apabila selamat sampai ke puncak ini secara seorang diri. Tidak dapat aku ceritakan perasaan aku ketika ini. Segalanya bercampur baur. 

         Dengan perjalanan sudah semakin menghampiri penamatnya, aku semakin yakin dengan diri sendiri. Aku yakin teman-teman lain mungkin sudah tidak jauh di belakang (mereka bertiga tiba 30 minit selepas aku bergerak dari puncak Gayong tersebut).

        Sebelum aku bergerak pergi, aku tidak lupa untuk membuat satu panggilan untuk Kecik sekali lagi. Seperti biasa, liputan kurang memuaskan. Satu puncak aku pusing cari line tekomunikasi yang lebih jelas dan apabila sudah mendapat linenya, aku segera memaklumkan kepada beliau keberadaan aku dan yang lain kini masih dibelakang. Suara Kecik dalam telefon kedengaran agak terkejut. Aku tidak pasti sama ada beliau terkejut kerana aku meneruskan misi secara solo kini atau sudah sampai ke Gunung Gayong sudah ataupun kedua-duanya sekali.

          Sehingga kini sudah hampir 10 jam aku berjalan dan jam menunjukkan sudah pukul 2 petang lebih. Aku tak sabar nak ke puncak Korbu. Puncak terakhir. Puncak segala-galanya. 


19.0 GUNUNG KORBU: Puncak Terakhir

          



         Trek yang kering dan tidak licin pernah aku lalui berbanding sebelum ini amat memudahkan perjalanan aku. Dengan memakai kasut yang amat sesuai dengan kaki aku, bertambah padu langkah dirasakan. Sebaik melalui kembali Simpang Proton, aku sempat menoleh sekilas pandang ke arah kanan di mana boleh lihat trek dari arah tersebut sangat curam menurun ke bawah. Ingin juga melihat, manalah tahu terjumpa mereka yang lain situ, walhal aku rasakan yang mereka jauh sudah aku tinggalkan. Cubaan untuk aku memanggil berkali tetapi tiada sahutan balas diterima. Lalu aku meneruskan perjalanan.

          Menuju ke Gunung Korbu adalah perjalanan dan trek yang paling aku tidak sukai di dalam mana-mana trek dalam laluan Trans Titiwangsa V1 ini. Dari Simpan Protin dan seterusnya aku akan melalui kawasan permatang yang menyambungkan antara dua gunung (Gayong dan Korbu). Azab akan mula terasa apabila semakin hampir menuju ke puncaknya. 

         Disitu cabaran sebenar bakal bermula kembali. Melewati permatang, boleh dilihat sebuah puncak Gunung Korbu yang tersergam tinggi dari jauh. Perasaan yang makin memuncak ingin sampai ketika itu bercampur dengan rasa keletihan yang semakin dirasai. Bergerak menurun memberi kelebihan pada aku tetapi aku tidak bergerak terlalu laju, hanya berlari-lari !anak sekiranya melalui kawasan amat landai dan rata. Aku mahu jimat tenaga. Mahu simpan kaki bila nak turun dari puncak sahaja. 

        Aku juga harus berhati-hati kerana kecederaan di kaki kanan makin kerap terasa sakit, setiap kali berdenyut buat aku bekerut dahi menahannya. Aku betul-betul berharap mampu bertahan sehingga akhirnya. Kalau diberi pilihan, nak sakit sampai tak boleh berjalan pun biarlah sampai aku dah keluar nanti.

        Berjalan melalui permatang disajikan sebuah permandangan gunung-ganang yang kelihatan bersambung antara satu sama lain ternyata sungguh indah. Tambahan lagi, cuaca yang amat baik berserta dengan awan-awan yang berbentuk berkelompok-lompok seperti kapas memutih beserta lantai lelangit yang begitu terang membiru itu memberikan aku satu pengalaman yang amat bermakna. 

         Sukar untuk aku terangkan keindahannya melalui penulisan ini, tetapi benda-benda seperti inilah yang membuatkan aku jatuh cinta dengan mendaki gunung. Perasaan sedikit takut dan seram apabila melalui kawasan hutan mossy yang tebal dan sedikit gelap apabila melalui di bawah pokok yang tumbang atau ranting-ranting. Adakalanya, lumut-lumut yang tumbuh menyerupai seakan-akan bentuk binatang dan manusia dan membuatkan aku menoeh ke arah tersebut sebanyak dua atau tiga kali bagi memastikan apa yang aku nampak itu hanyalah permainan mata. Benar-benar menguji semangat aku ketika itu. Dahla aku ni seorang diri.

          Kadang-kadang timbul atsu terlintas fikiran yang negatif dan menakutkan, bukan aku mintak nak pun, tetapi automatik ianya datang dalam minda yang tengah lesu ini. Hanya bertemankan lagu-lagu dari speaker, aku sesekali ikut sama menyanyi bagi memecahkan kesunyian suasana hutan didalam tebal tersebut.

         Sekarang aku sudah banyak mendaki. Semakin banyak puncak tipu yang dilalui, tak kurangnya perlu dituruni semula. Geografi bentuk pokok-pokok semakin mengecil dan semakin renek serta rendah bentuknya. Apabila tiba di kawasan tanah yang agak berbatu dan semakin menaik treknya, aku sudah tahu yang aku dah makin hampir nak ke puncak. 

          Memang nak puncak semakin hampir, tetapi perjalanan di rasakan bertambah panjanglah pula. Sebaik sahaja habis satu puncak tipu, muncul lagi satu lagi puncak tipu bagai tidak berkesudahan. Bila nak habis aku pun tak tahu. Kekuatan mental yang ada kini semakin terjejaskan. Semangat kian merudum disebabkan oleh cuaca yang bertambah panas membuatkan aku kerap berasa dahaga dan kuat berpeluh. Aku ni lemah dengan panas. Aku akan pewai bukan disebabkan letih tetapi disebabkan cuaca panas.

          Dari puncak Gunung Gayong sebenarnya aku telah berazam tidak mahu berhenti untuk minum air kerana mahu berjimat air. Namun aku kecundang jua. Walhal sudah dua tiga tempat aku berhenti untuk meneguk minum air kerana tak tahan rasa haus. Betul-betul panas sekali. Tak tahu jumlah air yang ada ini mampu bertahan ke tidak. Dua kali ekspedisi sebelum ini aku menghadapi masalah tidak cukup air. Konon tak nak minum tapi terpaksa jugak minum sebab takut badan nanti dehidrasi. Cubaan untuk mengehadkan minum seteguk dua tidak dapat aku lakukan juga. Rasa macam minum satu dua teguk tu air tak lepas pun kat tekak. Betul-betul sudah nak disiplinkan diri ni. 

          Aku sejenis manusia yang hanya akan minum air bila tiba di kemsite atau checkpoint sahaja. Lagi satu untuk mengurangkan penggunaan air ysng banyak, aku hanya aku simpan air dalam botol air sahaja. Aku tiada beg khusus untuk simpan air (water bladder atau waterbag). Suatu teknik yang aku rasa membataskan akses aku nak dapatkan air. Untuk minum air, aku perlu membuka zip beg untuk perlu membuka penutup untuk minum. Kadang-kadang aku jadi malas dan keadaan seperti menjadi sedikit leceh. Maka sikap 'malas' nak bukak beg menjadikam kekerapan untuk meminum air berkurang. Bagi aku cara aku ini berkesan untuk aku.

          Beberapa meter sebelum sampai ke puncak, aku melalui satu kawasan puncak tipu di mana agak terbuka kebiasaanya dipanggil 'view point'. Dari situ boleh dilihat pekan Ulu Kinta kejauhan kecil seperti semut dari pandangan. Apa yang menariknya, sekiranya berada di situ atau di puncak Gunung Korbu pada sebelah malam, akan nampak pantulan cahaya lampu-lampu. 

     



         Aku berpeluang merasainya sebelum ini dan kali ini rasanya tidak berkesempatan kerana aku akhirnya tiba di puncak pada pukul 3.19 petang. Betapa gembiranya perasaan aku apabila tiba di puncak Korbu buat kali ketiganya kini. Puncak ke-empat dan terakhir dalam ekspedisi kali ini, aku berjaya tawan secara solonnya. Dengan berjalan seorang dari dan tiba ke puncak di siang hari pula pada kali ini membuatkan aku berasa sangat gembira dan teruja sekali. Aku terus sujud syukur di atas tanah yang agak rya tersebut dan tak terucap dengan kata-kata, betapa bersyukurnya kepada Ilahi kerana berjaya juga sampai ke puncak. Gembira bukan kepalang. Tak tergambar dengan kata-kata.
       
       Selepas bertungkus lumus selama hampir sebelas jam yang penuh azab dan kepenatan, aku berjaya juga sampai ke semua puncak dengan jayanya. Kali pertama aku sampai ke puncak Gunung Korbu di waktu siangnya. Pertama kali pada sebelah malam dan kali kedua pada waktu senja. 

        Tiba di puncak kali ini, tidak ramai pendaki-pendaki yang ada di puncak. Hanya seramai lima orang pendaki India yang tidak menyertai rakan-rakan mereka yang lain ke Gunung Gayong. Mereka berhenti berehat di situ sahaja. Aku tidak membuang masa, meletakkan beg dan membuka kasut bagi merehatkan kaki sebentar. Ternyata, kaki ku sedikit kembang mungkin disebabkan basah oleh peluh. Kasut yang basah tadi kini amat kotor terkena selut dan lumpur yang baru dilalui tadi. 

         Aku mengalas perut dengan sebuku roti dan beberapa keping asam serta minum air dengan sepuasnya. Takpa nanti dah nak dekat dengan kawasan waterpoint yang seterusnya. Selepas kenyang, aku mencari ruang tanah yang lebih rata dan mula bertayammum untuk menunaikan solat Zohor dan Asar secara Jamak Qasarnya. Satu kewajipan yang tidak harus sama sekali dialpakan dan di ambil ringan oleh mana-mana pendaki walau dimana jua mereka berada. Gunakan rukshah yang diberikan seadaanya. Disamping dapat yang Wajib, yang Sunat pun dapat juga. Benda boleh buat, nak tak nak jer.

         Usai solat, aku menyarungkan semula kasut. Kaki aku dah kembali panas dan tak kecut lagi. Aku hanya mahu berehat paling lama hanya 30 minit sahaja. Aku mengemas kini log supaya sentiasa 'updated', nanti dah lupa susah nak ingat. Dahla panjang dan banyak benda nak catat. 

          Apa yang membuat aku kembali bertambah semangat adalah apabila aku membanding di antara log sebelum ini dengan tentatif yang aku buat, aku sebenarnya mampu keluar ke parking atau finishing point nanti pada masa yang lebih awal daripada yang dijangka secara seorang diriku. Selama 4jam 45 minit masa yang di ambil sebelum ini untuk turun dari puncak Gunung Korga hingga keluar dan perjalanan tersebut telah dilakukan di waktu sebelah malam bermula selepas maghrib hingga hampir ke tengah malam. Rasanya bergerak pada waktu malam, pergerakkan kita akan menjadi lebih perlahan dan penglihatan pula menjadi terhad.

         Jam yang baru menginjak pada pukul 3.30 petang dan aku rasa dah tak sabar nak turun. Makin lama duduk di puncak aku rasa makin sejuk. Tapi rasa kedinginan ini memberikan aku seribu satu keyakinan baru bahawa aku mampu melakuka sesuatu yang lebih baik dan gemilang iaitu target masa pada 15 jam kini semakin menjadi realiti dan aku yakin sangat mampu melakukannya. Akan tetapi otak aku yang tengah ligat berputar berfikir ini masih merasakan masih ada kemustahilan lagi.


20: TANGGA CHUBAN: Misi Baru (15 jam)

         Misi nak buat Trans Titi V1 dalam masa 15 jam membuatkan aku menjadi semakin teruja. Setakat ini, dayhike dah ramai dah buat. Cuma nak buat bawah masa 20 jam jarang-jarang kita dengar. Aku cuba nak buat kerja gila lagi tahun ni. Nak cuba buat rekod untuk diri sendiri.

           Aku mula mengemas barang, memasukkan semula kembali botol air, sweater, makanan dan lain-lain ke dalam beg, kemudian aku kembali memakai semula kasut dan stoking. Dengan misi yang menjadi semakin hampir tercapai kini, aku memulakan langkah baru turun dari puncak Gunung Korbu dengan penuh keazaman dan semangat baharu. Alhamdulillah, cuaca masih dalam keadaan yang baik dan cerah walaupun kehadiran beberapa tompokan awan yang agak gelap warnanya dan juga kabus yang silih berganti datang, putih bagaikan kapas-kapas berterbangan ditiup angin membuatkan aku sedikit bimbang hujan pada sebelah petang hari nanti. Semasa aku berjalan turun dari puncak, aku menegur pendaki-pendaki India tersebut yang berkumpul di kawasan lapang disitu dan hanya sekadar berbasa-basi sahaja dengan mereka. Kalau diajak berborak lain pula jadinya. Mereka bertanyakan ada berjumpa tak dengan rakan-rakan mereka semasa datang ke sini tadi (puncak Korbu), aku mengatakan kepada mereka bahawa rakan-rakan mereka masih berada di puncak Gayong ketika aku bergerak pergi dari sana.

          Perjalanan yang hampir 90 darjah menurun atau 'downhill' yang sangat tinggi kecerunannya dan bakal menguji kecekapan aku kerana perlu menuruni sebanyak 17 tangga besi yang sudah siap dipasang di beberapa tempat nanti terletak di kawasan yang sangat curam dan berbahaya.

          Aku amat perlu berhati-hati kerana setiap tangga tersebut tidak sama panjangnya. Ada yang sangat tinggi dan yang pendek, ada yang terus menegak, ada yang senang untuk dilalui dan ada yang disambung antara satu sama lain. Yang pasti semasa menuruninya, aku perlu menyesuaikan diri sama ada aku perlu menuruni secara membalikkan badan atau sebaliknya. Perasaan gayat terpaksa aku ketepinya.

          Dari atas tangga boleh dilihat permandangan gaung dan gunung ganang yang sangat tinggi. Kalau dulu aku turun waktu malam, jadi tidak nampak sangatlah bahaya didepan. Sekarang, kiri dan kanan adalah gaung, silap langkah bakal bertemu mautlah.

          Aku sebenarnya masih keliru berkenaan Chuban ini. Sama ada tangga itu adalah kawasan bernama Chuban ataupun ia adalah suatu puncak tipu yang aku lalui itu adalah Chuban (mohon kalian beri pencerahan, aku pun tak pasti) kerana tiada satu signage yang aku nampak. Banyak puncak tipu aku lalu, cuma aku tak berhenti pun. Sewaktu melalui turun tangga-tangga tersebut, aku dapat melihat sebuah puncak yang semakin lama semakin aku hampiri. Di puncak itulah nanti destinasi seterusnya yang bakal aku singgahi nanti iaitu Puncak Botak. Aku bercadang nak berhenti minum air disitu nanti.


21: PUNCAK BOTAK: SIAPA SELADANG?

        Selepas bertungkus lumus semua tangga-tangga tersebut aku lalu, seterusnya aku kini melalui jalan yang agak landai untuk menuju ke Puncak Botak. Kasut aku yang sudah pun menjadi kering dan membuatkan pergerakkan menjadi semakin pantas dan makin seronok rasanya. Rugi jika hanya berjalan sepak daun orang kata, lagi-lagi tengah berazam nak buat 'timing' ketika ini. Apa yang buat aku teruja sekali lagi apabila aku dapat berjumpa dengan satu kumpulan pendaki (kumpulan pendaki kedua dan yang terakhir aku jumpai sepanjang misi ini) sedang berjalan turun menuju ke Puncak Botak juga.

         Dekat 20 orang jugak merekan ni. Semua lelaki aku perasan dan maaih ingat pakai baju biru, baju rasmi ekspedisi kut. Beberapa orang ahlinya berjaya aku potong semasa dalam perjalanan dan tidak kurang juga ada yang baik hati memberi aku laluan untuk bergerak terlebih dahulu. Setibanya di puncak, telah terdapat sekumpulan pendaki yang sedang beristirehat sambil menantikan rakan-rakan mereka yang masih berada dibelakang tadi di Puncak Botak.

        Aku ditegur oleh beberapa orang daripada mereka dengan soalan yang seolah-olah aku tak pasti mereka sedang memerli aku ataupun mereka adalah pendaki berlevel 'nubis' atau yang baru berjinak-jinak dalam dunia pendakian ini atau sebaliknya. Antaranya;

"Sorang ke bang?"aku jawab aku tengah sesorang tapi member ramai lagi di jauh kat belakang.

"Dari mana bang?"aku cakap dari Gunung Gayong, Junction dan Yong Belar. Ada muka macam keliru kat situ.

"Naik pukul berapa bang?" Aku jawab dengan suara yang makin kurang tercungap-cungap. Baru hajat nak lepaskan lelah, kena jawab soalan bertubi-tubi.

"Naik dari mana yer?"

Satu persatu aku jawab. Ada juga yang tanya lagi;

"V1 ke bang?" soalan macam tu mampu lagi aku jawab walaupun aku segan nak jawab. Nampak bijaksana jugak dia ni. Sebab V1 ni ramai lagi tak tahu apa benda tu.

"V1 ni abang buat berapa hari ye?" hakikatnya aku dah nyatakan tadi aku tengah depek/dayhike. Kalau cakap jali ketiga ni nampak riak pulak.

" Naik dari empangan turun empangan ke" Itu soalan aku tak tau nak jawab apa. Seolah-olah ada yang kurang faham konsep pendakian (V1) aku buat sekarang ini. Satu persatu aku terangkan dalam masa beberapa saat. Kerana itulah sebenarnya tujuan aku mengarang dan membuat penulisan seperti ini adalah untuk membantu orang luar memahami minat dan hobi aku ini selain berkongsi pengalaman dan perasaan yang aku alami sendiri dari pandangan aku. Aku hanya nyatakan bahawa aku naik dari Kem Kebun dari Gunung Yong Belar dan bakal keluar ke parking di Empangan Korbu nanti dengan jawapan yang ringkas dan dengan harapan mereka faham.
       
         Aku hanya ingin berhenti untuk mencatatkan masa dan buat log serta dapatlah berehat seminit dua. Tetapi tak sangka pula jumpa orang disitu. Gembira sebenarnya jumpa orang. Semangat tu lain jadinya. Aku tak nak berbasa-basi lagi, aku ni dahlah mudah mesra rakyat dengan aku. Dari lima minit nanti jadi setengah jam. Aku pun tidak mahu berehat terlalu lama. Makin lama makin rasa diperhatikan. Jadi tumpuan pulak. 

         Aku berasa malu dan segan pula apatah lagi ada yang melihat baju yang aku pakai ni nanti ada pula yang tanya siapa Team Seladang ni. Nasib tiada yang bertanya. Aku sehabis mungkin menutup tulisan dan lambang baju dari pandangan sesiapa. Tidak mahu terus bertubi-tubi pula kena soal. Aku terus meminta izin untuk mengundur diri tanpa mengambil sekeping gambar pun. Lupa barangkali. Hanya tiga minit sahaja masa aku berasa di situ tapi aku rasa sangat lama. Aku terus berlalu untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu di Last Waterpoint (LWP). Tak sabar nak isi stok air kat sana nanti. Pengalaman kena serang soalan bertubi-tubi buat aku tersengih-sengih sepanjang perjalanan.



21: LAST WATERPOINT (LWP): Last Update

       Apa yang menariknya bila berada di Puncak Botak tu, anda dapat melihat dari jauh puncak Gunung Korbu yang tersangat tinggi tersergam dan tahap kecerunan yang telah dilalui turun tadi. Aku tak boleh bayangkan bagaimana para pendaki pada zaman dahulu berusaha naik ke puncak sebelum wujudnya tangga-tangga yang hanya baru beberapa tahun dipasang. Nak turun macam ni pun dah susah, kalau nak naik tu macam manalah gayanya.

         Bergerak turun menuju ke Last Waterpoint tidak sesusah menuruni tangga-tangga Chuban. Tetapi aku perlu ingat tahap kecerunan menurun aku dari puncak botak (1800 meter lebih) ke LWP (1500 meter lebih) lebih tinggi kecerunanan. Dah boleh bayangkan dah nanti lutut aku mengigil sebab aku mesti banyak melompat-lompat. Treknya pula banyak dipenuhi dengan akar-akar pokok berselirat.

        Diingatkan perlu turun dengan berhati-hati dan aku perlu lebih bijaksana semasa melangkah. Kalau laju macam mana pun tapi silap step atau melangkah tu, jadi tak guna jugak, sebab balik nanti mesti makin 'barai' atau kaki dengan badan mengalami sakit dan lenguh-lenguh yang teramat.

       Walaupun lutut di kaki kanan terasa agak sakit bila menuruni bukit, aku masih lagi mampu menahan. Masih mampu aku nak turun dengan berlari-lari anak sedikit. Trek nenurun agak sempit dan hanya boleh dilalui seorang pendaki pada suatu masa amat. Kalau bertembung dengan kumpulan pendaki yang ramai pasti menghadkan perjalanan aku.

        Tak tahu nak cakap malang ke atau bernasib baik, semasa dalam perjalanan ke waterpoint (dan sampai ke finishing line pun), aku hanya terserempak dengan dua orang pendaki lelaki yang berumur lewat 50-kedua-duanya berbangsa cina sedang bergerak turun. Itulah manusia-manusia terakhir yang aku jumpa masa 'on trek'. Di Kem Seroja aku tidak melihat seorang manusia walaupun banyak khemah didirikan. Mungkin waktu senja aku sampai ketika itu, mereka mungkin lebih selesa untuk berehat didalam khemah mssing-masing.

        Misi untuk sampai ke LWP dalam masa 15 minit berhasil dengan jayayw jua dari Puncak Botak. Amat mengah sekali, tak cukup nafas rasanya. Penuh tercungap-cungap. Aku tak memperlahankan pernafasan. Biar ianya perlahan semulajadinya. Persekitaran hutan yang makin kepanasanya mulai terasa bahangnya, malah kasut aku sudah pun kering sama sekali.

         Tiba di situ, aku tidak bercadang untuk menambah bekalan air di kawasan air terjun bersebelahannya disitu kerana simpanan air masih mencukupi. Bekalan air tak perlu aku risau lagi kerana selepas ini perjalanan djangka akan melalui sungai. Tambahan lagi, daripada aku berusaha keras campur penat lelah nak turun ke waterpoint tu aku rasa membuang masa saja. Lebih kurang 5-7 meter jugak nak kena turun ke bawahnya.

       Apa yang aku lakukan adalah membuka telefon dan membuka data internet kerana aku tahu signal telekomunikasi amat kuat disitu. Aku senpat mengambil sekeping gambar selpie di signage di situ dan memuatkan gambar ke dalam beberapa group whasaap yang penting untuk meng'updatekan' lokasi keberadaan aku ketika ini (gambar tu hilang). 

       Tidak ramai tahu aku membuat ekspedisi V1 ini. Trip ni agak rahsia. Hanya beberapa orang warganya yang mengetahuinya dan aku sempat memberitahu mereka supaya berdoa yang aku akan berjaya keluar sebelum maghrib atau sebelum pukul tujuh petang nanti. Mulanya aku berasa sangat mustahil mahu melakukanya. Tapi kini, aku bertambah yakin dan yakin. Masih banyak masa yang ada. Sesuatu yang aku rasa mungkin menjadi pasti.

        Berbaki lagi lebih kurang 10 kilometer untuk aku redahi, biarpun masih lagi jauh tapi dengan berkat, doa, harapan dan akan aku kerah segala tenaga yang ada dan kudrat yang tinggal kini sedaya boleh.


22: KEM KIJANG:

       Hanya beberapa minit masa yang aku luangkan untuk berehat di LWP. Destinasi seterusnya adalah ke Kem Kijang. Kali ini yang pastinya aku akan melihat sendiri suasana dan rupa terkini di Kem Kijang selepas musnah dilanda kepala air pada tahun lalu yang terus merubah 360 darjah keadaan kawasan tersebut.

       Perjalananku kali bersambung dengan keadaan trek hampir 90 peratus menurun dan hanya 2 ke 3 kali aku terpaksa mendaki anak bukit walaupun rendah tapi pada tahap yang makin kehabisan tenaga begitu memenatkan. Nak berlari rasa macam dah tak larat. Dengan cuaca yang panas kini membuatkan aku menjadi cepat dan semakin dahaga. 

      Angin seolah-olah lamgsung tak bertiup membuatkan persekitarannya menjadi lebih kering dan panas. Nasib pokok-pokok di hutan ini agak tebal dan rimbunan pokok serta dedaunnya meneduhkan aku. Tapi tula, kalau ada angin ni mesti nyaman dan dingin terasa.

       Apa yang aku ingat tentang perjalananan ke Kem Kijang sebelum ini adalah bunyi anak sungai dimana deruannya akan bermula disebelah kiri terlebih dahulu, kemudian muncul bunyinya disebelah kanan kemudian hilang dan kedengeran kembali di sebelah kiri pula. Jika dengan aktiviti seperti ini, ia adalah normal. Ini bermakna, anda sudah semakin hampir ke Kem Kijang.

       Disebabkan trek yang agak licin, kering ditambah pula keadaanya yang sangat berakar dan berbatu, aku melangkah turun dengan agak pantas sedikit. Ya, aku menjadi pantas. Ini kerana aku tak nak tergelincir dan jatuh. Caranya, jangan pijak betul-betul atas akar atau batu, bimbang akarnya tak kuat dan reput, batu takut yang rapuh dan licin. 

       Mintak doa jauh-jauh elakkan dari jatuh. Ada juga peristiwa tergelincir beberapa kali, tapi sebab cepat bertindak dan berpaut pada pokok, selamatlah seketika itu. Kasut Salomon yang pertama kali aku pakai sangat sesuai dan 'masuk' dengan kaki aku ini. 'Perform well'.

      Alhamdulillah, akhirnya aku selamat sampai ke Kem Kijang dan perjalanan aku dari LWP tadi tidak bertuah untuk bertemu dengan sesiapa pun. Kurang setengah jam sebenarnya masa yang di ambil untuk sampai dan aku hanya berhenti untuk melihat suasananya kawasan persekitaran yang betul-betul berubah bentuk muka buminya. Batu-batu besar berwarna kuning putih keperangan berselerak memenuhi kawasannya dan terdapat anak sungai disebelah kanan aku. 

       Apa yang aku rasai ketika itu adalah suatu perasaan yang tak dapat aku gambarkan. Bayangkan anda berada suatu kawasan yang terbentang luas sebesar padang bola dan berada seorang diri di tengah-tengahnya. Berbezanya aku bukan di padang bola stadium atau sekolah, tapi dikelilingi oleh pokok-pokok di hutan yang menjulang tinggi dan batu-batuan. Bunyi haiwan yqng aku tak tahu spesies mereka dan reriang mengisi kekosongan suasana ketika itu. Aku menjerit memanggil-manggil, manalah tahu kut-kut ada yang menyahut panggilan aku semula. Harap yang jawab pun manusialah. Aku alpa dalam menghayati suasana baru seperti ini, janggal hingga lupa untuk mengambil gambar.


23.0: KEM SEROJA: Sakit Kaki

       Semasa aku mula melangkah dari sebuah batu besar ke batu lain, kaki kanan aku tiba-tiba kesakitan. Mungkin sudah sampai waktunya. Aku hanya mampu mengurut secara perlahan-lahan pada tempat sakitnya, untuk mengurangkan rasa denyutan sakit itu. Apa yang aku lakukan adalah setiap dua tiga kali aku melangkah aku akan cuba mengurut ditempat tersebut. Sakitnya kurang bila aku buat begitu. 

        Aku masih menarik tali dengan diri sendiri bilakah waktu yang sesuai untuk aku pakai 'knee guard' nanti (sampai keluar sudah aku tak pakai benda alah tu. Berbekalkan semangat dan kekuatan dalaman yang kian kosong je setakat ini. Sekarang masa untuk aku hendak mengeluh. Aku masih tak ingin berhenti rehat. Mungkin kerana berada di Kem Kijang yang luas terbentang seorang diri buat aku rasa sedikit seram dan takut. Kalau jadi apa-apa kat sini memang tiada sesiapa yang dapat menolong aku selain aku sendiri. Aku perlu segera bergerak sepantasnya untuk terus keluar pada masa yang aku mahukan. Hari dah kian senja.

        Bila aku berada ditengah-tengah Kem Kijang, tiba tiba aku sesat. sekejap. Aku hilang punca arah dan tidak tahu ke mana arah tujuan nak pergi. Kemsite tersebut sangat besar dan aku tercari-cari jalan keluar. Aku tidak mahu mula hilang fokus dan cuba bertenang. Jauh sekali nak panik. Aku berselawat dan berdoa sambil mata aku mencari-cari marking di merata-rata tempat.

          Kawasan yang dah jadi luas terang benderang macam ni amat susah juga ingin nak nampak walaupun hari siang. Berpusing-pusing badan aku memandang sehinggalah aku tiga ratus enam puluh darjah mencari-cari. Aku ternampak suatu marking di sebuah pokok jauh dari tempat aku berdiri. Warna hijau. Patutlah tak nampak, dah sama warna dengan daun dan pokok, dah macam nampak daun-daun pula tu. Nasib aku masih ingat sedikit jalannya dulu. Kuncinya ikut aliran anak sungai. 

         Terdapat banyak marking walaupun terletak agak jauh antara satu sama lain disepanjang anak sungai tersebut. Pada ketika itu, Tuhan saja tahu perasaan aku apabila dapat menjumpai trek kembali. Membebel-membebel sekejap aku on trek. Mana taknya, kalau tak jumpa aku tak tahu nak buat apa.

          Selepas menjumpai trek asal, aku tidak berlengah lagi bergerak pergi dari Kem Kijang. Tidak mudah rupanya nak meninggalkan Kem Kijang ini. Sebuah bukit yang aku rasa tersangat pacak dan tinggi kedudukannya perlu aku harungi dan kemudian barulah akan kembali bergerak menurun. Baru nak menarik nafas lega jumpa trek, kena hadap pula anak bukit yang macam ni. Apalagi la cabaran yang akan datang lepas ni. Tapi apa yang aku fikirkan ketika itu adalah semua yang aku lalui kini masih dalam waktu siang. 

        Aku harap perjalanan aku akan habis dengan cepat. Setibanya di Kem Kijang tadi sudah hampir 30 kilometer rupanya perjalanan aku dan hanya lebih kurang dua ke tiga kilometer lagi perjalanan untuk sampai ke Kem Seroja.

        Menurun meredah curam yang agak tinggi dan licin treknya membuatkan langkah aku menjadi semakin pantas. Berakar dan lebih kering tanahnya. Aku berusaha dengan gigih dan berhati-hati supaya tersungkur jatuh dan elak mengalami kecederaan yang makin serius. Kedengaran bunyi deruan air sungai yang mengalir dari kejauhan dan ditemani bunyi lagu dari telefon yang mana aku telak meletakkan di belakang beg mengiringi perjalanan ini. Aku lebih selesa menyimpan telefon di dalam beg dari meletakkannya didalam poket seluar. Baru sedap dan bebas nak berjalan. Tapi bila dah letak dalam beg, malas pula nak ambik keluar untuk bergambar.

        Perjalanan seterusnya bakal menuju ke Kem Seroja iaitu Kemsite terakhir yang aku yakin akan menjumpai orang yang berkhemah di situ nanti. Dengan harapan dapatlah minum air kopi atau teh panas percuma. Aku target untuk sampai ke situ dalam masa kurang sejam atau 45 minit sahaja. Muktamad. Trek banyak melandai dan melintasi banyak anak sungai lepas satu-satu silih berganti. 

           Banyak pokok buluh yang tumbuh di tepi kawasan sungai dan sekiranya aku tidak berhati-hati boleh terluka terkena batang buluh yang tajam dan kena gatal oleh bulu-bulu halusnya. Aku mula merasa kepenatan yang amat tapi kepalaku kuat menyuruh aku agar terus kekalkan pace dan kuatkan semangat. Terasa hanya dahaga yang teramat. Panas buat aku rasa makin cepat dahaga. Rasa lapar tu ada tapi aku menidakkan sahaja rasa itu walaupun perut dah mula bekeroncong. Nak habiskan perjalanan yang masih berbaki tujuh kilometer lebih lagi ini. Nanti-nantilah fikir pasal makan. Nak fikir macam mana nak keluar ni ni lebih penting. Aku harap-harap budak Kecik nak bergerak naik kereta datang ambik aku kat empangan nanti.

        Aku bergerak lebih kepada 'slow jog' dan ada ketikanya aku berjalan 'power hike' orang putih kata. Sesekali aku meneguk air sungai semasa melintas melaluinya kerana amat malas sekali untuk membuka beg mengambil air manis yang mana lagi sedap rasanya. Rasa air sungai yang amat segar ini sudah cukup menghilangkan tenaga disamping menyejukkan badan yang sedang kepanasan. Peluh yang menitik hanya mampu aku sapu dengan buff di sebelah tangan. Makin berpeluh aku. Rasa nak berendam je dalam air sungai ini. 

         Amat jauh perjalanan di rasakan walaupun treknya sangat landai sekali. Itulah kebiasanya permainan minda yang selalu di hadapi iaitu apabila berjalan di trek yang landai rasa makin jauh jadinya. Mungkin dahulu aku berjalan malam dan tidak pula keseorangan membuatkan perjalannya sebelumnya terasa singkat pula.

        Akhirnya selepas berhempas pulas lalu merentas sungai aku tiba ke Kem Seroja 35 minit kemudian. Kasut aku basah kuyup kerana aku memilih untuk meredah air sungai supaya dapat menyejukkan kaki yang panas. Kedengaran suara-suara manusia merata-rata di situ sama ada berada dalam khemah ataupun sedang mandi sungai berdekatan. Apabila melihat warna-warni khemah atau 'fly' dari celah-celah pokok dan semak sudah mampu memberikansatu perasaan yang tersangat lega dan puas hati kerana sudah sampai jua ke Kem Seroja.

         Aku tiba di Kem Seroja sebelum pukul enam, mencapai target masa di bawah 45 minit. Ini bermakna aku sudah semakin hampir untuk keluar dalam masa yang di ingini. Aku tidak bercadang mahu berhenti rehat di kawasan tersebut dan memilih untuk berjalan sedikit jauh keluar ke depan trek sedikit, jauh dari pada dilihat oleh orang. Walaupun aku berasa teruja melihat terdapat orang di kemsite tersebut seolah-olah baru dapat berjumpa tamadun manusia, aku tidak mahupun bertemu dengan mana-mana pendaki. Bimbang jika di 'interview' dan di soal bertubi-tubi seperti yang terjadi di Kem Botak tadi maka akan melambatkan pergerakkan aku.



24: AIR TERJUN BALAK: Sesat/Terjatuh/Dataran Pacat

       Aku berhenti di tepi sebatang pokok besar lebih kurang 50 meter dari Kem Seroja. Aku berhenti meneguk air dan mengunyah sedikit beberapa asam masin sebagai mengalas perut, ku kira mencukupi sebagai alas perut. Aku kembali mengira-gira masa yang aku tinggalkan kini, masih ada lebih kurang sejam lebih sahaja lagi sahaja. Tanpa membuang masa, aku terus menyambung perjalanan aku kembali pada jam 5.46 petang.

       Selepas melepasi satu anak sungai, aku pun mendaki naik sebuah anak bukit lagi, tetapi tetiba membuatkan aku teringat bahawa ada trek lain yang lebih senang dan tak perlu mendaki bukit. Kemudian aku turun kembali turun melintasi sungai tersebut dan mula mencari marking yang sebenarnya terakhir kalinya aku lihat sebelum sungai itu sahaja. Aku berhenti seketika. Tetiba jadi keliru dan buntu kerana tiada marking lain dah yang aku nampak. Terasa amat membuang masa kalau nak cari marking tu dan aku memutuskan untuk mendaki anak bukit kembali kerana berdasarkan pengalaman aku yang lepas bukit tersebutlah yang telah aku lalui sebelum ini. Aku amat yakin. Dengan nafas yang tercungap-cungap sebab aku duk mundar mandir mencari trek, aku pun kembali menyambung perjalanan. Arakianya, aku sebenarnya telah membuat keputusan yang tepat lagi jitu. Semakin lama aku bergerak semakin menjadi pasti yang itu adalah jalan yang betul untuk keluar. Walaupun dahulu aku bergerak malam, tapi aku masih dapat cam dan ingat keadaan trek dan persekitarannya. Dari pokok-pokok nipah yang berduri sepanjang jalan, lubang-lubang yang perlu dilangkahi serta batang balak atau pokok-pokok yang aku rasa sangat biasa dan pernah melihatnya. Kelebihan yang aku dapat selama mendaki ini adalah aku sejenis mudah ingat trek dan jalan walaupun hanya pernah pergi hanya sekali. Begitu juga dengan Trans Titiwangsa V1 ini yang mana baru dua kali aku berjaya menamatkannya.

       Sebanyak tiga anak bukit yang perlu aku harungi semuanya sebelum tiba ke Air Terjun Balak. Jam 6.09 petang aku berjaya sampai di situ. Aku terasa perjalanan kali ini walaupun banyak menurun, terasa amat panjang trek ini. Rasa macam terlalu jauh, betul-betul mental aku kali ni sampai buat aku nak tengok jam tangan untuk memeriksa masa dan jarak yang telah dilalui beberapa kali. Gaya aku sekejap berjalan dan sekejap belari. Bila naik bukit aku betul-betul perlahan. Bila menurun aku paksa belari selaju boleh.

       Cuaca dah nak mulai gelap, sudah hampir senja membuatkan suasana hutan semakin malap. Aku bimbang juga sekirannya binatang-binatang yang mula aktif di malam hari muncul keluar secara tiba-tiba. Bila kedengaran bunyi air terjun dari jauh menandakan aku dah hampir tiba ke kawasan Air Terjun Balak. Dengan penuh keletihan aku menanggalkan beg dan buat pertama kali aku nak bergambar di air terjun yakni sampai di waktu siang. Aku hanya berehat seketika sahaja dan bergambar secara selpie bukti aku sampai di situ di waktu yang cerah. Deruan air terjun yang kuat seolah-olah menjadi peneman aku ketika itu. Rasa lega yang teramat bila dah sampai ke sini.

        Dua minit kemudian, tanpa melengahkan masa aku bergerak semula menuju ke checkpoint terakhir sebelum tamat ekspedisi ini iaitu ke Dataran Pacat. Lokasinya tidaklah terlalu jauh tapi perlu menyeberangi banyak kali sungai yang semakin lama semakin besar airnya. Aku sememangnya amat tidak menyukai perjalanan menuju ke Dataran Pacat ini. Melalui tebing sungai yang kadang kala amat berbatu dan sempit memperlahankan langkahku. Aku juga telah tersesat di suatu kawasan yang menyebabkan aku tersalah naik ke tepi bukit di sebelah kiri. Aku seharusnya perlu ke batu sebelah kanan tetapi disebabkan tidak nampak marking yang ditutupi oleh pokok di situ dan memaksa aku kembali menyeberangi sungai besar tersebut untuk kali keduanya. Menyesal betul rasa hati, sebab dah buang banyak masa kat situ.

        Habis kasut dan separuh pakaian sudah lencun basah sebabkan terjatuh dalam sungai. Banyak betul nak lalu sungai, tapi tak sebanyak nak meredah sungai di Gunung Yong Yap/Tok Nenek. Sesekali aku mengambil peluang meneguk air bila melintasi sungai untuk menghilangkan dahaga. Aku hanya minum satu atau dua teguk, bimbang jika terlalu syok menghirup air nanti perut akan kembung dengan air, akhirnya akan membuatkan aku susah nak bernafas justeru itu melambatkan pergerakkan nanti.

        Sekejap trek menyeberang sungai dan sekejap melalui tebing sungai. Adakala menaik dan menurun serta melangkahi batu atau balak besar. Aku tidak memberi peluang langsung untuk kaki dengan hanya berjalan. Biarpun dah teramat penat, aku paksa kaki berlari anak-anak sedaya upaya agar dapat mencuri masa yang ada. Konsepnya dengan lima langkah berjalan, aku dapat memendekkan perjalanan dengan dua tiga langkah secara berlari). Melalui trek di tebing yang penuh berbatu amat berbahaya dan licin sehingga aku telah terjatuh tersadung batu pokok dimana muka aku hampir sahaja terkena batu yang tajam. Aku anggarkan mungkin 2 3 jari sahaja lagi nak kena. Ketika itu Tuhan sahaja tahu perasaan aku, terasa berdebar-debar jantung seolah-olah suatu ubat adrenalin baru dicucuk masuk. Nasib baik tak terkena batu itu. Aku tak nak bayangkan bagaimana rupa muka dan kepala aku kalau aku jatuh terkena batu tersebut. Ini membuatkan aku untuk bergerak dengan lebih berhati hati lagi.

       Setibanya di Dataran Pacat, aku berasa teramat penat dan sudah tidak larat. Nafas aku sudah tak dapat di kawal lagi. Naik turun naik turun dada aku berombak bernafas. Kunci kejayaan sekarang adalah mengawal nafas supaya aku tak membazir tenaga. Hari makin gelap. Aku harus pantas selepas ini. Akhirnya sudah 14 jam aku berjalan.

       Selepas dua minit aku kembali menyambung perjalanan untuk keluar ke parking. Inilah kemuncak yang aku tunggu-tunggu. Perjalanan aku bakal berakhir kini. Hanya beberapa rstus meter lagi nak ditempuhi. Semangat aku semakin membuak buak dan menjadi tak sabar. Sebaik bertolak dari Dataran Pacat, aku bermula sedikit perlahan dan hanya berjalan sahaja kerana trek yang menaik perlu aku lalui. Penat tadi masih belum hilang. Biarlah dulu. Bila dah ok sedikit aku sedaya upaya cuba berlari sedikit demi sedikit, lagi-lagi bila dah sampai ke kawasan yang lebih landai dan rata. Dari situ aku mula berlari sepantas yang boleh. Aku tahu selepas ini treknya akan menjadi makin senang dan setiap minit aku melihat jam di tangan. Tiba-tiba kaki aku jadi laju. Tiba-tiba macam ada angin yang datang dari belakang menolak. Masa lima belas jam dah dicapai. Kini aku nak perbaiki lagi masa itu selaju boleh.



25: PARKING: Bukit Nanas/Misi Tercapai/Tamat/Terbaik


         



       Semakin laju aku berlari tapi bukan makin dekat dirasakan, makin jauh dirasakan nak keluar ni. Aku mencari-cari mana anak sungai terakhir yang perlu aku lintasi sebelum nak sampai ke parking kereta. Trek yang hanya menurun melalui Bukit Nanas melalui kebun-kebun milik orang asli itu amat memenatkan kerana agak berbatu dengan struktur tanahnya agak licin. Trek balak yang semakin bersemak itu perlu aku lalui dengan mengelak sedikit pokok-pokok yang menyentuh badan. Itu belum lagi sarang labah-labah yang selalu tersangkut dimuka. Lemas betul rasa. Dari satu minit ke satu minit aku melihat waktu jam berubah. Bila ternampak anak sungai dari jauh aku menjerit kesukaan, terus lupa tengah seorang diri kat hutan ni. Selepas menyeberanginya aku perlu mendaki naik sedikit trek sebelum sampai ke kawasan parking dimana teek berbaki lebih kurang seratus ke dua ratus meter lagi untuk sampai ke garisan penamat. Selepas sungai tersebut cuaca sudah mulai makin gelap dan malap. Tapi masih boleh lihat lagi trek. Aku ternampak suatu cahaya terang di hadapan, aku yakin itu adalah tempat keluarnya. Dari gaya berjalan lepas lintas sungai tersebut (sebab naik bukit balik tadi aku dah tak larat dah nak berlari) aku kembali berlari balik. Makin lama makin dekat. Dan akhirnya aku mulai nampak kereta-kereta yang diparking makin didekati. Sungguh aku dah nak sampai. Dan sesungguhnya bila aku dah sampai tu aku masih tak percaya aku dah pun sampai. Beg aku campak. Terus aku sujud syukur atas tanah. Biarlah kotor ke berbatu ke, aku terlalu gembira.

        Seminit sebelum pukul tujuh malam aku akhirnya sampai dengan jayanya ke parking kereta. Dengan catatan masa yang terpantas iaitu 14jam 26 minit, aku berjaya memperbaharui rekod masa peribadi terbaik V1 dimana aku memecahakan rekod terbaik milik peribadi iaitu 17jam 44 minit yang lalu. 

        Hanya Tuhan tahu perasaan aku ketika itu. Bangkit dari sujud aku menyambung lagi menjerit kepuasan. Dah aku tau memang orang tiada disitu buat apa nak malu. Aku nak rai kejayaan ini dahulu. Aku amat berpuas hati dengan performance aku hari ini dan betul-betul menjadi walaupun kakiku kembali sakit semula. 

        Aku amat berpuas hati kerana dapat menamatkan misi sebelum tiba waktu malam gelap. Yang paling dibanggakan berjaya membuat secara solonya walaupun sudah separuh perjalanan (sebab tu aku panggil ekspedisi ini half-solo). Mana mungkin ada orang mampu melakukanya seperti aku ini, bersolo merentasi banjaran titiwangsa dan jika ada mungkin bukan dengan cara yang aku capai dan mungkin dengan cara mereka tersendiri. Aku masih belum mampu buat solo seperti Abang Hanizamal lagi tetapi pencapaian aku ini adalah dengan cara aku sendiri dan kepuasan yang aku miliki ini tak mungkin menyamai mahupun dapat aku melakukanya dimasa akan datang nanti.


26: RESCUE: Air Sungai/Pacat/Ngosek

        Beberapa puluh meter lagi nak sampai ke parking tu, dengan nafas yang tercungap-cungap sebab aku pulun belari selaju-lajunya, berkali-kali aku memanggil nama Kecik. Dengan harapan beliau dah siap menungggu aku keluar dengan kereta aku. Aku telah menepati janji nak keluar sebelum pukul tujuh petang. Tapi sedikit kecewa kerana batang hidung beliau pun tidak aku nampak apatah lagi bayang. Tidak apalah mungkin beliau tengah tunggu aku kat luar pintu pagar empangan, apa yang penting sekarang adalah aku telah berjaya keluar dengan selamat dan jayanya. Baik aku duduk diam-diam, senyum sengih sorang-sorang sebab misi dah berjaya.

        Kasut dan stoking yang basah dipakai aku buka. Terkejut sekejap tengok kaki yang sudah pucat lagi kecut kulitnya. Sekarang ini aku hanya ingin berehatkan badan sementara kepala mencari ikhtiar untuk keluar dan menghubungi Kecik memandangkan kawasan tersebut amat lemah 'line' telefon. Aku mengeluarkan plastik sampah yang aku bawa sebagai selimut kecemasan dibentangkan di atas tanah dan menjadikan beg aku sebagai alas kepala. Beg aku bukan sejenis beg hikingn tapi dah masuk empat tahun kau pakai ni, semua tempat aku meredah, daypack atau compress semua aku guna beg aku ni. Lagi satu, beg jenis ni sangat selesa buat tido sebab spannya amat tebal untuk di buat bantal. 

        Aku dah mula merasa dahaga kembali. Memang aku punyai sedikit air simpanan lagi tetapi aku tidak lalu untuk meminumnya kerana rasa yang terlalu pekat dan amat masin dengan asam boi yang aku bubuh sangat banyak dari Puncak Korbu tadi. Mulanya kau enggan berterusan walau kesamaran. Tapi aku tiada pilihan, tekak terasa terlalu dahaga dan aku ni pun tiada pilihan lain dah. Akhirnya, aku cuba minum juga beberapa teguk dan mula merasa menyesal kerana tekak aku terasa amat perit pula. Aduh, lagi dahaga macam ni. Aku pun mula berjalan ke kawasan sungai yang terletak beberapa puluh meter jaraknya dari tempat aku duduk tersebut. Keadaan yang mulai gelap tidak membuatkan aku rasa takut sedikit pun. Dengan membawa botol air tadi, aku mencampurkan air sungai yang agak keruh warnanya itu dengan air asam boi yang ada kemudianya terpaksa meminumnya dengan rasa berat hati sekali. 

         Kalau tidak kerana terlalu dahaga tidak mungkin aku sanggup minum air yang kotor sebegitu. Agak payah nak aku ambik air tersebut, sungai nampak agak dalam dan airnya sedikit deras. Dengan penuh berhati-hati aku mengisi air. Dahla berkaki ayam. Dua tiga teguk jer aku minum. Rasanya memang tak boleh diterima akal. Rasa asam boi bercampur air kopi yang sangat payau. Uwekkk.

         Aku kembali semula ke kawasan parking yang mana aku telah meletakkan beg aku tadi. Sempat aku berjalan mundar mandir di situ tanpa arah tujuan sebelum kembali membaringkan diri semula. Aku melihat langit masih lagi berseri biru warnya. Bercampur dengan warna oren-merah yang makin menghilang. 

          Tanpa aku sedari aku telah lena tertidur. Aku terjaga disebabkan rasa sakit di bahagian ketiak. Gatal sekali. Mungkin nyamuk sebab aku pun tak pakai baju. Baju yang aku buat jadi selimut badan, terus aku alih ke tepi. Bila sakit makin menjadi-jadi, aku terus bangun dan meraba-raba di bahagian ketiakku. Ada sesuatu yang sangat lembut di kawasan tersebut seperti jeli. Aku tarik. Kuatnya. Rupa rupanya seekor pacat sedang asyik menghisap darah aku dan secara automatik serta merta aku mencabut makhluk penghisap darah itu dan mencampak jauh dari situ. Tak ingin aku lihat wajahnya kembali.

         Yang membuatkan aku jadi bertambah rimas adalah nyamuk yang dah mula menghurungi badan aku. Bising betul mereka ni. Jam yang sudah menginjak ke angka delapan dan kawasan sekitar aku sudah pun bertukar gelap sepenuhnya. Dekat setengah jam juga lamanya aku tidur. Aku memasang headlamp di kepala dan memandang ke kawasan sekitar melihat sama ada ada tanda tanda si kecik sudah tiba disitu. Sekali lagi aku rasa hampa dan kecewa. Manalah dia ni. Macam-macam aku berfikir.

        Tiba tiba datang suatu perasaan. Perasaan untuk bertindak menjadi berani. Perasaan tersebut datang dan terus membuatkan aku tak berfikir panjang terus mengemas barang-barang masuk semula ke dalam beg. Aku memakai semula kasut dan mula berjalan dengan lajunya bergerak untuk keluar dari kawasan parking tersebut. Apa-apapun terjadi biarlah, yang penting ini ihktiar aku.

         Beberapa puluh meter aku berjalan mengikuti jalan tar aku mula menghidu bau yang teramat wangi di sepanjang jalan. Janganlah oi, janganlah. Masa itu Tuhan sahaja tahu perasaan aku, meremang bulu roma jadinya. Terus jantung berdebar kencang. Aku tidak tahu apa harus aku lakukan. Kalau nak lari aku dah tak larat dah ni. Jalan seret kaki macam ni je aku mampu.

         Aku membuka telefon, memasang ayat bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang ada dalam MP3 telefon. Manakala mulut pula terkumat kamit membaca apa saja ayat yang aku teringat di dalam kepala. Nak tak nak aku kena juga berjalan, kalau benda itu muncul depan mata, aku lebih rela mati disitu juga. Wangian itu hilang, tetapi muncul kembali bila aku sampau di suatu simpang. Dah la di simpang tu aku jadi keliru nak ambik kiri ke kanan. Kiri, kanan, kiri, kanan, lalu aku memilih ke jalan sebelah kiri. Salah. Rupanya jalan tersebut membawa aku ke jalan yang salah.


27: EMPANGAN: Kecik Datang/Unggun Api

         Jalan ke kiri tu telah membawa aku ke arah kawasan kapal korek yang mengorek pasir hinggalah ke jalan mati. Aku hampir tiba ke timbunan bukit pasir sehingga penghujungnya. Tak guna aku teruskan lalu aku berpatah balik semula. Sedang dan dengan perasaan yang penuh pasrah nak berpatah balik ke simpang tadi, tetiba aku ternampak pergerakan dua cahaya lampu yang sangat kecil sedang datang dari sebelah atas yakni jalan dari simpang kanan. Kemudian kedengaran bunyi deruan enjin motosikal memecah kesunyian disitu bergerak datang ke mari. 

         Aku cuba memanggil-manggil tetapi motor tersebut bergerak menuju ke arah parking kereta tadi. Aku cuba mengejar. Tapi aku rasa dah kehabisan tenaga. Dah tak larat. Kaki dah terdaya tapi naluriku kuat mengatakan itu Kecik. Kaki aku makin lama makin laju berjalan. Sekali lagi aku bau wangi. Eh lantak kaulah. Tapi firasat aku mengatakan tu mungkin bau bunga sundal malam. Musim mengembang kata Kecik sekarang ni. Didalam hati aku, betul-betul berharap dan berdoa yang motosikal tersebut adalah milik Kecik yang nak menyelamatkan aku yang keseorangan diri untuk dibawa pulang. 

        Beberapa minit kemudian aku sampai di kawasan motor tersebut. Enjinnya telah diberhentikan. Mana orang pergi Maka acada jerit-menjerit memanggil sekali lagi terjadi. Entah-entah orang asli masuk. Dalam sana itukan kebun-kebun mereka.

         Nama Kecik aku dengan sekuat hatinya beberapa kali. Bunyi air sungai memperlahankan lantunan merdu suaraku bergemersik. Plat motor bermula huruf A. Orang-orang sini ni. A tu kan milik Perak. Sini kan Ulu Kinta, Perak. Panggilan aku kembali bersahut. Suara yang amat aku kenali. Siapa lagi kalau bukan Kecik. Chik! kau buat aku makin saganglah kat kau. Gembiranya aku bila Kecik akhirnya muncul jua depan aku. Lega rasanya, teramat lega sekali apabila orang yang ditunggu tunggu tiba jua. Harapan untuk aku keluar menjadi semakin cerah. Dapat aku bayangkan kejayaan ini semakin menjadi lebih bermakna.

       Kecik datang bersama membawa beberapa batang ranting pokok. Dan dia tidak keseorangan. Dibawa adiknya yang berusia tujuh belas tahun itu datang untuk menemaninya. Aku menceritakan serba ringkas yang aku telah berjalan keluar tadi tapi berpatah balik bila melihat ada sebuah motor dan aku telah keluar pada pukul tujuh petang tadi. Kecik mendengar sambil membuat ungun api dengan menggunakan kayu-kayan yang dibawa keluar tadi. Nak menghalau nyamuk dan agas katanya. Dapatlah aku memanaskan badan sekali. Aku memberitahu Kecik yang aku telah meninggalkan Auz, Yogi dan Zaem semasa menuju ke Kem Cerek dan seterusnya berjalan seorang diri sehingga keluar ke sini.

       Aku mengajak Kecik keluar. Tak mahu berlama-lamaan lagi disitu. Kalau nak tunggu yang lain keluar aku rasa mereka masih jauh dibelakang. Kertas yang dibawa masih berbaki. Lalu aku meninggalkan nota kecil di tepi unggun api tersebut memberitahu mereka yang aku telah keluar dari situ (pasti mereka berasa cemburu dan geram). Dengan bergendong secara bertiga sekaligus menaiki motor yang dibawa oleh Kecik, kami bergerak keluar dengan jayanya. Walaupun agak tak selesa dan hampir kejang kaji duduk ditengah antara keduanya, aku menghadapinya dengan penuh rela. Sengsara yang sementara. Lepas ni dah nak sampai dah.

        Aku tiba di keretaku pada pukul sembilan lebih. Terus memandu keluar ke sebuah kedai makan yang berada tidak jauh dari empangan tersebut untuk mengalas perut bersama Kecik dan Adiknya. Sedang aku menikmati, mee celup di kedai makan tersebut tersebut, satu panggilan telefon diterima. Nama Zaem tercatat di skrin.

28: PULANG: Rumah Kecik & Cameron Highlands

    



       

Aku hairan bagaimana Zaem boleh dapat line nak telefon aku. Padahal, telefon aku masa kat parking tu tak ada langsung line. Mustahil betul. Dengan segera aku menjawab, sebab perasaan nak tahu di mana lokasi keberadaan mereka ketika ini. Zaem mengkhabarkan yang mereka bertiga termasuk Auz dan Yogi baru sahaja sampai di kawasan parking. Mereka dah baca nota kecil yang aku letakkan berhampiran dengan unggun api yang masih bernyala. Kiranya bertahan jugaklah api yang Kecik buat tu. Jam sudah lebih pukul sepuluh nalam. Aku segera memberitahu Kecik yang mereka sudah keluar. Setelah berbincang kami bersetuju untuk masuk semula ke dalam kawasan empangan untuk mengambil mereka bertiga. Kecik bergerak terlebih dahulu masuk ke dalam bersama motornya. Sementara aku bersama adik Kecik masih menunggu tiga bungkusan air minuman sejum untuk diberikan kepada mereka bertiga apabila keluar nanti. Nak 'order' makan rasanya macam tak sempat dah.

Motor Kecik berjaya melepasi sekatan pagar pos pengawal empangan. Tambahan lagi, aku rasa pengawal tersebut dah lebih kenal dah Kecik. Tahun lepas pun kami dapat keluar awal sebab mintak izin dengan pengawal tersebut, siap pinjam motor untuk keluar beli air dan nasi. Masa tu aku, Kecik dgn Poi terpaksa menunggu didepan pintu pagar besar empangan sehingga pagi kerana pintu pagar belum buka. Sebaik sahaja pengawal tersebut bertukar shif dan orang pukul tujuh pagi, atas kerelaan Kecik, beliau mengikuti pak cik pengawal tersebut untuk mengambil kunci pintu empangan. Beliau kembali semula ke situ dengan menaiki motor pemegang kunci pintu pagar empangan. Dengan itu kami berjaya keluar.

Tapi kali ini Kecik tak muncul-muncul. Tersangat lamalah aku menunggu dalam kereta sehingga aku terlelap. Setiap kali bangun, mereka masih belum tiba. Hairan betul aku, dah lebih sejam kami menanti. Jam dah masuk pukul tengah malam. Air pun dah cair.

Cahaya lampu di hadapan mula menyinarkan mata. Bunyi enjin motor makin kedengaran. Akhirnya mereka tiba sekaligus empat orang menaiki motor. Hairan aku, macam mana mereka berempat muat. Mereka bercerita banyak kali jugak mereka jatuh sebab tak seimbang dan itulah membuatkan mereka lambat. Bila fikir lojik leceh jugak nak angkut seorang demi seorang dan takkan nak tinggal sorang-sorang kat parking dalam sana tu. Bila mereka sampai terus aku keluar dari kereta untuk menyambut mereka. Air diberikan seorang satu. Terpancar rasa kegembiraan terserlah hadir dari wajah masing-masing. Aku faham. Rasa gembira dapat menamatkan misi. Rasa gembira dapat keluar dengan selamat. Rasa gembira sebab dah boleh fikir nak balik jer sekarang ni.

Kami tak membazir masa. Masing-masing dah penat. Kami segera menuju ke masjid berdekatan untuk membersihkan diri. Manakala Kecik dan adiknya pulang kembali ke rumah mereka di Sungai Siput (U). Selepas mandi kami akan singgah bermalam di rumah Kecik terlebih dahulu. Kemudian keesokannya kami akan masuk kembali ke empangan sana untuk menunggu seorang lagi line up keluar iaitu Fahmi. Fahmi yang telah tertinggal dibelakang dan menyertai Team B telah berjaya keluar pada waktu tengah malam tadi dan keluar dari empangan esoknya dengan jayanya dengan cacatan masa mereka dibawah masa 20 jam sahaja. Mencapai target masing-masing kali ini.

Seberadanya di rumah Kecik, dekat pukul tiga pagi juga aku nak terlelap dan terjaga sebaik azan subuh yang syahdu sedang berkumandang. Seusai menunaikan solat Subuh aku menerima mesej dari Byzu (driver team b) dan memberitahunya bahawa aku sudah keluar dan menyuruhnya menunggu sehingga pintu pagar empangan dibuka untuk masuk mengambil mereka (Team B). Aku bergerak daei rumah kecik pada pukul lapan pagi seorang diri. Kesian pula nak kejutkan mereka yang sedang lena tidur untuk temani aku. Aku bernasib baik kerana mereka sudah keluar lebih awal dan sudah berada di Masjid Ulu Kinta. Selepas itu kami bersarapan bersama-sama terlebih dahulu dan kemudiannya aku dan Fahmi bergerak kembali semula menuju ke rumah Kecik. Masih jauh lagi perjalanan kami ini. Terlebih dahulu kami perlu pulang semula ke Cameron Highland untuk mengambil kereta Auz yang diletakkan perkarangan Masjid Lojing.

Cuaca yang baik dah cerah. Perjalanan kami berjalan lancar. Alhamdulillah.

29: PENUTUP

        Pulang dari Cameron Highland, sempat juga kami menyingah di tepi jalan untuk membeli buah tangan. 1001 cerita terungkap, segala pengalaman, cerita indah dan kenangan semalam di buka cerita satu persatu. Seolah-olah merungkai suatu kes penyiasatan, kami mengupas butir dan isi cerita hingga ke akar umbi. Masing-masing dengan pengalaman masing masing. Namun aku dengan pengalaman aku yang tersendiri. Pengalaman yang penuh dramatik, kenangan, pahit dan manis, seram, mistik, pengembaraan yang penuh mendebarkan dan suspen tetapi menyeronokkan dan tidak dapat dibeli dari mana. Rasanya makin yakin nak bersolo ke mana-mana lepas ini. Aku yakin suatu hari nanti pasti aku akan buat ekspedisi V1 solo nanti. Nantikan.

Tammat

       



Log V1 Reverse Dayhike (Yong Belar-Gayong-Korbu) 3.0

14 April 2018 / 28 Rejab 1439

*Total Time: 14H 26Min*

0433H:: Started from Kem Kebun
0519H:: Kem Tudung Periuk
0524H:: Continue Journey
0538H:: Simpang Kem Pelaur
0652H:: Kem Kasut
0702H:: Continue Journey
*0736H:: Yong Belar Mt*
0800H:: Continue Journey
0813H:: Kem Kuali + Helipap 1
0908H:: Helipap 2
0917H:: Continue Journey
0950H:: Helipap 3
0954H:: Puncak H20
1007H:: Kem H20 (Rest)
1035H:: Continue Journey
1153H:: Kem Helipap 4
*1200H:: Junction Mt.*
1235H:: Continue Journey
1333H:: Kem Cerek
1334H :: Continue Journey
1358H:: Simpang Proton
*1402H:: Gunung Gayong*
1416H:: Continue Journey
1418H:: Simpang Proton
*1519H:: Korbu Mt.*
1545H:: Continue Journey
1558H:: Chuban
1616H:: Puncak Botak
1619H:: Continue Journey
1634H:: Last Waterpoint
1638H:: Continue Journey
1706H:: Kem Kijang
1708H:: Continue Journey
1743H:: Kem Seroja
1746H:: Continue Journey
1809H:: Air Terjun
1811H:: Continue Journey
1839H:: Dataran Pacat
1841H:: Continue Journey
1859H:: Parking



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Top 14 Most Hardcore Mountain to do Dayhike or Compress (Personal View) in Malaysia

BUKIT LUBUK BATU (via Denai Hutan), Marang , TERENGGANU

BUKIT 300, TELUK BATIK, LUMUT, PERAK